Thursday, October 18, 2012

S.Kadarisman : Dari Penjilid Buku ke Sutradara...

Oleh : Harith Faruqi Sidek



Pak Kadar atau S. Kadarisman adalah diantara bintang layar perak tanahair yang bisa menambat hati setiap kali beraksi. S.Kadarisman adalah nama pentas bagi pemilik nama asalnya, Shadat Kadarisman bin Raden Deswaren Ambiak, namun beliau lebih senang dikenali sebagai Shadat Kadarisman bin Haron. Pak Kadar dilahirkan di Singapura pada tahun 12 Mei 1921, beliau merupakan anak kedua dari lima orang adik beradik dalam keluarga yang  berasal dari Kendal, Jawa Tengah. Pak Kadar mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Glam, kemudiannya di Rangoon English School, Victoria School sebelum memasuki sekolah aliran agama di Sekolah Arab Alsagoff di Singapura.


Sebelum bergelar anak seni sepenuh masa, Pak Kadar memasuki alam pekerjaan sebagai Penjilid Buku di MPH ( ketika itu Malayan Publishing House) dengan gaji sembilan ringgit sebulan, kemudiannya beliau memasuki perkhidmatan Tentera Laut British. Pak Kadar telah mula berjinak-jinak dengan dunia seni melalui pementasan opera ketika umurnya menjejak 17 tahun, menariknya kegiatan ini dilakukan secara separuh masa, iaitu dimaktu malam ketika meskipun ketika masih bekerja di MPH dan Tentera Laut British. Meskipun menerima bayaran serendah 20 sen bagi setiap persembahan, Pak Kadar tetap meneruskan minatnya itu dan beliau gembira bergelar anak seni. Pengalaman pahit beliau sewaktu menjadi pelakon bangsawan adalah apabila dibawa mengadakan persembahan di Baling, Kedah, tanpa disangka kawasan tersebut telah dilanda banjir lalu tiada pementasan dapat dibuat. Memandangkan upah yang diterima adalah setiap kali lepas persembahan, maka tanpa persembahan tiadalah juga upah untuk dirinya dan krew-krew yang terlibat. Pak Kadar menceritakan dalam satu temuramah, beliau terpaka makan kulit roti yang dibuang oleh peniaga malabari dengan bersulamkan air paip selama tiada persembahan, kesannya beliau mendapat penyakit gastrik yang berpanjangan. Penderitaan beliau berakhir apabila kenalan yang datang dari Kupang membuat kutipan khas untuk beliau, dengan duit kutipan itulah Pak Kadar balik ke Singapura dengan Bas dan tidak lagi melibatkan diri dengan persembahan pentas secara jelajah, cukup hanya sekitar Singapura sahaja.

Tahun 1950, ketika usia beliau mencecah 30 tahun, Pak Kadar mendapat tawaran membintangi filem sulung beliau, Perkahwinan Rahsia. Kehebatan produksi di Jalan Ampas telah menggamit Pak Kadar untuk turut serta dalam karya-karya yang terhasil dari Studio Jalan Ampas, maka dari situlah beliau digandingkan dengan nama-nama besar filem melayu, seperti P.Ramlee, Aziz Sattar, Aziz Jaafar, Haji Mahadi, Saadiah, Roseyatimah dan lain-lain. Antara filem-filem lakonan beliau yang terkesan ialah, Tiga Abdul, Antara Dua Darjat, Ali Baba Bujang Lapok dan Seniman Bujang Lapok. Malah sewaktu di Jalan Ampas, Pak Kadar dikatakan pernah menjadi pelakon yang menerima gaji paling tinggi pada satu ketika, meskipun tidak penah diberi watak utama, tetapi kebolehan beliau menjiwai pelbagai watak yang diberikan menyebabkan beliau sangat "laku" dikalangan pengarah filem.

Selain berlakon dan mengarah, Pak Kadar juga mempunyai bakat dalam bidang penulisan, bakat tersebut beliau curahkan sewaktu menjadi penulis sambilan dalam Majalah Bintang Filem keluaran Melayu Raya Press Company. Jika menulis artikel yang agak kontroversi tentang dunia perfileman, Pak Kadar akan menggunakan nama samaran "Burung Hantu", ianya terpaksa dilakukan demi menjaga hubungan harmoni antara dirinya dengan warga seni yang lain, antara kritikan pedas yang beliau lontarkan ialah sikap primadona pelakon baru, pelakon yang masuk dunia seni dengan tujuan yang salah, pelakon yang menggunakan kedudukan untuk membawa kenalan masuk berlakon (meskipun tidak berbakat langsung), skandal sosial dan sebagainya.


Ketika peristiwa "Natrah" berlaku di Singapura, Pak Kadar telah bertindak menganjurkan aktiviti pementasan khusus bagi mengutip dana buat Natrah Adabi atau nama asal beliau, Maria Hertogh yang pada masa sedang menanti keputusan mahkamah bersabit hak penjagaan. Pak Kadar pada masa itu masih aktif sebagai pelakon bangsawan bersama Sri Kembangan Opera.

Laporan akhbar tentang usaha S. Kadarisman membantu mengutip dana bagi Natrah ( The Singapore Free Press, 24 November 1950: 5)
Panas yang disangkakan hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari, kehebatan Studio Jalan Ampas akhirnya runtuh, lalu Pak Kadar terpaksa berhijarah ke Kuala Lumpur demi meneruskan kerjaya seni beliau. Ketika di Kuala Lumpur, Pak Kadar lebih berperanan sebagai pengarah, lalu pada era inilah beliau dikatakan orang yang bertanggungjawab menaikkan pelakon - pelakon baru seperti Latiff Borgiba, Noor Azizah, Hussein Abu Hassan serta ramai lagi. Namun suasana di Kuala Lumpur tidak semeriah di Jalan Ampas, Pak kadar terpaksa akur dengan suasana itu, beliau pulang ke Singapura setelah khidmat beliau tidak lagi ditagih oleh pembikin filem di Kuala Lumpur. Sepanjang penglibatan beliau dalam dunia perfileman, Pak Kadar telah membintangi lebih 70 buah filem, selain turut mengarahkan 25 buah filem.Pengiktirafan yang dianugerahkan kepada Pak Kadar bagi menghargai sumbangan beliau dalam dunia seni ialah, Tokoh Bangsawan serta Anugerah Pelakon Veteran yang beliau terima di Festival Filem Malaysia ke-7.

Keratan akhbar pencarian pelakon wanita untuk membintangi filem "Hutang Darah", Pak Kadar adalah pengarah filem berkenaan ( Berita Harian, 27 Oktober 1971: 9)

Pak Kadar meninggal dunia pada hari Khamis, 16 Februari 1989 ketika berusia 68 tahun di kediaman beliau di Blok 759, Yishun Ring Road, Singapura.Seperti yang dilaporkan oleh wartawan Mardiana Abu Bakar dalam The Straits Times bertarikh 23 Februari 1989, Pak Kadar dikatakan sedang makan malam bersama keluarga beliau kira-kira jam 9 malam, sebelum tiba-tiba diserang sesak nafas dipercayai serangan jantung, lalu rebah dan menghembuskan nafas terakhir diatas pangkuan salah seorang anakanda lelaki beliau, Nazaruddin. Jenazah Pak Kadar disemadikan di Pusara Aman, sebuah perkuburan islam di Singapura, beliau meninggalkan sepuluh orang anak, isteri beliau Fatimah Khairuddin telah terlebih dahulu menemui ilahi setahun sebelumnya.


Rujukan :


S. Kadarisman meninggal. (17 Februari 1989). Berita Harian, p.1

Mohd Yusoff Ahmad, Chairul Fahmy Hussainy (Transc.), Nur Azlin Salim (ed.) . (1986) Wawancara dengan Encik Shadat Kadarisman bin Haron. 1 Mei 1986.  CORD, The Oral History Centre, National Archives of Singapore (http://cord.nhb.gov.sg/cord/public/internetSearch/index.jsp).

Malay actors to help Maria (24 November 1950), The Singapore Free Press. p. 5

NewspaperSG, National Library of Singapore. at: http://newspapers.nl.sg.

Studio Merdeka chari pelakon wanita(27 October 1971). Berita Harian,  p.9

 'Fitnah' tutup peluang Kadarisman arah filem. (2 October 1983). Berita Harian, p. 7

Kadarisman pernah terima gaji paling 'top'. (29 October 1986). Berita Harian, p. 5

Pak Kadar utamakan disiplin (19 February 1989). Berita Harian, p.8.

No comments: