Saturday, November 22, 2014

Sulaiman Court (1958 - 1986) : Projek rumah pangsa pertama di Malaysia.

Oleh: Harith Faruqi Sidek



Sulaiman Court (Sumber gambar: Pertubuhan Akitek Malaysia, 1976.)

Projek pembinaan rumah pangsa yang pertama ialah Perumahan Awam Sulaiman Court yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Antara tujuan utama pembinaannya ialah sebagai penempatan semula penduduk di sekitar lembah kelang selain menangani masalah setinggan. Rumah pangsa 11 dan 4 tingkat tersebut dibina pada tahun 1957, dan mula didiami pada februari 1958. Sulaiman Court mempunyai 295 unit rumah yang dibahagi kepada tiga blok, iaitu Blok A, B dan C. Tingkat bawah Sulaiman Court terdapat unit-unit perniagaan yang menyediakan pelbagai keperluan untuk penghuni.
Pembinaan Sulaiman Court adalah ilham dari Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Housing Trust diberi amanah sebagai akitek bangunan ini. Mendiami bangunan yang tinggi pada ketika itu merupakan satu pengalaman yang asing bagi rakyat Malaysia, maka tidak hairanlah jika hanya 13 keluarga sahaja yang menjadi penghuni terawal Sulaiman Court. Sebagai langkah menarik penyewa, pihak pengurusan menawarkan pengecualian sewa bagi 6 bulan pertama. Pada tahun 1986, Sulaiman Court dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan pusat membeli belah SOGO.

Rujukan:
Charles Fernandez (21 August 2007) 200 former residents of Suleiman Court reminisce at gathering. The Star.
Guide to Kuala Lumpur Notable Buildings. Kuala Lumpur: Pertubuhan Akitek Malaysia, 1976. ( DS 599.K8.G84 - PTSL AM)
Pencetus projek rumah pangsa (30 Mac 2013). Utusan Malaysia.

Thursday, November 20, 2014

Globe Silk Store: Dari Segamat ke Kuala Lumpur

Oleh: Harith Faruqi Sidek





Pada tahun 1928, Tirathdas Jethenand berhijrah ke Malaya dari Sind, India (wilayah Sind kini dibawah Pakistan). Beliau yang pada ketika itu berusia 18 tahun hanya berbekalkan wang saku sebanyak RS500.

Dua tahun kemudian, Tirathdas Jethenand membuka perniagaan tekstil di sebuah rumah kedai di Segamat, Johor yang disewa dengan harga RM40 sebulan, perniagaannya itu dinamakan Globe Silk Store.  Pada tahun 1947, Globe Silk Store berpindah ke Batu Road, Kuala Lumpur sebelum mendiami wismanya sendiri di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Era kegemilangan Globe Silk Store mulai malap menjelang lewat 90an akibat kemelut kewangan yang meruncing. Akhirnya pada tahun 2007, Globe Silk Store ditutup dan diambil alih oleh pengurusan baru dengan nama Globe by Sarah Hughes.


Rujukan:

Lam Seng Fatt (2000). The Golden Mile, Insider's Kuala Lumpur. Kuala Lumpur:  Times Book International.

Pemilik Globe Silk Store diberi masa 48 jam bayar denda RM200,000 (25 Mei 2010) Berita Harian.

Supriya Singh (19 November 1980) Honesty Pays Off for Globe Silk Store owner. New Straits Times, p.8.