Saturday, November 22, 2014

Sulaiman Court (1958 - 1986) : Projek rumah pangsa pertama di Malaysia.

Oleh: Harith Faruqi Sidek



Sulaiman Court (Sumber gambar: Pertubuhan Akitek Malaysia, 1976.)

Projek pembinaan rumah pangsa yang pertama ialah Perumahan Awam Sulaiman Court yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Antara tujuan utama pembinaannya ialah sebagai penempatan semula penduduk di sekitar lembah kelang selain menangani masalah setinggan. Rumah pangsa 11 dan 4 tingkat tersebut dibina pada tahun 1957, dan mula didiami pada februari 1958. Sulaiman Court mempunyai 295 unit rumah yang dibahagi kepada tiga blok, iaitu Blok A, B dan C. Tingkat bawah Sulaiman Court terdapat unit-unit perniagaan yang menyediakan pelbagai keperluan untuk penghuni.
Pembinaan Sulaiman Court adalah ilham dari Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Housing Trust diberi amanah sebagai akitek bangunan ini. Mendiami bangunan yang tinggi pada ketika itu merupakan satu pengalaman yang asing bagi rakyat Malaysia, maka tidak hairanlah jika hanya 13 keluarga sahaja yang menjadi penghuni terawal Sulaiman Court. Sebagai langkah menarik penyewa, pihak pengurusan menawarkan pengecualian sewa bagi 6 bulan pertama. Pada tahun 1986, Sulaiman Court dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan pusat membeli belah SOGO.

Rujukan:
Charles Fernandez (21 August 2007) 200 former residents of Suleiman Court reminisce at gathering. The Star.
Guide to Kuala Lumpur Notable Buildings. Kuala Lumpur: Pertubuhan Akitek Malaysia, 1976. ( DS 599.K8.G84 - PTSL AM)
Pencetus projek rumah pangsa (30 Mac 2013). Utusan Malaysia.

Thursday, November 20, 2014

Globe Silk Store: Dari Segamat ke Kuala Lumpur

Oleh: Harith Faruqi Sidek





Pada tahun 1928, Tirathdas Jethenand berhijrah ke Malaya dari Sind, India (wilayah Sind kini dibawah Pakistan). Beliau yang pada ketika itu berusia 18 tahun hanya berbekalkan wang saku sebanyak RS500.

Dua tahun kemudian, Tirathdas Jethenand membuka perniagaan tekstil di sebuah rumah kedai di Segamat, Johor yang disewa dengan harga RM40 sebulan, perniagaannya itu dinamakan Globe Silk Store.  Pada tahun 1947, Globe Silk Store berpindah ke Batu Road, Kuala Lumpur sebelum mendiami wismanya sendiri di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Era kegemilangan Globe Silk Store mulai malap menjelang lewat 90an akibat kemelut kewangan yang meruncing. Akhirnya pada tahun 2007, Globe Silk Store ditutup dan diambil alih oleh pengurusan baru dengan nama Globe by Sarah Hughes.


Rujukan:

Lam Seng Fatt (2000). The Golden Mile, Insider's Kuala Lumpur. Kuala Lumpur:  Times Book International.

Pemilik Globe Silk Store diberi masa 48 jam bayar denda RM200,000 (25 Mei 2010) Berita Harian.

Supriya Singh (19 November 1980) Honesty Pays Off for Globe Silk Store owner. New Straits Times, p.8.

Tuesday, August 19, 2014

Yang Pertama dan Terawal di Petaling Jaya.



Dibangunkan diatas tanah kebun getah seluas 1,200 ekor pada tahun 1952, Petaling Jaya yang bermula sebagai sebuah penempatan semula bagi setinggan kini telah jauh membangun. 24 tahun selepas pembu
kaannya, Petaling Jaya menyambut ‘kelahiran’ aku dalam tahun 1976 di Hospital swastanya yang terawal, Hospital Assunta. Antara yang Pertama dan Terawal di Petaling Jaya ialah,

1) SYARIKAT KEWANGAN PERTAMA
Malaya Borneo Building Society

2) BANK TERAWAL
The Chartered Bank of India, Australia & China, Jalan Othman

3) INDUSTRI TEMPATAN TERAWAL
Dunlop Malaysia Sdn. Bhd. (DIMB Ber had),
Colgate Palmolive (Far East)
Ltd.(Colgate Palmolive (M) Sdn. Bhd.)
Lam Soon Soap

4) TADIKA TERAWAL
Tadika Madelaine, Jalan Othman

5) SEKOLAH RENDAH PERTAMA
Sekolah Kebangsaan (C) Jalan 10 (kini Sekolah Kebangsaan
Petaling Jaya (1)

6) SEKOLAH MENENGAH PERTAMA
Sekolah Menengah Assunta, Jalan Changgai

7) INSTITUT PENDIDIKAN TINGGI AWAM PERTAMA
RIDA College (Institut Teknologi MARA), Jalan Othman.

8) PUSAT MEMBELI-BELAH PERTAMA
The Cold Storage (Jaya Supermarket), Seksyen 14

9) PANGGUNG WAYANG TERAWAL
Panggung Wayang Majestic, Jalan Othman
Panggung Wayang State, Jalan Yong Shook Lin

10) HOTEL/ MOTEL TERAWAL
Shah's Village Motel
Jaya Puri (PJ Hilton)

11) MASJID TERAWAL
Masjid Sultan Abdul Aziz, Seksyen 3

12) STESEN MINYAK TERAWAL
Stesen Minyak Shell, Jalan Gasing
Stesen Minyak Mobil, Jalan Selangor

13) Restoran Makanan segera terawal
Restoran A&W

Rujukan:

Johan Jaafar, (24 Jun 2006). PJ city is a victim of its own success. New Straits Times.

Nevash Nair and Vincent Tan, (1 August 2014) Farewell to Pj’s iconic landmark. The Star

Petaling Jaya pusat tarikan utama (20 Jun 2006), Berita Harian.

Portal Rasmi Majlis Bandaran Petaling Jaya. at http://www.mbpj.gov.my/

Sejarah Petaling Jaya (20 Jun 2006), Utusan Malaysia.

Dari Jaya Puri ke Hilton.

Oleh: Harith Faruqi Sidek


Nama Hotel Jaya Puri barangkali agak asing bagi generasi kini, namun hotel yang mula beroperasi pada bulan jun 1974 ini merupakan hotel terawal di daerah Petaling Jaya, selain Shah's Village Motel. Antara residen artis yang sering membuat persembahan di Hotel Jaya Puri pada ketika itu ialah kumpulan 'Revolvers' yang pernah popular dengan lagu 'Perpisahan' dan 'Namun ku punya hati'. Mungkin generasi lama penduduk Petaling Jaya, termasuk pelajar ITM jalan Othman dapat mengingati nama Hotel Jaya Puri ini.

Pada tahun 1982, selepas pengambilalihan oleh Pernas Hotel Chain Holdings Sdn Bhd (kini Tradewinds Hotels & Resorts Bhd), hotel ini ditutup bagi membolehkan kerja naiktaraf yang bernilai RM40 juta. Dua tahun kemudian, hotel ini kembali beroperasi dan dikenali sebagai The Hilton Petaling Jaya atau sering disebut sebagai 'P.J Hilton'. Hilton Petaling Jaya juga merupakan hotel tertua dibawah rangkaian Hotel Hilton di Malaysia.

Rujukan:

Berita Harian, 8 Februari 1975.

Jaya Puri Sold? 'it's not true' (5 Januari 1980), The Straits Times.

Wong Mei Kay. (13 Ogos 2013) Hilton Petaling Jaya undergoing makeover, The Edge.

Thursday, July 24, 2014

Auckland 1950, Atlit Angkat Berat sumbang Pingat emas sukan komanwel pertama negara.

Oleh: Harith Faruqi Sidek



Pasukan Angkat Berat negara merupakan penyumbang pingat emas pertama sukan Komanwel (pada ketika itu dikenali sebagai Sukan EmpayarBritish/ British Empire Games). Pada temasya tahun 1950 yang diadakan di Auckland, New Zealand itu, Tho Fook Hung menyumbang emas pertama dalam kelas Bantamweight.

Kejayaan jurujual emas dari Pulau Pinang itu kemudiannya dituruti oleh temannya, Koh Eng Tong yang menjuarai kelas featherweight. Acara angkat berat turut menyumbang satu pingat Perak menerusi Thong Saw Pak (Kelas Lightweight) dan satu gangsa menerusi Tan Kim Bee (Kelas Light Heavyweight). 

Pungutan keseluruhan 2 emas, 1 perak dan 1 gangsa ini meletakkan Malaya di tempat ketujuh dari 12 negara yang bertanding. Menariknya, akibat ketiadaan badan sukan yang terlibat dengan Persekutuan Sukan Empayar British, keempat-empat mereka terpaksa menanggung sendiri sebahagian besar perbelanjaan sepanjang menyertai temasya sukan tersebut ( NST, 3 OKT 2006). Menurut Koh Eng Tong, sebagai ganjaran memenangi pingat, beliau dan rakan-rakan cuma dikecualikan dari membayar balik wang tajaan sebanyak 3,300 ringgit yang perlu mereka bayar balik secara ansuran sekiranya pulang dengan tangan kosong.( NST, 23 Ogos 1998). 


Rujukan:

The Straits Times, 7 February 1950

Tan Kim Bee ( 14 September 2000) Weightlifter Tho merits place in Hall of Fame too. New Straits Times

http://en.wikipedia.org/wiki/1950_British_Empire_Games

Pioneer weightlifting Eng Tong Dies ( 3 October 2006), New Straits Times.

Vijesh Rai (23 Ogos 1998) Koh the hero of 1950, celebrates his 79th birthday. New Straits Times

Zulkofli Jamaludin (6 Sept 1998) Sejarah Sukan Komanwel. Berita Harian

Saturday, June 28, 2014

Selepas 106 tahun tidak digunakan, Masjid pertama di Liverpool dan U.K dibuka semula.

Oleh: Harith Faruqi Sidek


Pintu masuk hadapan Masjid Sheikh Abdullah Quilliam, Liverpool.
Diambang Ramadhan, pada tanggal 27 Jun 2014, Masjid Sheikh Abdullah Quilliam yang merupakan masjid pertama di U.K dibuka semula. Masjid yang menggunakan 3 unit bangunan di no.8,9 dan 10 Brougham Terrace ini dibuka semula selepas ditutup selama 106 tahun dengan mengadakan solat jemaah fardhu jumaat. 


Plak perasmian yang terdapat di dewan solat utama.

Brougham Terrace....menandai perkembangan syiar islam di Liverpool dan England.


Masjid ini dibuka pada tahun 1889, iaitu selepas Sheikh Abdullah Quilliam atau nama asal beliau, William Henry Quilliam memindahkan pusat dakwahnya dari Mount Vernon Street yang digunakan sejak tahun 1887.



Plak yang terdapat di pintu masuk no.8 Brougham Terrace menceritakan sejarah bangunan tersebut.
Ukiran asal yang terdapat didalam masjid.


Laluan ke ruang solat yang terdapat di no.9, Brougham Terrace. 
Ruang solat utama,kelihatan Hajj Ahmad Thompson sedang memberi tazkirah sebelum solat fardhu Jumaat.


Hiasan dalaman bangunan yang berusia 184 tahun ini masih mempunyai gabungan hiasan dalaman berunsurkan arab, moorish, Ottoman selain rekabentuk era Victorian. 



Bahan publisiti berkaitan pembukaan semula masjid bersejarah ini.


Merakam kenangan di hadapan masjid tertua di England.
Menurut laporan The Abdullah Quilliam Society, kos baikpulih masjid ini menelan belanja lebih dari 2.4 juta pound dan usaha menaiktaraf bangunan bersejarah ini masih diperingkat awal, malah masjid ini turut akan dilengkapi dengan kemudahan pusat penyelidikan seperti Arkib dan Perpustakaan.




Rujukan:

Long,Chris and Chester, Jerry. 'The birthplace of islam in Britain': Toxteth's Victorian Mosque reopen. access at http://www.bbc.co.uk/news/uk-england-merseyside-28018673.

The Abdullah Quilliam Society. Project Brochure 2012 - 2013 : The Sheikh Abdullah Quilliam Mosque and Heritage Centre.


Thursday, June 12, 2014

Akibat kontroversi: 'DARKIE' jadi 'DARLIE'.

Oleh: Harith Faruqi Sidek


Tahukah anda...Ubat Gigi jenama DARLIE dahulunya selama 60 tahun dikenali sebagai DARKIE. Penjenamaan semula ini dilakukan pada tahun 1989, kemudiannya perubahan turut dilakukan keatas karektor manusia bertopi yang menjadi logo jenama ini.

Perubahan ini dilakukan ekoran desakan dari pelbagai pihak agar Colgate-Palmolive yang merupakan pemilik 50 peratus saham syarikat pengeluarnya, Hawley and Hazel menukar nama dan logo barangan berkenaan. Nama 'DARKIE' dikaitkan dengan unsur perkauman lalu menimbulkan rasa kurang senang pihak yang melihatnya dari perspektif berkenaan.

Sumber:

Colgate-Palmolive plans to rename Darkie (28 January 1989). New Straits Times.

'Darkie' toothpaste renamed (15 October 1989). Eugene Register- Guard.

Jack Anderson (14 February 1990). Furor over toothpaste's name, Bangor Daily News.

Jack Anderson (14 February 1990) Toothpaste's name stirs controversy, Sun Journal.

New Straits Times, 3 November 1989.

Tuesday, May 27, 2014

Dari Teluk Anson (1882-1982) ke Teluk Intan (1982 - kini)

Oleh: Harith Faruqi Sidek


Arwah datuk dulu kalau sebut Teluk Anson bunyinya jadi 'Teluk Ensen', kawasan yang dulunya bernama Teluk Mak Intan, bersempena seorang peniaga wanita dari keturunan mandailing yang berasal dari Sumatera.

Tahun 1882, Kawasan ini dipilih sebagai pusat pentadbiran British bagi Daerah Hilir Perak oleh Residen Perak ketiga, Sir Hugh Low. Nama Teluk Mak Intan turut ditukar kepada Teluk Anson, sempena nama General Sir Archibald Edward Halbord Anson, Gabenor Negeri-negeri Selat. Sir Archibald juga bertanggungjawab merangka pembangunan kawasan tersebut.

Tahun 1982, Sempena sambutan ulangtahunya yang ke 100, Teluk Anson telah dinamakan semula sebagai Teluk Intan.


Rujukan:

Foong Thim Leng (6 Oktober 1985) Tower of Pride,The Star.

James Gonzales (4 February 2003) Teluk Intana reflection of many changes in small towns, New Straits Times.

Jefry Liew (12 June 2000) The leaning tower of the east, New Straits Times.

Priyajeet Kaur (29 januari 2014) Back to roots in Teluk Intan, New Straits Times.

Tuesday, May 06, 2014

Pesta Buku Kuala Lumpur yang pertama.

Oleh: Harith Faruqi Sidek



Salah satu acara tahunan dalam kalendar negara yang ditunggu dan mendapat sambutan ramai ialah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur atau singkatannya PBAKL. PBAKL 2014 yang diadakan pada 24 April hingga 4 Mei yang lalu telah memasuki edisinya yang ke-33. 

Menurut laporan akhbar New Straits Times bertarikh 18 April 1980, kali pertama pesta buku diadakan secara besar-besaran di Kuala Lumpur ialah pada 18 – 27 April 1980. Pesta buku yang diadakan di Bukit Bintang Plaza itu melibatkan 64 buah syarikat penerbit buku dari dalam dan luar negara. 

Sumber:

First K.L book fair. ( 18 April 1980). New Straits Times, p.13.


Hold annual book show, publishers urged (19 April 1980). New Straits Times, p.16.

Haji Buyong Adil (1907-1976): Tokoh Sejarawan Negara.

Oleh: Harith Faruqi Sidek



Allahyarham Haji Yusuf@Buyong Adil atau lebih dikenali sebagai 'Cikgu Buyong merupakan tokoh pengarang dan pendidik tanahair. Anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini merupakan lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris yang sememangnya terkenal dalam melahirkan ramai tokoh dalam bidang kepengarangan.

Cikgu Buyong berkhidmat selama 39 tahun dalam perkhidmatan kerajaan sebelum bersara pada tahun 1962. Pada tahun 1971, Cikgu Buyong berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai pengarang yang mengkhusus dalam bidang sejarah, sesuatu yang beliau sifatkan sebagai memenuhi kegemarannya. Hasilnya DBP menerbitkan siri sejarah negeri-negeri di Malaysia yang terus menjadi rujukan di peringkat sekolah hinggalah pengajian tinggi.

Cikgu Buyong meninggal dunia pada 31 Ogos 1976, ketika berusia 69 tahun. Pada saat negara meraikan sambutan kemerdekaan yang ke-19, insan yang gigih merakamkan korpus sejarah negara pergi buat selamanya...Alfatihah.

Sumber:

Buyong Adil bertugas di DBP (28 Disember 1970) Berita Harian.

Cikgu Buyong Adil meninggal di KL (1 September 1976). Berita Harian.

Cikgu Buyong, tokoh sejarah yang sukar ditandingi (19 September 1976). Berita Harian.

Achmad Nawir: pemain bolasepak berkaca mata di Piala Dunia.

Oleh: Harith Faruqi Sidek



Sebelum zaman kanta lekap memasuki pasaran dunia, pemain bolasepak dibenarkan memakai kacamata, dan satu-satunya pemain yang berbuat demikian ialah Achmad Nawir, kapten pasukan Hindia Timur Belanda yang beraksi dalam Piala Dunia 1938 di Perancis. Beliau yang merupakan seorang Doktor perubatan menggunakan kacamata yang sama diluar padang.

Pemain Belanda, Edgar Davids juga memakai kacamata sewaktu beraksi dalam Pertandingan Piala Dunia, namun ianya adalah kacamata keselamatan bagi melindungi matanya yang pernah mengalami masaalah glaucoma.

Saturday, April 26, 2014

Dari Malaya Hall ke Malaysia Hall.

Oleh: Harith Faruqi Sidek






Perasmian Malaya Hall telah disempurnakan oleh Dutchess of Kent pada 12 Disember 1949. Kerajaan Persekutuan menyewa secara rasmi empat unit bangunan yang terletak di Bryanston Square, London itu mulai tahun 1951. Dua unit bernombor 44 dan 45 dijadikan unit pentadbiran bagi Malaysian Students Departmen (MSD) serta penginapan bagi pelajar dari Malaya yang belajar di United Kingdom, sementara dua unit bawah tanah bernombor 46 dan 47 dijadikan kantin. Kerajaan Persekutuan menyewa unit-unit ini daripada Portman Settled Estate Limited dengan kadar £400 setahun.

Pelajar dari Malaya merakam kenangan bersama Dutchess of Kent, dari kiri, Cik Janie Tong (Kuala Lumpur), Cik Lily Majid (Kuala Lumpur), Raja Fuzia Raja Uda ( anak Raja Uda Raja Muhammad, Pesuruhjaya Tinggi Malaya di Britain) dan Cik Eileen Khoo (Kuala Lumpur). 

Belanjawan pengurusan Malaya Hall datangnya dari subsidi dari kerajaan sebanyak £3,500 setahun selain pendapatan dari sewaan penginapan pelajar serta sumbangan dari orang ramai. Kadar sewa penginapan yang dikenakan ialah £2.07 (RM20 ketika itu) seminggu bagi single room dan £2.10 (RM21 ketika itu) seminggu bagi double room, kadar ini kemudiannya dinaikkan pada tahun 1962 kepada  £6.16 (RM58 ketika itu) seminggu bagi single room dan £6.06 (RM55 ketika itu) bagi double room. (TST, 3 Oktober 1962). Bilik-bilik ini turut diberi nama sempena para penyumbang dan orang kenamaan, antaranya Datuk Panglima Bukit Gantang (Menteri Besar Perak), Loke Wan Tho (Jutawan Singapura) dan Shaw Brothers yang turut menyumbang piano serta perabot. (TST, 13 Oktober 1953). Malaya Hall kemudiannya dinamakan semula sebagai Malaysia Hall,selaras dengan kemerdekaan negara. Portman Settled Estate Limited sebagai pemilik kemudiannya menaikkan kadar sewaan kepada £60,000 setahun, lalu memaksa kerajaan Malaysia menilai semula langkah penyewaan tersebut kerana kos yang bakal meningkat.



Suasana dalam bilik penginapan yang disediakan di Malaya Hall

Unit bernombor 44 dan 45 Malaysia Hall yang sepatutnya tamat tempoh sewaan pada tahun 2000 kemudiannya diserahkan kembali kepada Portman Settled Estate Limited pada April 2002, sementara unit bernombor 46 dan 47 diserahkan kembali pada Jun 2004. Pada tahun yang sama, Malaysia Hall berpindah ke premis bernombor 30-34, Queensborough Terrace, Bayswater, London dan kekal hingga ke hari ini. Bangunan bekas Hotel York ini menelan belanja kira-kira RM125juta untuk pengubahsuaian dan ia telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) pada 24 Julai 2004.

Petikan dari akhbar New Straits Times bertarikh 13 Januari 2000.

Rujukan:

Yunus: Malaysia Hall is meant for use by everybody in London (30 September 2000). New Straits Times,p.11

Saiful Azhar Abdullah. (13 Januari 2000) Saving historic Malaysia Hall: concerted move to get the government to extend lease. New Straits Times,p.12

Bill for Malaya Hall £8,785 (16 Julai 1953) The Straits Times.

Students cry ‘monstrous’ as the rates go up at Malaya Hall. (3 Oktober 1962), The Straits Times.

Room named after famous Malayans (13 Oktober 1953), The Straits Times.

Aziz Ishak (25 Julai 2004). Malaysia usaha bawa pulang tenaga pakar. Utusan Malaysia.

Malaya Hall opening (12 December 1949). The Straits Times.

Patvinder Singh. (27 September 2000). Malaysia Hall lease not renewed: plan for new building just outside London, New Straits Times, p.6

Cheah Chor Sooi. (27 September 2000) Yunus: my worst nightmare is has come true. New Straits Times,p.6


Officials bid farewell to historic Malaysia Hall (3 Jun 2004), New Straits Times,p.2

Friday, April 11, 2014

Search dan Wings: ‘Halal’ selepas dipotong.

Oleh: Harith Faruqi Sidek


Pada 22 Februari 1992, Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Mohamed Rahmat telah mengumumkan artis lelaki yang berambut panjang melepasi paras bahu diharamkan dari membuat persembahan atau muncul di kaca televisyen nasional. Tindakan ini menyebabkan ramai artis lelaki akur dan mengorbankan rambut mereka bagi meneruskan perjuangan seni mereka, namun berbeza pula pendirian dua kumpulan rock gergasi di Malaysia pada ketika itu, Search dan Wings. Kedua kumpulan ini enggan menuruti syarat yang dikenakan dan rela tidak muncul di kaca televisyen dan hanya bergantung pada persembahan pentas yang pada ketika itu tidak kurang lumayannya.  Tambahan pula, imej berambut panjang sudah sebati dengan penampilan mereka sejak sekian lama dan bersesuaian dengan genre muzik rock yang mereka bawakan.

Namun segalanya berakhir pada tanggal 1 November 1992, apabila anggota kumpulan Search dan Wings setuju mengorbankan rambut panjang mereka sebagai syarat untuk muncul di televisyen dan radio nasional. Pada hari berkenaan, upacara simbolik ‘memotong rambut’ bagi anggota Search dan Wings telah dilakukan oleh Datuk Mohamed Rahmat sendiri selaku Menteri Penerangan.  Upacara yang disiarkan secara langsung melalui slot rancangan ‘Selamat Pagi Malaysia’ itu menyaksikan Amy (Search) dan Awie (Wings) telah dipotong rambut mereka sebagai simbolik mewakili anggota kumpulan yang lain. Tindakan ‘mengalah’ ini adalah bagi mengekalkan populariti semasa, kumpulan Search sebagai contoh mendapati penjualan album ‘Rampage’ mereka yang terbit pada ketika itu menunjukkan prestasi jualan yang agak perlahan selepas melepasi angka jualan 100,000 unit (NST, 29 Disember 1992). Peristiwa ini bukan sahaja mendapat liputan media tempatan, tetapi juga media luar negara.


Sumber:

Haircut ends rock group band (2 November 1992), Times Daily.

Long and short of it is, the ban’s over (2 November 1992), Saratossa Herald-tribune

Malaysian official to cut rockers’ hair (16 October 1992), Spartanburg Herald-Journal.

R.S Murthi (29 Dicember 1992). Predictable strain in Malaysian music, New Straits Times.

Rock star gets hair cuts (17 October 1992), The Tuscaloosa News.

Rockers to get clipped on live tv. (16 October 1992), Sun Journal.

Rockers to get trim. (16 October 1992), Lodi News-Sentinel.


Short haired rock idol (2 November 1992), Lodi News-Sentinel.

Friday, April 04, 2014

Jasad Kelasi dari Melaka bersemadi di Lautan Hindi?

Oleh: Harith Faruqi Sidek

Nama Bakar bin Ahmad pada panel nombor 21.

Bakar bin Ahmad adalah diantara kelasi dari Malaya yang namanya diabadikan di Liverpool Naval Memorial . Semakan pada daftar nama kelasi yang terdapat di Liverpool Record Office mendapati Bakar bin Ahmad merupakan satu-satunya kelasi dari Malaya yang direkodkan mempunyai waris dari luar Singapura. Menurut rekod tersebut, ibu beliau yang bernama Che'noh binti Haji Manas berasal dari Tajung Kling, Melaka.
Rekod yang disimpan di Liverpool records office.

Bakar Ahmad berkhidmat dengan Kapal HMS Scott Harley yang ditugaskan memusnahkan periuk api, namun kapal berkenaan tewas dan karam diantara 25 Februari - 3 Mac 1942 di lautan Hindi. Sepertimana lebih 1,400 lain yang nama mereka diabadikan di Liverpool Naval Memorial, jasad Bakar bin Ahmad juga bersemadi di lautan. Al-Fatihah...

Liverpool Naval Memorial yang terletak di Pier Head, Liverpool.

Rujukan:
Commonwealth War Graves Commission. The Register of Merchant Seaman Commemorated on Liverpool Naval Memorial.
Harith Faruqi Sidek. Nama kelasi melayu di Liverpool Naval Memorial. athttp://harithsidek.blogspot.co.uk/2012/07/nama-kelasi-melayu-di-liverpool-naval.html

Saturday, March 15, 2014

Mahadi dan Jalud : Lagenda Ventriloquist negara.

Oleh: Harith Faruqi Sidek

Mahadi dan Jalud sewaktu diundang membuat persembahan didalam salah satu rancangan TV terbitan RTM, 'Setangkai Irama'.

Seni Ventriloquist atau bercakap dari perut, barangkali tidak popular di Malaysia, namun sekitar lewat 70an hingga 80an, terdapat seorang penggiat seni ini yang popular pada ketika itu, beliau ialah Mahadi dan bonekanya yang bernama Jalud. Mahadi atau nama penuhnya Sheikh Mahadi Ahmad Baladram lebih popular dengan panggilan 'Pakcik Jalud' dilahirkan pada tahun 1947. 
Menurut Mahadi, boneka popularnya yang diberi nama Jalud itu dibeli dari Amerika Syarikat dengan harga RM300, beliau kemudiannya membuat sedikit penambahan keatas boneka berkenaan seperti menambah gigi hadapan, gaya rambut serta pakaian. Selain Jalud, Mahadi juga mempunyai sebuah lagi boneka yang diberi nama Dr. Al-Latah. Setelah bersara Mahadi menetap bersama keluarganya di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Sumber:

Tv Programme. (2 November 1985). New Straits Times.
Ida Aziz (29 January 2001). Twinkles2 sets the stage for fun. New Straits Times.

Sofianni Subki; Anthea De Lima; Sharifah Sakinah Aljunid (17 Jun 2004). Dads with a difference. New Straits Times.

Wednesday, March 12, 2014

Sejarah Taman Tasik Cempaka Bandar Baru Bangi.

Oleh: Harith Faruqi Sidek



Projek pembinaan Taman Tasik Cempaka yang terletak di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi bermula sekitar tahun 1999 dan berakhir sekitar bulan julai tahun 2000. Projek oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) ini dibangunkan diatas tanah seluas 16.8 hektar, dengan 6 hektar daripadanya diperuntukkan untuk pembinaan tasik buatan, sementara selebihnya diperuntukkan sebagai taman awam.

Kos bagi menghasilkan sebuah tasik yang dibina ditebing Sungai Hitam menelan belanja sekitar RM6 juta. Sementara Jabatan Lanskap Negara bertanggungjawab menghasilkan lanskap menarik bagi taman awam ini dengan kos RM3 Juta. Tanaman yang menghiasi kawasan rekreasi ini terdiri daripada tumbuhan tempatan, termasuklah Bunga Cempaka yang menginspirasi namanya. Selain kemudahan rekreasi seperti taman permainan dan peralatan senaman, taman ini juga mempunyai sebuah Perpustakaan bagi rekreasi minda.Taman Tasik ini diuruskan oleh Majlis Perbandaran Kajang.


Rujukan:

Lake garden attraction at Bangi's commercial centre (6 mei 2000). New Straits Times.

L.H Lim (9 Jun 1999). Boost to 'garden city' reputation for Bangi. New Straits Times.

L.H Lim (12 mac 2001). Bandar Baru Bangi's parkland draw. New Straits Times.


Patvinder Singh (6 Februari 2000). Public park for Bandar Baru Bangi. New Sunday Times.

Wednesday, March 05, 2014

Rakyat Malaysia sudah bermain bolasepak lebih 100 tahun dahulu.

Oleh: Harith Faruqi Sidek

Rakyat Malaysia dipercayai sudah mengenali dan bermain bolasepak sejak 189 tahun yang lalu...dan negeri pertama dimana ia dimainkan sehingga ke hari ini belum pernah lagi memenangi kejuaraan utama bolasepak tempatan, Piala Malaysia.


Rujukan:

Did You Know ( 1 July 1988). The New Straits Times.

Friday, February 28, 2014

Dari JB ke Winsford: kisah anak Malaysia pertama jadi Datuk Bandar di England.

Oleh: Harith Faruqi Sidek



Datuk Mohd. Aris Ahmad merupakan anak kelahiran Johor Bahru, beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Inggeris Bukit Zaharah diantara tahun 1948 hingga 1951. Setelah meninggalkan alam persekolahan, beliau menyertai pasukan tentera dan ditugaskan di Grik, iaitu kawasan yang berisiko tinggi dengan ancaman komunis pada ketika itu. Sewaktu didalam pasukan tentera, beliau terlibat didalam operasi SAS yang diketuai oleh Jeneral Gerald Templer, operasi ini bertujuan mengumpulkan kaum orang asal yang tinggal didalam hutan di Grik agar mereka tidak dieksploitasi oleh pasukan komunis.

Datuk Mohd. Aris kemudiannya meninggalkan perkhidmatan tentera dan berhijrah ke England pada tahun 1957, iaitu setelah negara mencapai kemerdekaan. Bagi menyara kehidupannya di England, beliau bekerja sebagai kerani dengan bayaran £18 seminggu, dikalangan rakan-rakan baru di bumi inggeris, beliau dikenali dengan nama ‘Jeff Ahmad’. Bagi meningkatkan taraf hidupnya, Datuk Mohd. Aris  menyambung pelajaran ke peringkat ijazah di University of Manchester dalam bidang ekonomi dan sains politik. Datuk Mohd. Aris kemudiannya mendirikan rumah tangga bersama Renee Ahmad, mereka dikurniai sepasang cahayamata, Karen Brookes dan Paul Ahmad. Setelah berhijrah ke Winsford, beliau membuka perniagaan menjual peralatan besi bersama menantunya, selain berniaga, beliau juga aktif dalam kesatuan pekerja setempat di Winsford. Menurut laporan Berita Harian Singapura bertarikh 19 Mei 1989, Datuk Mohd. Aris merupakan penduduk tunggal berketurunan melayu yang tinggal di Winsford dalam daerah Cheshire.

Datuk Aris Ahmad bersama keluarga (sumber: http://www.alphaunitech.com.my)

Oleh kerana aktiviti dan sumbangan sosial yang aktif, Datuk Mohd. Aris  telah dilantik menjadi wakil rakyat majlis tempatan Winsford pada tahun 1983, dan pada tahun 1988 beliau dipilih menjadi Timbalan Datuk Bandar Winsford. Setahun kemudian, beliau secara rasmi pada tarikh 16 Mei 1989 telah dilantik menjadi Datuk Bandar Winsford bagi tempoh setahun, ketika itu beliau berusia 55 tahun. Pencapaian beliau ini menjadi satu kebanggaan bagi rakyat Malaysia, terutamanya kerajaan Negeri Johor, lalu beliau dianugerahi pingat Setia Mahkota Johor yang membawa gelaran Datuk. Pada tahun 2011, seorang lagi anak Malaysia mencapai kejayaan yang sama, Helen Chuah Gaik Choon yang dilahirkan di Pulau Pinang dilantik menjadi Datuk Bandar Colchester.

Helen Chuah Gaik Choon, anak kelahiran Pulau Pinang yang dilantik menjadi Datuk Bandar Colchester. (Sumber : NST)

Datuk Mohd. Aris Ahmad meninggal dunia pada 16 Disember 1994 sewaktu berusia 61 tahun akibat serangan jantung. Beliau dikatakan tiba-tiba rebah di kediamannya di Chesire dan menghembus nafas terakhir setibanya di Leinghton Hospital. Jenazah Allahyarham Datuk Aris Ahmad disemadikan di  Tanah Perkuburan di Stoke-On-Trent, Staffordshire.

Rujukan:

Anak melayu dilantik datuk bandar di England (19 Mei 1989). Berita Harian.

Bekas datuk Bandar Winsford meninggal dunia (17 Disember 1994). Berita Harian.

Malaysian-born former mayor dies (17 Disember 1994). The New Straits Times.

Siblings proud of new mayor of Colchester (17 Mei 2011). The Star.



Thursday, February 27, 2014

Kisah Rolls Royce Sir Henry Gurney.

Oleh: Harith Faruqi Sidek


Sir Henry Lovell Goldsworth Gurney, Pesuruhjaya Tinggi British menemui ajal akibat serang hendap oleh komunis yang diketuai oleh Siu Mah pada 6 Oktober. Pada hari malang tersebut, Sir Henry Gurney bersama Lady Gurney dan Setiausaha Sulit beliau, D.J Staples bertolak dari Kuala Lumpur ke Bukit Fraser pada jam 10.45 pagi dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Rolls Royce model 1951, iaitu kenderaan rasmi Pesuruhjaya Tinggi British.

Setibanya di selekoh di sebatang jalan antara Kuala Kubu Baru - Pahang yang dikenali sebagai The Gap, kira-kira jam 1 tengahari, mereka telah diserang hendap. Dikatakan sebaik sahaja mereka dihujani peluru, Sir Henry Gurney telah bertindak keluar dari kereta, lalu cuba mencari arah tembakan dilepaskan, beberapa saat kemudian, beliau menjadi mangsa peluru yang dilepaskan oleh pengganas komunis.

Dalam kejadian berkenaan, kereta Rolls Royce berkenaan telah ditembusi 35 butir peluru. Setelah dibaiki, kereta berkenaan digunakan oleh Gabenor Pulau Pinang yang pertama, Raja Tun Uda mulai 1 September 1957 hingga 1967 sebelum diganti dengan sebuah kereta jenis Cadillac. Kini Rolls Royce yang lengkap dengan enjin bernombor RE8812 itu dipamerkan di Muzium Negeri Pulau Pinang.

Sumber:

Rolls Royce at http://www.penangmuseum.gov.my/museum/en/museum/blog/rolls-royce

Shukur Rahman (23 September 1983). Henry Gurney's Rolls Royce. The New Straits Times.

http://harithsidek.blogspot.co.uk/2013/05/pembunuh-sir-henry-gurney-siu-mah.html

Monday, February 17, 2014

'Restoran Rakyat': restoran kos rendah untuk rakyat.

Oleh: Harith Faruqi Sidek

Bangunan Restoran Rakyat dengan konsep minangkabau yang dibangunkan oleh DBKL.

Sebagai langkah meringankan beban rakyat, sebuah restoran ‘kos rendah’ telah dibuka pada tahun 1973, iaitu ketika negara mengalami krisis ekonomi yang pertama tahun 1973/74. Restoran yang terletak di Jalan Parlimen itu diberi nama ‘Restoran Rakyat’ dan dirasmikan pada 30 Ogos 1973 oleh Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, Tun Abdul Razak. Menurut Tun Razak, restoran berkenaan dibuka bagi membantu para pekerja yang berpendapatan rendah serta para pelawat dari luar bandar yang datang melawat Kuala Lumpur. 

Teks Ucapan Tun Abdul Razak di Majlis Perasmian Restoran Rakyat.

Dalam ucapan perasmiannya, Tun Razak menyebut bahawa restoran ini dibangunkan dengan kerjasama banyak pihak, antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertanggungjawab membina bangunan yang berkongsepkan minangkabau selain meja makan dan peralatan dapur. Pihak Lembaga Letrik Negara (kini TNB) pula membantu dengan kaedah mengenakan caj yang rendah atau secara concession, Lembaga Padi dan Beras Negara membekalkan beras dengan kadar yang murah. Kerajaan negeri Selangor pula membantu dari segi bantuan bekalan air dengan caj minima, selain bantuan dari individu, malah ada yang memberi bantuan berbentuk kereta bagi tujuan pengurusan restoran berkenaan.

Para pelanggan dikenakan caj yang sangat minima, sebagai contoh sarapan dengan nasi lemak hanya 20 sen, sementara pelanggan boleh menikmati juadah tengahari yang seimbang dengan lauk kari dan sayuran bernilai 80 sen sahaja. Hari pertama beroperasi, juadah yang disediakan di Restoran Rakyat ialah kari ikan, rending, kangkung, sambal belacan, ulam, asam laksa serta rojak. Pelanggan pertama Restoran Rakyat ialah perasminya, Tun Abdul Razak, beliau membayar sendiri makanan tengahari beliau itu yang bernilai 80 sen.

Kelihatan Tun Razak membayar sendiri juadah tengahari beliau yang bernilai 80 sen. (NSUNT, 26 Jun 2011)

Antara ciri unik restoran ini ialah, pelanggan tidak disediakan pinggan sepertimana kebiasaan sebuah restoran, sebaliknya menggunakan ‘tray’ atau dulang seperti yang digunakan di asrama sekolah. Bagi memastikan kewujudan Restoran Rakyat tidak menggugat perniagaan peniaga kecil seperti warung dan gerai makanan, Tun Razak mengarahkan agar operasi Restoran Rakyat dihadkan mulai pagi untuk sarapan sehinggalah waktu makan tengahari sekitar jam 3 petang. Isteri Perdana Menteri, Tun Rahah diberi tanggungjawab sebagai Presiden Restoran Rakyat yang sebelumnya digerakkan oleh jawatankuasa khas. Cawangan kedua Restoran Rakyat kemudiannya dibuka di Johor, laporan New Sunday Times bertarikh 26 Jun 2011 menyebut, beberapa Restoran Rakyat masih beroperasi pada ketika itu, cuma tidak dapat dipastikan adakah harga makanan yang dikenakan masih ‘mesra rakyat’.

Rujukan:

Tan Choe Choe (26 Jun 2011). Breakfast just 20sen, lunch 80sen. New Sunday Times.


Tun Abdul Razak. Ucapan Perdana Menteri di majlis perasmian Restoran Rakyat Kuala Lumpur pada 30hb Ogos 1973.

Saturday, February 15, 2014

Gimnasium Rakyat yang pertama di Malaysia.

Oleh: Harith Faruqi Sidek

Keratan akhbar The New Straits Times bertarikh 30 Disember 1988.

Gimnasium Rakyat yang pertama di negara ini terletak di Taman Tasik Perdana, ianya merupakan projek usahasama diantara Kementerian Belia dan Sukan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. KBS bertanggungjawab menyalurkan dana sebanyak RM50 ribu bagi peralatan gimnasium, sementara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur merupakan pemilik serta pengurus gimnasium ini. Yuran yang dikenakan bagi keahlian gimnasium ini amat rendah, iaitu diantara RM5 hingga RM20 (mengikut jenis keahlian). Malah pada hari ini terdapat Gimnasium Rakyat yang menawarkan yuran lebih rendah iaitu RM2.

Berdasarkan direktori Gimnasium Rakyat di Malaysia pada tahun 2012 yang disediakan oleh Kementerian Belia dan Sukan, terdapat 91 buah Gimnasium Rakyat telah beroperasi seluruh negara. Projek ini terbukti berjaya melahirkan ramai ahli sukan kebangsaan selain membantu dalam menggalakkan gaya hidup sihat dikalangan  komuniti setempat.


Rujukan:

For fitness buffs: first people's gymnasium to open next month (30 December 1988). The New Straits Times.

Gimnasium 1Malaysia jayakan gaya hidup sihat (17 Jun 2013). Sihar Harian.

Gimnasium rakyat perlu tapak baru(14 Ogos 2013). Sinar Harian.

Kementerian Belia dan Sukan. Direktori Gimnasium Rakyat di Malaysia. at http://www.kbs.gov.my/dokumen2012/direktoriGym.pdf ( akses pada  15 Februari 2014).

Monday, February 10, 2014

Murtabak Pak Din perintis francais kos rendah.

Oleh: Harith Faruqi Sidek



Selepas kejayaan ‘Sate Ria’, perniagaan berasaskan makanan tempatan secara francais yang seterusnya ialah ‘Murtabak Pak Din’. Murtabak Pak Din diusahakan oleh Shamsudin Lah yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan. Beliau memulakan perniagaan murtabaknya sekitar tahun 1978 di Kota Bahru, sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur dan membuka  warung di Kampung Pandan dan Pasar Keramat Dalam. Oleh kerana sambutan orang ramai yang menggalakkan, Pak Din telah membuka empat lagi cawangan warungnya. Melihatkan kejayaan serta kemasyuran murtabak Pak Din, Mara Holdings telah menawarkan program pengembangan perniagaan tersebut secara francais. 

Berbeza dengan ‘Sate Ria’ yang berkonsepkan restaurant, Murtabak Pak Din menggunakan konsep yang berkos rendah dan memadai diniagakan di warung atau gerai. Menurut Pak Din, resepi murtabaknya berasal dari Mekah dan beliau sendiri mempelajarinya dari salah seorang saudaranya, beliau tidak bersedia mendedahkan resepi berkenaan secara terperinci, sebaliknya memberi gambaran bahawa kelazatan murtabak beliau adalah hasil dari adunan daging, bawang serta rempah yang baik.


Pada 10 mac 1988, Perniagaan dengan label 'Murtabak Pak Din' secara francais telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Tajol Rosli Ghazali. Pakej francais yang ditawarkan oleh Mara Holdings bernilai RM3,500, kos ini termasuk yuran penyertaaan sebanyak RM200. Antara syarat yang terkandung ialah, Pak Din sendiri bertanggungjawab menyediakan inti murtabak, sementara Mara bertanggungjawab keatas perkhidmatan jualan, termasuk memastikan setiap peserta francais mematuhi piawaian yang ditetapkan. Para peringkat awal, Mara menawarkan 5 warung Murtabak Pak Din yang terletak di Bangsar, Bangi, Kajang dan Shah Alam (dua warung) selain 7 warung yang diusahakan sendiri oleh Pak Din yang terletak di Keramat, kampung Pandan, Medan Mara Kuala Lumpur, Cheras, Dayabumi, Sungai Besi dan Jalan P.Ramlee. Purata jualan keseluruhan pada ketika itu amat menggalakkan, kira-kira 3000 keping murtabak dapat dijual dalam sehari dari kesemua warung yang ada. Set hidangan Murtabak Pak Din mengandungi timun, bawang dan sos dan bermula dengan harga serendah RM1.20.



Seterusnya Mara telah bekerjasama dengan MARDI untuk menambah baik produk Murtabak Pak Din, iaitu dengan memanjangkan tempoh luput inti makanan berikut kepada seminggu, pada ketika itu inti dan kulit murtabak Murtabak Pak Din hanya bertahan selama 24 jam sahaja sebelum menjadi basi. Namun usahasama Pak Din dengan Mara Holdings tidak kekal lama, beliau mengambil keputusan membatalkan perjanjian dengan anak syarikat Mara itu dan meneruskan perusahaan Murtabak Pak Din mengikut kaedah dan perancangan beliau sendiri. Setelah ‘berpisah’ dari Mara Holdings, Murtabak Pak Din kemudiannya terus berkembang dan cawangannya dibuka di timur tengah iaitu di Kaherah, Madinah dan Jeddah (TST,2 May 1989). Namun ‘panas tidak sampai ke petang’, perniagaan Murtabak Pak Din menemui nasib yang sama seperti ‘Sate Ria’, kemunculan ramai pesaing yang dapat menghasilkan murtabak yang setanding kelazatannya dikatakan antara puncanya, malah seperti yang disebut oleh Wan Sabri Wan Hussin dalam bukunya ‘Etika dan Amalan Perniagaan’, perniagaan Murtabak Pak Din dikatakan mula merudum apabila salah seorang pekerjanya membocorkan ‘resepi rahsia’ Murtabak Pak Din kepada orang ramai (2004:p.72). 



Rujukan:

Francais Scheme to start off with Pak Din’s Murtabak (18 November 1987). The Straits Times.

Kamarulzaman Salleh. (22 Julai 1988). Pak Din Murtabak to go international. The Straits Times.

Kedai francais ala 7 eleven diperkenalkan.(24 Julai 1997), Utusan Malaysia

Pak Din scales new peak of success. (11 Mac 1988), New Straits Times.

Pak Din to sell his murtabak in M-East. (2 May 1989), The Straits Times.

Wan Sabri Wan Hussin. ‘Etika dan Amalan Perniagaan. Kuala Lumpur:Utusan Publication. 2004.

Wednesday, February 05, 2014

Suatu masa dahulu : Lesen TV dan Radio di Malaysia.

Oleh: Harith Faruqi Sidek



Suatu masa dahulu, rakyat Malaysia yang memiliki Radio atau Television perlu mempunyai lesen iaitu selari dengan akta penyiaran 1988 (Broadcasting Act). Bayaran bagi lesen TV adalah sebanyak RM24 setahun manakala lesen radio adalah lebih rendah, bagi kenderaan yang mempunyai radio sebagai aksesori, bayaran lesen sebanyak RM12 dikenakan. Urusan mendapatkan lesen radio dan TV ini dilakukan di pejabat Pos di seluruh negara.

Lesen yang dikeluarkan adalah berupa borang yang bertulisan tangan. Penggunaan TV atau radio tanpa lesen boleh menyebabkan pengguna didakwa di Mahkamah dan jika didapati bersalah mereka boleh dikenakan denda maksimum RM3000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.Pada Februari 1989, kerajaan mengumumkan pemansuhan lesen bagi radio diikuti dengan lesen TV pada tahun 1999 meskipun ianya bermakna kerajaan kehilangan anggaran pendapatan sekitar RM42 juta (NST, 3 November 1985). Pada peringkat awal pemansuhan ini dilaksanakan, kerajaan terpaksa membayar balik kepada pemilik lesen TV yang masih aktif pada ketika itu yang melibatkan kos melebihi RM270,000. 

Di United Kingdom, lesen TV masih dilaksanakan dengan caj sebanyak £145.50 setahun, pembayaran boleh dilakukan secara ansuran mingguan, bulanan atau tahunan.

Rujukan:


$42mil from tv licences next year. (3 November 1985) The New Straits Times.


2,600 radio, tv users get warning (24 Jun 1988), The New Straits Times.


Deadline for TV licence refund. (18 May 2000). Malay Mail 


Govt scraps fees for radio licence.(26 February 1989). The New Straits Times.


Lat’s .(14 February 1989). The Straits Times.


Lesen TV at http://bluesriders.blogspot.co.uk/ (access on 20 November 2013).


RM270,000 in TV fees refunded. (15 March 2000). Malay Mail


http://www.tvlicensing.co.uk/

Monday, January 27, 2014

Zul 'MacGyver' Malaysia dengan kereta 'Knight Rider' beliau.

Oleh: Harith Faruqi Sidek


Zulkifli Haron yang dikenali sebagai ‘MacGyver’ Malaysia mula dikenali ramai sekitar tahun 1988 apabila melengkapkan kereta Peugeot 404 beliau dengan beberapa aksesori diluar pasaran hasil inovasi beliau sendiri. Kereta Peugeot yang telah berusia 17 tahun itu kemudiannya mendapat jolokan ‘Knight Rider Malaysia’ kerana beberapa inovasi unik yang ada padanya. 

Antara ciri unik yang melengkapi kereta ini ialah enjinnya boleh dihidupkan dengan arahan suara, wiper akan berfungsi secara automatic apabila hujan, begitu juga jika tingkap terbuka ketika hujan, ia akan tertutup secara automatic. Selain daripada itu, kereta tersebut juga dilengkapi dengan sensor yang dapat mengawal kelajuan kereta bagi mengelakkan kemalangan selain alat keselamatan yang canggih pada ketika itu. Zulkifli Haron merupakan lulusan Institut Kemahiran Mara sebelum melanjutkan pelajaran ke Jepun, beliau kemudiannya menubuhkan syarikat Zull Design Autotronic Sdn Bhd yang beroperasi di Rawang, syarikat ini menghasilkan pelbagai inovasi mengikut permintaan pelanggan.

Rujukan:

Zulkifli Othman (4 Januari 1989), Cool Zul’s mechanical mania. The New Straits Times.

Zulkifli Othman (11 April1988), Zul starts racket to stop crime. The New Straits Times.

Zull Design Autotronic at: http://www.zulldesign.com.my/

Zull Design Youtube channel at: http://www.youtube.com/user/zulldesign11/videos