Thursday, July 04, 2013

Ishak Osman,kakitangan UKM jadi penduduk terawal Bandar Baru Bangi.

Oleh: Harith Faruqi Sidek

Encik Ishak Osman

Bandar Baru Bangi mula dibuka secara rasmi kira-kira 40 tahun yang lalu, ianya dibangunkan sejajar dengan pembangunan kampus tetap Universiti Kebangsaan Malaysia yang ditubuhkan pada 18 Mei 1970 dan beroperasi di kampus sementara di Lembah Pantai, UKM kemudiannya berpindah ke kampus tetap di Bangi mulai tahun 1977. Bandar Baru Bangi asalnya merupakan kawasan ladang kelapa sawit yang dikenali sebagai West Country Estate. Kawasan ini kemudiannya telah diambil alih oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor untuk dibangunkan. Bandar Baru Bangi boleh diibaratkan sebagai 'adik' kepada Bangi lama yang telah dibuka lebih awal, iaitu kira-kira 96 tahun lalu.


Penduduk Awal

Sewaktu UKM dibangunkan, tapak kampus ini didiami oleh suku kaum asal dari keturunan Temuan, suku kaum ini dipercayai telah wujud lebih lama dari tarikh penerokaan kawasan Bangi lama. Namun, apabila Bandar Baru Bangi dibuka, kumpulan penduduk terawal yang berhijrah secara tetap ke Bandar Baru Bangi adalah dikalangan kakitangan terawal UKM. Dikalangan kumpulan ini, yang pertama berhijrah ke Bandar Baru Bangi ialah Encik Ishak Osman.Mengikut catatan dalam buku log pekerja UKM, Encik Ishak Osman merupakan kakitangan UKM yang kelima terawal didaftarkan, iaitu dengan nombor pekerja 0005 dan jawatan hakiki sebagai Tukang Kayu di Unit Pembangunan.

Nama Encik Ishak Osman (No. Pekerja 0005) dalam buku daftar pekerja Universiti Kebangsaan Malaysia.


Pengalaman sebagai 'orang Bandar Baru Bangi' yang terawal.

Dalam laporan News Straits Times bertarikh 22 Disember 1987, Ishak Osman telah berkongsi pengalaman beliau sewaktu mula-mula menjejak kaki di Bandar Baru Bangi. Menurut beliau, sebelum berpindah masuk ke kediaman yang terletak di jalan1/2C, Seksyen 1, Bandar Baru Bangi pada pada 1 Disember 1977, beliau sekeluarga tinggal di Kampung Kerinchi.

Jalan 1/2C yang terletak di Seksyen 1, Bandar Baru Bangi

Tanda jalan 1/2C, kawasan perumahan terawal di Bandar Baru Bangi.

Perkara pertama yang beliau lakukan setelah berpindah ialah menaiki basikal disekitar kawasan kediamannya dengan harapan akan bertemu dengan penduduk lain, malangnya tidak seorang pun yang beliau temui. Suasana persekitaran yang pada ketika itu masih dipenuhi hutan belantara serta tanpa kemudahan elektrik menyebabkan beliau sangat gusar memikirkan keselamatan dirinya sekeluarga.

Menurut Ishak lagi, beliau akan memastikan setiap tingkap dan pintu rumahnya dikunci rapi seawal jam 7 malam lagi, ini kerana pada ketika itu suasana sudah mulai gelap dan beliau bimbang akan keselamatan keluarganya. Perkara ini berlarutan selama seminggu, sebelum penduduk lain mulai beransur pindah ke kawasan tersebut. Meskipun begitu, bekalan elektrik masih belum dibekalkan oleh pemaju, lalu penduduk disitu terpaksa menggunakan lampu kerosin untuk tempoh beberapa bulan sehinggalah mereka mendapat bekalan elektrik pada sekitar bulan mac 1978.

Pengangkutan awam merupakan satu lagi masalah asas yang dihadapi oleh para penduduk awal di Bandar Baru Bangi, kebanyakkan mereka tidak mempunyai kenderaan sendiri, lalu terpaksa berjalan kaki berbatu-batu jauhnya untuk sampai ke perhentian bas bagi meneruskan perjalanan menghantar anak ke sekolah dan ketempat kerja.

Sebagai menghargai serta mengiktiraf beliau sebagai penduduk terawal Bandar Baru Bangi, Ishak Osman telah diberi penghargaan oleh Menteri Besar Selangor pada ketika itu, Datuk Muhammad bin Muhammad Taib sewaktu perayaan ulangtahun ke-10 Bandar Baru Bangi pada 21 Disember 1987.

Perancangan pembangunan 'Bandar Universiti' oleh PKNS yang diiklankan pada tahun 1983. (NST,16 Jun 1983)


Rujukan:

Elusive Dreams. The News Straits Times. 26 Oktober 1987,p.2.

First Man to Settle in. The News Straits Times. 22 Disember 1987,p.2.

Harith Faruqi Sidek. Sejarah Penubuhan UKM: Pencarian Kakitangan Perintis. Buletin ILHAM. Bil.13/2013.p.9

No comments: