Saturday, October 27, 2012

Penubuhan Perpustakaan Awam Negeri Melaka dalam era Pentadbiran Negeri-negeri Selat.

Oleh : Harith Faruqi Sidek



Bangunan Stadhouse (Stadhuys) yang menempatkan Perpustakaan Awam terawal di Melaka. (Sumber : TST, 17 May 1936).



Penubuhan Negeri-negeri Selat adalah kesan daripada perjanjian Inggeris – Belanda pada 1824, ianya menyaksikan pentadbiran negeri-negeri di Tanah Melayu dibahagi diantara dua kuasa penjajah tersebut. Negeri-negeri di utara di bawah pentadbiran Inggeris, sementara negeri di Selatan terletak dibawah pentadbiran Belanda. Perjanjian tersebut juga melihatkan Belanda menyerahkan Melaka kepada Inggeris sebagai pertukaran dengan Bangkahulu di Sumatera  yang asalnya milik Inggeris, selain daripada itu, Belanda juga bersetuju mengiktiraf kuasa autonomi inggeris keatas Singapura.

Kesan kedatangan inggeris ke negeri-negeri selat dapat dilihat sehingga ke hari ini, selain nama-nama inggeris yang diabadikan di penempatan dan bangunan, mereka turut meninggalkan jejak yang memberi kesan kepada tradisi keilmuan di Tanah Melayu. Institusi Perpustakaan adalah lambang perkembangan dan pembudayaan ilmu, maka agak menarik bila institusi ini mula dikesan wujud sejak Tanah Melayu berada dibawah pentadbiran Inggeris. Dalam tempoh pentadbiran negeri-negeri selat mulai 1826 hingga 1946, beberapa perpustakaan telah diwujudkan, termasuk perpustakaan sekolah, namun yang akan dikongsikan dalam penulisan ini ialah mengenai tertubuhnya perpustakaan awam yang pertama di Melaka.

Perpustakaan Melaka dikatakan telah ditubuhkan sekitar bulan November 1881 dengan inisiatif sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh C.J Irving. Pada peringkat awal, perpustakaan ini ditempatkan di sebuah rumah rehat sebelum dipindahkan ke bangunan Stadthuys atau disebut juga sebagai Stadthouse. Kos pembangunan yang diperolehi dari hasil sumbangan adalah sekitar $598 (The Straits Times, 17 Mei 1936:10). Tetapi laporan Straits Times Overland Journal bertarikh 12 November 1881 melaporkan rentetan tertubuhnya Perpustakaan Awam Melaka bermula dengan satu mesyuarat yang diadakan pada hari sabtu, 11 november 1881 di Court House yang khusus bagi membincangkan cadangan menubuhkan sebuah perpustakaan di negeri itu, iaitu sepertimana perpustakaan yang lebih awal wujud di Singapura dan Pulau Pinang. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pemangku Residen Councillor, D.F.A Harvey itu telah sebulat suara menerima usul penubuhan Perpustakaan Awam Melaka yang dibaca oleh C.W. Rodyk dan disokong oleh W. Rodyk. Mesyuarat tersebut juga bersetuju bahawa panduan dan peraturan perpustakaan yang akan digunapakai kelak adalah diambil atau diubahsuai daripada yang sedang dilaksanakan di Raffles’s Library, Singapura. Selain dana awam yang telah terkumpul sebanyak $611, mesyuarat juga memohon jawatankuasa penubuhan perpustakaan melaka yang akan diwujudkan memohon bantuan kewangan tambahan selain ruang di mana-mana bangunan kerajaan untuk menempatkan perpustakaan tersebut kelak. Ahli jawatankuasa penubuhan Perpustakaan Melaka yang telah dilantik dalam mesyuarat tersebut ialah:

President : D.F.A Hervey (Pemangku Residen Councillor di Melaka)
Bendahari : J.K Birch (Mejistret jabatan Polis Melaka)
Setiausaha: C.W Rodyk (Pengetua Sekolah Tinggi Melaka)
Ahli:       J.H Verge
                Tan Tek Guan
                A.J Collier
                Lee Keng Liat
                A.A De Wind
                Lee Teck Joo
                W.Rodyk
                Americo De Souza
                B. Gastelow
               

Agak menarik juga bila mendapati terdapat nama rakyat tempatan dalam mesyuarat penubuhan tersebut, selain Tan Tek Guan dan Lee Keng Liat yang terpilih menganggotai Jawatankuasa Penubuhan Perpustakaan Melaka, nama Yeo Kim tee turut dilaporkan dalam laporan akhbar tersebut. Perpustakaan ini dipercayai yang ketiga wujud di Malaya, iaitu selepas Perpustakaan Pulau Pinang dan Raffles Library di Singapura yang ditubuhkan pada 1817 dan 1874.

Mulai disember 1881, perpustakaan ini telah mempunyai koleksi bahan bacaannya yang terawal, bahan tersebut ialah majalah Chatterbox, Every Boy’s Magazine, Every Girl’s Magazine, Family Herald, Fun and Almanack, Gentleman’s Magazine, Good Words and Christian Number dan Myra’s Journal. Kebanyakkan bahan ini dilbekalkan oleh pembekal luar Negara, khususnya dari United Kingdom.
Contoh Majalah "Chatterbox" (Sumber : library.unt.edu)


Contoh Majalah "Everyboy's Magazine" (Sumber : http://www.philsp.com/data/data132.html)
Jawatan tertinggi dalam struktur organisasi Perpustakaan Melaka ialah Presiden, ianya disandang oleh Charles John Irving, beliau merupakan bekas pegawai di Colonial Office Land and Emigration Department, Resident Councillor di Melaka sebelum bersara sebagai Resident Councillor di Pulau Pinang. Perpustakaan Melaka tertubuh adalah hasil inisiatif beliau sewaktu masih memegang jawatan sebagai Resident Councillor di Melaka, pada masa itu juga beliau diamanahkan jawatan Presiden kepada jawatankuasa Perpustakaan. Kakitangan terawal perpustakaan ini ialah Norman Symons, beliau dilantik menjalankan tugas sebagai seorang pustakawan dengan gaji $20 sebulan. Jawatankuasa perpustakaan kemudiannya melantik dua orang peon (pembantu pejabat) dengan gaji $6 sebulan.

Akibat masalah belanjawan yang terhad, jawatankuasa perpustakaan Melaka terpaksa merombak semula perjawatan, mereka telah menamatkan khidmat Norman Symons selaku pustakwan, tempat beliau digantikan dengan seorang kerani yang menerima gaji sebanyak $10 sebulan, sementara seorang peon turut diberhentikan , tetapi kemudianya digantikan dengan membuat pengambilan baru dengan tawaran gaji permulaan yang lebih rendah iaitu $2 sebulan.

Laporan mesyuarat agung jawatankuasa perpustakaan pada januari 1887 menunjukkan perpustakaan Melaka telah mempunyai koleksi buku sebanyak 1,129 naskah, sementara rekod pengunjung pula adalah melebihi 200 orang sebulan. Sementara bacaan popular adalah akhbar The Straits Times dan The Singapore Free Press. Perpustakaan Melaka juga telah mempunyai keahlian berdaftar seramai 40 orang yang kebanyakkannya terdiri dari pegawai tinggi British, antaranya Pendaftar Mahkamah Melaka, Charles Eugene Velge dan Seorang peguam terkemuka, R.W Braddell, dan yang menariknya terdapat dua nama rakyat tempatan yang tercatat dalam rekod keahlian tersebut, mereka ialah Lee Tek Joo dan Lee Tek Guan.

Akhbar Singapore Free Press merupakan bahan bacaan yang popular pada ketika itu.

Diantara tokoh era colonial yang pernah menganggotai Jawatankuasa Perpustakaan Melaka ialah Sir Ernest W. Birch, beliau adalah anak kepada J.W.W Birch, Residen British yang mati dibunuh di Perak. E.W Birch pernah berkhidmat sebagai Residen British di Labuan, Gabenor British di Borneo Utara dan Residen di Negeri Sembilan. Beliau menyertai Jawatankuasa Perpustakaan Melaka pada mac 1888. Selain Birch, tokoh lain yang turut menganggotai Jawatankuasa Perpustakaan Melaka ialah Dr. G.W Freer (Pakar Bedah di Melaka, kemudiannya menjadi Pengarah Hospital Pulau Pinang dan pada 1905 dilantik menjadi Pengetua Pertama Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura), E.C Broadrick (Presiden Perbandaran Singapura) dan J. Howell (Pengetua Sekolah Tinggi Melaka).

Sewaktu dibawah Rev. Frank Haines, Perpustakaan Melaka telah cuba memperkenalkan waktu pembukaan baru yang lebih panjang. Sepanjang waktu percubaan, Perpustakaan telah dibuka mulai jam 6 pagi sehingga 7 malam dari isnin hingga jumaat dan 10 pagi hingga 5 petang pada hari ahad. Namun waktu percubaan ini ternyata tidak berkesan dan lebih sulit lagi dari sudut pengurusan, lalu ianya ditolak oleh jawatankuasa. Pada tahun 1901, akibat belajawan yang semakin susut, Pengurusan terpaksa memberhentikan seorang Peon yang juga merupakan kakitangan mereka yang terawal. Peon tersebut telah diberi gratuiti sebanyak $25 bagi menghargai perkhidmatannya selama 20 tahun di Perpustakaan Melaka.

Pada tahun 1902, Perpustakaan Melaka telah membuat perancangan penjimatan iaitu dengan membeli buku terpakai dari Raffles Library di Singapura dengan harga $1.25 senaskah. Raffles Library juga telah memperkenalkan perkhidmatan pinjaman antara perpustakaan dengan bayaran sebanyak $5 untuk 30 volume bagi setiap penghantaran.

Perpustakaan Melaka dikatakan berada dalam tempoh perkhidmatan terbaiknya diantara tahun 1927 hingga 1930 dengan beberapa penambahbaikan dari segi frasarana. Perpustakaan mula membuat perolehan judul-judul buku fiksyen dan non-fiksyen yang terkenal, Ruang bacaan juga telah dilengkapi dengan kipas angin selain memperkenalkan koleksi remaja dengan bantuan dana kerajaan sebanyak $600. Kad indeks pengarang juga telah diperkenalkan oleh H.W Haworth dan telah digunapakai mulai pada tahun 1930.

Menjelang tahun 1936, koleksi Perpustakaan Melaka telah mencapai 6000 naskah, antara bahan yang menarik ialah memoir Sir Stamford Raffles, buku karangan Sir Stamford Raffles tentang sejarah negeri Jawa, Sejarah Sumatra oleh Mardsen dan Anecdotal History of Singapore oleh Buckley. Perpustakaan Melaka juga telah dipindahkan ke dua buah bilik yang agak besar ditingkat atas bangunan Stadhouse (Stadhuys) dengan pemandangan yang mengadap sungai dan binaan Air Pancut Queen Victoria. Disebelah Perpustakaan, adalah bilik yang dikhusukan untuk Persatuan Sejarah Negeri Melaka, ianya umpama galeri yang menempatkan banyak khazanah bersejarah negeri Melaka. Berdasarkan gambaran yang dilaporkan dalam artikel tersebut, Ruang yang pernah menjadi Perpustakaan Melaka itu kini dipercayai adalah ruang yang sama dimana beberapa muzium dan galeri yang ditempatkan di bangunan Stadthuys kini. Perpustakaan itu kemudiannya telah dinamakan sebagai Henry Gurney Memorial Library.


Bangunan Stadhuys kini.... ( Sumber : http://www.cuti.my)




Rujukan:


________ ( 12 November 1881). Library for Malacca, Straits Times Overland Journal. p. 3

A.L Hoops. (17 May 1936). History of Malacca Library. The Straits Times. P.10

Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka. (http://www.perpustam.gov.my/index.php/infokorporat/kronologi)

1 comment:

Illillsa said...

Great read thaanks