Oleh: Harith Faruqi Sidek
a) Johor
Lagu rasmi negeri Johor yang terawal digubah oleh Mackertich.Galistan Abdullah pada tahun 1897. Lagu negeri Johor ini dikatakan diinspirasikan dari lagu Dondang Sayang, tetapi telah melalui proses adunan semula tanpa sebarang senikata. Lagu ini mula digunakan semasa pemerintahan Sultan Abu Bakar. Kemudiannya pada tahun 1910, lagu ini diberi senikata, Hubert A Courtney, seorang pegawai bank di Hong Kong Bank cawangan Johor Bahru telah menulis senikata lagu tersebut dalam bahasa inggeris sebelum diterjemah oleh Dato Haji Mohamed Said bin Haji Sulaiman ke dalam bahasa Melayu (Malaya in History, VI(2), p.27). Lagu ini kemudiannya diberi nama 'Bangsa Johor'.
b) Selangor
Negeri ini mula memiliki lagu rasmi pada tahun 1908, iaitu sebuah lagu gubahan semula dari lagu Chantek Manis. Pemilihan lagu ini dilakukan oleh Raja Muda Selangor pada ketika itu, Sultan Sulaiman dengan persetujuan Raja Haji Bot. Seorang komposer, Daniel Ortego kemudian diberi tugas membuat gubahan semula.
Pada tahun 1966, Sultan Selangor mengumumkan lagu gubahan Daniel Ortega yang telah berusia 58 tahun itu akan digantikan dengan sebuah lagu baru. Pengumuman ini dibuat setelah baginda didengarkan cadangan lagu baru yang digubah oleh Pengarah Orkestra Filem Negara Malaysia, Encik Saiful Bahri ketika baginda dalam rangka lawatan ke studio Filem Negara Malaysia. ( The Straits Times, 5 Julai 1966, p.11). Lagu baru negeri Selangor ini dinamakan 'Duli Yang Maha Mulia'.
Lagu lama Negeri Selangor (1908)
Allah Selamatkan Duli Yang Maha Mulia,
Kekal Dan Selamat di-atas Takhta,
Panjangkan Umur dan Aman Sentosa,
Adil Mewah Murah Memerintah Rata,
Daulat
Komposer: D.Ortego
c) Negeri Sembilan
Lagu rasmi Negri Sembilan digubah oleh seorang Andrew Caldecott, seorang pegawai tadbir British yang bertugas di Pejabat Daerah Jelebu. Lagu melayu, Bunga Tanjong dipilih untuh digubah semula menjadi lagu rasmi Negri Sembilan. Lagu ini mula dipakai pada tahun 1911. Senikata lagu 'Berkatlah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan' ni kemudiannya telah disunting sepertimana versi semasa.
Lagu asal Negeri Sembilan (1911)
Berkatlah Yang DiPertuan Besar di Negeri Sembilan,
Kurnia Sihat dan Maamor,
Kasehi Raayat lanjutkan Umor,
Kasehi Raayat lanjutkan Umor,
Akan berkati sekalian yang setia,
Musuhnya habis binasa,
Berkatlah Yang DiPertuan Besar di Negeri Sembilan.
Komposer: Andrew Caldecott
d) Pahang
Lagu rasmi negeri Pahang dipilih melalui pertandingan yang diadakan pada tahun 1923, pemenangnya ialah Dorothy Lilian Swonder seorang pemuzik yang juga merupakan anak kepada Pegawai Pertanian Daerah Pekan. Lagu yang dinamakan 'Allah Selamatkan Sultan Kami' ini telah diubah liriknya dari versi asal sepertimana yang dinyanyikan pada hari ini.
e) Terengganu
Penciptaan lagu rasmi negeri ini bermula padatahun1927 oleh Mohamad Hashim Abu Bakar, seorang penolong guru di Sekolah Melayu Paya Bunga. Pada mulanya lagu ini disediakan untuk dinyanyikan sempena majlis keputeraan Sultan Terengganu. Dengan dibantu oleh pelajar sekolah Paya Bunga, Lagu ini telah didendangkan dihadapan sultan, hasilnya baginda tertarik dengan lagu ini lalu dititahkan agar ianya dijadikan lagu rasmi Negri Terengganu. Lagu yang dinamakan 'Selamat Sultan' kemudiannya telah disunting senikatanya.
Lagu Negeri Terengganu (1927)
Allah Peliharakan Raja Kami,
Memerentah Trengganu Negri,
Allah pelihara Raja kami,
Sejahtera Suami Isteri,
Allah peliharakan Raja Kami,
Sentosa Raaayat Negeri,
Komposer : Mohamad Hashim Abu Bakar.
f) Kelantan
Sejarah penciptaan lagu negeri Kelantan bermula apabila pemimpin Pancaragam Polis Kelantan, M.S Menezes diarahkan mencipta sebuah lagu untuk dimainkan semasa sambutan hari keputeraan Sultan Kelantan pada 5 julai 1927. Sultan Kelantan pada ketika itu, Sultan Sulaiman telah berkenan dengan lagu yang dicipta dan tiga tahun kemudian, senikata lagu ciptaan Dato' Haji Mohamed bin Mohammad Said, iaitu setiausaha kerajaan negeri telah melengkapkan lagu rasmi pertama negeri Kelantan. Lagu yang dinamakan 'Selamat Sultan' ini turut mengalami perubahan kecil dari segi senikatanya.
Lagu asal Negeri Kelantan (1927)
Lanjutkan usia Sultan kami,
Sultan Kelantan Raja Ikrami,
Aman Sentosa Tuhan Sirami,
Berkekalan Masa memerentah kami,
Kaseh dan Taat disembahkan
Sepenuh keriangan patek ucapkan
Segala kebesaran Allah cucurkan
Darjah kemuliaan Allah tambahkan
Komposer : M.S Menezes
g) Kedah
Kedah merupakan negeri melayu awal yang terakhir mempunyai lagu negeri, lalu dalam usaha mengadakan lagu rasmi tersebut, Pengarah Orkestra Kelab Selangor (Selangor Club), J.A Reutenberg telah diarahkan mencipta lagu negeri Kedah dengan bayaran $1000 ringgit. Dalam tempoh sesingkat 25 minit, Roeytenberg telah berjaya mencipta lagu yang akan dicadangakan sebagai lagu rasmi negeri Kedah. Urusan pembayaran kepada J.A Roeytenberg telah diuruskan oleh H. Weisberg, Setiausaha Kerajaan Persekutuan yang berpejabat di Kuala Lumpur. Namun rancangan mengadakan lagu negeri Kedah ini adalah inisiatif S.L Jones, Penasihat British di Kedah yang kemudiannya menulis surat atas perkara berkenaan kepada H. Weisberg. (The Straits Times, 7 Mei 1936, p. 12)
Lagu ' Allah Selamatkan Sultan Mahkota' yang digubah oleh Reutenberg ini kemudiannya telah digubah semula oleh Tunku Yakob dengan senikata oleh Menteri Besar Kedah pada masa itu, Tuan Haji Mohammad Sheriff dan iramanya pula ciptaan J.F Agustin. ( The Straits Times, 5 Julai 1949, p.6)
Lagu asal Negeri Kedah (1937)
Allah selamatkan Sultan Mahkota,
Berpanjangan Asia di atas takhta,
Memelihara Ugama Nabi kita
Negeri Kedah serata-rata.
Komposer : J.A Reutenberg@ Redhill
h) Perak
Lagu rasmi negeri Perak disadur dari lagu asal berjudul 'Terang Bulan' dan diinspirasikan oleh Sultan Perak setelah kembali dari Upacara Pertabalan King Edward VII pada tahun 1902. Raja Shahar Shah kemudiannya mencadangkan agar lagu negeri Perak ini dinyanyikan dalam majlis rasmi dan menjadikan peraturan rasmi oleh kerajaan negeri. ( The Straits Times, 14 Oktober 1948, p.5). Lagu negeri Perak ini dinamakan 'Allah Lanjutkan Usia Sultan'.
i) Pulau Pinang
Lagu rasmi Pulau Pinang dimainkan buat pertama kalinya pada 22 Disember 1972, semasa Hari Keputeraan Yang DiPertuan Negeri, Tun Syed Sheh Hassan Barakbah.
j) Perlis
Pada tahun 1930, R.G Ines seorang jurutera telah memurnikan lagu yang dicipta oleh Tuan Syed Hamzah Syed Shafi Jamalullail. Lagu ini kemudiannya telah dimainkan secara orkestra oleh pasukan pancaragam tentera dibawah pimpinan Lenthall. Secara rasmi, lagu ini telah diterima sebagai lagi rasmi negeri Perlis pada tahun 1935. Lagu negeri Perlis ni dinamakan 'Amin Amin Ya RabbalJalil'.
Lagu asal Negeri Perlis (1930)
Amin Amin Ya Rabbal Jalil,
Doa hamba yang sangat zalil
Tinggikan daulat sertanya adil,
Kekal perintah Jamalullail
Amin2....(jawab beramai-ramai)
Rabbana ya Rabbana
Adimlana Malikana
Sultana Saiyed Putra
Yamal Ja'an lil qasidin
Amin2....(Jawab beramai-ramai)
Narju kakum 'auna lahu
Daiman jalal tahu,
Mustashfi'an lil muslimin,
Ayamuji bassa ilin.
Komposer : Syed Hamzah ibni Almarhum Syed Shafi Jamalullail
Lagu negeri dimainkan di Panggung Wayang
Suatu ketika dahulu, selain majlis rasmi, lagu kebangsaan dan lagu negeri turut dimainkan di pawagam.Namun ianya kerap dibahaskan dan dikritik kerana terdapat penonton yang tidak berdiri hormat ketika kedua-dua lagu dimainkan, perkara ini terjadi kerana mereka sibuk mencari laluan untuk keluar dari pawagam selepas habis tayangan. Namun perkara sebegini tidak pula terjadi di negeri Kelantan, sebabnya kedua-lagu rasmi berkenaan dimainkan sebelum tayangan sambil memaparkan gambar Sultan Kelantan dan pemimpin negeri di layar.
Sementara itu, di negeri Perak, beberapa pawagam diarahkan mengemaskini rakaman lagu kebangsaan dan negeri yang mereka mainkan, ianya kerana lagu tersebut telah lama dan kualitinya juga semakin teruk, hingga tidak enak didengar.( The Straits Times, 18 Disember 1953, p. 5)
Rujukan:
A livelier 'beat' now in state Anthem (17 Julai 1967), The
Straits Times, p.11
Anthem (26 Mac 1965), The Straits
Times, p.10
Anthem contest, (3 Mac 1972), The
Straits Times, p.9
Concern over disrespect for national
anthem (8 Disember 1959), The Straits Times, p.6
Kedah Anthem ( 5 Julai 1949), The
Straits Times, p.6
National Anthem for Kedah : KL man paid
$1000 ( 7 Mei 1936), The
Straits Times, p.12
New anthem for Perak (10 Disember 1948), The Singapore Free Press, p.6
New states plan their new anthem (4
September 1958), The Straits Times, p.6
Penang Anthem ( 11 Disember 1972), The Straits Times,
p.9
Perak shows the flag: national anthem not
compulsory (14 Oktober 1948), The Straits Times, p.5
Selangor to have new anthem next year (5
Julai 1966), The Straits Times,
p.11.
Terang Bulan recommended as anthem ( 6
Ogos 1957), The Straits Times, p.1
The Keeper of Public Records. (1961). How the State Anthems of Malaya came to be Written. Malaysia in History, VI(2), 27-33.
They want new record of anthem ( 18
November 1953), The Straits Times, p.5
2 comments:
Great post thankss
Post a Comment