Wednesday, December 18, 2013

S.Sudarmaji (1923-1989): Dari kerani ke Pengarah Filem.

Oleh: Harith Faruqi Sidek

S.Sudarmaji (1923-1998)

S.Sudarmaji bin S. Abdullah lahir di Jogjakarta, Indonesia pada tanggal 19 september 1923. Sebelum menjejak kaki ke Studio Jalan Ampas, beliau pernah bekerja sebagai pelaut, beliau mula terlibat dalam dunia seni pada tahun 1948, tetapi bukan sebagai seniman, sebaliknya sebagai seorang kerani kontiniti yang bertanggungjawab mencatatkan adegan terakhir pada hari penggambaran sebelum disambung pada hari seterusnya ( Zainuri Misfar, 1998).

S.Sudarmaji, gambar tahun 1974 (Sumber: Berita Harian, 1989).

Allahyarham merupakan seorang seniman yang berbakat, selain berlakon, beliau juga merupakan seorang pengarah filem, penulis lirik, penulis skrip dan guru tarian.Sebagai Pelakon, antara filem lakonan beliau ialah, Tiga Abdul(1964) , Nasib Labu-Labi (1963), Antara Dua Darjat (1960) dan Hang Tuah (1956). Sebagai Penulis Skrip, antara filem yang beliau tulis ialah, Penarik Beca (1955), Semerah Padi (1956), Sumpah Orang Minyak (1958) dan Nasib Labu-Labi (1963). Antara filem arahan beliau pula ialah, Detik 12 Malam (1979), Perjanjian Syaitan (1981), Langit Tidak Selalu Cerah (1981) dan Kabus Tengahari (1982). Sebelum menduduki kerusi pengarah, beliau terlebih dahulu menimba pengalaman sebagai Penolong Pengarah, antara filem yang terlibat ialah, Bujang Lapok (1957), Sarjan Hassan (1957), Ali Baba Bujang Lapok (1961), Seniman Bujang Lapok (1961) dan Ibu Mertuaku (1962).

Sebagai penulis lirik, Allahyarham dikatakan telah menghasilkan lebih kurang 128 buah lirik lagu, antara yang popular ialah Getaran Jiwa, Putus Sudah Kasih Sayang, Jeritan Batinku, Bunga Melor, Rukun Islam lima perkara dan Bahtera Merdeka.

S.Sudarmaji meninggal dunia pada 23 April 1989 di Hospital Besar Kuala Lumpur akibat komplikasi sakit kencing manis dan buah pinggang, ketika itu beliau berusia 65 tahun. Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Suntax, Batu Sembilan, Cheras. Beliau meninggalkan seorang isteri, Kamisah Kamijo (meninggal dunia pada 11 september 1998 pada usia 90 tahun akibat sakit tua) dan seorang anak perempuan, Sri Rahayu. Anak beliau, Sri Rahayu pernah popular dengan watak Ayu, kanak-kanak yang sering meminta upah 20 sen daripada Sudin dalam filem Bujang Lapok.

Sri Rahayu Sudarmaji, waris tunggal S.Sudarmaji. (Sumber: Utusan Malaysia, 30 November 2013)

Rujukan:

Ayu 20 sen sudah bergelar nenek. (30 november 2013). Utusan Malaysia.

http://cinemamalaysia.com.my (akses pada 17 Disember 2013)

Huzz. (25 Januari 1998). Mana dia anak S.Sudarmaji ?. Utusan Malaysia.

Pengarah, Penggubah Lagu S.Sudarmaji meninggal. (24 April 1989). Berita Harian.

Ramli MS. (5 November 2008). Lirik dulu halus, sekarang puitis. Berita Minggu.

Siti Jarum. (23 Disember 2012). Mereka dibelakang P.Ramlee. Utusan Malaysia.

Tuntutan royalty waris S.Sudarmaji selesai. (24 September 1998). Berita Harian.

Yusof Haslam. (22 Jun 2003). Menjejaki Produser Melayu. Berita Minggu.

Zainuri Misfar, Mona Ahmad. (18 September 1998). Waris sukar dapat royalty S.Sudarmaji. Berita Harian.

Zainuri Misfar. (13 Jun 1998). Jiwa seni S.Sudarmaji. Berita Harian

Tuesday, December 17, 2013

ITM cipta logo UUM

Oleh: Harith Faruqi Sidek




Seperti yang dilaporkan dalam akhbar New Straits Times bertarikh 15 Mei 1986, logo, jubah serta cokmar rasmi Universiti Utara Malaysia (UUM) adalah hasil ciptaan warga Kajian Senireka ITM (kini UiTM). Pasukan yang dianggotai oleh 3 orang pensyarah bersama 12 orang pelajar ini telah diamanahkan melaksanakan projek yang memakan masa 2 tahun ini oleh Naib Canselor UUM pada ketika itu, Profesor Tan Sri Datuk Dr. Awang Had Salleh (Allahyarham). 

Menurut Prof. Awang Had, pemilihan ITM adalah atas pertimbangan institusi tersebut memiliki sumber serta kepakaran yang diperlukan, tambahan lagi beliau mahukan projek tersebut memiliki sentuhan kebangsaan. Menurut ketua projek yang juga merupakan ketua kajian senireka ITM, Encik Zahari Zain Sulaiman (kini Profesor Dr.), pasukan mereka menghantar 30 rekaan sebelum satu daripadanya dipilih oleh pihak UUM, dan rekaan cokmar yang terpilih adalah merupakan rekaan beliau sendiri.

Sumber:

ITM design is varsity logo. (15 May 1986). New Straits Times.

Saturday, December 14, 2013

Peraturan wajibkan penunggang motosikal memasang lampu diperkenalkan.

Oleh: Harith Faruqi Sidek

Peraturan mewajibkan setiap penunggang motosikal memasang lampu mula diperkenalkan pada tahun 1992. Berikut adalah poster yang dimuatkan didalam akhbar New Straits Times.



Sumber:

New Straits Times, 3 September 1992
New Straits Times, 4 September 1992

Friday, December 13, 2013

Hijjaz Kasturi : Insan disebalik rekabentuk Bangunan Tabung Haji.

Oleh: Harith Faruqi Sidek


Hijjaz Kasturi merupakan arkitek yang bertanggungjawab merekabentuk bangunan Tabung Haji yang siap dibina pada tahun 1984. Pembinaan bangunan setinggi 38 tingkat itu menelan belanja sebanyak RM95 juta. Rekabentuk bangunan ini dikatakan pernah mengundang kritikan kerana dikatakan banyak membazirkan ruang serta rekaan yang tanpa fungsi yang jelas. Namun bagi beliau, setiap rekaan beliau mempunyai falsafahnya yang tersendiri dan menganggap bangunan Tabung Haji adalah antara rekaan beliau yang terbaik. Selain bangunan Tabung Haji, antara bangunan lain yang merupakan hasil karya beliau ialah,
- Menara MPPJ (1987), kos RM50 juta.
- Menara Maybank (1989), kos RM234 juta.
- Menara Shahzan (1990), kos RM90 juta.
- Bangunan Lot 10 (1991), kos 84 juta.
- Stadium Shah Alam (1995), kos 277 juta.
- Bangunan Suruhanjaya Sekuriti (1999), kos RM260 juta.
- Menara Telekom (2000), kos RM600 juta.
- Putrajaya Convention Centre (2003) kos RM600 Juta.


Sumber:
Defining the Hijjaz skyline (22 August 1992). New Straits Times, p.21

Hijjas Kasturi Associates Sdn. at http://www.hijjaskasturi.com/ (access on 12 Disember 2013)

Wednesday, December 11, 2013

Rezeki Piala Malaysia: Fandi Ahmad jadi Jutawan.

Oleh: Harith Faruqi Sidek



Sewaktu memasuki tahun ketiga bermain dengan pasukan Pahang , Fandi Ahmad yang pada ketika itu berusia 30 tahun dikatakan menerima gaji yang begitu lumayan, iaitu kira-kira RM15,000 sebulan, jumlah ini tidak termasuk elaun, bonus atau lain-lain ganjaran. Pendapatan keseluruhan beliau sejak mula bermain bolasepak secara profesional dilaporkan telah meletakkan pemain itu muncul sebagai ahli sukan pertama di Singapura yang menjadi jutawan. 
Sebelum bermain di Pahang, Fandi terlebih dahulu bermain dengan pasukan Niac Mitra (Indonesia), FC Gronigen (Belanda),Kuala Lumpur dan tempoh singkat selama 2 bulan di OFI Crete(Greece). Namun pendapatan tertinggi beliau dilaporkan diperolehi sewaktu beraksi dengan pasukan Kuala Lumpur dan Pahang, malah beliau berjaya membantu kedua pasukan berkenaan muncul juara Piala Malaysia.

Sumber:
The million dollar man: Fandi is Singapore's first sports millionaire (20 November 1992). New Straits Times.