Saturday, October 27, 2012

Penubuhan Perpustakaan Awam Negeri Melaka dalam era Pentadbiran Negeri-negeri Selat.

Oleh : Harith Faruqi Sidek



Bangunan Stadhouse (Stadhuys) yang menempatkan Perpustakaan Awam terawal di Melaka. (Sumber : TST, 17 May 1936).



Penubuhan Negeri-negeri Selat adalah kesan daripada perjanjian Inggeris – Belanda pada 1824, ianya menyaksikan pentadbiran negeri-negeri di Tanah Melayu dibahagi diantara dua kuasa penjajah tersebut. Negeri-negeri di utara di bawah pentadbiran Inggeris, sementara negeri di Selatan terletak dibawah pentadbiran Belanda. Perjanjian tersebut juga melihatkan Belanda menyerahkan Melaka kepada Inggeris sebagai pertukaran dengan Bangkahulu di Sumatera  yang asalnya milik Inggeris, selain daripada itu, Belanda juga bersetuju mengiktiraf kuasa autonomi inggeris keatas Singapura.

Kesan kedatangan inggeris ke negeri-negeri selat dapat dilihat sehingga ke hari ini, selain nama-nama inggeris yang diabadikan di penempatan dan bangunan, mereka turut meninggalkan jejak yang memberi kesan kepada tradisi keilmuan di Tanah Melayu. Institusi Perpustakaan adalah lambang perkembangan dan pembudayaan ilmu, maka agak menarik bila institusi ini mula dikesan wujud sejak Tanah Melayu berada dibawah pentadbiran Inggeris. Dalam tempoh pentadbiran negeri-negeri selat mulai 1826 hingga 1946, beberapa perpustakaan telah diwujudkan, termasuk perpustakaan sekolah, namun yang akan dikongsikan dalam penulisan ini ialah mengenai tertubuhnya perpustakaan awam yang pertama di Melaka.

Perpustakaan Melaka dikatakan telah ditubuhkan sekitar bulan November 1881 dengan inisiatif sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh C.J Irving. Pada peringkat awal, perpustakaan ini ditempatkan di sebuah rumah rehat sebelum dipindahkan ke bangunan Stadthuys atau disebut juga sebagai Stadthouse. Kos pembangunan yang diperolehi dari hasil sumbangan adalah sekitar $598 (The Straits Times, 17 Mei 1936:10). Tetapi laporan Straits Times Overland Journal bertarikh 12 November 1881 melaporkan rentetan tertubuhnya Perpustakaan Awam Melaka bermula dengan satu mesyuarat yang diadakan pada hari sabtu, 11 november 1881 di Court House yang khusus bagi membincangkan cadangan menubuhkan sebuah perpustakaan di negeri itu, iaitu sepertimana perpustakaan yang lebih awal wujud di Singapura dan Pulau Pinang. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pemangku Residen Councillor, D.F.A Harvey itu telah sebulat suara menerima usul penubuhan Perpustakaan Awam Melaka yang dibaca oleh C.W. Rodyk dan disokong oleh W. Rodyk. Mesyuarat tersebut juga bersetuju bahawa panduan dan peraturan perpustakaan yang akan digunapakai kelak adalah diambil atau diubahsuai daripada yang sedang dilaksanakan di Raffles’s Library, Singapura. Selain dana awam yang telah terkumpul sebanyak $611, mesyuarat juga memohon jawatankuasa penubuhan perpustakaan melaka yang akan diwujudkan memohon bantuan kewangan tambahan selain ruang di mana-mana bangunan kerajaan untuk menempatkan perpustakaan tersebut kelak. Ahli jawatankuasa penubuhan Perpustakaan Melaka yang telah dilantik dalam mesyuarat tersebut ialah:

President : D.F.A Hervey (Pemangku Residen Councillor di Melaka)
Bendahari : J.K Birch (Mejistret jabatan Polis Melaka)
Setiausaha: C.W Rodyk (Pengetua Sekolah Tinggi Melaka)
Ahli:       J.H Verge
                Tan Tek Guan
                A.J Collier
                Lee Keng Liat
                A.A De Wind
                Lee Teck Joo
                W.Rodyk
                Americo De Souza
                B. Gastelow
               

Agak menarik juga bila mendapati terdapat nama rakyat tempatan dalam mesyuarat penubuhan tersebut, selain Tan Tek Guan dan Lee Keng Liat yang terpilih menganggotai Jawatankuasa Penubuhan Perpustakaan Melaka, nama Yeo Kim tee turut dilaporkan dalam laporan akhbar tersebut. Perpustakaan ini dipercayai yang ketiga wujud di Malaya, iaitu selepas Perpustakaan Pulau Pinang dan Raffles Library di Singapura yang ditubuhkan pada 1817 dan 1874.

Mulai disember 1881, perpustakaan ini telah mempunyai koleksi bahan bacaannya yang terawal, bahan tersebut ialah majalah Chatterbox, Every Boy’s Magazine, Every Girl’s Magazine, Family Herald, Fun and Almanack, Gentleman’s Magazine, Good Words and Christian Number dan Myra’s Journal. Kebanyakkan bahan ini dilbekalkan oleh pembekal luar Negara, khususnya dari United Kingdom.
Contoh Majalah "Chatterbox" (Sumber : library.unt.edu)


Contoh Majalah "Everyboy's Magazine" (Sumber : http://www.philsp.com/data/data132.html)
Jawatan tertinggi dalam struktur organisasi Perpustakaan Melaka ialah Presiden, ianya disandang oleh Charles John Irving, beliau merupakan bekas pegawai di Colonial Office Land and Emigration Department, Resident Councillor di Melaka sebelum bersara sebagai Resident Councillor di Pulau Pinang. Perpustakaan Melaka tertubuh adalah hasil inisiatif beliau sewaktu masih memegang jawatan sebagai Resident Councillor di Melaka, pada masa itu juga beliau diamanahkan jawatan Presiden kepada jawatankuasa Perpustakaan. Kakitangan terawal perpustakaan ini ialah Norman Symons, beliau dilantik menjalankan tugas sebagai seorang pustakawan dengan gaji $20 sebulan. Jawatankuasa perpustakaan kemudiannya melantik dua orang peon (pembantu pejabat) dengan gaji $6 sebulan.

Akibat masalah belanjawan yang terhad, jawatankuasa perpustakaan Melaka terpaksa merombak semula perjawatan, mereka telah menamatkan khidmat Norman Symons selaku pustakwan, tempat beliau digantikan dengan seorang kerani yang menerima gaji sebanyak $10 sebulan, sementara seorang peon turut diberhentikan , tetapi kemudianya digantikan dengan membuat pengambilan baru dengan tawaran gaji permulaan yang lebih rendah iaitu $2 sebulan.

Laporan mesyuarat agung jawatankuasa perpustakaan pada januari 1887 menunjukkan perpustakaan Melaka telah mempunyai koleksi buku sebanyak 1,129 naskah, sementara rekod pengunjung pula adalah melebihi 200 orang sebulan. Sementara bacaan popular adalah akhbar The Straits Times dan The Singapore Free Press. Perpustakaan Melaka juga telah mempunyai keahlian berdaftar seramai 40 orang yang kebanyakkannya terdiri dari pegawai tinggi British, antaranya Pendaftar Mahkamah Melaka, Charles Eugene Velge dan Seorang peguam terkemuka, R.W Braddell, dan yang menariknya terdapat dua nama rakyat tempatan yang tercatat dalam rekod keahlian tersebut, mereka ialah Lee Tek Joo dan Lee Tek Guan.

Akhbar Singapore Free Press merupakan bahan bacaan yang popular pada ketika itu.

Diantara tokoh era colonial yang pernah menganggotai Jawatankuasa Perpustakaan Melaka ialah Sir Ernest W. Birch, beliau adalah anak kepada J.W.W Birch, Residen British yang mati dibunuh di Perak. E.W Birch pernah berkhidmat sebagai Residen British di Labuan, Gabenor British di Borneo Utara dan Residen di Negeri Sembilan. Beliau menyertai Jawatankuasa Perpustakaan Melaka pada mac 1888. Selain Birch, tokoh lain yang turut menganggotai Jawatankuasa Perpustakaan Melaka ialah Dr. G.W Freer (Pakar Bedah di Melaka, kemudiannya menjadi Pengarah Hospital Pulau Pinang dan pada 1905 dilantik menjadi Pengetua Pertama Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura), E.C Broadrick (Presiden Perbandaran Singapura) dan J. Howell (Pengetua Sekolah Tinggi Melaka).

Sewaktu dibawah Rev. Frank Haines, Perpustakaan Melaka telah cuba memperkenalkan waktu pembukaan baru yang lebih panjang. Sepanjang waktu percubaan, Perpustakaan telah dibuka mulai jam 6 pagi sehingga 7 malam dari isnin hingga jumaat dan 10 pagi hingga 5 petang pada hari ahad. Namun waktu percubaan ini ternyata tidak berkesan dan lebih sulit lagi dari sudut pengurusan, lalu ianya ditolak oleh jawatankuasa. Pada tahun 1901, akibat belajawan yang semakin susut, Pengurusan terpaksa memberhentikan seorang Peon yang juga merupakan kakitangan mereka yang terawal. Peon tersebut telah diberi gratuiti sebanyak $25 bagi menghargai perkhidmatannya selama 20 tahun di Perpustakaan Melaka.

Pada tahun 1902, Perpustakaan Melaka telah membuat perancangan penjimatan iaitu dengan membeli buku terpakai dari Raffles Library di Singapura dengan harga $1.25 senaskah. Raffles Library juga telah memperkenalkan perkhidmatan pinjaman antara perpustakaan dengan bayaran sebanyak $5 untuk 30 volume bagi setiap penghantaran.

Perpustakaan Melaka dikatakan berada dalam tempoh perkhidmatan terbaiknya diantara tahun 1927 hingga 1930 dengan beberapa penambahbaikan dari segi frasarana. Perpustakaan mula membuat perolehan judul-judul buku fiksyen dan non-fiksyen yang terkenal, Ruang bacaan juga telah dilengkapi dengan kipas angin selain memperkenalkan koleksi remaja dengan bantuan dana kerajaan sebanyak $600. Kad indeks pengarang juga telah diperkenalkan oleh H.W Haworth dan telah digunapakai mulai pada tahun 1930.

Menjelang tahun 1936, koleksi Perpustakaan Melaka telah mencapai 6000 naskah, antara bahan yang menarik ialah memoir Sir Stamford Raffles, buku karangan Sir Stamford Raffles tentang sejarah negeri Jawa, Sejarah Sumatra oleh Mardsen dan Anecdotal History of Singapore oleh Buckley. Perpustakaan Melaka juga telah dipindahkan ke dua buah bilik yang agak besar ditingkat atas bangunan Stadhouse (Stadhuys) dengan pemandangan yang mengadap sungai dan binaan Air Pancut Queen Victoria. Disebelah Perpustakaan, adalah bilik yang dikhusukan untuk Persatuan Sejarah Negeri Melaka, ianya umpama galeri yang menempatkan banyak khazanah bersejarah negeri Melaka. Berdasarkan gambaran yang dilaporkan dalam artikel tersebut, Ruang yang pernah menjadi Perpustakaan Melaka itu kini dipercayai adalah ruang yang sama dimana beberapa muzium dan galeri yang ditempatkan di bangunan Stadthuys kini. Perpustakaan itu kemudiannya telah dinamakan sebagai Henry Gurney Memorial Library.


Bangunan Stadhuys kini.... ( Sumber : http://www.cuti.my)




Rujukan:


________ ( 12 November 1881). Library for Malacca, Straits Times Overland Journal. p. 3

A.L Hoops. (17 May 1936). History of Malacca Library. The Straits Times. P.10

Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka. (http://www.perpustam.gov.my/index.php/infokorporat/kronologi)

Thursday, October 18, 2012

S.Kadarisman : Dari Penjilid Buku ke Sutradara...

Oleh : Harith Faruqi Sidek



Pak Kadar atau S. Kadarisman adalah diantara bintang layar perak tanahair yang bisa menambat hati setiap kali beraksi. S.Kadarisman adalah nama pentas bagi pemilik nama asalnya, Shadat Kadarisman bin Raden Deswaren Ambiak, namun beliau lebih senang dikenali sebagai Shadat Kadarisman bin Haron. Pak Kadar dilahirkan di Singapura pada tahun 12 Mei 1921, beliau merupakan anak kedua dari lima orang adik beradik dalam keluarga yang  berasal dari Kendal, Jawa Tengah. Pak Kadar mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Glam, kemudiannya di Rangoon English School, Victoria School sebelum memasuki sekolah aliran agama di Sekolah Arab Alsagoff di Singapura.


Sebelum bergelar anak seni sepenuh masa, Pak Kadar memasuki alam pekerjaan sebagai Penjilid Buku di MPH ( ketika itu Malayan Publishing House) dengan gaji sembilan ringgit sebulan, kemudiannya beliau memasuki perkhidmatan Tentera Laut British. Pak Kadar telah mula berjinak-jinak dengan dunia seni melalui pementasan opera ketika umurnya menjejak 17 tahun, menariknya kegiatan ini dilakukan secara separuh masa, iaitu dimaktu malam ketika meskipun ketika masih bekerja di MPH dan Tentera Laut British. Meskipun menerima bayaran serendah 20 sen bagi setiap persembahan, Pak Kadar tetap meneruskan minatnya itu dan beliau gembira bergelar anak seni. Pengalaman pahit beliau sewaktu menjadi pelakon bangsawan adalah apabila dibawa mengadakan persembahan di Baling, Kedah, tanpa disangka kawasan tersebut telah dilanda banjir lalu tiada pementasan dapat dibuat. Memandangkan upah yang diterima adalah setiap kali lepas persembahan, maka tanpa persembahan tiadalah juga upah untuk dirinya dan krew-krew yang terlibat. Pak Kadar menceritakan dalam satu temuramah, beliau terpaka makan kulit roti yang dibuang oleh peniaga malabari dengan bersulamkan air paip selama tiada persembahan, kesannya beliau mendapat penyakit gastrik yang berpanjangan. Penderitaan beliau berakhir apabila kenalan yang datang dari Kupang membuat kutipan khas untuk beliau, dengan duit kutipan itulah Pak Kadar balik ke Singapura dengan Bas dan tidak lagi melibatkan diri dengan persembahan pentas secara jelajah, cukup hanya sekitar Singapura sahaja.

Tahun 1950, ketika usia beliau mencecah 30 tahun, Pak Kadar mendapat tawaran membintangi filem sulung beliau, Perkahwinan Rahsia. Kehebatan produksi di Jalan Ampas telah menggamit Pak Kadar untuk turut serta dalam karya-karya yang terhasil dari Studio Jalan Ampas, maka dari situlah beliau digandingkan dengan nama-nama besar filem melayu, seperti P.Ramlee, Aziz Sattar, Aziz Jaafar, Haji Mahadi, Saadiah, Roseyatimah dan lain-lain. Antara filem-filem lakonan beliau yang terkesan ialah, Tiga Abdul, Antara Dua Darjat, Ali Baba Bujang Lapok dan Seniman Bujang Lapok. Malah sewaktu di Jalan Ampas, Pak Kadar dikatakan pernah menjadi pelakon yang menerima gaji paling tinggi pada satu ketika, meskipun tidak penah diberi watak utama, tetapi kebolehan beliau menjiwai pelbagai watak yang diberikan menyebabkan beliau sangat "laku" dikalangan pengarah filem.

Selain berlakon dan mengarah, Pak Kadar juga mempunyai bakat dalam bidang penulisan, bakat tersebut beliau curahkan sewaktu menjadi penulis sambilan dalam Majalah Bintang Filem keluaran Melayu Raya Press Company. Jika menulis artikel yang agak kontroversi tentang dunia perfileman, Pak Kadar akan menggunakan nama samaran "Burung Hantu", ianya terpaksa dilakukan demi menjaga hubungan harmoni antara dirinya dengan warga seni yang lain, antara kritikan pedas yang beliau lontarkan ialah sikap primadona pelakon baru, pelakon yang masuk dunia seni dengan tujuan yang salah, pelakon yang menggunakan kedudukan untuk membawa kenalan masuk berlakon (meskipun tidak berbakat langsung), skandal sosial dan sebagainya.


Ketika peristiwa "Natrah" berlaku di Singapura, Pak Kadar telah bertindak menganjurkan aktiviti pementasan khusus bagi mengutip dana buat Natrah Adabi atau nama asal beliau, Maria Hertogh yang pada masa sedang menanti keputusan mahkamah bersabit hak penjagaan. Pak Kadar pada masa itu masih aktif sebagai pelakon bangsawan bersama Sri Kembangan Opera.

Laporan akhbar tentang usaha S. Kadarisman membantu mengutip dana bagi Natrah ( The Singapore Free Press, 24 November 1950: 5)
Panas yang disangkakan hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari, kehebatan Studio Jalan Ampas akhirnya runtuh, lalu Pak Kadar terpaksa berhijarah ke Kuala Lumpur demi meneruskan kerjaya seni beliau. Ketika di Kuala Lumpur, Pak Kadar lebih berperanan sebagai pengarah, lalu pada era inilah beliau dikatakan orang yang bertanggungjawab menaikkan pelakon - pelakon baru seperti Latiff Borgiba, Noor Azizah, Hussein Abu Hassan serta ramai lagi. Namun suasana di Kuala Lumpur tidak semeriah di Jalan Ampas, Pak kadar terpaksa akur dengan suasana itu, beliau pulang ke Singapura setelah khidmat beliau tidak lagi ditagih oleh pembikin filem di Kuala Lumpur. Sepanjang penglibatan beliau dalam dunia perfileman, Pak Kadar telah membintangi lebih 70 buah filem, selain turut mengarahkan 25 buah filem.Pengiktirafan yang dianugerahkan kepada Pak Kadar bagi menghargai sumbangan beliau dalam dunia seni ialah, Tokoh Bangsawan serta Anugerah Pelakon Veteran yang beliau terima di Festival Filem Malaysia ke-7.

Keratan akhbar pencarian pelakon wanita untuk membintangi filem "Hutang Darah", Pak Kadar adalah pengarah filem berkenaan ( Berita Harian, 27 Oktober 1971: 9)

Pak Kadar meninggal dunia pada hari Khamis, 16 Februari 1989 ketika berusia 68 tahun di kediaman beliau di Blok 759, Yishun Ring Road, Singapura.Seperti yang dilaporkan oleh wartawan Mardiana Abu Bakar dalam The Straits Times bertarikh 23 Februari 1989, Pak Kadar dikatakan sedang makan malam bersama keluarga beliau kira-kira jam 9 malam, sebelum tiba-tiba diserang sesak nafas dipercayai serangan jantung, lalu rebah dan menghembuskan nafas terakhir diatas pangkuan salah seorang anakanda lelaki beliau, Nazaruddin. Jenazah Pak Kadar disemadikan di Pusara Aman, sebuah perkuburan islam di Singapura, beliau meninggalkan sepuluh orang anak, isteri beliau Fatimah Khairuddin telah terlebih dahulu menemui ilahi setahun sebelumnya.


Rujukan :


S. Kadarisman meninggal. (17 Februari 1989). Berita Harian, p.1

Mohd Yusoff Ahmad, Chairul Fahmy Hussainy (Transc.), Nur Azlin Salim (ed.) . (1986) Wawancara dengan Encik Shadat Kadarisman bin Haron. 1 Mei 1986.  CORD, The Oral History Centre, National Archives of Singapore (http://cord.nhb.gov.sg/cord/public/internetSearch/index.jsp).

Malay actors to help Maria (24 November 1950), The Singapore Free Press. p. 5

NewspaperSG, National Library of Singapore. at: http://newspapers.nl.sg.

Studio Merdeka chari pelakon wanita(27 October 1971). Berita Harian,  p.9

 'Fitnah' tutup peluang Kadarisman arah filem. (2 October 1983). Berita Harian, p. 7

Kadarisman pernah terima gaji paling 'top'. (29 October 1986). Berita Harian, p. 5

Pak Kadar utamakan disiplin (19 February 1989). Berita Harian, p.8.

Wednesday, October 10, 2012

Penubuhan UKM: Pencarian Kakitangan Perintis...

Oleh : Harith Faruqi Sidek


Universiti Kebangsaan Malaysia telah ditubuhkan secara rasminya pada 18 Mei 1970, dan ianya beroperasi dalam bulan yang sama di kampus sementaranya, iaitu di Maktab Perguruan Persekutuan di Lembah Pantai. Penggunaan premis tersebut dilakukan setelah 80 orang pelatih tahun dua maktab berkenaan dipindahkan ke Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bharu. Dalam pentadbiran mana-mana organisasi sekalipun, modal insan adalah modal yang utama, justeru bagi UKM, pengambilan modal insan perintis bagi UKM perlu dilaksanakan.


Sebaik sahaja kerajaan bersetuju untuk menubuhkan sebuah universiti kebangsaan, jawatankuasa penubuhan universiti kebangsaan yang dipengerusikan oleh Tun Syed Nasir telah memohon kerajaan memilih segera  calon-calon yang bakal mengisi jawatan Naib Canselor dan Pendaftar  bagi universiti tersebut.  Selain daripada itu, program latihan bagi bakal pensyarah juga perlu dilaksanakan dengan segera, ianya bagi memastikan mereka sudah terlatih untuk mengajar bakal pelajar perintis UKM. Kumpulan pertama tutor yang dihantar ke luar negara bagi melanjutkan pengajian adalah seramai 8 orang, pada masa yang sama, 2 orang pensyarah telah terlebih dahulu dihantar ke luar negara atas tujuan yang sama,  mereka ialah;



Bil
NamaTutor
Jawatan
Bidang
Tempat Pengajian
1
Muhammad Haji Salleh
Pensyarah
Bahasa
Michigan, A.S
2
Ariffin Suhaimi
Pensyarah
Kajihayat
Reading, UK
3
Othman Abu Bakar
Tutor
Sains
London, UK
4
Najib Sheikh Mahmood
Tutor
Sains
London, UK
5
Mokhtar Bidin
Tutor
Sains
Newcastle-Upon Tyne, UK
6
Khalijah Salleh
Tutor
Sains
Kent, UK
7
Baharuddin Yatim
Tutor
Sains
Kent, UK
8
Mustafar Hj. Jar
Tutor
Kajihayat
Northwestern Illnois, A.S
9
Nik Abdul Rashid Ismail
Tutor
Ekonomi
Indiana, A.S
10
Syed Othman Husein Alhabshhi
Tutor
Ekonomi
Wisconsin , A.S














Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh

Prof. Dato' Dr. Baharuddin Yatim

Allahyarham Prof. Dr. Khalijah Salleh

Allahyarham Prof. Datuk Dr. Nik Abdul Rashid Ismail

Datuk Dr. Syed Othman Alhabsi


Desakan agar pemilihan Naib Canselor dan Pendaftar UKM dibuat segera. (TST, 11 September 1968).

Kerajaan kemudiannya melantik Tan Sri Rashdan Baba sebagai Naib Canselor UKM yang pertama, dan Tun Abdullah Salleh, selaku pendaftar yang pertama. Tan Sri Rashdan Baba dan Tun Abdullah Salleh kemudiannya turut menyertai Menteri Pelajaran Malaysia, Tun Abdul Rahman Ya'akub ke Indonesia bagi mencari calon yang sesuai sebagai ahli akademik UKM, rombongan ini juga turut disertai oleh Dato' Dr. Hassan Ahmad yang ketika itu merupakan pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Misi rombongan ini adalah mencari calon pengajar yang mampu mengajar subjek sains dengan menggunakan bahasa penghantar Bahasa Melayu. Sebelumnya, kementerian pendidikan sendiri telah mengadakan tinjauan bagi mengenalpasti calon bagi tujuan yang sama dari kalangan anak tempatan. Seterusnya pelantikan Tun Abdul Razak sebagai  Canselor UKM yang pertama pula diumumkan, persetujuan Tun Abdul Razak menerima pelantikan tersebut telah diumumkan  oleh Pemangku Menteri Pendidikan, Tan Sri Hj, Ghazali Jawi. (Berita Harian, 27 Ogos 1970:5).



Laporan rombongan ke Jakarta bagi mengenalpasti bakal pengajar subjek sains dalam bahasa melayu (TST, 4 ogos 1969)

Berita Harian,  27 Ogos 1970, P. 5
Menurut Tun Abdullah Salleh (The Straits Times, 24 November 1969), sebelum mula beroperasi dalam bulan Mei 1970, Universiti Kebangsaan perlu mengisi lebih kurang 20 jawatan kosong yang merangkumi jawatan seperti berikut;

1. Pensyarah
2. Penolong Pendaftar
3. Pustakawan
4. Pembantu Kewangan
5. Pembantu Makmal

Antara kaedah yang digunakan dalam mengisi jawatan-jawatan kosong ini ialah melalui pengiklanan di akhbar-akhbar tempatan, dan menurut Tun Abdullah, kaedah ini amat berkesan kerana UKM telah menerima permohonan yang sangat menggalakkan bagi jawatan-jawatan yang telah diiklankan.


Laporan pencarian kakitangan oleh UKM dalam The Straits Times bertarikh 24 November 1969.

Selain pengambilan secara iklan, Universiti Kebangsaan juga telah mengambil beberapa kakitangan Kolej Islam yang telah ditamatkan perkhidmatan mereka setelah kolej berkenaan ditutup.


Iklan Jawatan Pembantu Tadbir, Kerani, Pembantu Makmal dan Jurutaip
Sumber : Berita Harian, 29 Disember 1970.



Iklan jawatan Penolong Pustakawan
Sumber : The Straits Times, 30 Mac 1970.


Iklan jawatan Pembantu Pustakawan
Sumber : The Straits Times, 30 Mac 1970.


Sehingga Disember 1970, Pecahan kakitangan perintis UKM ialah seperti berikut:



Ahli Akademik
58
Professor- 4
Pensyarah Kanan- 3
Pensyarah - 15
Penolong Pensyarah - 15
Tutor - 21

Kakitangan Pentadbiran
134
Jumlah
192










Berikut adalah 10 kakitangan terawal berdasarkan turutan nombor pekerja yang diberikan kepada mereka:



Bil
No. Kakitangan (UKMPer)
Nama
Jawatan
1
0001
Haji Muhammad Talib bin Abdullah
-
2
0002
Albert Edward Bowers
-
3
0003
Ahmad Karman Shah Pandak Ibrahim
Penolong Pegawai Keselamatan
4
0004
Ismail Seabit
-
5
0005
Ishak Osman
Tukang Kayu
6
0006
Yaakob bin Ahmad
-
7
0007
Jasin bin Bujai
-
8
0008
Muhamad Md. Nor
Pengawal Keselamatan
9
0009
Muhamad Ali Yasin
-
10
0010
Mohamad Rathi Alang Mamat
-


Buku log bertulisan tangan yang mencatatkan senarai kakitangan terawal ini masih tersimpan baik di Jabatan Pendaftar, UKM.. Pengurusan tertinggi UKM pada masa mula ditubuhkan ialah,


Prof. Emeritus Datuk Dr. Rashdan Baba...Naib Canselor UKM yang pertama. (1969-1971)


Tun Abdullah Mohd Salleh ....Pendaftar UKM yang pertama (1969-1972)

Dato' Megat Abdul Rahman Megat Ahmad...Bendahari UKM yang pertama (1970-1973).


Tuan Haji Abdul Aziz Sheikh Mydin...Ketua Pustakawan yang pertama (1970-1977).


Rujukan:




Hallo 03-54644 Sini UK Lembah Pantai. (27 January 1970). Berita Harian, p. 10.

Harith Faruqi Sidek (2007). Sejarah Pengasas dan Pelopor Penubuhan UKM. Perpustakaan UKM: Bangi.

K-tangan Kolej Islam yang di-berhentikan akan di-beri pekerjaan baru. (12 November 1970). Berita Harian, p. 5.

Lantekan Tun Razak jadi chanselor di-alu2kan. (27 Ogos 1970). Berita Harian, p. 5.

Minister leaves to recruit staff for Varsity. (27 Ogos 1970). The Straits Times, p. 5.

N-Varsity : 'Act Now' call , govt urged to choose vice-chansellor and registrar. (11 September 1968). The Straits Times.

Rekod Pendaftaran kakitangan UKM (UKMPer), Jabatan Pendaftar UKM.
Search for staff by National varsity. (24 November 1969). The Straits Times.

Universiti Kebangsaan chari k-tangan, pensharah. (16 January 1971). Berita Harian, p. 12.

Universiti Kebangsaan di-kemas hadapi masa depan. (10 December 1970). Berita Harian, p. 10.