Friday, November 22, 2013

GP Formula One pertama di Malaysia tahun 1999.

Oleh: Harith Faruqi Sidek


Litar Sepang menjadi gelanggang Grand Prix Formula One buat kali pertama pada tahun 1999, dengan perlumbaan rasminya pada 17 Oktober 1999. Seramai 22 orang pelumba mengambil bahagian dengan pasukan yang menjadi perhatian ialah Sauber-Petronas yang dianggap pasukan tuan rumah, selain pasukan utama lain seperti Ferrari dan McLaren. Edisi sulung ini dikenali sebagai Petronas Malaysia Grand Prix.

Logo yang digunakan media untuk Petronas Malaysian Grand Prix 1999.

Pada kelayakan menentukan petak perlumbaan, pelumba Ferrari, Michael Schumacher telah mencatat masa terpantas dan diikuti oleh rakan sepasukan, Eddie Irvine, sementara petak ketiga diisi oleh pelumba McLaren, Mika Hakkinen. Pasangan pelumba Sauber-Petronas, Jean Alesi dan Pedro Diniz memulakan perlumbaan di petak yang agak kebelakang iaitu 15 (Alesi) dan 17(Diniz).

Kedudukan petak perlumbaan 22 pelumba Petronas Malaysian Grand Prix 1999.

Perlumbaan sebanyak 56 pusingan itu walaubagaimanapun dimenangi oleh pasukan Ferrari dengan kedudukan 1-2 dengan Irvine sebagai juara dan Schumacher ditempat kedua, Mika Hakkinen dari McLaren ditempat ketiga. Pelumba pasukan Sauber-Petronas menamatkan perlumbaan dengan nasib yang berbeza, ketika Jean Alesi berjaya menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 teratas iaitu pada kedudukan ketujuh, Pedro Diniz pula gagal meneruskan perlumbaan setelah keretanya terbabas dari litar.

Tun Dr. Mahathir menyampaikan hadiah kepada pemenang. (NST, 18 Oktober 1999).

Kontroversi kemudiannya meletus apabila kedua pelumba Ferrari berkenaan dibatalkan selepas 3 jam perlumbaan berakhir atas alasan kereta mereka melanggar peraturan spesifikasi yang dibenarkan. Dengan pembatalan itu, Mika Hakkinen diisytiharkan juara dengan pasangan pelumba dari pasukan Stewart-Ford, Johnny Herbert dan Rubens Barrichello dinaikkan ke kedudukan kedua dan ketiga. Namun Ferrari kemudiannya membuat rayuan dan berjaya memenangi kes mereka, lalu mata kejuaraan dan tempat kedua yang ditarik pada GP Malaysia dikembalikan.

Berita pembatalan kemenangan pasukan Ferrari 3 jam selepas perlumbaan berakhir.

Rujukan:

Grand Prix 1999 grid position. (17 Oktober 1999). The New Straits Times.

Harris Taib. (18 October 1999). Ferrari disqualified after 1-2 finish. The New Straits Times.


Tuesday, November 19, 2013

Harga rumah seksyen 3, Bandar Baru Bangi tahun 1988.

Oleh: Harith Faruqi Sidek


Keratan akhbar iklan perumahan seksyen 3 Bandar Baru Bangi (NST, 6 Disember 1988)
Suatu masa dahulu dalam tahun 1988, harga rumah berangkai di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi dijual dengan harga RM76,000 hingga RM80,000 seunit. Ia merupakan sebuah projek oleh anak syarikat Tabung Haji, sehingga kini dikalangan orang lama, perumahan ini sering dirujuk sebagai 'rumah Tabung Haji'.


Sumber:

Perumahan Bandar Baru Bangi: seksyen 3. (6 Disember 1988). New Straits Times.

Thursday, November 14, 2013

Le Run : kacukan basikal dan papan luncur.

Oleh: Harith Faruqi Sidek


Keratan akhbar berita pelancaran basikal Le Run di Malaysia 

Pada 12 November 1988, syarikat basikal terkemuka, Raleigh secara rasmi memperkenalkan basikal model Le Run di Malaysia. Basikal unik ini berkonsepkan gabungan basikal dan papan luncur (Skateboard) dan Malaysia merupakan negara asia pertama yang menerima kemasukan basikal model ini. Sewaktu mula diperkenalkan, Le Run dijual dengan hargapasaran sebanyak RM155 (model standard) dan RM138 (model junior). Basikal yang popular dengan tagline " Why Walk When You Can Le Run" ini dikatakan telah terjual sebanyak 300,000 unit di Amerika Syarikat, namun pasaran di Malaysia pastinya tidak sehangat itu, apatah lagi basikal jenis BMX masih menjadi kegilaan.

Sumber:
Why walk when you can Le Run?. The New Straits Times.13 November 1988.

Sunday, November 03, 2013

Pakcik Mohamad Nor Hamid: Bekas kelasi melayu di Liverpool berlakon disamping P.Ramlee.

Oleh; Harith Faruqi Sidek

Pakcik Mohamad Nor Hamid...bekas kelasi di Liverpool.


Pada tarikh 1 November 2013, telah diadakan mesyuarat kedua jawatankuasa bertindak untuk menyelamatkan rumah warisan melayu Liverpool no.7, Jermyn Street. Mesyuarat tersebut turut disertai oleh seorang bekas kelasi melayu di Liverpool, iaitu Pakcik Mohamad Nor Hamid. Pakcik Mohamad Nor sememangnya menjadi sumber rujukan bagi sesiapa yang menjalankan penyelidikan berkaitan melayu Liverpool, maka tidak hairanlah jika nama beliau acapkali muncul dalam karya sarjana dalam dan luar negara, antaranya Profesor Tim Burnell dari Singapura.

Sebelum dan selepas mesyuarat, Pakcik Mohamad Nor atau lebih mesra dengan panggilan Pakcik Mad Nor telah berkongsi kisah dengan melayan apa jua soalan atau isu yang dibangkitkan oleh ahli mesyuarat, antaranya isu peranan masyarakat melayu dalam sejarah pembangunan Masjid Ar-Rahma, rumah kelab MSA yang kian uzur sehinggalah kepada pengalaman beliau sendiri sebelum sampai di Liverpool.

Pakcik Mad Nor yang berasal dari Melaka ini  rupanya pernah bekerja di Studio Jalan Ampas, Singapura dibawah syarikat Shaw Brothers. Malah beliau turut berkongsi kisah bagaimana beliau pernah bergandingan dengan Allahyarham P.Ramlee dalam filem 'Antara Senyum dan Tangis' yang diterbitkan dalam tahun 1952.