Monday, February 17, 2014

'Restoran Rakyat': restoran kos rendah untuk rakyat.

Oleh: Harith Faruqi Sidek

Bangunan Restoran Rakyat dengan konsep minangkabau yang dibangunkan oleh DBKL.

Sebagai langkah meringankan beban rakyat, sebuah restoran ‘kos rendah’ telah dibuka pada tahun 1973, iaitu ketika negara mengalami krisis ekonomi yang pertama tahun 1973/74. Restoran yang terletak di Jalan Parlimen itu diberi nama ‘Restoran Rakyat’ dan dirasmikan pada 30 Ogos 1973 oleh Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, Tun Abdul Razak. Menurut Tun Razak, restoran berkenaan dibuka bagi membantu para pekerja yang berpendapatan rendah serta para pelawat dari luar bandar yang datang melawat Kuala Lumpur. 

Teks Ucapan Tun Abdul Razak di Majlis Perasmian Restoran Rakyat.

Dalam ucapan perasmiannya, Tun Razak menyebut bahawa restoran ini dibangunkan dengan kerjasama banyak pihak, antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertanggungjawab membina bangunan yang berkongsepkan minangkabau selain meja makan dan peralatan dapur. Pihak Lembaga Letrik Negara (kini TNB) pula membantu dengan kaedah mengenakan caj yang rendah atau secara concession, Lembaga Padi dan Beras Negara membekalkan beras dengan kadar yang murah. Kerajaan negeri Selangor pula membantu dari segi bantuan bekalan air dengan caj minima, selain bantuan dari individu, malah ada yang memberi bantuan berbentuk kereta bagi tujuan pengurusan restoran berkenaan.

Para pelanggan dikenakan caj yang sangat minima, sebagai contoh sarapan dengan nasi lemak hanya 20 sen, sementara pelanggan boleh menikmati juadah tengahari yang seimbang dengan lauk kari dan sayuran bernilai 80 sen sahaja. Hari pertama beroperasi, juadah yang disediakan di Restoran Rakyat ialah kari ikan, rending, kangkung, sambal belacan, ulam, asam laksa serta rojak. Pelanggan pertama Restoran Rakyat ialah perasminya, Tun Abdul Razak, beliau membayar sendiri makanan tengahari beliau itu yang bernilai 80 sen.

Kelihatan Tun Razak membayar sendiri juadah tengahari beliau yang bernilai 80 sen. (NSUNT, 26 Jun 2011)

Antara ciri unik restoran ini ialah, pelanggan tidak disediakan pinggan sepertimana kebiasaan sebuah restoran, sebaliknya menggunakan ‘tray’ atau dulang seperti yang digunakan di asrama sekolah. Bagi memastikan kewujudan Restoran Rakyat tidak menggugat perniagaan peniaga kecil seperti warung dan gerai makanan, Tun Razak mengarahkan agar operasi Restoran Rakyat dihadkan mulai pagi untuk sarapan sehinggalah waktu makan tengahari sekitar jam 3 petang. Isteri Perdana Menteri, Tun Rahah diberi tanggungjawab sebagai Presiden Restoran Rakyat yang sebelumnya digerakkan oleh jawatankuasa khas. Cawangan kedua Restoran Rakyat kemudiannya dibuka di Johor, laporan New Sunday Times bertarikh 26 Jun 2011 menyebut, beberapa Restoran Rakyat masih beroperasi pada ketika itu, cuma tidak dapat dipastikan adakah harga makanan yang dikenakan masih ‘mesra rakyat’.

Rujukan:

Tan Choe Choe (26 Jun 2011). Breakfast just 20sen, lunch 80sen. New Sunday Times.


Tun Abdul Razak. Ucapan Perdana Menteri di majlis perasmian Restoran Rakyat Kuala Lumpur pada 30hb Ogos 1973.

3 comments:

shahrilhakime said...

kalo le ada lagi Restoran Rakyat camni yang betoi2 murahh.... mmg kompem penuh le sekaghang ni...

Harith Faruqi Sidek said...

tu le yeop D_08..ade pulok wifi pree...pakai duduk tak bangkit2 le deme..

Anonymous said...

kenapa tutup?