Monday, September 23, 2013

Kapten Hubert Berkeley (1864-1942) : 'Raja Putih Hulu Perak'

Oleh: Harith Faruqi Sidek

Kapten Hubert Berkeley, circa 1922 di Hulu Perak ( Gambar: Royal Commonwealth  Society)

Jika James Brooke mendapat jolokan Raja Putih Sarawak, di semenanjung juga terdapat seorang lagi pegawai inggeris yang mendapat jolokan yang sama, iaitu Kapten Hubert Berkeley. Menariknya, Hubert Berkeley bukan seorang residen atau jawatan yang seumpamanya, sebaliknya beliau adalah seorang penjawat awam, atau lebih tepat lagi seorang Pegawai Daerah bagi  Hulu Perak.

Kerjaya Awal.
Hubert Berkeley yang dilahirkan pada tahun 1864,  berasal dari keluarga bangsawan, datuk beliau bergelar ‘Earl of Kenmare’. Hubert Berkeley memulakan kerjaya di Malaya sebagai seorang inspektor Polis di Dinding, Perak pada tahun 1886. Pada tahun 1889, beliau memasuki perkhidmatan awam negeri Perak dan ditugaskan di Daerah Hulu Perak mulai tahun 1891. Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Daerah di Klang, Selangor pada tahun 1902, sebelum bertukar ke kawasan Hulu Perak dalam tahun yang sama. Sebelum itu beliau merupakan anggota tentera berpangkat Kapten dalam regiment Worcestershire ketika perang dunia pertama.

Menjalani Cara Hidup Tempatan
Hubert Berkeley mempunyai gaya hidup yang unik, lain dari kebiasaan pegawai berbangsa eropah yang berkhidmat di Malaya, beliau memandang sepi arus permodenan, sebaliknya selesa dengan suasana kehidupan tradisional yang menjadi amalan penduduk tempatan di Hulu Perak pada ketika itu. Menurut Robert Heussler ( 1981:124), Hubert Berkeley benci pada jalan raya beturap, mesin, peguam, Pemberi pinjaman wang (moneylenders) dan surat Khabar. Hubert Berkeley sangat menggalakkan aktiviti pertanian, terutamanya penanaman padi, sayur-sayuran dan buah-buahan, walhal dalam daerah lain di negeri Perak, perusahaan getah dan bijih timah merupakan industri yang mendapat keutamaan. Kapten Hubert Berkeley turut mencipta motto sendiri bagi daerah Hulu Perak, iaitu 'Koh Dhulu', ianya merupakan perkataan yang digunakan oleh penduduk tempatan ketika mengendalikan gajah.

Hubert Berkeley juga tidak menggunakan kereta sebagai pengangkutan utama beliau, sebaliknya memilih kuda dan gajah. Gajah yang menjadi ‘kenderaan rasmi’ beliau bernama Awang Padang, malah jika perlu menghadiri majlis rasmi di Kuala Kangsar, beliau akan membawa bersama gajahnya dari Grik.(Butcher:230).
Ketika mengadakan keraian di kediamannya, Huber Berkeley lebih suka memilih persembahan wayang kulit,makyong dan laga ayam berbanding acara tarian atau pancaragam. Selain daripada itu, Berkeley juga tidak kekok mengenakan sarong, tanjak dan baju melayu sebagai pakaian harian beliau.

Gambar bertarikh 24 Disember 1924. Dari kiri ke kanan: To' Muda Meor Yahya bin  Ngah Muhammad Amin (ADO Lenggong), W.E.M. Martin (Pegawai Perhutanan Kuala Kangsar), Kapten Hubert Berkeley (Pegawai Daerah Hulu Perak), J.G Crawford (ADO Kroh), A.N Kenion (Peguam dari Ipoh), Mat Saman Mat Seh (Timbalan ADC Grik). Berdiri di belakang ialah Meor Ahmad Ngah Muhammad Amin (Penghulu Temelong). (Gambar : Arkib Negara Malaysia)

Tidak ‘sebulu’ dengan pentadbir Inggeris
Hubert Berkeley mentadbir Daerah Hulu Perak tanpa mengikut arus yang ditetapkan oleh Residen Perak atau arahan tertinggi dari Kuala Lumpur. Antaranya contoh pelanggaran arahan ialah, beliau membuka penempatan khas bagi bekas penjenayah dan berada dibawah pengawasan beliau sendiri serta menolak arus pemodenan yang cuba diperkenalkan oleh Residen Perak pada ketika itu. Oleh kerana Hubert Berkeley mentadbir Daerah Hulu Perak mengikut agenda beliau sendiri dan lari dari arahan dari Kuala Lumpur, beliau sebolehnya akan menghalang sebarang lawatan dari pegawai inggeris terutamanya Residen Inggeris. Antara helah yang dilakukan ialah dengan mengadakan cerita tentang halangan laluan atau mencipta halangan seperti menumbangkan pokok merentasi laluan utama ke Grik.

Sikap serta lagak Berkeley yang suka membawa pasukan beruniform beliau sendiri serta membawa khemah peribadi yang besar tidak disenangi oleh pegawai inggeris yang lain, malah mereka juga melihat Berkeley sebagai seorang yang degil apabila banyak surat rasmi yang dikirimkan atas urusan rasmi ke Daerah Hulu Perak tidak diendahkan oleh beliau.

Kapten Hubert Berkeley (dalam bulatan) bersama pasukan ekspedisi beliau yang menggunakan gajah sebagai pengangkutan. (Gambar: Arkib Negara Malaysia)

Rapat dengan penduduk tempatan
Hubert Berkeley mempunyai hubungan yang mesra dan rapat dengan penduduk tempatan, beliau sangat kenal dengan setiap ketua kampung serta nama kampung dalam daerah Hulu Perak. Malah ada keluarga penduduk tempatan yang begitu rapat hinggakan beliau dapat menamakan tiga generasi keluarga berkenaan. Hubert Berkeley juga tidak lokek membantu penduduk yang berada dalam kesempitan dengan wang sakunya sendiri.

Nama inggeris di Hulu Perak
Meskipun sangat serasi dan menjiwai cara hidup tempatan, Hubert Berkeley tetap tidak dapat lari dari menunjukkan aprisiasi pada tanah kelahiran beliau di England, ini dibuktikan apabila beliau menamakan beberapa tempat di Grik dengan unsur inggeris. Residen Perak, Leftenan Kolonel W.J.P Hume ketika sampai Grik tertarik denga  adanya beberapa tempat yang dinamakan dengan unsur inggeris oleh Berkeley, contohnya ‘Downing Street’, ‘Picadilly’, ‘Rotten Row’ dan ‘Berkeley Square’. Tidak pasti jika nama berkenaan masih kekal ke hari ini.

Meninggalkan Grik
Hubert Berkeley bersara dari jawatan Pegawai Daerah Hulu Perak pada tahun 1926, ketika berusia 62 tahun, iaitu tujuh tahun melebihi usia persaraan kebanyakkan pegawai inggeris pada masa itu. Di England, Hubert Berkeley meneruskan resam kehidupan beliau sepertimana ketika Grik, iaitu dengan bertani dan menternak lembu dan kambing, beliau meninggal dunia pada tahun 1942, sejurus selepas tercetusnya perang dunia kedua. Menurut Heussler (1981:126), selepas Hubert Berkeley bersara dan pulang ke England, Daerah Hulu Perak mula merasai arus pemodenan yang dibawa oleh pengganti beliau.




Rujukan:

Butcher, John G. The British in Malaya 1880-1941. Oxford Press: Oxford. 1979.


Heussler, Robert. British Rule in Malaya: The Malayan Civil Service and its Predecessors, 1867-1942.Clio Press: Oxford.1981.