Thursday, February 28, 2013

Syarikat North Eastern Transport Service (N.E.T.S) : Syarikat bas terawal dan terbesar di Kelantan.

Oleh: Harith Faruqi Sidek


Bas N.E.T.S di stesen Kota Bahru, Kelantan ( Foto: Jabatan Penerangan)

Sejarah pengangkutan awam negara telah bermula sejak sebelum merdeka lagi, bagi negeri kelantan, ianya bermula dengan tertubuhnya syarikat pengangkutan awam pertama dan terbesar, iaitu North Eastern Transport Service atau dikenali sebagai N.E.T.S. Syarikat milik orang melayu ini ditubuhkan dalam tahun 1947 dengan menawarkan perkhidmatan pengangkutan awam menggunakan 27 buah bas bersaiz kecil yang boleh memuatkan 10 orang penumpang pada satu-satu masa, bas seperti ini dikenali juga sebagai 'Mosquito Bus'. Dalam tahun-tahun awal perkhidmatannya, syarikat ini hanya beroperasi di laluan sekitar bandar sahaja dek kerana kemudahan jalan raya yang menghubungkan kawasan bandar dengan pedalaman belum dibina.Selain dari pengangkutan awam, syarikat ini turut menyediakan kemudahan bas sekolah. 

Menarik....pakaian seragam konduktor bas N.E.T.S yang bersongkok. (Foto: Jabatan Penerangan)

Kondukter Wanita.....tiada deskriminasi gender di N.E.T.S (Foto: Jabatan Penerangan)
Meskipun syarikat ini mempunyai pegangan saham orang melayu, namun ianya pernah diuruskan oleh Pengerusi berbangsa inggeris, antaranya W.M. Macleod dan Mr. B.J Moss. Antara anak tempatan yang  pernah menjadi pengarah syarikat N.E.T.S ialah Kamarudin Haji Omar dan Omar Haji Ali,

Semakin teguh
Dengan prestasi syarikat yang semakin teguh, dalam tahun 1949, N.E.T.S telah menambahbaik perkhidmatan mereka dengan menambah 50 buah bas baru yang lebih besar dengan kapasiti penumpang seramai 25 orang dalam satu-satu masa. Dalam memastikan perkembangannya, syarikat ini telah mengambil inisiatif dengan mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan yang berkaitan, umpamanya kemudahan pinjaman dari RIDA dalam tahun 1957, wang pinjaman yang diluluskan telah digunakan bagi membeli 47 buah bas. Pinjaman seterusnya dalam tahun 1965, dimana ianya digunakan bagi menampung kos pembelian 113 buah bas lagi.

Sebuah bas N.E.T.S sedang dibaiki di bengkelnya di Kota Bahru  (Foto: Jabatan Penerangan)

Teliti...seorang mekanik sedang bekerja di depot N.E.T.S. (Foto:Jabatan Penerangan)

Sekitar tahun 60an, dengan pertambahan bilangan bas syarikat serta kemudahan jalanraya yang semakin baik, N.E.T.S dapat meluaskan laluan perkhidmatan mereka. Antara kawasan yang mendapat perkhidmatan syarikat ini ialah kawasan diantara  Pasir Mas - Tanah Merah - Kuala Krai - Machang dan Pasir Puteh, sementara perkhidmatan bas ekspress disediakan bagi perjalanan yang melalui Terengganu - Bachok - Tumpat. Mulai 1 April 1962,  N.E.T.S telah menambah perkhidmatan bas ekspress mereka ke Kuala Terengganu dari empat perjalanan kepada 6 perjalanan dalam sehari. Dalam pada masa itu, syarikat juga mempunyai 450 orang pekerja dan jarak laluan 750 batu seluruh negeri kelantan dengan purata perjalanan 11 batu setiap hari.

Berpusu-pusu....gelagat pengguna bas NETS.

Tertib...bas NETS sedia berkhidmat  (Foto: Jabatan Penerangan)

Mogok kakitangan
Seperti mana kebanyakkan perusahaan lain yang berasaskan pengangkutan, syarikat ini juga tidak lari dari berhadapan dengan mogok pekerja. Dalam tahun 1956, pengangkutan awam di Kelantan telah lumpuh akibat mogok yang dilancarkan oleh para pekerja  N.E.T.S, mogok ini berlarutan dalam tempoh yang lama  sehingga mengundang campur tangan kerajaan pusat. Peristiwa mogok ini turut berulang dalam tahun 1963, kali ini lebih buruk apabila melibatkan campurtangan anggota keselamatan dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Barisan Bas milik syarikat NETS...(Foto:Jabatan Penerangan)

Dari NETS menjadi SKMK

Pada tahun 1967, NETS telah dijenamakan semula dengan nama Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK), perkara ini diumumkan oleh Encik Ghaffar Baba ( Allahyarham Tun ) yang pada masa itu merupakan Pengerusi MARA.


Rujukan :

63 sacked busmen get jobs back ( 24 September 1956), The Straits Times. p.7

Bus Crisis - govt. offers to help ( 4 October 1956), The Straits Times. p.7

Bus Companies hit back : 200 locked out, snub for union. ( 30 July 1956), The Straits Times. p.4.

Bus strikers held: Two in hospital ( 28 December 1963), The Straits Times. p.1

Bus union officials in sacking talks. ( 11 January 1958), The Straits Times p. 9

He'll check on dispute ( 12 February1958), The Straits Times, p.4

It's RIDA to the rescue of a bus firm ruined by pirated taxis ( 6 January 1955), The Straits Times. p.7

Koleksi Foto Jabatan Penerangan Malaysia . Diakses di http://ifoto.penerangan.gov.my/.

'Malays Only' share offer by RIDA ( 2 August 1963), The Straits Times. p.10.

More Buses. (26 March 1962), The Straits Times. p.2

Notices : The Motor Vehicles (Commercial Use) Regulations (21 jun 1949), The Straits Times. p.2

Pirate taxis 'steal' $1,500 a day : silent passengers foil police (24 January 1955), The Straits Times. p. 7

Sharikat Kenderaan NETS Berhad, Buku Cenderamata Perayaan Hari Malaysia 1965. 1965 : 89.

The Key to business success - Ghaffar ( 4 September 1967), The Straits Times. p.7


Thursday, February 21, 2013

Prof. Emeritus Dato' Dr. Hood Mohd Salleh Juara Squash Kebangsaan.

Oleh: Harith Faruqi Sidek





Selain mencatat sejarah sebagai anak melayu pertama yang memperolehi ijazah PhD dalam bidang Antropologi dari Universiti Oxford, Prof. Emeritus Dato' Dr. Hood Mohd Salleh juga merupakan Juara Squash Kebangsaan tahun 1975. Sebelum itu beliau terlepas peluang menjadi juara kebangsaan yang pertama apabila ditewaskan dalam perlawanan akhir oleh Y.M Tunku Imran pada tahun 1973. Beliau kini merupakan Pengarah Jabatan Muzium Warisan Akademik, UKM.

Rujukan:

Dr. Hood bekas juara skuasy kebangsaan. NADI BANGI, September 1989, p.4.



Thursday, February 14, 2013

Dr. Harun Mat Piah, Graduan Sulung PhD UKM.

Oleh :  Harith Faruqi Sidek





Dr. Harun Mat Piah dari Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) dan Dr. Mohd Nor Che Noh dari Fakulti Pendidikan merupakan graduan sulung PhD UKM. Mereka menerima ijazah masing-masing dalam Majlis Konvokesyen UKM ke-10 pada 21-22 Ogos 1982. Dr. Harun pada ketika itu merupakan Timbalan Pengarah IBKKM dan tesis PhD beliau berjudul 'Puisi Melayu Tradisional : Satu Pembicaraan Genre dan Fungsi'. Tesis beliau ini boleh dirujuk di Bahagian Koleksi Asia Tenggara, Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM. 



Rujukan


NADI BANGI, Jilid 4, Bil. 15, Ogos 1982.
 

Sejarah Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM.

Oleh :  Harith Faruqi Sidek




Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM telah siap dibina pada 28 November 1978 dan digunakan buat pertama kalinya sewaktu Majlis Konvokesyen UKM ke-6. Pembinaan yang bermula pada 21 Jun 1976 itu menelan belanja sebanyak RM6,922,821. Dengan keluasan 153,450 kaki persegi, DECTAR mencatat rekod sebagai dewan terbesar di Malaysia pada ketika itu. 


Rujukan:

NADI BANGI, Bil 2, Jilid 2 .Julai 1978.

Wednesday, February 06, 2013

Nama asal tapak Kampus UKM Bangi.

Oleh : Harith Faruqi Sidek



Menurut seorang ahli sejarah bernama Shahabudin Ahmad, nama asal tapak dimana kampus UKM Bangi dibangunkan ialah 'Bukit Puteri'. Pada asalnya kawasan ini didiami oleh masyarakat orang asal dari keturunan Temuan, namun demi pembangunan UKM, masyarakat ini telah berpindah secara  dibawah satu akta pemindahan mandatori yang diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 1974. Namun UKM tetap menghargai suku kaum tersebut dengan cara menamakan salah satu jalan didalam kampus UKM Bangi sebagai 'Jalan Temuan', iaitu jalan dimana terletaknya Pusat Pengajian Bahasa dan Lingusitik, Fakulti Pendidikan dan Jabatan Pengurusan Pembangunan.



 - Sumber: Nadi Bangi, Jilid 2 (bil. 2), Julai 1978. ms. 8

Sejarah Masjid UKM

Oleh : Harith Faruqi Sidek




Masjid UKM dibina dengan kos RM6.5 juta, hasil sumbangan kerajaan Malaysia dan Arab Saudi. Mula dibina pada 16 Mac 1979 dan digunakan buat pertama kalinya pada 16 April 1982, iaitu untuk solat fardhu Jumaat 


- Sumber : SENADA, April 1982 (ms. 01)