Sunday, June 30, 2013

Tolak tawaran Cardiff City, Ghani Minhat terlepas rekod sebagai melayu pertama bermain dalam Liga Inggeris.

Oleh: Harith Faruqi Sidek

Allahyarham Abdul Ghani Minhat (1935-2012)


Sejarah Cardiff City dalam peta bolasepak negara bukan bermula pada tahun 2010 apabila kelab dari Wales itu dibeli oleh jutawan Malaysia,Tan Sri Vincent Tan. Sebaliknya nama Cardiff City telah muncul didada akhbar di Malaya pada tahun 1962, iaitu apabila kelab tersebut yang baru tersingkir dari divisyen satu inggeris itu dikatakan cuba memancing ‘Raja Bola’ Abdul Ghani Minhat dan pemain kebangsaan Singapura, Quah Kim Swee untuk menyertai pasukan itu bagi musim 62/63. Pengurus Cardiff City pada ketika itu, Bill Jones dikatakan telah menulis surat kepada wakil kelab berkenaan di Singapura agar menghubungi Ghani Minhat dan memaklumkan kepada lagenda bolasepak negara itu bahawasanya beliau boleh bermain di Cardiff seberapa lama yang beliau inginkan. (The Straits Times, 29 May 1962, Page 17).

 

Bill Jones mahukan Ghani Minhat di Cardiff City ( The Straits Times, 29 Mei 1962)

Pemain Singapura yang turut dikaitkan dengan Cardiff City, Quah Kim Swee walau bagaimanapun telah awal-awal lagi menyatakan tidak berminat dengan tawaran kelab inggeris itu. Menurut laporan The Straits Times bertarikh 17 Januari 1962, pemain singapura itu yakin beliau tidak akan mampu bermain dengan baik di England kerana keadaan persekitaran yang berbeza, malah gaji sebanyak 170 pound seminggu yang ditawarkan oleh Cardiff City juga dikatakan tidaklah semewah mana jika mengambil kira kos kehidupan di England kelak.

 


Sementara Ghani Minhat yang pada ketika itu berusia 27 tahun pula menafikan mengetahui akan tawaran daripada Cardiff City keatasnya,  sebaliknya berita berkaitan perkara itu hanya diketahuinya  melalui laporan akhbar sahaja. Cardiff City dikatakan telah membuat tawaran kepada Ghani Minhat sebanyak dua kali, iaitu pada 17 Januari 1962 dan 29 Mei 1962. ( Berita Harian, 5 November 1985). Disebabkan tiada tawaran rasmi yang sampai kepada beliau, maka Ghani Minhat secara tidak langsung menolak ‘tawaran’ untuk menyertai Cardiff City. 


Tawaran kali pertama yang tidak rasmi ? ( The Starits Times, 18 Januari 1962)

Meskipun peluang beraksi dalam liga inggeris tidak menjadi kenyataan, Ghani Minhat bersama seorang lagi bintang bolasepak negara, Robert Choe tetap ke England untuk bersama kelab West Ham United pada tahun berkenaan, tetapi sebagai program latihan dan lawatan sambil belajar selama enam minggu, sebelum itu mereka akan berada di Jerman selama dua bulan bersama  kelab Eintracht Frankfurt untuk tujuan yang sama.


Ghani dan Robert Choe di Jerman (The Straits Times, 1 November 1962)

Rujukan:

A blackboard lesson in german for Ghani and Robert. The straits times, 1 november 1962, page 18


A gamble Ghani and Kirn Swee should not take. The straits times, 19 january 1962, page 19


Anugerah yg sungguh dibanggakan. Berita Harian, 5 november 1983, page 9


Cardiff chief wants Ghani for new season. The straits times, 29 may 1962, page 17


Cardiff keen on Quah, Ghani . The straits times, 17 january 1962, page 17


Ghani in london: 3 weeks wasted. The straits times, 18 january 1963, page 23


No offer yet to Ghani. The straits times, 18 january 1962, page 19


Warm welcome for Ghani and Choe. The straits times, 13 february 1963, page 14

No comments: