Pada 22 Februari 1992, Menteri
Penerangan Malaysia, Datuk Mohamed Rahmat telah mengumumkan artis lelaki yang
berambut panjang melepasi paras bahu diharamkan dari membuat persembahan atau
muncul di kaca televisyen nasional. Tindakan ini menyebabkan ramai artis lelaki
akur dan mengorbankan rambut mereka bagi meneruskan perjuangan seni mereka,
namun berbeza pula pendirian dua kumpulan rock gergasi di Malaysia pada ketika
itu, Search dan Wings. Kedua kumpulan ini enggan menuruti syarat yang dikenakan
dan rela tidak muncul di kaca televisyen dan hanya bergantung pada persembahan
pentas yang pada ketika itu tidak kurang lumayannya. Tambahan pula, imej berambut panjang sudah
sebati dengan penampilan mereka sejak sekian lama dan bersesuaian dengan genre
muzik rock yang mereka bawakan.
Namun segalanya berakhir pada
tanggal 1 November 1992, apabila anggota kumpulan Search dan Wings setuju
mengorbankan rambut panjang mereka sebagai syarat untuk muncul di televisyen
dan radio nasional. Pada hari berkenaan, upacara simbolik ‘memotong rambut’
bagi anggota Search dan Wings telah dilakukan oleh Datuk Mohamed Rahmat sendiri
selaku Menteri Penerangan. Upacara yang
disiarkan secara langsung melalui slot rancangan ‘Selamat Pagi Malaysia’ itu
menyaksikan Amy (Search) dan Awie (Wings) telah dipotong rambut mereka sebagai
simbolik mewakili anggota kumpulan yang lain. Tindakan ‘mengalah’ ini adalah
bagi mengekalkan populariti semasa, kumpulan Search sebagai contoh mendapati
penjualan album ‘Rampage’ mereka yang terbit pada ketika itu menunjukkan
prestasi jualan yang agak perlahan selepas melepasi angka jualan 100,000 unit
(NST, 29 Disember 1992). Peristiwa ini bukan sahaja mendapat liputan media
tempatan, tetapi juga media luar negara.
Sumber:
Haircut ends rock group band (2 November 1992), Times Daily.
Long and short of it is, the ban’s over (2 November 1992),
Saratossa Herald-tribune
Malaysian official to cut rockers’ hair (16 October 1992),
Spartanburg Herald-Journal.
R.S Murthi (29 Dicember 1992). Predictable strain in Malaysian
music, New Straits Times.
Rock star gets hair cuts (17 October 1992), The Tuscaloosa
News.
Rockers to get clipped on live tv. (16 October 1992), Sun
Journal.
Rockers to get trim. (16 October 1992), Lodi News-Sentinel.
Short haired rock idol (2 November 1992), Lodi
News-Sentinel.
No comments:
Post a Comment