"Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan kenangan", begitulah jua kisah seniman masyur kelahiran pulau mutiara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Jejak beliau di negeri kelahirannya di Pulau Pinang diabadikan melalui pemeliharaan rumah kelahiran milik keluarga beliau yang beralamat di Lot 2180, Jalan P.Ramlee, Pulau Pinang.
Penanda rumah P.Ramlee. |
Di teratak kayu inilah P. Ramlee, atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh dilahirkan pada 22 Mac 1929. Rumah kayu satu bilik itu dibina oleh ayahanda beliau, Teuku Nyak Puteh Teuku Karim dengan dibantu oleh bapa saudara beliau, Rejab Husain dalam tahun 1926. Sewaktu pendudukan Jepun, rumah ini telah mengalami kerosakan, namun ianya telah dibaiki semula oleh Rejab Husain sebelum sekali lagi dibaiki dalam tahun 1948. Menurut laporan Berita Harian bertarikh 5 Jun 2000, P. Ramlee dikatakan tidak tinggal lama di rumah tersebut, sebaliknya tinggal di Kuaters kakitangan di Kampung Jawa bersama bapanya yang bertugas di Majlis Perbandaran Pulau Pinang. Rumah kelahiran beliau dipercayai didiami oleh nenek beliau bersama saudara mara yang lain, namun acapkali juga seniman itu datang menziarahi mereka.
Menurut tuan tanah asal dimana rumah ini didirikan, Che Bee binte Mohamed Rosman (TST, 3 March 1981:13) , setelah rumah ini dikosongkan, ramai orang kenamaan menghubungi beliau untuk melihat keadaan rumah tersebut, malah ada juga yang menawarkan untuk memindahkan rumah tersebut ke Muzium Negara di Kuala Lumpur, namun semua usaha tersebut tidak menjadi kenyataan.
Keadaan asal rumah kelahiran P.Ramlee sebelum diambil alih oleh Arkib Negara Malaysia (Sumber : TST, 3 Mac 1981:13) |
Keadaan semasa Rumah kelahiran P.Ramlee dibawah pengurusan Arkib Negara Malaysia. |
Arkib Negara Malaysia kemudiannya tampil mengambil alih, lalu melaksanakan proses baikpulih pada tahun 1991 dengan kos sekitar RM400,000. Rumah P.Ramlee ini telah dirasmikan pada tanggal 13 Disember 1991 oleh Datuk Sabbaruddin Chik, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia. Menurut laporan Syed Ismail Syed Abu Bakar (Harian Metro, 2 November 2012:8), rumah P.Ramlee ini berjaya menarik bilangan pengunjung sekitar 50,000 orang setahun, ianya dibuka kepada pelawat secara percuma mulai jam 10 pagi sehingga 5.30 malam kecuali hari isnin.
Rumah ini pernah mengalami peristiwa hitam apabila ianya telah dipecah masuk pada 5 September 2002, dalam kejadian tersebut, pencuri telah masuk melalui pintu utama setelah mangga pintu dirosakkan dan melarikan tabung derma orang ramai yang dianggarkan mengandungi wang sekitar RM1000.
Pintu utama dari anjung. |
Selain katil besi, didalam bilik ini juga terdapat meja dan almari cermin yang disebut oleh orang utara sebagai "setbot". |
Pandangan dari pintu masuk bilik |
Dapur yang lengkap dengan kelengkapan memasak |
Sepertimana kelaziman di rumah-rumah kampung dizamannya, dapur arang yang menggunakan batu bata sebagai tungku adalah satu kemestian. |
Para yang digunakan untuk meletak pinggan mangkuk |
Tempat membasuh yang merupakan papan yang disusun jarang bagi membolehkan air mengalir ketanah. Kelihatan juga bekas menyimpan air yang dikenali sebagai Guri, kukur kelapa serta batu giling. |
Tingkap diruang tengah |
Set Suis lama yang dikekalkan. |
Lampu anjung....tidak pasti sama ada ianya adalah lampu asal atau hiasan baru. |
Plak perasmian Rumah P.Ramlee |
Dibahagian ruang tamu rumah ini turut dipamerkan gambar keluarga dan dokumen bersejarah milik P.Ramlee, untuk mengetahuinya, silalah berkunjung ke Rumah P.Ramlee. Bersebelahan dengan rumah ini terdapat Kompleks Pustaka Warisan Seni yang menempatkan Galeri P.Ramlee dan Auditorium P.Ramlee.
Rujukan:
Akmal Abdullah. Rumah Peringatan P.Ramlee jadi tarikan. (5
Jun 2000). Berita Harian
Anuar Asmadi. Rumah P.Ramlee jadi tumpuan semula. ( 17
Febuari 1998). Berita Harian
Hardi Effendi Yaacob. Khazanah Seni di Rumah P.Ramlee. ( 28
Mei 1998). Berita Harian
Kampung house where a star was born. (3 March 1981). The
Straits Times
Rumah P.Ramlee broken into. (5 September 2002). New Straits
Times
Rumah Peringatan P.Ramlee dipecah masuk, RM1000 hilang. (5
September 2002). Utusan Malaysia
Syed Ismail Syed Abu Bakar. Tokoh Sanjungan. (2 November
2012). Harian Metro.
No comments:
Post a Comment