Thursday, August 16, 2012

Asal Usul nama Petaling dan beberapa kawasan sekitarnya


Oleh: Harith Faruqi Sidek


Peta Daerah Petaling (Sumber: google image)


Berdasarkan naskah 'Koleksi Cerita Asal Usul dan Sejarah daerah Petaling', dikisahkan sejarah bagaimana Daerah Petaling mendapat namanya, begitu juga dengan beberapa kawasan yang berada didalam jajahan daerah ini. Naskah yang terhad ini adalah terbitan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor

Antara Ketua Kampung yang menjadi rujukan penerbit dalam menghasilkan naskah ini.


1) Petaling

Daerah yang diwartakan pada 1 Februari 1974 ini mendapat namanya daripada pokok Petaling yang tumbuh dikawasan tersebut. Namun spesis tumbuhan ini dikatakan telah pupus.


2. Puchong

Pada asalnya kawasan ini berupa ladang getah dan lombong bijih dan namamya diberi bersempena nama 'Burung Puchong'. Antara bangunan lama di kawasan ini ialah Kuil Hindu yang telah berusia 125 tahun dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Han Ming yang telah dibuka pada tahun 1921.

3. Paya Jaras

Kawasan ini dibuka oleh orang minangkabau dari suku kaum Palimbayan. Nama kawasan ini diilhamkan berdasarkan keadaan mukabuminya yang berpaya, dan ianya digabungkan dengan nama pokok yang tumbuh dikawasan itu, iaitu 'Pokok Jaras'.Satu lagi versi mengatakan nama kawasan ini adalah bersempena dengan nama penerokanya, iaitu Pak Jarat. Pak Jarat dikatakan tinggal di kawasan yang berpaya lalu disebut orang hingga menjadi 'Paya Jaras'.

4. Kampung Kubu Gajah

Kawasan ini dibuka oleh suku kaum kerinchi yang berasal dari Sumatera. Kawasan ini mendapat namanya bersempena dengan kubu yang dibuat oleh para pemburu gajah. Dikatakan wujud lorong yang menjadi laluan gajah liar untuk ke ladang kelapa sawit yang berdekatan, iaitu Ladang Elmina.

5. Kampung Merbuk Sempak

Nama Merbuk Sempak dikatakan berasal dari 'Pokok Merbau' yang besar di kawasan itu. Oleh kerana saiznya yang besar, dahan pokok tersebut seringkali menjadi sempak atau patah. Selain daripada itu, pokok tersebut juga digeruni kerana dikatakan ber'penunggu'.

6. Kampung Sungai Plong

Nama kawasan ini berasal daripada pekataan 'Polong', iaitu sejenis hantu yang sering mengganggu  orang ramai. Polong tersebut dikatakan sering bergayut dan bertenggek di pokok-pokok besar di kawasan tersebut. Versi kedua pula mengaitkan pemberian nama kawasan ini berdasarkan palong yang dibina oleh pihak British bagi mengelakkan hakisan sungai di kawasan tersebut dari terus berlaku

7. Kampung Sungai Kayu Ara.

Kawasan ini diberi nama bersempena dengan 'Pokok Kayu Ara yang terdapat di kawasan tepi sungai.


8. Kampung Melayu Subang

Kawasan ini dibuka oleh orang jawa yang berhijarah dari seberang yang diketuai oleh Imam Abdul Hamid. Tempat ini mendapat namanya bersempena kisah orang asli yang menemui anting-anting atau subang wanita di hilir sungai Damansara dan Sungai pelumut.


9. Kampung Kenangan

Dibuka pada tahun 1960an, nama kawasan ini diberi hasil persetujuan 20 keluarga perintis yang mula-mula menduduki kawasan ini.

10. Damansara

Nama Damansara diambil dari kisah suami isteri yang bernama Deraman dan Sara yang berhijarah ke kawasan itu untuk membaiki taraf hidup mereka. Tidak dalam selepas membuat penempatan disitu, Sara jatuh sakit lalu meninggal, Deraman kemudiannya telah mengebumikan isterinya di kawasan tersebut.

11. Kampung Batu tiga

Asalnya kawasan ini dikenali sebagai Kampung Melayu Kebun Bunga dan dibuka pada tahun 1970an oleh pekerja kilang gula dan estet. Kira-kira 3 batu dari kampung tersebut terdapat sebuah pelabuhan dagang yang aktif. Dikisahkan pada pedagang telah menjadikan kampung tersebut tempat simpanan barang dagangan mereka sebelum dibawa ke pelabuhan, lalu dengan mengambil kira jarak diantara pelabuhan dengan kampung yang sejauh tiga batu itu, maka namanya diabadikan sebagai nama baru kampung tersebut.

12. Kampung Bukit lanchong

Kawasan ini telah wujud sejak tahun 1914 lagi. Kampung Bukit Lanchong mendapat nama sempena peranannya sebagai tempat persinggahan orang ramai yang dalam perjalanan diantara Kelang dengan Kuala Lumpur, mereka singgah dan seolah-olah melancong di kawasan ini. Maka lama kelamaan tempat ini disebut orang sebagai Bukit Lanchong.

13. Kampung Padang Jawa

Kampung ini adalah antara kampung tertua yang terdapat didalam daerah Petaling dan telah wujud sejak tahun 1880 lagi. Kawasan ini dibuka oleh dua beradik, iaitu Tok Mohd Tahir dan Tok Pakar. Tidak dapat dipastikan bagaimana nama 'Padang Jawa' itu diberikan, tetapi dipercayai ada kaitannya dengan masyarakat berketurunan jawa yang secara majoriti mendiami kawasan tersebut.

14. Bukit Cerakah

Bukit Cerakah telah diterokai dalam tahun 1920an oleh orang-orang jawa, tetapi nama Cerakah itu tidak dapat dipastikan asal usulnya. Namun ada versi yang mengatakan Bukit Cerakah itu berasal dari sebutan Bukit Cilakak yang disebut oleh komunis yang bersembunyi di kawasan bukit tersebut. Dikisahkan sewaktu mereka pergi ke kampung untuk mendapatkan bekalan makanan dan sebagainya, bila ditanya asal mereka, komunis ini akan menyebut nama 'Bukit Cilakak'. Nama yang disebut komunis tadi akhirnya menjadi Bukit Cherakah, iaitu sepertimana sebutan masyarakat kampung di kawasan tersebut.

15. Kampung Budiman

Kampung ini telah dibuka pada awal 1930an oleh Ketua Kampung Meru, Tuan Haji Mohd Shariff. Kampung ini mempunyai nama lain sebelumnya, iaitu Kampung Jalan Paip dan Kampung Terkurung. Ianya mula dinamakan Kampung Budiman sekitar tahun 1960an, nama ini diberi sempena suasana harmoni yang wujud dikalangan penduduk kampung pada ketika itu.


Buku yang menjadi rujukan
Rujukan

Koleksi Cerita Asal Usul dan Sejarah Daerah Petaling. (2007). Shah Alam: Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor.
 ( 8 DS 599.P48.K65 - Koleksi Am, Perpustakaan Alam dan Tamadun Melayu, UKM).

7 comments:

صلح الدين ن said...

assalam.... mohon share...

Cik Fynaz said...

salam..mohon share info yea tuan..

Harith Faruqi Sidek said...

salam,

Silakan Cik Fynas..

Anonymous said...

Salam.
Tumpang tanya, mana saya boleh dapat buku ini sebagai rujukan ya? Adakah buku ini terdapat di perpustakaan negara?

Harith Faruqi Sidek said...

Salam,

Buku ini terdapat didalam koleksi Perpustakaan Institut Alam dan Tamadun Melayu (PATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Carian dalam katalog Perpsutakaan negara malaysia tidak menemui bahan ini didalam koleksi mereka.

Anan Azri said...

good info. terima kasih

Mohd Syafie said...

dukan Damansara nama asalnya iala Damar Sara