Wednesday, January 22, 2014

Kekacauan ketika 'Battle of the bands', kerajaan haramkan Konsert Rock.

Oleh: Harith Faruqi Sidek



Ekoran dari kekacauan yang berlaku sewaktu konsert 'Battle of the Bands' di Sungai Pinang,Pulau Pinang pada 3 September 1986. Kerajaan telah mengambil langkah drastik dengan mengumumkan pengharaman keatas sebarang konsert muzik rock berkuatkuasa serta merta. Keputusan ini diumumkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri pada ketika itu, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob. Semua pihak berkuasa termasuk PDRM diminta tidak lagi mengeluarkan sebarang permit bagi tujuan berkenaan sambil mendakwa muzik rock memberi pengaruh buruk kepada golongan belia. 

Menurut Ali Bakar, Promoter syarikat Boxoffice yang menganjurkan konsert berkenaan, konsert yang dihadiri kira-kira 5000 peminat itu sebahagian besarnya dari dua kelompok, iaitu dari Butterworth dan sebelah Pulau. Bibit kekacauan mula berlaku sewaktu kumpulan Rahim Maarof and The White steel memulakan persembahan, pada ketika itu peminat yang berada di barisan hadapan mula memanjat pentas. Tindakan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati peminat yang berada di belakang lalu mereka mula membaling objek kearah pentas dan peminat yang berada di hadapan. Apabila kumpulan SYJ mengambil giliran di pentas, keadaan menjadi makin teruk apabila peminat yang berada di hadapan mula bertindakbalas, kekecohan ini berlarutan selama 10 minit sebelum pihak FRU campur tangan dan berjaya meredakan keadaan. Setelah keadaaan kembali tenang, konsert diteruskan dengan persembahan Ella & The Boys, Bloodshed dan Lefthanded. (NST, 4 September 1986).

Pengharaman ini kemudiannya ditarik balik dengan syarat semua konsert Rock diadakan didalam kawasan tertutup seperti dewan. Penggiat muzik ini terus berjuang sehingga konsert di ruang terbuka dibenarkan semula.

Sumber:

Ahmad Fauzi (8 September 1986). Rock lives against the odds in Klang, The New Straits Times, p.3

Fifi Lim (25 September 1986) Musician's battle to keep rock alive is partially won, The New Straits Times, p.3

Rock concert banned (8 September 1986). The New Straits Times, p.1

Yeap Soon Beng (4 September 1986), Teenagers go wild at rock concert: F.R.U men forced to control crowd. The New Straits Times, p.3

No comments: