Wednesday, August 08, 2012

Bagaimana Negeri-Negeri di Malaysia mendapat namanya


Oleh : Harith Faruqi Sidek

Merujuk naskah " Asal - usul negeri-negeri di Malaysia" yang dihasilkan oleh Datuk Zakiah Hanum, mantan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, berikut dikongsikan intipati dari naskah tersebut tentang asal-usul nama negeri di Malaysia.

1) JOHOR

Nama silam Johor adalah "Ujung Tanah", sementara R.O Winstead dalam penulisannya pernah merujuk negeri Johor dengan nama "Wurawari", ianya adalah istilah jawa yang bermaksud "Air Jernih". Antara nama lama yang merujuk kepada negeri johor ialah, "Hujung Medini"(disebut dalam syair jawa Nagara kretagama), Ganggayu (nama Johor sebelum 1450) dan Langyu. Namun nama negeri lebih kuat dipercayai berasal dari  perkataan arab iaitu "Jauhar" yang membawa maksud "Permata".


2) KEDAH

Kedah mengikut catatan ramai sejarawan adalah negeri tertua di Tanah Melayu, ianya berdasarkan penemuan arkeologi tentang kewujudan penempatan serta aktiviti masyarakat Melayu Proto. Nama kedah mengikut rujukan catatan arab dan parsi ialah "Kilah", "Kalah" atau "Qalha". Dalam tulisan sanskrit Kedah dicatatkan sebagai "Kataha" atau "Kadara", sementara dalam naskah tamil ianya dikenali sebagai "Kadaram" atau "Kalaram". Tetapi menurut Wilkinson, nama negeri ini berasal dari perkataan "Kheddah" yang membawa erti perangkap Gajah, tetapi ada juga yang mengatakan Kedah adalah bermaksud "Gelas berkaki" dalam bahasa arab, ianya bersempena dengan perniagaan pedagang arab yang menjual gelas berkaki pada masa itu.



3) KELANTAN

Mula muncul dalam catatan Ptolemy yang merujuk negeri ini sebagai Kalantan. Dikisahkan nama Kelantan diperkenalkan oleh orang India Utara, ianya berasal dari Bandar Koli, tempat kelahiran bonda kepada Gautama Buddha, nama Koli kemudian digabungkan dengan perkataan "Thana" yang bermaksuh Tanah, lalu jadilah "Kolithana" yang kemudiannya disebut oleh penduduk pada ketika itu sebagai "Kolamtanah" atau "Kolamtam" yang akhirnya menjadi Kelantan.

Catatan dalam ensiklopedia Ma Tuan-Lin ada menyebut tempat ini sebagai "Ko-lo". Dalam catatan China yang selainnya ada dikesan nama sepertu "Ho-lan-tan" atau "Kou-lo-tan". Sementara dalam peta De'eredia, wujud nama "Calantan Rio", sementara peta selainnya disebut "Calantan", "Calantam" dan "Calantao". Terdapat juga kisah bahawa nama Kelantan itu adalah bersempena dengan nama pokok "Gelam Hutan" yang tumbuh di pesisir pantai negeri Kelantan pada ketika itu.

4) MELAKA

Selain dari kisah Parameswara yang menyaksikan seekor pelanduk  menendang anjing hingga jatuh ke sungai  dan Pokok Melaka tempat beliau bersandar ketika itu, terdapat teori lain bagaimana Melaka mendapat namanya. Dalam naskah lama "Sejarah Melayu" memang sudah disebut nama Melaka, ia mugkin dari istilah "Malakat" atau "Mulagah" yang digunakan oleh pedagang arab yang membawa maksud "pusat / tempat perdagangan ". Dalam bahasa sanskrit, Melaka mungkin dirujuk sebagai "Malayakolam" atau "Malayaka" yang membawa erti "negeri orang melayu".

5) NEGERI SEMBILAN

Nama negeri ini bersempena 9 negeri yang berada dibawah gabungannya, kawasan berkenaan ialah ;
1) Sungai Ujong
2) Naning
3) Rembau
4) Jelebu
5) Johol
6) Klang
7) Jelai
8) Ulu Pahang
9) Segamat

Negeri Sembilan kemudiannya menyerahkan Klang kepada Selangor, Ulu Pahang dan Jelai kepada Pahang dan Segamat kepada Johor. Rombakan kawasan kemudianya menyenaraikan 9 kawasan berikut sebagai negeri yang sembilan, iaitu:

1) Sungai Ujong
2) Rembau
3) Jelebu
4) Johol
5) Ulu Muar
6) Inas
7) Gunung Pasir
8) Terachi
9) Jempol



6) PAHANG

Nama klasik bagi negeri ini ialah Inderapura, nama Pahang telah ada sebelum adanya negeri Melaka, ianya dikenali sebagai Pahang Tua. Tiada kisah yang jelas bagaimana Pahang mendapat namanya, namun dalam bahasa Khmer, Pahang itu bermaksud "timah" yang mungkin juga ada kena mengena dengan Sungai Lembing yang terkenal dengan timah.

7) PERAK

Sepertimana Pahang, Perak juga mempunyai nama klasiknya yang tersendiri, iaitu Gangga Negara, pusat pemerintahan Gangga Negara ialah di Beruas. Menurut Hikayat Merong Mahawangsa, nama Perak diberi bersempena dengan anak panah bermata perak yang dilepaskan oleh anak Raja Merong Mahapodisat Kedah. Anak panah itu dilepaskan ke kawasan yang dihajati beliau untuk dijadikan sebuah negeri.


8) PERLIS

Perlis dahulunya dikenali sebagai "kayang" atau "kayangan", dan nama Perlis diberi bersempena dengan nama seorang tua yang dianggap mempunyai keramat, iaitu "Tok Perlis". Ada juga versi lain bagaimana Perlis mendapat nama,berkemungkinan ianya berasal dari perkataan siam "Phrau Loi" yang bermaksud kelapa hanyut, kelapa hanyut ini dikatakan banyak dijumpai oleh orang-orang siam yang menggunakan laluan kuala sungai Perlis untuk ke Kedah. Sebutan "Phrau Loi" ini bila disebut oleh masyarakat tempatan akhirnya menjadi "Perleh".


9) PULAU PINANG

Ianya berasal dari barisan pokok-pokok pinang di kawasan penempatan masyarakat asal melayu di kawasan pantai. Pulau Pinang pernah diberi nama "Prince of Wales" oleh Francis Light pada 11 Ogos 1786, tetapi mujur juga nama itu tidak lekat dan hanya wujud dalam catatan serta peta inggeris, tetapi tidak di bibir penduduk tempatan.

10) SABAH

Pernah dikenali dengan nama "Api-api", Sabah mendapat namanya daripada perkataan "Saba", iaitu sejenis pisang. Kebanyakkan penduduk asal menanam pisang ini di penempatan mereka di sekitar pantai untuk dijadikan sumber makanan.

11) SARAWAK

Tiada kisah yang cukup popular untuk dijadikan sandaran bagaimana Sarawak mendapat nama, mungkin juga bersempena dengan nama Sungai Sarawak. Terdapat sumber dikalangan penduduk tempatan yang mengkisahkan nama Sarawak  berasal dari ungkapan " serah pada awak", iaitu apabila Pengiran Muda Hashim menyerahkan pentadbiran negeri itu kepada James Brooke pada tahun 1841.


12) SELANGOR

Tiada sumber jelas bagaimana Selangor mendapat namanya.


13) TERENGGANU

Dipercayai berasal dari cahaya kilat yang dilihat oleh penduduk Kelantan, lalu mereka berkata "terangnya genu"  atau maksud lainnya "terang sampai ke sana". Terdapat juga kisah yang mengatakan nama Terengganu berasal dari kisah penemuan taring gajah di sebatang sungai di Pulau Duyong, dek kerana saiz taring yang besar serta belum pernah dilihat oleh penduduk tempatan, mereka merujuk taring itu sebagai "Taring anu", sungai dimana taring tersebut dijumpai juga dikenali sebagai "Sungai Taring Anu".


Rujukan

Zakiah Hanum. 1989.  Asal - usul negeri-negeri di Malaysia. Kuala Lumpur: Times Book International.


5 comments:

Anonymous said...

menarik5

Harith Faruqi Sidek said...

Salam,

Terima Kasih kerana sudi singgah...semoga bermanfaat.

Anonymous said...

Info yg amat bermanfaat. Terima kasih di atas perkongsian ilmu ini.

Anonymous said...

menarik... tapi macam mana asal usul penamaan "malaysia"???

Nur Hidayah said...

apa nama panggilan setiap negeri??
contoh :pulau pinang-pulau mutiara
kedah-jelapang padi,,
negeri lain??