Thursday, November 01, 2012

Tan Sri Abdul Kadir Yusof : Pencetus idea penubuhan Fakulti Undang-undang UKM.

Oleh : Harith Faruqi Sidek


Tan Sri Abdul Kadir Yusof  (Sumber : http://historycomiteesmkcs.blogspot.com)

Fakulti Undang-Undang UKM telah ditubuhkan pada 1 Februari 1984, namun idea penubuhannya telah dilontarkan 14 tahun sebelum penubuhannya. Idea penubuhan sebuah Fakulti Undang-Undang di  Universiti Kebangsaan telah disyorkan oleh Peguam Negara pada ketika itu, Tan Sri Abdul Kadir Yusof. Tan Sri Abdul Kadir berkongsi idea tersebut ketika merasmikan Perkhidmatan Biro Bantuan Guaman yang beroperasi di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Antara asas kepada cadangan beliau itu adalah, ianya dapat membantu perkembangan Universiti Kebangsaan yang pada ketika itu baru beroperasi dengan tiga buah fakulti perintis, Fakulti  Islam, Fakulti Sastera dan Fakulti  Sains. 

Keratan akhbar Berita Harian, 30 Ogos 1970.

Pada masa yang sama, sejajar dengan matlamat penubuhan UKM yang memartabatkan Bahasa Kebangsaan, Tan Sri Abdul Kadir turut menegaskan bahawa aliran kebangsaan yang ada di UKM akan membantu dalam menyediakan pengamal undang-undang yang mahir apabila tiba saatnya Bahasa Kebangsaan bakal digunakan sepenuhnya di Mahkamah. Selain dari itu, beliau turut mendedahkan bahawa setiap tahun kira-kira 200 orang pelajar Malaysia  dihantar melanjutkan pelajaran dalam bidang perundangan di Universiti luar negara, fenomena ini menurut beliau secara jelas menunjukkan bahawa adalah sangat wajar sebuah fakulti Undang-Undang ditubuhkan di Universiti tempatan, khususnya Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tan Sri Abdul Kadir merupakan suami kepada Tun Fatimah Hashim, wanita pertama yang dilantik sebagai Menteri Persekutuan, anak ketiga beliau Professor Emeritus Dato' Dr. Khalid Abdul Kadir pula merupakan mantan Pengarah Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) yang kini dikenali sebagai Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).



Rujukan :


_______. (30 Ogos 1970). Fakulti Undang2 di-shorkan di-Universiti Kebangsaan. Berita Harian . p.3

Anak-anak Johor Tersohor . at http://historycomiteesmkcs.blogspot.com

http://ms.wikipedia.org/wiki/Fatimah_Hashim



No comments: