Wednesday, November 21, 2012

Foh Hup Omnibus (1937 - 2002) : Berakhirnya sebuah legasi.

Oleh : Harith Faruqi Sidek


Legasi bas hijau (Sumber : Google image)

Jika mengimbau kembali korpus sejarah pengangkutan awam negara, nama Foh Hup Omnibus Sdn. Bhd. pastinya menggamit kenangan ramai pengguna pengangkutan awam sekitar laluan Kuala Lumpur, Ulu Langat, Hulu Langat hingga Seremban. Syarikat Foh Hup Omnibus mulai beroperasi sekitar tahun 1937, ketika zaman emasnya, Foh Hup begitu dominan dan membina legasinya sendiri sebagai antara syarikat bas terbesar dan termaju di negara pada ketika itu. Malah jika berada di Puduraya, kelibat bas Foh Hup dengan berwarna hijau begitu banyak tersusun sedia menunggu penumpang di kebanyakkan platfom, seolah-olah Puduraya itu merupakan perhentian milik mereka, bas milik syarikat lain seakan sekadar "menumpang" sahaja dengan satu dua platfom sahaja.

Stesyen Bas Foh Hup di bandar kajang. (Sumber : NSTP)

Perkhidmatan termaju

Dengan prestasi kewangan yang kukuh, Foh Hup mampu menawarkan perkhidmatan yang termaju pada era 60an - 70an, berbanding syarikat Bas tempatan yang lain, mereka mampu memperolehi bas-bas dari model terkini dan mahal, umpamanya bas dari jenama Mercedes-Benz.

Foh Hup mengiklankan penggunanaan bas dari jenama Mercedes-Benz pada tahun 1962 (Sumber :NST, 24 April 1962 : 9)

Foh Hup bantu jayakan Pertandingan Membaca Al-Quran

Pada tahun 1970, ketika negara menganjurkan pertandingan membaca Al-Quran, Foh Hup Omnibus telah menawarkan perkhidmatan lima buah bus untuk membawa penonton yang ingin menyaksikan pertandingan tersebut yang diadakan di Stadium Merdeka dengan potongan separuh harga bagi tiket. Foh Hup akan mengambil penumpang di enam kawasan yang dipersetujui oleh pihak penganjur, iaitu di Batu 18, 16 dan 14 Ulu Langat, Balai Polis Batu 9 Cheras, Kampung Sungai Midah dan Balai Polis Kajang. Sementara lain-lain laluan adalah dibawah tanggungjawab syarikat bas lain seperti  Len, Len Chee, syarikat KL - Klang & Port Swettenham, Sri Jaya dan Len Seng.

Pengambilan kondukter bas wanita

Syarikat Foh Hup merupakan antara syarikat terawal yang memecah tradisi dengan mengambil wanita sebagai kondukter bas. Mulai tahun 1970, Foh Hup telah mengambil 20 orang pekerja wanita sebagai kondukter lalu memecah dominasi kaum lelaki yang menguasai jawatan tersebut secara total. Langkah berani ini kemudiannya diikuti oleh beberapa syarikat pesaing seperti Leng Seng.

Salah satu babak yang membabitkan bas Foh Hup  dalam filem "Tunang Pak Dukun" keluaran tahun 1960.

Kejatuhan syarikat- syarikat bas terawal

Namun perubahan prestasi ekonomi dan arus permodenan yang melanda industri pengangkutan awam memberi impak yang besar keatas syarikat gergasi ini serta beberapa syarikat bas yang sezaman dengannya. Masaalah kewangan telah menyebabkan syarikat- syarikat bas terawal seperti United North Malaya Transport Company, Chin Wah Company Omnibus, Eng Lip, Lian Hoe, Len Omnibus, Penang Yellow Bus, Toong Foong, Sum Omnibus serta Foh Hup Omnibus sendiri bergelut untuk meneruskan perkhidmatan mereka. Akhirnya satu persatu syarikat ini menamatkan perkhidmatan akibat tidak lagi mampu menampung kos operasi yang begitu tinggi berbanding pulangan yang diperolehi syarikat.


Notis pemberitahuan tenatang mogok kesatuan pekerja yang turut melibatkan kakitangan Foh Hup Omnibus pada tahun 1971.

Foh Hup Omnibus ditutup

Setelah sekian lama bertahan dengan masalah kewangan yang meruncing, akhirnya Syarikat ini terpaksa menghentikan operasinya. Apa yang menyedihkan, syarikat ini menghentikan operasinya secara mengejut pada pagi 18 April 2002, lalu menyebabkan ribuan pelajar dan pekerja yang sering menggunakan perkhidmatan ini terkandas di perhentian-perhentian bas setelah bas Foh Hup yang sering dinaiki tidak muncul seawal jam 6 pagi lagi. Antara kawasan yang terjejas teruk ialah Sungai Lui, Ulu Langat, Sungai Tekali, Semenyih, Lenggeng, Broga, Pajam, Kajang dan beberapa kawasan di Nilai dan Seremban, kerana Foh Hup adalah satu-satunya syarikat bas yang beroperasi di laluan berkenaan. Kawasan-kawasan lain masih bernasib baik kerana ada syarikat lain yang turut beroperasi di kawasan tersebut seperti Park May ( City Liner).

Bas - bas yang sepatutnya beroperasi itu rupanya telah dikumpulkan di depot simpanan bas yang terletak di Taman Jasmin, Kajang. Sebanyak 32 buah bas milik syarikat berkenaan ditinggalkan tanpa cukai jalan dan permit perjalanan oleh pihak pengurusan syarikat. Permit perjalanan yang diberikan kepada Foh Hup sah sehingga 2006, ertinya syarikat ini telah menamatkan operasinya hampir empat tahun lebih awal dari tarikh tamat permit.

Hentian bas Kajang yang menjadi persinggahan Bas Foh Hup suatu masa dahulu (NST, 20 November 1992)


Kerugian berpanjangan faktor syarikat ditutup

Laporan Zaini Raban ( Utusan Malaysia, 20 April 2002) berjaya mendapatkan penjelasan mengapa syarikat Foh Hup terpaksa "Gulung Tikar",  menurut Pengarah Urusan Foh Hup Omnibus sendiri, iaitu Encik Hee Then Mu, syarikat terpaksa menghentikan operasi akibat tanggungan kerugian yang berpanjangan mulai tahun 1994. Kerapuhan prestasi kewangan menjejaskan prestasi syarikat, akhirnya mereka kekurangan bas lalu gagal bersaing dengan syarikat lain yang menawarkan perkhidmatan yang lebih baik.

Menurut beliau lagi, purata  kerugian Syarikat Foh Hup setiap bulan adalah sebanyak RM100,000, lalu kos operasi dan penyelenggaraan mulai terjejas. Akhirnya setelah 65 tahun beroperasi dan tegar melalui zaman emas dan murung, syarikat ini akhirnya terpaksa ditutup.



Tidak bergaji dan hilang pekerjaan

Penutupan syarikat Foh Hup telah membuka pekung yang tidak diketahui awam sebelum ini, 120 orang pekerjanya bukan sahaja telah kehilangan pekerjaan, malah lebih teruk dari itu, sebahagian daripada mereka tidak dibayar gaji sejak bulan mac tahun berkenaan, manakala sebahagian lagi menerima gaji secara ansuran. Laporan Sharifuddin Shaari ( Utusan Malaysia, 18 April 2002 ) turut menyebut tentang para pekerja yang tidak menikmati kenaikan gaji sejak empat tahun lalu selain caruman kedalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ( KWSP) juga tidak dijelaskan oleh Foh Hup Omnibus sejak lima tahun lalu. Malah faedah lain yang layak diterima oleh para pekerja seperti faedah kesihatan, cuti tahunan dan pakaian seragam juga telah dibaikan oleh pihak syarikat atas faktor kewangan yang sangat meruncing.



Bas disita dan dilelong

Bagai jatuh ditimpa tangga, pada pengurusan Foh Hup sedang berkira-kira mencari penyelesaian bagi meneruskan semula operasi syarikat dan menyelamatkan 120 orang pekerja yang pernah mereka naungi, syarikat disabitkan dengan kesalahan kerana gagal menjelaskan caruman KWSP pekerja-pekerjanya yang seramai 120 orang itu. Laporan Zaini Rabin ( Utusan Malaysia, 20 April 2002) menyebut syarikat perlu menjelaskan caruman sebanyak RM737,587 yang tertunggak sejak Februari 1998 hingga Februari 2000. Pada 19 April 2002, pihak KWSP telah mengambil tindakan menyita kesemua 32 buah bas milik Foh Hup yang disimpan di depoh bas di Taman Jasmin, Kajang. Bas -bas Foh Hup di cawangan Seremban sebanyak 24 buah turut menerima nasib yang sama.

Atas arahan mahkamah, Foh Hup diberi tempoh dua minggu untuk menjelaskan caruman tersebut, jika gagal, kesemua buah bas yang telah disita itu akan dilelong dan hasilnya akan dicarum dalam akaun KWSP para pekerja yang terlibat. Malangnya, setelah tamat tempoh rundingan yang diberikan, pihak Foh Hup Omnibus masih gagal menjelaskan caruman KWSP para pekerjanya yang tertunggak, usaha mencari rakan kongsi baru bagi mendapatkan dana juga gagal. Atas kegagalan tersebut, pihak KWSP terpaksa mengambil tindakan melelong bas - bas serta aset lain milik Foh Hup yang berada di setiap cawangan. Lelongan bas-bas di cawangan Kajang beserta peralatan pejabat berjaya mengutip RM 164,000, baki selebihnya ditampung oleh hasil lelongan 24 buah bas di Cawangan Seremban.

Berkaitan dengan jumlah sebenar bas yang dimilik oleh Foh Hup Omnibus, disini terdapat percanggahan fakta, kerana laporan M.K Megan dan Cheah Chor Sooi (NST, 21 April 2002) menyebut keseluruhan bas milik syarikat Foh Hup adalah sebanyak 45 buah sahaja, tetapi hanya 38 sahaja yang dalam keadaan baik, sementara 7 buah lagi sedang dibaiki. 


Jejak akhir bekas bas-bas Foh Hup

Tiada maklumat apa yang terjadi keatas bas-bas yang dilelong, namun mungkin juga bas-bas berkenaan masih menabur jasa dan bakti tetapi dalam "rupadiri" yang berbeza, mungkin sudah "dijelmakan" semula sebagai bas sekolah atau bas kilang. Atau mungkin juga ada yang telah dibeli oleh syarikat pesaingnya dahulu.


Menjadi kenangan abadi

Berakhirnya legasi bas Foh Hup pastinya dirasai oleh rata-rata bekas penggunanya,  mana tidaknya nostalgia bersama bas ini bermula dari zaman kanak-kanak hingga ke alam persekolahan malah kelangsungan itu diteruskan hingga ke alam pekerjaan. Saya juga tidak terkecuali, merasai nostalgia tersebut, apatah lagi bas Foh Hup lah bas pertama yang saya naiki, dan kenangan itu saya kongsi bersama arwah datuk yang juga insan pertama yang membawa saya sampai ke Puduraya, "rumah" utama bas Foh Hup

Bas Foh Hup mengambil penumpang di Kajang (NST, 20 November 1992)

Sebagai penutup, setinggi terima kasih buat semua bekas pekerja Foh Hup Omnibus yang selama mereka memberikan perkhidmatan telah memudahkan saya ke sekolah dan Universiti, jasa kalian dikenang dan tersemat dalam lipatan sejarah. Manalah tahu suatu hari nanti kita akan melihat semula kemunculan Foh Hup Omnibus.



Rujukan:


Cadangan Foh Hup jadi rakan kongsi dipertimbang (21 April 2002), Utusan Malaysia.

Gadis2 jadi kondakter: Belum ada ranchangan kata Sri Jaya ( 24 Januari 1970), Berita Harian. P.2


KWSP lelong 14 bas Foh Hup (30 Julai 2002), Utusan Malaysia.

L.H Lim. (20 November 1992). Bus-stand on wrong side of road. New Straits Times.


M.K Megan, Cheah Chor Sooi. (21 April 2002). Foh Hup’s action wrong, says TWU , New Straits Times.

Perkhidmatan bas dan k-api khas ka-peraduan Kur’an (11 November 1970), Berita Harian. P.5

Sahbulan Mohamad. (18 April 2002). Foh Hup henti operasi dikesali , Utusan Malaysia.

Sharilfuddin Saari. (18 April 2002). Foh Hup henti opeasi mengejut, Utusan Malaysia.

Tiga syarikat ambil alih 15 laluan Foh Hup (24 April 2002), Utusan Malaysia.

Zaini Raban. (20 April 2002). Gagal mencarum: KWSP sita 32 bas Foh Hup, Utusan Malaysia.
 

19 comments:

Anonymous said...

Sejarah Foh Hup....bas termasyur di Hulu Langat..

Jaya said...

Thank you Harith for preserving this bit of Kajang's history for us. I too have many memories of Foh Hup with my family and your article has helped bring back those lovely memories. :)

TAJUDDIN ISMAIL said...

Terlalu banyak kenangan manis saya yang ada kaitan dengan bas Foh Hup sejak dari kecil hingga dewasa. Dari tahun 1959 hingga 1966 saya berada di dalam bas Foh Hup selama hampir dua jam setiap hari dalam perjalanan dari Batu 14 Ulu Langat ke Kajang High School untuk pergi ke sekolah. Di dalam bas Foh Hup saya bersama rakan-rakan sekolah serta murid-murid sekolah lain di Kajang bermain, menyiapkan homework atau menikmati pemandangan di sepanjang jalan. Harga pas bulanan untuk menaiki bas ke sekolah pada waktu itu ialah RM3 - RM4 sebulan. Banyak jasa kakitangan serta pemilik Syarikat Foh Hup Omnibus kepada saya dan keluarga. Terima kasih dan sekalung penghargaan saya kepada bas Foh Hup. Jasa mu tetap ku kenang.

Anonymous said...

Sewaktu saya tinggal di Semenanjung dulu, bas Foh Hup ini byk kenangan. Saya masih simpan tiket 15sen bas Foh Hup. Saya juga hafal hamoir semua no.laluan bas Foh Hup: 566-Seremban -KL, 567- Sg Lui-KL, 568-Kajang-Kachau, 569-Mantin-Nilai, 570-Seremban-Broga, 571-Ulu Langat-KL, 572-Kajang-KL, 573-Batu Sembilan Cheras-KL, 574-KL-Taman Cheras, 575-KL-Bandar Tun Razak, 576-KL-Kg Cheras Baru 580-Kajang-Sg Tekali-KL, 581-KL-Taman Connaught 582-KL-Taman Cuepacs 583-KL-Taman Bkt Anggerik, 584-Kajang-Sg Jelok, 585-KL-Tmn Segar, 843-KL- Tmn Murni, 844-KL-Taman Taynton View, 845-Kajang-Taman Sri Jelok, 846-KL-Taman Midah, 847-Seremban -KL Express, 848-KL-Taman Putra 849-KL-Taman Mudun, 850-Mantin-Beranang-Lenggeng 851? 852? 853-Seremban-Taman Cip Aik, 854-Kajang-Taman Cheras Jaya, 855-Jalan Gurney-Jalan Cheras (hari bekerja sahaja), 856-Kajang-Taman Asa Jaya, 857-? 858-KL-Ulu Pangsun

Anonymous said...

Lupa pula kasitau nama,saya Farouq Omaro, menaiki bas Foh Hup selama 20 tahun, banyak saya simpan tiket dulu, tapi setelah beberapa kali berpindah rumah maka tinggallah saja tiket 15 sen seperti saya katakan di atas

Harith Faruqi Sidek said...

Salam sdr Farouq,

Anda memang pengguna bas Foh Hup yang tegar...sampai hafal semua nombor dan laluan bas berkenaan. Saya tak ingat nombor...pasal masa tu kat depan atau panel atas bas akan ada papan nama destinasi bas...paling sakit hati kalau bas dah sampai..tapi konduktor terbalikkan papan atau kosongkan panel tersebut sebagai tanda bas akan berhenti berehat atau tidak meneruskan ke destinasi seterusnya....syabas atas ingatan tuan atas kenangan tersebut dan terima kasih kerana sudi melawat dan memberi komen di blog saya..

Anonymous said...

salam sejahtera.
sungguh menarik artikel saudara ini. agak terperinci mengenai syarikat bas Foh Hup ini sejak penubuhannya hingga ke penghujungnya. saya juga peminat bas seperti saudara tetapi tertumpu di bahagian selatan negara. sejak kecil ketika berumur 12 tahun saya rajin melukis gambar bas2 dan sekarang masih ada dlm simpanan. Hampir 90% peratus sudah saya lukis dan saya mempunyai hampir semua senarai bas seluruh semenanjung dan singapura untuk rekod tahun 70-80an. sekarang sedang merancang mencipta satu blog baru diberi nama reterobas-malaya blogspot.com dimana semua catatan dan foto bas dari tahun 50an hingga 90an. artikel saudara amat membantu saya.

tq. 9M4FA, ed LOkfc
e-mail edlokfc@gmail.com

Anonymous said...

ada sekurang2nya 5 bas Foh Hup yang t'ahkir pernah b'khidmat di Melaka sekitar thn 2002-2011. Mereka ialah WBR1708, WBY7570, WCE6960, WCT572 dan WCT577.

Harith Faruqi Sidek said...

salam,

Menarik maklumat berkaitan 5 buah bas Foh Hup yang pernah berkhidmat di Melaka itu. Terima kasih atas perkongsian berkenaan.

Anonymous said...

bas WCT572 kini ada di Pantai Klebang Melaka, telah diubah menjadi gerai tetapi belum beroperasi. Terima kasih.

Harith Faruqi Sidek said...

salam,

Menarik maklumat berkenaan Bas Foh Hup WCT572, terima kasih kerana berkongsi.

Anonymous said...

tiket bas Foh Hup boleh dilihat dalam link ini koleksioldskool.blogspot.com/.../tiket-bas-dan-papan-t...

Harith Faruqi Sidek said...

Salam,

Terima Kasih atas perkongsian berkaitan tiket Bus Foh Hup tersebut.

anita grava said...

Pozdravljeni, jaz sem gospa Anita Grava, zasebno posojilo posojilodajalca, ki ponuja življenjska doba priložnost posojila. Ali potrebujete posojilo nujno, da bi poplačala svoje dolgove, ali potrebujete posojilo za povečanje vaše poslovanje? Ti so bili zavrnjeni s strani bank in drugih finančnih institucij? Ali potrebujete konsolidacijsko posojilo ali hipoteko? išče več, ker smo tukaj, da bi vse vaše finančne težave stvar preteklosti. Mi posojajo sredstva posameznikom, ki potrebujejo finančno pomoč, ki imajo slabo kreditno ali potrebujejo denar za plačilo računov, za naložbe na poslovanje v višini 2%. Želim uporabiti ta medij, da vas obvestim, da smo zagotavljajo zanesljivo in prejemnica pomoči in bo pripravljena ponuditi posojilo. Torej, nas pokličite še danes po elektronski pošti na:
(anitagrava@live.co.uk)

anita grava said...

Pozdravljeni, jaz sem gospa Anita Grava, zasebno posojilo posojilodajalca, ki ponuja življenjska doba priložnost posojila. Ali potrebujete posojilo nujno, da bi poplačala svoje dolgove, ali potrebujete posojilo za povečanje vaše poslovanje? Ti so bili zavrnjeni s strani bank in drugih finančnih institucij? Ali potrebujete konsolidacijsko posojilo ali hipoteko? išče več, ker smo tukaj, da bi vse vaše finančne težave stvar preteklosti. Mi posojajo sredstva posameznikom, ki potrebujejo finančno pomoč, ki imajo slabo kreditno ali potrebujejo denar za plačilo računov, za naložbe na poslovanje v višini 2%. Želim uporabiti ta medij, da vas obvestim, da smo zagotavljajo zanesljivo in prejemnica pomoči in bo pripravljena ponuditi posojilo. Torej, nas pokličite še danes po elektronski pošti na:
(anitagrava@live.co.uk)

Fred Peterson said...

Hello

Moje ime je gospod Berry Andrews, jaz sem registriran in zakonit posojilodajalec sem dal ven posojila po 3%, I posojilodajalca, ki ga je vedno ohranila, ker sem dal ven posojila vseh vrst.

Kakšno posojila, ki jih potrebujete, jih samo pokliči, bomo vedno pripravljeni, da jih dam.

Ali potrebujete posojilo za vaše nove poslovne investicije? ali pa boste potrebovali osebno posojilo, da skrbijo za družino ali sebe? kakšne vrste posojil, kar potrebujete? jih omenja po elektronski pošti, in vaše kreditne bodo sami pripravili na vašem pragu, takoj ko jih želiš.

Torej, če ste res zainteresirani za posojila, kontaktirajte me preko mojega e-poštni naslov v berryandrews@outlook.com.

Pokliči me zdaj, če res potrebujete to posojilo.

iskreno

G. Berry Andrews.

Fred Peterson said...

Hello

Moje ime je gospod Berry Andrews, jaz sem registriran in zakonit posojilodajalec sem dal ven posojila po 3%, I posojilodajalca, ki ga je vedno ohranila, ker sem dal ven posojila vseh vrst.

Kakšno posojila, ki jih potrebujete, jih samo pokliči, bomo vedno pripravljeni, da jih dam.

Ali potrebujete posojilo za vaše nove poslovne investicije? ali pa boste potrebovali osebno posojilo, da skrbijo za družino ali sebe? kakšne vrste posojil, kar potrebujete? jih omenja po elektronski pošti, in vaše kreditne bodo sami pripravili na vašem pragu, takoj ko jih želiš.

Torej, če ste res zainteresirani za posojila, kontaktirajte me preko mojega e-poštni naslov v berryandrews@outlook.com.

Pokliči me zdaj, če res potrebujete to posojilo.

iskreno

G. Berry Andrews.

Anonymous said...

Bas ini adalah satu-satunya bas yg saya naiki semasa belajar di UKM ie 1980 - 1984 ... Sekarang hanya tinggal kenangan Bas Foh Hup ...

Anonymous said...

Kalau dari bus stand Seremban, bas Foh Hup paling buruk & kopam sekali adalah untuk lalun ke Lenggeng & Broga. Atas alasan apa tidak dpt dikenal pasti pan! Apapun artikel ni mmg menggamit nostalgia. Terima kasih.

den ni..