Monday, April 15, 2013

Seniman Haji Mahadi : Pengarah, Pelakon dan Pendakwah.

Oleh :  Harith Faruqi Sidek

Haji Mohd Mahadi Mohd Said  ( credit : cinemamalaysia.com.my)

Bila menyebut nama seniman Haji Mahadi, ramai yang tidak dapat memberi gambaran diri beliau secara langsung, tetapi bila diberi bayangan nama Abdul Wahab dalam filem Tiga Abdul, barulah wajah seniman ini dapat dibayangkan. Seniman Haji Mahadi atau nama sebenarnya Mohd Mahadi Mohd Said merupakan anak kelahiran Kampung Merbuk, Negeri Sembilan, beliau dilahirkan dalam tahun 1914. Haji Mahadi dilahirkan didalam sebuah keluarga yang besar, beliau merupakan anak kelapan daripada 15 orang adik beradik, ayahanda beliau merupakan seorang tokoh agama yang terkenal, iaitu Syaikh Muhammad Said Jamaluddin Al-Linggi, sementara abang sulungnya, Tuan Sheikh Haji Ahmad Muhammad Said pula merupakan bekas mufti Negeri Sembilan.

Haji Mahadi pernah mendapat pendidikan agama di Kota Makkah sewaktu berusia 14 tahun, beliau telah dihantar mengikuti  pengajian di Madrasah al-Falah selama dua tahun. Dengan pengalaman itu, maka tidak hairanlah mengapa beliau sudah pun bergelar 'Haji' ketika mula menyertai Malay Films Production atau MFP. Haji Mahadi pernah mendirikan rumahtangga dengan seniwati Mak Enon dan seniwati Khadijah Hodri (Jah Mahadi) namun jodoh beliau dengan kedua bintang filem berkenaan tidak lama, mereka berpisah jua.(Utusan Malaysia, 1 Jun 2001).


Dari Wartawan ke Pengarah Filem

Haji Mahadi memasuki alam pekerjaan dalam tahun 1939 dengan menyertai syarikat akhbar, Utusan Melayu di Singapura sebagai  wartawan, rakan setugas beliau pada ketika itu pastinya wartawan melayu terkenal, Pak Rahim Kajai dan Pak Sako. Haji Mahadi kemudiannya berpindah ke akhbar Warta Malaya sebagai wartawan sukan.

Pada tahun 1948, beliau melangkah ke Studio MFP di Jalan Ampas untuk mencuba nasib sebagai seorang penterjemah skrip, kemudian beliau diberi peluang berlakon dalam filem Pengorbanan. Tanpa disangka dua tahun kemudian, Haji Mahadi telah diberi kepercayaan oleh pengurusan MFP untuk menjawat jawatan Pengarah Filem, secara tidak langsung beliau telah mencatat sejarah sebagai orang melayu pertama yang menjadi Pengarah Filem di MFP, mendahului bintang-bintang besar Jalan Ampas yang lain seperti P.Ramlee, Omar Rojik, S. Kadarisman serta ramai lagi.(Berita Minggu, 4 November 2012). Filem 'Permata di Perlimbahan merupakan filem arahan beliau yang pertama dan terakhir, filem ini tidak mendapat sambutan di pawagam, meskipun membariskan nama besar seperti Nordin Ahmad dan Maria Menado. 


Menjadi Pelakon

Akur dengan ketentuan beliau gagal di kerusi kepengarahan, Haji Mahadi meneruskan kerjaya seni beliau sebagai seorang pelakon. Satu demi satu filem keluaran MFP beliau bintangi, malah pada tahun 1956, lakonan beliau mendapat penghargaan sehingga dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Pesta Filem Melayu di Singapura. Dua tahun kemudian dalam tahun 1964, Haji Mahadi mencuba watak komedi dengan membintangi filem arahan P. Ramlee, Tiga Abdul, ternyata filem inilah yang benar-benar menyerlahkan nama beliau dan memahat kenangan nama Haji Mahadi hingga ke hari ini. 

"Ana saudagar burung...bukan saudagar tahi"...sebagai Abdul Wahab dalam filem 'Tiga Abdul' ( Sumber : www.youtube.com)

Haji Mahadi dalam filem ' Si  Tanggang'  ( Sumber: Arena Filem, 1961)

Haji Mahadi dalam filem 'Indera Bangsawan' ( Sumber : Arena Filem, 1961)

Antara filem lain lakonan beliau ialah, Salah Siapa, Iman, Ribut, Pusaka Pontianak, Doktor, Iman, Budi dan Dosa, Pawang, Kaca dan Permata, Singapura Dilanggar Todak, Hang Tuah dan beberapa lagi. Filem terakhir lakonan Haji Mahadi ialah Raja Bersiong, Permintaan Terakhir dan Jebak Maut. ( Berita Minggu, 4 November 2012). Selepas meninggalkan dunia lakonan, Haji Mahadi bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Awam dengan Syarikat Haji Ibrahim Bersaudara, yang juga  menaungi Syarikat Indra Filem. Selain watak Abdul Wahab dalam Tiga Abdul, watak lain yang memberi kesan ialah sebagai Iblis dalam filem Iman.

Sebagai 'Iblis' dalam filem 'Iman' ..( Sumber: www.Youtube.com)


Sebagai pendakwah di Boon Teck Road

Sebagai seorang yang berpendidikan agama, Haji Mahadi tidak memisahkan tanggungjawab berdakwah meskipun bergelar seniman. Sewaktu tinggal di 'perkampungan artis' MFP di Boon Teck Road, Singapura, peranan dan sumbangan Haji Mahadi dalam soal kebajikan dan dakwah dikalangan penduduk disitu begitu ketara. Menurut Allahyarham Seniwati Normadiah, Haji Mahadi disifatkan umpama seorang ayah kepada semua artis melayu pada ketika itu, beliau begitu dipandang tinggi kerana sifat beliau yang pengasih serta tidak jemu memberi panduan hidup dari aspek agama mahupun kebajikan (Berita Harian, 27 Februari 1983). Seniman Allahyarham Datuk Ahmad Daud juga mempunyai pandangan yang sama, malah antara nasihat Haji Mahadi yang sering diberikan kepada mereka ( para artis) ialah, jangan sesekali melupakan tanggungjawab untuk akhirat meskipun sibuk dengan kerjaya sebagai seniman. Haji Mahadi turut menjadikan madrasah yang ada di Boon Teck Road sebagai tempat beliau berdakwah, khususnya kepada golongan artis.(Berita Harian, 27 Februaru 1983).

Akrab...Haji Mahadi dan Datuk Ahmad Daud  (Sumber:  cinemamalaysia.com.my)


Perginya seoranag bintang

Seniman Haji Mahadi meninggal dunia pada 20 Februari 1983 ketika berusia 69 tahun akibat sakit Jantung. Haji Mahadi meninggalkan seorang balu, Rosminah Marzuki dan tujuh orang anak. 


Rujukan


Anak Melayu pertama jadi pengarah filem. (4 November 2012). Berita Minggu.

Bintang Filem Zaiton sebagai anak saudagar. (Ogos 1961). Arena Filem, 17.

Cerita filem Indera Bangsawan. ( 1961). Arena Filem, 4.

Juwie, Oda dan Syila. (27 Februari 1983). Haji Mahadi : 'bapak' kepada bintang2 di Boon Teck Rd, Berita Harian.

Orang muda2 dijadikan tua. (Mac 1962). Arena Filem, 12.

Pelakon Jah Mahadi meninggal dunia. ( 1 Jun 2001). Utusan Malaysia.

Perginya seorang pelakon yang berperibadi tinggi... (27 Februari 1983). Berita Harian.

Zainuri Misfar. (1 Februari 1998). Haji Mahadi aktor unggul, Berita Harian.

Saturday, April 06, 2013

Catatan Dari Bumi Anbiya' 2 : Perihal Jam tangan Mekah


Jam tangan mesra islam.
Kalau disebut Jam Mekah, pasti yang terbayang ialah jam-jam buatan negara china yang dijual oleh penjaja di jalanan atau dikedai-kedai. Jam dengan jenama yang agak asing ini dijual dengan harga semurah 5 SR hingga 10 SR. Tetapi jam tangan yang akan saya kisahkan ini ialah jam yang lebih berkualiti serta mempunyai ciri-ciri yang diperlukan oleh seorang muslim, iaitu waktu solat serta arah kiblat. Terdapat dua jenama yang menawarkan ciri-ciri tersebut, iaitu CASIO dan AlFAJR.

1) Casio Prayer Compass.

Model CPW 310 ini sudah lama berada didalam pasaran, iaitu sejak tahun 90an, jam ini juga dikenali sebagai Jam Tok Guru kerana ia turut dipakai oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat. Sewaktu diawal keluarannya,jam ini boleh didapati dengan harga sekitar RM200, tetapi harganya mulai meningkat apabila mula mendapat sambutan, menurut seorang penjual jam yang saya temui, ada kedai yang telah mula menawar harga sekitar RM400 kerana model ini mulai sukar ditemui dan syarikat pengeluarnya, Casio telah mengeluarkan model gantian. Jam ini saya beli dengan harga RM374, sementara ketika berada di  Mekah, model yang serupa dijual dengan harga 438 SR ( kira-kira RM357).

Casio Prayer Compass CPW310

Dikotaknya turut disertakan perakuan seorang ahli falak, AlHabib Alawi berkenaan ketepatan arah kiblat yang dijana oleh kompass pada jam tangan ini.

Set lengkap sepertimana dipasaran.

2) AlFAJR

AlFAJR adalah jenama yang popular di Arab Saudi, jam ini buatan China, tetapi mempunyai kualiti yang bagus serta mempunyai ciri-ciri yang hampir sama seperti yang ada pada Casio CPW310. Sewaktu di Mekah, saya sempat membeli dua utas jam ALFAJR, iaitu model WP-04 G dan WY 16. 

ALFAJR model WP-04 G yang dibeli dengan harga 100 SR, jam ini saya pakai sewaktu melakukan Umrah. Kalau diperhatikan pada muka jam ini, waktu 5.54 adalah waktu solat subuh di Malaysia.

ALFAJR model WY 16 ini dibeli dengan harga 180 SR, rekabentuknya yang menyerupai jam tangan keluaran SWATCH menyebabkan saya tertarik untuk memilikinya.

Fungsi arah kiblat yang terdapat pada jam tangan ALFAJR WY 16.

Dua model jam tangan ALFAJR.

Casio vs ALFAJR...perhatikan perbezaan satu minit bagi solat Subuh  yang ditunjukkan.

3) CASIO A159W 

Meskipun Casio Prayer Compass dan ALFAJR merupakan jam tangan bercirikan islam, namun pada pemerhatian saya, penduduk mekah dan Madinah tidak memerlukan sangat ciri-ciri tersebut, sebab itu jam tangan yang paling banyak menghiasi tangan penduduk Mekah dan Madinah ialah dari model CASIO A159W, jam biasa yang didatangkan dalam versi stainless steel dan plastik. Faktor masyurnya model ini juga telah menyebabkan ada keluaran model tiruan yang seakan dengannya, tetapi namanya diubah kepada 'CASLIO' dan 'ALARM', jika model asli dijual dengan harga sekitar 25-35 SR,model tiruan ini hanya 5 SR. Terdapat dua versi yang ada dalam pasaran, versi buatan Jepun yang dijual dengan harga 35 SR dan versi buatan Malaysia yang diletakkan tanda harga sebanyak 30 SR.

Jam CASIO A519W ini saya beli dengan harga 35 SR, jika pandai tawar menawar, anda boleh dapat  harga sehingga 25SR.

Asli atau tiruan, saya sendiri meragui keasliannya.
4) O&Q

Mungkin imitasi dari model Q&Q, jam ini uniknya kerana menggunakan nombor arab, maka atas sebab itu saya beli. Ia juga tidak popular dikalangan penduduk Mekah dan Madinah.