Friday, February 28, 2014

Dari JB ke Winsford: kisah anak Malaysia pertama jadi Datuk Bandar di England.

Oleh: Harith Faruqi Sidek



Datuk Mohd. Aris Ahmad merupakan anak kelahiran Johor Bahru, beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Inggeris Bukit Zaharah diantara tahun 1948 hingga 1951. Setelah meninggalkan alam persekolahan, beliau menyertai pasukan tentera dan ditugaskan di Grik, iaitu kawasan yang berisiko tinggi dengan ancaman komunis pada ketika itu. Sewaktu didalam pasukan tentera, beliau terlibat didalam operasi SAS yang diketuai oleh Jeneral Gerald Templer, operasi ini bertujuan mengumpulkan kaum orang asal yang tinggal didalam hutan di Grik agar mereka tidak dieksploitasi oleh pasukan komunis.

Datuk Mohd. Aris kemudiannya meninggalkan perkhidmatan tentera dan berhijrah ke England pada tahun 1957, iaitu setelah negara mencapai kemerdekaan. Bagi menyara kehidupannya di England, beliau bekerja sebagai kerani dengan bayaran £18 seminggu, dikalangan rakan-rakan baru di bumi inggeris, beliau dikenali dengan nama ‘Jeff Ahmad’. Bagi meningkatkan taraf hidupnya, Datuk Mohd. Aris  menyambung pelajaran ke peringkat ijazah di University of Manchester dalam bidang ekonomi dan sains politik. Datuk Mohd. Aris kemudiannya mendirikan rumah tangga bersama Renee Ahmad, mereka dikurniai sepasang cahayamata, Karen Brookes dan Paul Ahmad. Setelah berhijrah ke Winsford, beliau membuka perniagaan menjual peralatan besi bersama menantunya, selain berniaga, beliau juga aktif dalam kesatuan pekerja setempat di Winsford. Menurut laporan Berita Harian Singapura bertarikh 19 Mei 1989, Datuk Mohd. Aris merupakan penduduk tunggal berketurunan melayu yang tinggal di Winsford dalam daerah Cheshire.

Datuk Aris Ahmad bersama keluarga (sumber: http://www.alphaunitech.com.my)

Oleh kerana aktiviti dan sumbangan sosial yang aktif, Datuk Mohd. Aris  telah dilantik menjadi wakil rakyat majlis tempatan Winsford pada tahun 1983, dan pada tahun 1988 beliau dipilih menjadi Timbalan Datuk Bandar Winsford. Setahun kemudian, beliau secara rasmi pada tarikh 16 Mei 1989 telah dilantik menjadi Datuk Bandar Winsford bagi tempoh setahun, ketika itu beliau berusia 55 tahun. Pencapaian beliau ini menjadi satu kebanggaan bagi rakyat Malaysia, terutamanya kerajaan Negeri Johor, lalu beliau dianugerahi pingat Setia Mahkota Johor yang membawa gelaran Datuk. Pada tahun 2011, seorang lagi anak Malaysia mencapai kejayaan yang sama, Helen Chuah Gaik Choon yang dilahirkan di Pulau Pinang dilantik menjadi Datuk Bandar Colchester.

Helen Chuah Gaik Choon, anak kelahiran Pulau Pinang yang dilantik menjadi Datuk Bandar Colchester. (Sumber : NST)

Datuk Mohd. Aris Ahmad meninggal dunia pada 16 Disember 1994 sewaktu berusia 61 tahun akibat serangan jantung. Beliau dikatakan tiba-tiba rebah di kediamannya di Chesire dan menghembus nafas terakhir setibanya di Leinghton Hospital. Jenazah Allahyarham Datuk Aris Ahmad disemadikan di  Tanah Perkuburan di Stoke-On-Trent, Staffordshire.

Rujukan:

Anak melayu dilantik datuk bandar di England (19 Mei 1989). Berita Harian.

Bekas datuk Bandar Winsford meninggal dunia (17 Disember 1994). Berita Harian.

Malaysian-born former mayor dies (17 Disember 1994). The New Straits Times.

Siblings proud of new mayor of Colchester (17 Mei 2011). The Star.



No comments: