Bangunan Restoran Rakyat dengan konsep minangkabau yang dibangunkan oleh DBKL. |
Sebagai langkah meringankan beban rakyat, sebuah restoran ‘kos
rendah’ telah dibuka pada tahun 1973, iaitu ketika negara mengalami krisis
ekonomi yang pertama tahun 1973/74. Restoran yang terletak di Jalan Parlimen itu diberi nama ‘Restoran
Rakyat’ dan dirasmikan pada 30 Ogos 1973 oleh Perdana Menteri Malaysia pada
ketika itu, Tun Abdul Razak. Menurut Tun Razak, restoran berkenaan dibuka bagi
membantu para pekerja yang berpendapatan rendah serta para pelawat dari luar bandar
yang datang melawat Kuala Lumpur.
Teks Ucapan Tun Abdul Razak di Majlis Perasmian Restoran Rakyat. |
Dalam ucapan perasmiannya, Tun Razak menyebut bahawa restoran ini dibangunkan dengan kerjasama
banyak pihak, antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertanggungjawab
membina bangunan yang berkongsepkan minangkabau selain meja makan dan peralatan
dapur. Pihak Lembaga Letrik Negara (kini TNB) pula membantu dengan kaedah
mengenakan caj yang rendah atau secara concession, Lembaga Padi dan Beras
Negara membekalkan beras dengan kadar yang murah. Kerajaan negeri Selangor pula
membantu dari segi bantuan bekalan air dengan caj minima, selain bantuan dari
individu, malah ada yang memberi bantuan berbentuk kereta bagi tujuan
pengurusan restoran berkenaan.
Para pelanggan dikenakan caj yang sangat minima, sebagai
contoh sarapan dengan nasi lemak hanya 20 sen, sementara pelanggan boleh
menikmati juadah tengahari yang seimbang dengan lauk kari dan sayuran bernilai
80 sen sahaja. Hari pertama beroperasi, juadah yang disediakan di Restoran
Rakyat ialah kari ikan, rending, kangkung, sambal belacan, ulam, asam laksa
serta rojak. Pelanggan pertama Restoran Rakyat ialah perasminya, Tun Abdul Razak,
beliau membayar sendiri makanan tengahari beliau itu yang bernilai 80 sen.
Kelihatan Tun Razak membayar sendiri juadah tengahari beliau yang bernilai 80 sen. (NSUNT, 26 Jun 2011) |
Antara ciri unik restoran ini ialah, pelanggan tidak
disediakan pinggan sepertimana kebiasaan sebuah restoran, sebaliknya
menggunakan ‘tray’ atau dulang seperti yang digunakan di asrama sekolah. Bagi
memastikan kewujudan Restoran Rakyat tidak menggugat perniagaan peniaga kecil
seperti warung dan gerai makanan, Tun Razak mengarahkan agar operasi Restoran
Rakyat dihadkan mulai pagi untuk sarapan sehinggalah waktu makan tengahari
sekitar jam 3 petang. Isteri Perdana Menteri, Tun Rahah diberi tanggungjawab
sebagai Presiden Restoran Rakyat yang sebelumnya digerakkan oleh jawatankuasa
khas. Cawangan kedua Restoran Rakyat kemudiannya dibuka di Johor, laporan New
Sunday Times bertarikh 26 Jun 2011 menyebut, beberapa Restoran Rakyat masih
beroperasi pada ketika itu, cuma tidak dapat dipastikan adakah harga makanan
yang dikenakan masih ‘mesra rakyat’.
Rujukan:
Tan Choe Choe (26 Jun 2011). Breakfast just 20sen, lunch
80sen. New Sunday Times.
Tun Abdul Razak. Ucapan Perdana Menteri di majlis perasmian
Restoran Rakyat Kuala Lumpur pada 30hb Ogos 1973.
3 comments:
kalo le ada lagi Restoran Rakyat camni yang betoi2 murahh.... mmg kompem penuh le sekaghang ni...
tu le yeop D_08..ade pulok wifi pree...pakai duduk tak bangkit2 le deme..
kenapa tutup?
Post a Comment