Tuesday, September 29, 2009

Kini Kembali......salam dari liverpool.


Ziyad di hadapan kediaman kami di Philharmonic Court, Liverpool


Zaheera dengan Kuda wakaf....tak tau sapa punya..

Lama betul tak memblog, penuh bersawang nampaknya blog aku ni...bukan apa, bila dah mengadap FB tu, maka semangat blog pun lenyap sekejap. Sekarang di Liverpool jam 10.25 malam, baru lepas mengadap satu artikel....dah menguap.

belek-belek net, maka terlintas pulak nak update blog ni, hari ni hari pertama aku masuk kelas secara rasmi, semua masih diperingkat pengenalan...tapi satu masalah besar aku, bila time group discussion, payah betul nak faham apa yang teman sekelas tuturkan, sebabnya, mereka ada pelbagai loghat, pastinya yg paling sukar adalah scouser....tapi aku cuba adapt sehabis baik.

..ok, jumpa lagi dalam entri akan datang.

salam dari Liverpool.

Wednesday, August 19, 2009

Siapa yang jadi mata-mata ni?...

Seperti yang dinasihatkan oleh Pihak Bank Islam, maka kami pun buat susulan pada pegawai penyiasat yang menerima aduan kecurian Kad kredit tempoh hari...maka jawab pegawai berpangkat inspektor itu adalah lebih kurang begini...secara ringkasannya.

Inspektor S: Berapa Kerugian Puan?

Nadia : dalam lima ribu ringgit.

Inspektor S : Macam ni la puan, puan dapatkan salinan CCTV dari kedai berkenaan, kalau nak surat kebenaran polis saya boleh cetakkan.

Nadia: oo..ye ke?

Inspektor S: Biasanya kalau kami buat siasatan pun, lepas tengok CCTV tu kami akan panggil puan untuk buat pengecaman pada suspek.

Nadia: oo..ok..terima kasih Tuan.

Apa jadi pada nasihat pegawai meja hadapan yang rakamkan aduan kami supaya tidak masuk campur dalam penyiasatan meraka. Mujur juga pihak Bank Islam telah lebih awal buat siasatan atas kes ini, lalu rakaman itu kemungkinan masih tersimpan lagi. Persoalannya apa langkah seterusnya? aku kah yang perlu cari penjenyah berkenaan kemudian heret ke rumah pasung ? apa hal pula dengan transaksi yang dilakukan? sedangkan pihak bank mahukan siasatan dari mata-mata....bukannya orang awam atau pengadu....pening..pening...

Nampaknya kami terpaksa jadi "Remington Steele" atau "Starsky & Hutch" petang ini.

Awas...Pencuri sentiasa memerhatikan anda.

Pelik? tidak rasanya.itulah hakikat hari ini.....dari sebesar -besar perompak bank sehinggalah peragut kecil kecilan....mereka senantiasa memerhatikan manusia-manusia yang mahu dijadikan mangsa. Sabtu lepas isteri aku jadi mangsa kecurian, kejadian ini berlaku disiang hari, dikala kami semua sedang sibuk melayan tetamu...tanpa disedari....ada insan yang tidak dikenali menyusup masuk kerumah lalu mencuri dompet dari salah satu bilik yang ketika itu dihuni seorang anak saudaraku yang berusia 2 tahun, dia nyenyak tidur rasanya ketika kejadian berlaku.

Hasilnya? transaksi sebanyak lima ribu lebih telah sempat dilakukan oleh penjenyah berkenaan...dengan menggunakan dua kad kredit, CIMB dan Bank Islam...itupun setelah sempat aku sedari dari sms yang dihantar oleh pihak Bank Islam kerana mereka meragui transaksi yang dilakukan ...lalu sempat isteriku "block" kad tersebut..disusuli dengan kad CIMB...perbezaan ketara perkhidmatan dua bank ini, Bank Islam mempunyai perkhidmatan layanan pelanggan yang sangat menyenangkan dan sangat membantu...sementara bank satu lagi lebih menyakitkan hati..dalam situasi tertekan itu..apa yang acap diulang oleh pegawai khidmat pelanggan mereka ialah...."Puan tetap perlu bertanggungjawab atas bil ini ya"....tidak kurang dari 3 kali.

Dari maklumat sms berkenaan aku dapati transaksi tersebut dilakukan di sebuah premis menjual komputer di Jalan Reko...sekitar jam 6.30 aku bergegas kesana....malangnya premis berkenaan telah menamatkan operasi mereka sekitar jam 6.00 lagi....tapi aku dapat melihat premis berkenaan dilengkapi dengan CCTV.

Selepas solat maghrib kami bergegas ke Balai Polis Kajang untuk buat laporan....satu laporan kecurian dan satu lagi laporan untuk menafikan penanggungjawaban atas bil yang bukan milik isteriku....pihak polis ada beri nasihat agar kami tidak lagi pergi ke presmis perniagaan terbabit kerana dikhuatiri akan menjejaskan penyiasatan mereka kelak. Lalu rancangan untuk bertemu pengurusan perniagaan berkenaan aku batalkan.

Semalam kami buat laporan ke Bank CIMB dan Bank Islam....sekali lagi dua senario berbeza dalam menangani aduan pelanggan berlaku....satu sangat positif dan menyenangkan sementara satu lagi seolah-olah mereka baru pertama kali berhadapan dengan kes sebegini...

Petang tadi Bank Islam maklumkan bahawa mereka telah mengenalpasti barangan yang dibeli melalui transaksi haram ini....sebuah laptop Benq!, mereka juga telah berunding dengan pemilik perniagaan agar tidak memadamkan rakaman CCTV sementra menunggu pegawai penyiasat datang membuat siasatan...Bank Islam maklumkan jika sahih bukan kami yang membuat transaksi berkenaan berdasarkan rekod CCTV, maka isteriku tak perlu bertanggungjawab atas bil berkenaan....lega rasanya....sementara bank yang lagi satu....terus membisu....kesal kami dibuatnya dengan reaksi mereka...

Kami masih menunggu apa keputusan atas bil transaksi berkenaan.....namun apa yang pastinya ada iktibar dari kejadian ini...sentiasa beringat akan kemungkinan anda menjadi mangsa curi ketika keramaian ....serta selidik dan dapatkan maklumat sebaiknya sebelum memilih bank yang menawarkan perkhidmatan kad kredit....kerana mulut mereka biasanya lebih manis sewaktu menjaja kad berkenaan...tetapi "langit tidak lagi cerah" biarpun anda adalah mangsa aniaya.

Wednesday, August 12, 2009

Tahniah Sasterawan Negara ke-10.


SN ke-10, Datuk Dr. Anuwar Ridhwan.


Sasterawan Negara telah mendakap angka ke-10 rupanya, Ybhg. Datuk Dr. Anuwar Ridhwan telah dicanang sebagai tokoh ke-10 yang diangkat sebagai Sasterwan Negara. Aku ada juga membaca satu dua naskah beliau, namun kalau mahu diimbau SN yang lalu, karya milik Keris Mas dan Arena Wati lebih banyak kudakap, tetapi itu zaman waktu cintaku pada genre novel dan fiksyen...kini sudah berpuluh tahun rasanya aku tidak menjamah sebarang novel....naskah "Ayat-ayat Cinta" pun sekadar bermain-main sahaja dilembarnya...sudah habis jodoh rasanya diriku dengan ini dengan genre Novel.




Mereka yang terdahulu...

1. Keris Mas (1981)
2. Shahnon Ahmad (1982)
3. Usman Awang (1983)
4. A. Samad Said (1985)
5. Arena Wati (1987)
6. Muhammad Haji Salleh (1991)
7. Nordin Hassan (1993)
8. Abdullah Hussain (1996)
9. S. Othman Kelantan (2003)

Cadangan Lagu Tema Satu Malaysia.

Dicadangkan agar lagu ini diangkat sebagai lagu tema Satu Malaysia....liriknya indah dengan roh kasih sayang dan perpaduan , manakala lagunya dalam semangat irama warisan melayu.

video

Hujan

Mega mendung di angkasa
Hembusan bayu dingin terasa
gerimis berderai di merata
bagai mutiara

Rahmat dibawa bersama
Limpahannya meresap dijiwa
adakala bahgia terasa
meskipun duka nestapa

Tika hujan turun
sayup mendayu lagu keroncong
merdu irama dialun
bersenandung

Hujan membasahi bumi
melahirkan keluhuran budi
mengeratkan perpaduan suci
kasih sayang abadi

(Klip ini adalah epilog filem "Mukhsin")

Topeng Muka : Konflik Tanggungjawab Sosial.

Bencana H1N1 semakin menggila, sehingga kini ianya telah merentap 38 nyawa, kini ‘kita seumpama pepatah “Life is like a box of chocolate, u will never know what u gonna get”. Kementerian atas kapasiti amanah mereka telah berkempen tentang keperluan pencegahan dari serangan virus ini…kebersihan diri, elakkan dari menghadiri keramaian dan yang paling ketara ialah pemakaian topeng muka atau surgical mask. Pemakaian topeng ini walaubagaimana pun mengundang konfliknya sendiri tanpa disedari atau disengajakan. Secara psikologi, bilamana kedapatan ramai warga yang memakai topeng ini, tanggapan langsung yang menerpa pastinya ruang atau kawasan itu merbahaya atau ada sesuatu yang tidak enak sedang berlaku, lalu langkah mengudur diri adalah pilihan yang utama, lalu bagi premis yang berorientasikan perniagaan akan terkesan.

Begitu juga dengan suasana komunikasi, pasti ada rasa tidak senang jika seorang yang tidak memakai topeng dengan penutur yang memakai topeng, adakah yang memakai topeng itu prejudis atas semua orang sekelilingnya…dengan tanggapan mereka mungkin pembawa virus. Keadaan pastinya lebih rumit bila yang memakai topeng terpaksa berhadapan dengan kenamaan atau atasannya.

Memang ada beberapa kejadian dimana si pemakai diminta menanggalkan topeng tersebut atas alasan tidak sopan serta mengudang persepsi negatif dari orang luar. Berbagai alasan yang menarik juga diberikan bagi mengukuhkan arahan mereka, antaranya yang maut itu hanya dari kalangan mereka yang tidak mempunyai rekod kesihatan yang baik, ada juga yang beralasan bahawa jika dihitung jumlah kematian seluruh negara atas sebab yang selainnya adalah lebih tinggi…lalu apalah sangat dengan bilangan kematian yang ada sekarang.

Bagi aku, pemakaian topeng ini tidak wajar ditegah, kerana dalam situasi semasa mereka yang memakai topeng inilah manusia yang paling bertanggungjawab, kerana jika mereka pembawa, virus itu dapat dielak dari menjangkiti orang sekeliling, sementara jika mereka negative, mereka juga dapat mengelakkan dari dijangkiti virus H1N1, lalu meraka yang rapat dan berhubungan dengannya akan terhindar sama.

Persetankan apa kata mereka yang tidak mengendahkan topeng ini, kamu ada pilihan tanpa paksaan, mahu pakai bisa..atau jika dipakai lebih bertanggungjawab dirimu itu. Bagi aku niat aku memakai topeng ini adalah demi kemaslahatan keluargaku terutama anak-anak yang masih kecil. Pelik juga bila perkara yang baik untuk sejagat diheret konflik yang tidak sepatutnya.

Monday, July 27, 2009

Pak Yob Jr.


Pakaian rasmi yang diwarisi turun-temurun..



Mohon permisi.......

Sunday, July 19, 2009

Terkenang semasa dulu.....

Malaysia tumpas tipis kepada Manchester United, bangga juga aku melihat keputusan muktamad ini. Lupakan soal prestasi pemain MU, aku lebih minat untuk ulas soal Amri Yahyah, gol pertamanya cukup cantik, gol kedua meskipun hadir atas kesilapan penjaga gol lawan, tetapi jika tidak dengan kepantasan dan kelincahan Amri, masakan gol itu mampu dizahirkan. Dua gol Amri menyamai pencapaian Matlan Marjan, penyerang lincah dari Sabah yang turut menyumbat dua gol ketika Malaysia tewas 4-2 kepada England pada tahun 1991, bezanya gol Matlan lebih bergaya kerana beliau menggelecek penjaga gol utama England pada waktu itu, Chris Woods. Selain kedua pemain ini, Mokhtar Dahari pastinya paling diingati dengan gol dari jarak jauhnya yang menewaskan Joe Corrigan dalam perlawanan tahun 1978.

Dunhill Invational Malaysia vs England 1991
Tarikh: 12 Jun 1991
Venue: Stadium Merdeka, Kuala Lumpur
Att: 45,000
Pertandingan : Friendly(Persahabatan)
Malaysia
Matlan Marjan - 52,76
2-4

England
Gary Lineker - 1,23,39,70
Malaysia : Rashid Hassan (Khairul Azman Mohammed), Serbegeth Singh, Lee Kin Hong, Allahyarham Mohammed Zaid Jamil (Azizol Abu Haniffa), Arumugam Jayakanthan, Chow Siew Yai, Ahmad Yusof, Mohammed Nazri Nasir, Matlan Marjan, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh

England : Christopher Woods (Glasgow Rangers), Gary Charles (Nottingham Forest), Stuart Pearce (Nottingham Forest), David Batty (Leeds United), Desmond Walker (Nottingham Forest), Mark Wright (Derby County), David Platt (Aston Villa), Geoff Thomas (Crystal Palace), Nigel Clough (Nottingham Forest), Gary Lineker (Tottenham Hotspur) - Captain, John Salako (Crystal Palace).



Malaysia vs England B 1978

Tarikh: 30 Mei 1978
Venue: Stadium Merdeka, Kuala Lumpur
Att: 45,000
Pertandingan : Friendly(Persahabatan)
Malaysia
Mokhtar Dahari
1-1

England
Alan Kennedy
Malaysia: Rashid Hassan, Jamal Nasir, Yahya Jusoh, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Shukor Salleh, Abdah Alif, Yip Chee Keong, Nasir Ibrahim, Mokhtar Dahari, Abdullah Ali [Subs Used: Yaahhub, Abdullah]
England B: Joe Corrigan (Manchester City) , Viv Anderson (Nottingham Forest),
Alan Kennedy (Newcastle United), Brian Talbot (Ipswich Town), Steve Sims (Leicester City), Glenn Roeder (Orient), David Needham (Nottingham Forest), John Hollins (Queen's Park Rangers), Gary Owen (Manchester City), Steve Daley (Wolverhampton Wanderers), Paul Mariner (Ipswich Town), John Richards (Wolverhampton Wanderers), David Geddis (Luton Town), Gordon Hill (Derby County)
COACH: Bobby Robson


Jersey pasukan malaysia sewaktu pertemuan dengan England pada tahun 1991.



Poster hebahan pertemuan Malaysia - England

Wednesday, July 15, 2009

Pameran Sempena Pelancaran Buku Memoir Dato' Johari Salleh

Setelah bertungkus lumus selama 4 hari dengan waktu tidur purata 3 jam sehari...akhirnya pameran "mengejut" ini berjaya juga dilaksanakan. Terima kasih khusus buat "orang kuat" aku di bahagian Arkib, Galeri dan Khas...Saudara Rudi, Zul dan Man kerana sanggup sama-sama mengorbankan cuti hari minggu untuk sama-sama mengerah keringat demi menjayakan pameran ini.

Walau diberi maklum dalam tempoh yang singkat, tidak tergamak mahu ditolak kerana memikirkan citra jabatan dan sudah menjadi amalan dan tabiat jabatan untuk melaksanakan apa jua tugasan yang diberikan.

Pameran yang dijadualkan berlangsung selama seminggu ini diadakan di Foyer Bangunan Canselori, memang lega rasanya lepas melihat pameran ini berjaya didirikan biarpun ada satu dua perkara yang agak ralat sedikit kerana ianya diluar bidang kuasa. Sebaik pulang kerumah badan terus rasa tak berapa sedap...mungkin kerana "Full Throttle" selama 4 hari agaknya, lalu baru kusedari yang badan yang telah melewati 30 an ini tidak lagi setangkas dulu, kalau pemain bolasepak tu dah berkira-kira untuk bersara dah la.

Dalam acara ini dapat berkesempatan juga bertemu ramah dengan beberapa bintang lama seperti Dato' Andre Goh yang sangat mesra, Tan Sri Jins Shamsuddin, Dato' Yusni Hamid serta selainnya yang hanya sekadar bertegur sapa. Seronok berbual dengan mereka kerana banyak imbauan lalu dan pengalaman yang menarik dikongsi sama, yang jelas mereka ini bergelar bintang bukan dengan jalan mudah...lalu selayaknya mereka bergelar biduan dan biduanita.

Bekerja dengan Dato' Jo amat senang sekali, biarpun berkedudukan, beliau tidak kekok dan canggung untuk bertukar pandangan dan menerima pendapat. Akhir sekali tahniah buat Dato' atas "kelahiran" naskah yang wajar menjadi rujukan dan renungan generasi muda yang mahu bergelar "Anak Seni".


Nassier Wahab "mengiramakan" majlis dengan baik sekali.


Datuk Raja Baharin Shah dan Pak Yusnor Ef turut berada di Lokasi.


Dato' Johari, Tun Ahmad Sarji, Tan Sri Jins dan "Tauke" MPH.


Pak Yusnor melayan seorang anak muda...kalau tak silap anak muda ini juga seorang penyanyi.

'
Datuk Yusni Hamid juga hadir sama.


Lengang....suasana bila semua pengunjung sudah berangkat pulang.

Saturday, July 11, 2009

Thursday, July 09, 2009

Amanah dari Dato' Johari Salleh


Dato' Mokhzani, jasa beliau dengan sudi menghibahkan iringan muzik dan penyanyi dari angkatan RTM.


Dato' Johari Salleh dan Pak Yusnor Ef.


Rancak, Dato' Jo cuba memahamkan teman-teman akan hasrat beliau.


Dari kejauhan aku rakamkan detik pertemuan ini.

Pagi semalam aku dimohon hadir satu mesyuarat bagi menjayakan majlis pelancaran buku biografi Dato' Johari Salleh, panggilan disaat akhir itu memang menggusarkan kerana banyak agenda semasa yang terpaksa dikompromi, ibarat "teori domino" maka berderet lagi kerja yang sedang diusahakan tertangguh.

Hasil mesyuarat aku diamanahkan di devisi pameran, resah juga dibuatnya kerana sepanjang memahami hasrat dan visi Dato' Johari, aku bergelut dengan pemahaman taburan jargon-jargon muzika yang berbutir dari mulut beliau. Belum pernah aku mengusahakan pameran yang berteras muzika, pasti akan ada nuansa antara aku yang "buta" muzik dengan adiguru muzika seperti Dato' Johari.

Dalam mesyuarat yang sama aku berpeluang mengenali dengan dekat seorang watak besar dalam landskap muzik sezaman dengan seniman P.Ramlee, Pak Yusnor Ef yang merupakan seorang penulis lirik, skrip dan penerbit muzik veteran. Orang kuat bahagian muzik RTM, Dato' Mukhzani turut hadir.

Acara ini akan diadakan pada 14 Julai 2009.

Friday, July 03, 2009

Perlukah Norhana berterusan begini? Sampai bila?


Norhana....


Masih berlegar-legar untuk menawarkan pakej "membeli sambil menderma"

Petang semalam sewaktu leka mengisi petrol tetiba aku disapa oleh seorang gadis muda dengan salam tertib. Sebaik salamnya ku jawab, bicaranya diteruskan dengan menawarkan segulung calendar islam dengan harga RM10, lalu diterangkan juga bahawa angka itu termasuk sedekah buat sebuah panti anak-anak yatim.

Aku tidak berminat dengan calendar dan angka yang disebut gadis itu, lalu kocek keringku hanya memuntahkan sekeping not yang kurang dari jumlah itu seraya aku berkata “ Adik nama apa?, takpala dengan calendar tu, ni abang (rasanya Pakcik atau Uncle adalah Dhamir yang sepatutnya) bagi buat belanja saja.”, gadis tadi dengan wajah suram menjawab “Norhana…terima kasih bang..” lalu beredar dari pinggir susukku untuk menyapa pelanggan lain yang sedang mengisi petrol.

Memang aku tersentuh…simpati dan marah, jauh disudut hatiku aku tidak suka dengan apa yang berlaku tadi, perlukan anak-anak kecil ini berterusan dilepaskan di jalanan dengan merapati susuk asing sambil menawarkan bahan dagangan sambil menderma ? berapa umur mereka ini? Ingatkah kita pada Nurin Jazlin? Shalini? Tin Shong Sheng?.

Aku pernah mendapat maklumat bahawa mereka ini sebenarnya mahu dididik untuk seni berniaga, modul mana yang mereka pakai ini? Apa penjelasan Kementerian Kebajikan Masyarakat tentang hal ini?

Rasanya awal tahun ini Pusat-pusat zakat memaklumkan dana hasil kutipan zakat begitu membukit lalu ianya dibolehkan untuk disalurkan keluar wilayah sekalipun. Mengapa panti anak-anak yatim ini tidak berurusan sahaja di institusi-institusi zakat?

Suatu ketika dahulu mataku pernah berkaca, dadaku juga sebak dek menyaksikan telatah dua orang kanak-kanak lelaki penghuni muda sebuah panti yang terpaksa menjalankan antiviti yang sama, bezanya mereka yang berjaket unggu itu menawarkan Bam Serai .Sebaik sahaja ku hulurkan sumbangan, tanpa membeli “Bam Serai” yang ditawarkan, kedua mereka berlari kedalam kedai serbanika untuk membeli ais-krim dan minuman sejuk….fikiranku pada ketika itu terus terakam wajah ziyad (putera sulungku..) tidak sanggup kugambarkan andai dia pada usia sekitar 9 ke 12 tahun itu, tanpa berbapa dan beribu turun ke jalanan untuk “belajar berniaga” kononnya.

(selesai menulis perenggan ini Ziyad yang kebetulan sedang lena disisi, ku peluk…moga dengan izin Allah, dia tidak senasib sepertimana kedua kanak-kanak itu.)

Bilakah kita akan terus disaji dengan scenario ini? adakah aku yang sangat beremosi dan tidak rasional tentang perkara ini ? atau memang perlakuan ini dibenarkan dalam proses pendidikan ? Atau panti-panti asuhan anak-anak yatim ini sememangnya mendapat restu kementerian dan jabatan terbabit untuk meneruskan aktiviti ini?

Secara peribadi kalau “Ilmu Berniaga” sambil mengumpul dana yang mahu dijadikan justifikasi, rasanya ada kaedah lain yang lebih sesuai….aku bimbang anak-anak ini dieksploitasi. Apa salahnya pengasuh atau guru-gurunya sahaja yang dengan rasmi membuka booth atau jalinkan sebarang usahasama dibawah kementerian pendidikan atau jabatan kebajikan masyarakat bagi menjalankan sebarang aktiviti atau program lebih “sopan” dan “tertib” yang boleh menjana dana.

Pada aku sudahlah….hentikan…jangan dilepaskan anak-anak ini ke jalanan…setakat ini tidak pernah kudengar mana-mana panti asuhan yang merintih kekeringan dana…..gadis kecil seperti Norhana tidak patut dilepaskan merapati manusia asing yang tidak diketahui latar belakangnya…tidak kira kerajaan Satu Malaysia atau keraja Negara Berkebajikan…mereka harus melihat mengambil tindakan atas perkara ini….hentikan retorik “Kita akan melihat….” atau “Kita akan mengkaji….”

Saturday, June 27, 2009

Pasca matinya Raja Jacko: Siapa bakal naik takhta?

Pagi semalam hampir seluruh jagat raya menerima perkhabaran akan kematian “Raja Pop” dunia, (Allahyarham?) Michael (Mikhaeel) Jackson akibat serangan jantung mengejut. Dari corong radio berebut-rebut dan berulang-ulang petugasnya membacakan berita besar ini. Sebuah bekas stesyen radio nombor satu negara pun dengan terkehadapannya membuat siaran penghargaan kepada MJ itu, begitu juga dengan saluran khas pop dan muzik dari syarikat tv berbayar….berulang-ulang “Tribute to Michael Jackson” dimainkan.

Manusia yang mencatatkan sejarah sebagai orang kulit hitam pertama yang berjaya menjadi “Putih” dengan jayanya…malah lebih putih dari orang putih pula. Walau apapun tanggapan insan terhadap MJ, beliau telah pun menobatkan dirinya sebagai IKON dan sentiasa dalam radar masyarakat biarpun atas isu yang negatif.

Sekarang aku menantikan siapakah yang akan dinobatkan sebagai penggantikan beliau, adakah Raja Pop yang baru akan dilantik dari kalangan Raja Pop yang berasal dari negara blok eropah? Atau akan ada Raja Pop dunia yang dilantik dari kalangan Raja Pop Asia terutamanya dari negara matahari terbit dan canto pop yang sangat besar arus fanatismanya?

Malaysia sendiri mungkin ada nama yang boleh dibawa untuk pencalonan bagi takhta tersebut, orangnya tidak lain dari;


Raja Jamal Abdillah – Raja Pop Malaysia

Peluangnya mungkin lebih cerah jika ada usaha mengantarabangsakan lagu-lagunya atau setidaknya menyadurkan satu dua dari lagu-lagu itu dalam bahasa inggeris. Apapun segalanya terletak kepada keputusan Majlis Raja-Raja Pop Dunia untuk menentukannya.

Friday, June 26, 2009

Momen - momen itu


Aku tak faham apa yang aku tulis...

Orang Bintang....

"Sila jelaskan bil jika nota ini terpapar di Skrin anda"...kan senang kalau begitu ayatnya...jelas dan terang...

Pekerja yang telah sah jawatan, tetap dan berpencen sila gunakan lif lain.

Haramkan buku ini....biar semua orang tak reti berperang....biar semua orang takut berperang...



Thursday, June 25, 2009

Budak-budak ini...


Ziyad dan Zaheera.....

Tuanku Canselor di Galeri UKM....

Pada tanggal 25 Jun 2009, Tuanku Canselor UKM yang baru dilantik iaitu Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawwir telah berangkat mengunjung rasmi UKM. Dalam lawatan itu, baginda tuanku telah disembah sila ke Galeri UKM yang nama rasminya ialah Galeri Tuanku Canselor.

Sebagai hamba yang dipertanggungjawabkan atas hal-ehwal Galeri ini, maka aku terlibat dalam menyediakan persiapan bagi menyambut baginda. Sekitar jam 1.15, baginda tuanku menzahirkan lawatan ini dengan dipandu oleh Ketua Jabatanku, sambil diiringi oleh pembesar UKM yang lain. Aku yang kerdil ini hanya terkebil-kebil di celah-celah pembesar yang pangkatnya paling rendah pun JUSA C, yang lain haruslah JUSA B,C, Dato' , Datuk, Datuk Paduka dan Tan Sri.

Selesai lawatan, aku berkejar kembali ke pejabat bagi meneruskan kursus Photoshop yang aku kendalikan semalamnya.


Tuanku di Panel Rentetan sejarah penubuhan UKM.

Tuanku di Panel Kepimpinan UKM

"Lahir dari Aspirasi rakyat...." itulah UKM
Bingkisan kenangan dari Tuanku Canselor.

Kursus Photoshop


Mengajar sambil duduk dapat mengelakkan penyakit buasir.


Para peserta yang cerah hati dan lembut hati memudahkan pencernaan ilmu.

Tuesday, June 23, 2009

Suatu hari dalam satu temasya....

Dalam temasya ini, pasukan aku......


Gagal dalam acara ini.....tetapi logo hasil "air tangan" aku ini sekurang-kurangnya dapat membujuk hati.


Tempat keempat dari keseluruhan keputusan yang agak "mengangkatkan kening"....

Monday, June 22, 2009

trigger happy...


Pada 23 haribulan Jun....


akan ada ini........

yad@work


Ngeh..ngeh..ngeh..mana satu butangnya ni...

Fokus..fokus....

Mana lak manual ni...

Kena dapatkan bantuan..talian hayat...

yess...success..success.....

Sementara itu...disatu sudut yang lain....budak ini sedang mengeraskan badan...tak mau mandi..




Monday, June 15, 2009

Budaya Peperiksaan : umpama meneladani lidah Socrates


Pujangga tersohor, Socrates (gambar) pernah mengungkapkan, " Kehidupan yang tidak diperiksa adalah kehidupan yang sia-sia, kita mesti sering bertanya tentang jalan kita untuk menuju kejayaan". Rakyat Malaysia memang tidak pernah kebah dari demam peperiksaan, bezanya besar atau kecil impak peperiksaan itu dalam menentukan hala hidup mereka.

Cuba kita renungkan kembali jejak-jejak kita mulai peperiksaan yang pertama, penilaian darjah enam atau versi terkininya UPSR, selepas itu kita tempuh berpuluh lagi peperiksaan rasmi dan yang tidak rasmi. Alam pekerjaan juga tidak memadamkan liku serta laluan berpeperiksaan, PTK yang berperingkat-peringkat ibarat hadangan dalam acara lari berhalangan (hurdle), cuma bezanya dalam acara hurdle, jika hadangan itu dilanggar dan jatuh, larian masih boleh diteruskan, tetapi dalam hal PTK, jika tersentuh sedikit pun maka larian itu perlu dilakukan semula sehiggalah halangan dapat diatasi dengan bersih dan cemerlang atau dalam kes PTK mendapat aras 4.

Aku manusia yang membenci dua perkara yang amat asas dalam kehidupan manusia yang mahu berjaya....aku benci peperiksaan...dan aku lebih benci proses mengisi borang yang pastinya perlu dilakukan untuk mendapat tempat bagi menduduki peperiksaan. Mungkin rasa benci kerana mengisi borang begitu mendalam lalu tiada satupun peperiksaan aku lepasi dengan cemerlang dan tidak kurang juga yang kandas dengan parameter terperosok, alasan sahaja tu, yang sebenarnya aku tak suka diduga...kerana aku juga tidak suka menduga.

Berbalik kepada hal peperiksaan, mungkin dalam alam kerjaya ini tak begitu sesuai kita diasak dengan prosedur peperiksaan yang memerlukan kita mencerna minda dan menjamah perkara-perkara yang adakalanya tak perlu pun kita tahu sedalamnya. Aku lebih selesa kalau peperiksaan ini dilakukan dalam bentuk yang menjamin pembentukan atau yang dapat meningkatkan bakat diri, umpamanya antara perkara yang menghiasi senarai tonggak 12 seperti;

1) Keseronokan bekerja
2) Nikmat mencipta
3) Peningkatan Bakat

3 tonggak ini kalau mahu diserapkan dalam budaya penilaian kakitangan pastinya akan menghasilkan mekanisma yang lebih menarik dari menelaah perkara yang diluar bidang serta memanaskan bangku peperiksaan yang stress dan cramp (jari jemari). Aku setuju kalau penilaian dibuat setelah pekerja dihantar berkursus yang berkaitan, lalu mereka diberi tugasan yang berkait rapat dengan kursus yang dihadiri, maka proses "hands-on" yang melibatkan semua panca indera akan berlaku, bukannya sekadar memerah otak menzahirkan idea atas kertas kosong sambil tangan yang lenguh-lenguh dek asyik menarikan pena, percaya atau tidak jarang sekali aku temui teman yang dapat mengingati dengan tepat jawapan mereka berikan atau apa yang mereka baca tidak sampai setahun peperiksaan itu berlalu.

Aku tidak menolak penilaian untuk kemajuan kerjaya kerana itu penting bagi mengisihkan permata untuk diletakkan dipersada yang lebih utama, tidak adil juga rasanya kalau ganjaran diberikan bersandarkan tempoh perkhidmatan semata-mata, bak kata Umar Abdul Aziz "Kebijaksanaan Manusia diukur dari akal dan lidahnya (tutur katanya), Ia tidak pernah dinilai dari umur". Maka selamatkanlah mereka yang telah berumur itu dari melalui proses peperiksaan ala sekolah...carilah dan kajilah mekanisma yang bertepatan dengan elemen "keseronokan bekerja", kerana kaedah yang sedia ada bagi aku tidak begitu menyeronokkan. wassalam

Miss Kaka


Alahai si Ira....dalam satu dari seribu alter ego ....Miss Kaka

Sunday, June 14, 2009

Aku Pun Melayu juga...


Aku sedang dalam fasa menghabiskan bacaan naskah Zaid Ibrahim, mantan menteri undang-undang serta mantan ahli UMNO yang menjadi hilang nikmat dua posisi itu angkara prinsip diri yang tidak sederap dengan arus perdana. Setelah menghabiskan 220 muka surat dari keseluruhan 311 yang ada, ternyata naskah ini menjadi wadah buat Zaid menerangkan letak duduk serta wajaran beberapa tindak tanduk beliau yang dianggap kontroversi selain melemparkan perspektif peribadi beliau terdapat beberapa "isu besar" yang pernah menggoncang institusi politik serta perundangan negara. Antara isu yang tidak lepas dari komentar beliau ialah;

1. Peletakkan jawatan beliau sebagai menteri
2. Disingkirkan dari Parti UMNO
3. Isu Ex-Gratia
4. Hubungan dengan Tun Salleh Abbas
5. Isu pengharaman UMNO lama
6. Kemelut Politik Perak
7. Mahathirisme

Sebagai tokoh yang penuh kontoversi, naskah ini wajar dijamah bagi mendapatkan sisi berbeza tentang beberapa isu seperti yang disebutkan.

Monday, June 08, 2009

Jika mahu direnungkan yang silam...

Perihal PPSMI

Aku sekadar ingin menyalin semula potongan isi naskah biografi "Daim Yang Diam" untuk renungan bersama, isunya sudah menjadi sejarah, namun sejarah dan pengalamannya mungkin sedikit sebanyak tercermin apa yang berlaku pada kemelut PPSMI, beza tetap berbeza...terpulang pada interpretasi masing-masing.

-Daim dan Isu Bahasa-

"..Dalam isu bahasa, Daim ikut terlibat menentang rang Undang-Undang Bahasa 1967. Beberapa pihak bukan melayu telah cuba mempertahankan kedudukan bahasa inggeris dan bahasa lain sebagai bahasa rasmi.

Bahasa Melayu akan tenggelam sebagai bahasa rasmi kerajaan dan bahasa kebangsaan sekiranya undang-undang membolehkan penggunaan bahasa inggeris dan bahasa lain dibentangkan dan diluluskan oleh Perlimen.

Dengan semangat nasionalisme yang menyala, Daim bersuara lebih daripada yang sepatutnya dalam isu ini. Daim menjadi begitu popular, sehinggakan ada penyokong PAS di Kelantan meminta beliau menjadi wakil rakyat mereka apabila seorang Ahli Dewan Rakyat meninggal dunia!.

"Saya masih ingat pada suatu malam pada tahun 1967, semasa saya dirumah, Syed Albar menelefon saya meminta saya segera ke rumahnya di Brickfield,"
"Bila saya sampai dia beritahu Syed Nasir berada di DBP sedang menangis kerana Tun Ismail beri amaran kalau beliau benarkan forum menentang rang undang-undang di DBP,beliau akan ditangkap"
"Biarkan Syed Nasir ditangkap, dia akan jadi hero melayu," kata Daim.
Syed Albar jawab,"Cakap pandai, mana dia berani?"
"Habis...tiada forum?" tanya Daim.
"Forum itu berpindah ke Dewan Guru di Kampung Baru," kata Syed Albar.
Daim meminta diri untuk pergi ke sana. Daim lihat di pentas Zainal Abidin Wahid (kini Prof.) menangis dan bersumpah tidak akan sokong UMNO lagi selepas itu...."

(sumber : Fatini Yaacob, Daim Yang Diam: Sebuah Biografi. Imbas Cemara.1997.)

Apa yang boleh difahami dari peristiwa ini ialah, jika penentangan dari luar tidak mampu menguris, maka asakan dari dalam adakalanya lebih terkesan. Peristiwa besar 1967 yang menggoyangkan kerukunan sesama ras melayu, lalu muncullah keranda 152. Kemelut PPSMI masakini membuka semula lipatan sejarah 42 tahun yang lalu. Pejuang tegar era itu ramai yang telah pulang ke dakapan ilahi, namun pejuang yang masih ada terus berjuang mempertahankan akar jiwa melayu dari dicabut, ironinya yang mahu melakukan onar itu adalah dari kerabat bangsanya sendiri.

Thursday, June 04, 2009

Ruang Waktu Bersama Pak Djamal Tukimin

Djamal Tukimin?, kenalkah saudara dengan pemunya batang tubuh ini?, anak seni kelahiran temasik ini punya sejarah seni yang besar dalam peta dunia sastera singapura dan Malaysia. Namanya mungkin sangat biasa diseberang tambak sana, namun agak terselindung di negara kita.

Semalam kami dikunjungi oleh beliau yang secara kebetulan dijemput sebagai teman rapat kepada Tan Sri Ismail Hussain yang merupakan pemunya hajat. Tan Sri membawa perkhabaran besar buat kami, dimana beliau diamanahkan untuk mengusahakan penyerahan koleksi peribadi milik Sasterawan Negara, Arena Wati untuk diabadikan di institusi kami, wah ini ibarat pucuk dicita ulam mendatang, tidak berapa detik terdahulu koleksi Shaharom Husain kami usahakan, kini dengan izin allah sebuah lagu koleksi unggul milik figura ternama akan menyusul.

Berbalik kepada kisah Pak Djamal, pertama kali melihat susuk insan ini tidak terdetik yang beliau adalah adiwira dalam medan sastera, berbaju batik, aku fikirkan mungkin teman keluarga Tan Sri sahaja. Setelah salam perkenalan, sedikit demi sedikit korpus sejarah dirinya sampai ke pengetahuanku, rupanya insan yang bangga dengan darah jawanya ini bukan calang-calang manusia. Penerima anugerah Tun Seri Lanang 2007, satu anugerah prestij bagi adiwira sastera Singapura, Pak Djamal kini menabur bakti di UKM selaku karyawan tamu yang mengkhusus menjalankan kajian tentang khazanah pantun melayu.

Aku sempat ”mengumpan” beliau dengan senarai koleksi sumbangan Harun Aminurrashid yang berada dalam koleksi kami, ternyata minat beliau tertumpah jua pada naskah tersebut yang dilihat boleh membantu beliau dalam menjalankan penyelidikan. Senang rasanya mendampingi insan yang merendah diri dan mudah mesra ini, dalam momen sesingkat 2 jam, kami sudah mesra seperti kenalan lama, sejarah persahabatan beliau dengan ayahku juga telah merancakkan lagi detik perkenalan ini.


Pak Djamal..dari temasik beliau berkelana, di bumi UKM bakti ditabur.