Saturday, April 26, 2014

Dari Malaya Hall ke Malaysia Hall.

Oleh: Harith Faruqi Sidek






Perasmian Malaya Hall telah disempurnakan oleh Dutchess of Kent pada 12 Disember 1949. Kerajaan Persekutuan menyewa secara rasmi empat unit bangunan yang terletak di Bryanston Square, London itu mulai tahun 1951. Dua unit bernombor 44 dan 45 dijadikan unit pentadbiran bagi Malaysian Students Departmen (MSD) serta penginapan bagi pelajar dari Malaya yang belajar di United Kingdom, sementara dua unit bawah tanah bernombor 46 dan 47 dijadikan kantin. Kerajaan Persekutuan menyewa unit-unit ini daripada Portman Settled Estate Limited dengan kadar £400 setahun.

Pelajar dari Malaya merakam kenangan bersama Dutchess of Kent, dari kiri, Cik Janie Tong (Kuala Lumpur), Cik Lily Majid (Kuala Lumpur), Raja Fuzia Raja Uda ( anak Raja Uda Raja Muhammad, Pesuruhjaya Tinggi Malaya di Britain) dan Cik Eileen Khoo (Kuala Lumpur). 

Belanjawan pengurusan Malaya Hall datangnya dari subsidi dari kerajaan sebanyak £3,500 setahun selain pendapatan dari sewaan penginapan pelajar serta sumbangan dari orang ramai. Kadar sewa penginapan yang dikenakan ialah £2.07 (RM20 ketika itu) seminggu bagi single room dan £2.10 (RM21 ketika itu) seminggu bagi double room, kadar ini kemudiannya dinaikkan pada tahun 1962 kepada  £6.16 (RM58 ketika itu) seminggu bagi single room dan £6.06 (RM55 ketika itu) bagi double room. (TST, 3 Oktober 1962). Bilik-bilik ini turut diberi nama sempena para penyumbang dan orang kenamaan, antaranya Datuk Panglima Bukit Gantang (Menteri Besar Perak), Loke Wan Tho (Jutawan Singapura) dan Shaw Brothers yang turut menyumbang piano serta perabot. (TST, 13 Oktober 1953). Malaya Hall kemudiannya dinamakan semula sebagai Malaysia Hall,selaras dengan kemerdekaan negara. Portman Settled Estate Limited sebagai pemilik kemudiannya menaikkan kadar sewaan kepada £60,000 setahun, lalu memaksa kerajaan Malaysia menilai semula langkah penyewaan tersebut kerana kos yang bakal meningkat.



Suasana dalam bilik penginapan yang disediakan di Malaya Hall

Unit bernombor 44 dan 45 Malaysia Hall yang sepatutnya tamat tempoh sewaan pada tahun 2000 kemudiannya diserahkan kembali kepada Portman Settled Estate Limited pada April 2002, sementara unit bernombor 46 dan 47 diserahkan kembali pada Jun 2004. Pada tahun yang sama, Malaysia Hall berpindah ke premis bernombor 30-34, Queensborough Terrace, Bayswater, London dan kekal hingga ke hari ini. Bangunan bekas Hotel York ini menelan belanja kira-kira RM125juta untuk pengubahsuaian dan ia telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) pada 24 Julai 2004.

Petikan dari akhbar New Straits Times bertarikh 13 Januari 2000.

Rujukan:

Yunus: Malaysia Hall is meant for use by everybody in London (30 September 2000). New Straits Times,p.11

Saiful Azhar Abdullah. (13 Januari 2000) Saving historic Malaysia Hall: concerted move to get the government to extend lease. New Straits Times,p.12

Bill for Malaya Hall £8,785 (16 Julai 1953) The Straits Times.

Students cry ‘monstrous’ as the rates go up at Malaya Hall. (3 Oktober 1962), The Straits Times.

Room named after famous Malayans (13 Oktober 1953), The Straits Times.

Aziz Ishak (25 Julai 2004). Malaysia usaha bawa pulang tenaga pakar. Utusan Malaysia.

Malaya Hall opening (12 December 1949). The Straits Times.

Patvinder Singh. (27 September 2000). Malaysia Hall lease not renewed: plan for new building just outside London, New Straits Times, p.6

Cheah Chor Sooi. (27 September 2000) Yunus: my worst nightmare is has come true. New Straits Times,p.6


Officials bid farewell to historic Malaysia Hall (3 Jun 2004), New Straits Times,p.2

No comments: