Wednesday, January 23, 2013

Wak Mustarjo (1890 - 1970) dan 9 perkara menarik tentang beliau.

Oleh : Harith Faruqi Sidek

Wak Mustarjo@Mustar Ahmad  (sumber : P.Ramlee.com)


Antara pelakon tambahan yang sering menghiasi filem arahan Allahyarham P. Ramlee ialah Haji Mustar bin Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Wak Mustarjo. Beliau dilahirkan pada tahun 1890 di wilayah Purokarto, Jawa Tengah.

Wak Mustarjo memulakan kerjaya lakonan beliau bersama Shaws Malay Film Productions Ltd pada tanggal 1 mei 1951, antara filem lakonan beliau ialah Pembalasan, Sejoli, Derita, Musang Berjanggut, Kaki Kuda, Ali Baba Bujang Lapok dan Pendekar Bujang Lapok. Sebelum menjadi 'orang filem', Wak Mustarjo lebih dikenali di pentas bangsawan.

Pelaris filem ? ....aksi Mustarjo dijadikan 'umpan'  dalam poster Filem Pendekar Bujang Lapok.

Berikut adalah fakta menarik mengenai beliau:


1.  Wak Mustarjo pernah membuka warung yang letaknya di Ballestier Road, berhampiran dengan Studio Jalan Ampas. Menurut pelawak S. Shamsuddin,  gulai ayam yang mereka makan dalam salah satu adegan  filem 'Bujang  Lapok' itu sebenarnya dimasak oleh Wak Mustarjo. ( Berita Harian, 9 Mei 1998).

Kari Ayam dalam adegan inilah yang dikatakan dimasak oleh Wak Mustarjo.

2.  Menurut Seniwati Mariani, menu istimewa di warung Pak Mustarjo ialah, Nasi Padang, Ikan Bakar dan Sambal Goreng. (Berita Harian, 27 Oktober 2012).

3.    Wak Mustarjo juga terkenal dengan kepakaran beliau menyediakan masakan Nasi Ambeng, perkara ini diakui oleh Seniman Datuk Aziz Sattar. Menurut beliau, ketika di Jalan Ampas, sudah menjadi tradisi dikalangan warga seni untuk berkumpul dan bertukar-tukar juadah pada malam raya, ketika itu juadah yang menjadi rebutan ialah Nasi Ambeng yang disediakan oleh Wak Mustarjo, selain rasanya yang lazat, lauknya juga beranika, ada serunding dan macam-macam lagi (Metro Ahad, 4 September 2011).

4.   Beliau dikatakan antara seniman terawal yang menunaikan fardhu haji sewaktu masih aktif bergiat dalam dunia seni. Selain beliau, antara pelakon lain yang telah menunaikan fardhu haji pada ketika itu ialah Haji Mahadi dan Haji Arshad ( Berita Harian, 9 Mei 1998).

5.    Sewaktu tinggal di kuaters Malay Film Production yang terletak di Jalan Boon Teck, Wak Mustarjo akan mengadakan kenduri kesyukuran setiap kali menjelang syawal, peristiwa ini dikongsikan oleh Allahyarham Datuk Ahmad Daud. ( Berita Harian, 1 Februari 1998)

6.    Panggilan mesra beliau dikalangan pengurus Studio Jalan Ampas ialah 'Joe'. (Berita Harian, 9 Mei 1998)

7.    Sewaktu bersama dengan kumpulan Bangsawan Sri Noran Opera, Mustarjo pernah mengadakan  persembahan di hadapan 'Raja Putih' Sarawak, Raja Brooke ketika lawatan ke borneo. (Berita harian, 9 Mei 1998)

8.   Watak 'wanita kedi' yang dilelong dalam filem 'Ali Baba Bujang Lapok' itu sebenarnya dilakonkan oleh Wak Mustarjo. ( Arena Filem, Bil. 59, 1960 )

Watak  'Wanita kedi' yang muncul dalam filem 'Ali Baba Bujang Lapok', namun tak ramai tahu siapakah yang melakonkan watak ini.  

Terbongkar.....Wanita 'kedi' itu sebenarnya lakonan Wak Mustarjo. Sumber : Arena Filem, Bil. 59, 1960.
9. Wak Mustarjo memakai dua bentuk cincin akik, satu di jari kiri yang dinamakan Firuz dan satu di jari kanan yang dinamakan Gambir. Cincin yang dinamakan Firuz itu berwarna hijau dan merupakan pemberian gurunya sewaktu di Tanah Jawa. Mengikut kepercayaan  guru beliau, jika mahu merantau dan murah rezeki, cincin itu hendaklah sentiasa dipakai. Sementara cincin yang bernama Gambir itu pula didapati dari dalam batu dari dasar sungai. (Arena Filem, Bil. 17, 1960)


Wak Mustarjo meninggal dunia pada 3 Januari 1970 pada usia 80 tahun.


AL-Fatihah


Rujukan:

Amirah Amaly Syafaat. (28 Ogos 2011). Kassim Masdor 38 tahun menduda, Utusan Malaysia.

Mariani mengenang selera Saloma (27 Oktober 2012) Berita Harian.

Mustafar A.R dan Zaini Yusof. Pergimu Takkan Kembali Lagi
 . http://filemklasikmalaysia.blogspot.com/2012/05/pergimu-takkan-kembali-lagi-tapi-jasamu.html 

Identiti Pelat Jawa ( 9 Mei 1998), Berita Harian

Kadi Miang kena kurung (9 Mei 1998 ), Berita Harian

Gerai di Jalan Ampas ( 9 Mei 1998), Berita Harian

Azian Adnan ( 1 Februari 1998) Nostalgia Jalan Ampas, Berita Harian

Ahmad Daud terkenang syawal di Jalan Ampas ( 29 Januari 1997), Berita Harian

Zainuri Misfar. ( 9 Mei 1998) Mustarjo…cobaan, Berita Harian

Shakila Abdul Rahman (4 September 2011). Raya Pak Ajis, Metro Ahad

3 comments:

Anonymous said...

Salam,

Selain daripada Wak Mustarjo, dapatkah juga Sdr. bercerita tentang Ani Jasmin? Lakonannya yang terbaik saya kira adalah dalam filem Sarjan Hassan. Dialog2 yang dibawakan dan luahan raut wajah beliau ketika menuturkan dialog2 beliau dengan Hassan (atau tentang Hassan sewaktu adegan dengan Saadiah) dalam filem tersebut sangat menyentuh kalbu.

Sekian, terima kasih.

NB

Harith Faruqi Sidek said...

Salam,

Tuan,

Terima kasih atas cadangan. Insyaallah akan saya usahakan

Anonymous said...

Tak ada di Jawa tengah daerah bernama Purokarto, kemungkinan itu kota Purwokerto atau Surokarto/Surakarta. Tapi jika melihat masakan nasi Ambeng, kemungkinan itu Purwokerto, karna nai ambeng tidak dikenal di Surokarto.