Monday, February 10, 2014

Murtabak Pak Din perintis francais kos rendah.

Oleh: Harith Faruqi Sidek



Selepas kejayaan ‘Sate Ria’, perniagaan berasaskan makanan tempatan secara francais yang seterusnya ialah ‘Murtabak Pak Din’. Murtabak Pak Din diusahakan oleh Shamsudin Lah yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan. Beliau memulakan perniagaan murtabaknya sekitar tahun 1978 di Kota Bahru, sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur dan membuka  warung di Kampung Pandan dan Pasar Keramat Dalam. Oleh kerana sambutan orang ramai yang menggalakkan, Pak Din telah membuka empat lagi cawangan warungnya. Melihatkan kejayaan serta kemasyuran murtabak Pak Din, Mara Holdings telah menawarkan program pengembangan perniagaan tersebut secara francais. 

Berbeza dengan ‘Sate Ria’ yang berkonsepkan restaurant, Murtabak Pak Din menggunakan konsep yang berkos rendah dan memadai diniagakan di warung atau gerai. Menurut Pak Din, resepi murtabaknya berasal dari Mekah dan beliau sendiri mempelajarinya dari salah seorang saudaranya, beliau tidak bersedia mendedahkan resepi berkenaan secara terperinci, sebaliknya memberi gambaran bahawa kelazatan murtabak beliau adalah hasil dari adunan daging, bawang serta rempah yang baik.


Pada 10 mac 1988, Perniagaan dengan label 'Murtabak Pak Din' secara francais telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Tajol Rosli Ghazali. Pakej francais yang ditawarkan oleh Mara Holdings bernilai RM3,500, kos ini termasuk yuran penyertaaan sebanyak RM200. Antara syarat yang terkandung ialah, Pak Din sendiri bertanggungjawab menyediakan inti murtabak, sementara Mara bertanggungjawab keatas perkhidmatan jualan, termasuk memastikan setiap peserta francais mematuhi piawaian yang ditetapkan. Para peringkat awal, Mara menawarkan 5 warung Murtabak Pak Din yang terletak di Bangsar, Bangi, Kajang dan Shah Alam (dua warung) selain 7 warung yang diusahakan sendiri oleh Pak Din yang terletak di Keramat, kampung Pandan, Medan Mara Kuala Lumpur, Cheras, Dayabumi, Sungai Besi dan Jalan P.Ramlee. Purata jualan keseluruhan pada ketika itu amat menggalakkan, kira-kira 3000 keping murtabak dapat dijual dalam sehari dari kesemua warung yang ada. Set hidangan Murtabak Pak Din mengandungi timun, bawang dan sos dan bermula dengan harga serendah RM1.20.



Seterusnya Mara telah bekerjasama dengan MARDI untuk menambah baik produk Murtabak Pak Din, iaitu dengan memanjangkan tempoh luput inti makanan berikut kepada seminggu, pada ketika itu inti dan kulit murtabak Murtabak Pak Din hanya bertahan selama 24 jam sahaja sebelum menjadi basi. Namun usahasama Pak Din dengan Mara Holdings tidak kekal lama, beliau mengambil keputusan membatalkan perjanjian dengan anak syarikat Mara itu dan meneruskan perusahaan Murtabak Pak Din mengikut kaedah dan perancangan beliau sendiri. Setelah ‘berpisah’ dari Mara Holdings, Murtabak Pak Din kemudiannya terus berkembang dan cawangannya dibuka di timur tengah iaitu di Kaherah, Madinah dan Jeddah (TST,2 May 1989). Namun ‘panas tidak sampai ke petang’, perniagaan Murtabak Pak Din menemui nasib yang sama seperti ‘Sate Ria’, kemunculan ramai pesaing yang dapat menghasilkan murtabak yang setanding kelazatannya dikatakan antara puncanya, malah seperti yang disebut oleh Wan Sabri Wan Hussin dalam bukunya ‘Etika dan Amalan Perniagaan’, perniagaan Murtabak Pak Din dikatakan mula merudum apabila salah seorang pekerjanya membocorkan ‘resepi rahsia’ Murtabak Pak Din kepada orang ramai (2004:p.72). 



Rujukan:

Francais Scheme to start off with Pak Din’s Murtabak (18 November 1987). The Straits Times.

Kamarulzaman Salleh. (22 Julai 1988). Pak Din Murtabak to go international. The Straits Times.

Kedai francais ala 7 eleven diperkenalkan.(24 Julai 1997), Utusan Malaysia

Pak Din scales new peak of success. (11 Mac 1988), New Straits Times.

Pak Din to sell his murtabak in M-East. (2 May 1989), The Straits Times.

Wan Sabri Wan Hussin. ‘Etika dan Amalan Perniagaan. Kuala Lumpur:Utusan Publication. 2004.

No comments: