Wednesday, June 12, 2013

Filem ‘A Town Like Alice’ cetus perkenalan pertama kumpulan 'Pakcik Liverpool' dengan 'Cikgu Kirkby' dari Malaya.

Oleh : Harith Faruqi Sidek


Kisah Pakcik-pakcik pelayar dari Malaya di Liverpool sudah banyak diceritakan, begitu juga dengan kisah kumpulan Guru-guru dari Malaya yang menuntut di Kolej Latihan Perguruan Malaya ( juga dikenali sebagai Maktab Kirkby) di Kirkby,Liverpool. Menurut Tim Burnell (2007 : 416), kedua-dua kelompok rakyat Malaya (bekas kelasi dan Guru) di Liverpool ini pada awalnya tidak mengetahui kewujudan antara satu sama lain. Perkara yang sama diakui oleh Zainal Arshad Zainal Abidin yang merupakan bekas pelajar kolej berkenaan atau lebih dikenali sebagai “Kirkbyites”, menurut beliau, jika tidak kerana 12 orang pelajar yang dipilih membintangi filem “ A Town Like Alice”, belum tentu mereka tahu adanya kelompok masyarakat melayu lain di Liverpool. 

Perkara ini bukanlah sesuatu yang pelik jika mengambil kira suasana tahun 50an itu yang masih kekurangan dari segi kemudahan perhubungan, tambahan pula jarak diantara pelabuhan Liverpool dengan Kirkby adalah kira-kira 10 kilometer. Didalam filem berkenaan, para pelajar dan bekas kelasi tersebut bergabung menjayakan watak penduduk kampong berketurunan melayu yang melatari filem berkenaan, penggambaran diadakan di Pinewood Studio yang terletak di pinggir kota London.


Filem A Town Like Alice

Filem ini merupakan adaptasi dari sebuah novel 'A Town Like Alice' yang agak popular karya Nevil Shute. Naskah yang dihasilkan pada tahun 1950 ini mengisahkan Jean Paget, seorang wanita Inggeris yang berkhidmat di Malaya bersama Kuala Perak Plantation Company yang beribu pejabat di Kuala Lumpur mulai tahun 1939, beliau kemudiannya menjadi tahanan perang ketika Jepun datang menjajah Tanah Melayu. Setelah perang tamat, Jean tinggal bersama komuniti melayu di sebuah kampung bernama Kuala Telang, beliau bersama beberapa orang wanita inggeris yang juga merupakan bekas tahanan perang telah turut sama mengamalkan kehidupan kampung seperti bersawah, disamping turut membuka sekolah untuk anak-anak melayu di Kampung tersebut. Tiga tahun berada di Kampung Kuala Telang, beliau kembali ke England, sebelum kembali semula ke Malaya dengan hasrat ingin membina telaga di tengah-tengah Kampung Kuala Telang, ianya kerana pengalaman beliau sendiri yang terpaksa mengangkut air dari sungai yang jaraknya agak jauh setiap hari untuk kegunaan harian. Selain daripada itu, telaga ini juga sebagai simbol terima kasih kepada penduduk kampung yang banyak membantu beliau ketika perang Jepun dahulu.


Poster filem 'A Town Like Alice' keluaran 1956.



Pak Sunny bin Hassan dapat watak pembantu

Antara pakcik-pakcik pelayar yang mendapat watak pembantu ialah Pakcik Sunny bin Hassan, beliau berasal dari Singapura. Pak Sunny dikatakan antara kumpulan terawal seramai 100 orang kelasi dari Tanah Melayu yang menjadi kelasi kepada kapal yang berlayar ke England (The Straits Times, 19 August 1957: 2). Kumpulan ini tiba di England yang ketika itu sedang berada dalam kancah peperangan dunia pertama, kapal yang mereka naiki telah terkena peluru lalu tersadai di Lautan Ireland.

Pak Sunny kemudiannya menuju ke Liverpool pada tahun 1931 dan telah bertemu jodoh dengan wanita inggeris yang juga anak tempatan Liverpool, mereka mempunyai tiga orang anak angkat. Selain berlakon, Pak Sunny bekerja sebagai tukang cat di pelabuhan Cardiff,Wales. Dalam filem 'A Town like Alice' ini, Pak Sunny memegang watak sebagai Mat Amin, seorang Ketua Kampung di Kuala Telang.Selain filem ini, Pak Sunny turut membintangi sebuah lagi filem British yang diadaptasi dari novel yang bertajuk 'Wisdom's Way' pada tahun 1957, dalam filem ini beliau memegang watak Haji Amyan.


Pak Sunny bersama keluarga.. ( The Singapore Free Press, 20 Ogos 1957)


Kredit dalam filem 'A Town like Alice' yang memaparkan nama Pak Sunny yang dieja sebagai Sanny bin Hussan.

Pak Aman Majid pelakon tambahan



Berbeza dengan Pak Sunny, nama Pak Aman atau lebih dikenali sebagai Pak Man Tokyo tidak muncul dalam kredit filem ini, mungkin kerana watak yang dibawanya iaitu sebagai salah seorang dari orang kampung di Kuala Telang. Seperti mana laporan Zaharah Othman ( NST, 27 Mei 2007), Pak Aman merupakan bekas Presiden Kelab Melayu London dan beliau juga kerap muncul sebagai pelakon tambahan dalam berberapa drama bersiri Britain, antaranya melakonkan watak pemabuk disamping pelawak terkenal Benny Hill dan actor Roger Moore dalam siri penyiasatan “The Saint”, beliau juga memeran watak tambahan sebagai tentera Jepun dalam filem  The Devil Never Sleeps selain watak orang kampong dalam filem A Town Like Alice. Selain daripada itu, Edwina Carroll, seorang pelakon kelahiran burma juga membintangi filem ini dengan membawa watak Fatima, rakan baik Jean sewaktu di kampung Telang.


Guru-guru Maktab Kirby turut berlakon sama

Guru-guru dari Malaya yang terpilih untuk membintangi filem pula datang dari kelompok yang memang aktif dalam kegiatan kesenian, mereka yang terpilih membintangi filem ini ialah kumpulan penari yang terdiri dari Kelsombee Hashim, Siti Rohani Ismail, Jameah Haji Majid, Ramlah Ahmad, Ruslan Ahmad, Tengku Adnan Tengku Mahmud, Abdul Latif Shamsuddin dan Mustapha Haji Tahir. Sementara empat lagi yang terpilih ialah pemain muzik, iaitu Zainal Arshad Zainal Abidin, Mohamed Nor Che' Noh, Ali Mohamad dan Ridzuan Mohd Ali, kumpulan ini turut membawa bersama alat muzik yang akan mereka mainkan dalam filem ini iaitu  arkodian, gitar, drum dan gong.Kumpulan ini terlibat dalam satu babak yang menggambarkan suasana tarian ronggeng, maka tidak hairanlah mengapa sumbangan kumpulan ini diperlukan.


Edwina Carroll, Virginia McKenna dan Kelsombee Hashim iaitu guru Maktab Kirkby yang terpilih membintangi filem 'A Town like Alice'. (The Straits Times, 19 Oktober 1955,p.4)

Penggambaran di Pulau Pinang, Johor dan Singapura.

Produser filem 'A Town like Alice' Joseph Janni telah memilih beberapa lokasi bagi menggambarkan suasana di Malaya pada ketika itu, Pulau Pinang, Kedah, Ipoh, Johor Bahru dan kawasan sekitar Seletar,Tampines road dan Jurong di Singapura telah dipilih. Pemilihan pelakon telah dibuat secara terbuka dan mendapat sambutan dari penduduk sekitar Malaya, khususnya dari Singapura. Memandangkan filem ini melibatkan watak orang-orang inggeris di Malaya, maka selain rakyat tempatan, orang-orang inggeris yang berada di negara ini turut ditawarkan untuk membintangi filem ini. Namun yang menariknya, pemegang watak utama filem ini, iaitu Virginia McKenna tidak terlibat langsung dalam penggambaran di Malaya, sebaliknya penerbit menggunakan 'stand-in' bagi watak Jean Paget yang dipegang oleh McKenna, pelakon berkenaan ialah Betty Ashley Cooper, seorang model kelahiran Australia yang telah tinggal di Johor Bahru selama tiga tahun. Keseluruhan kos filem ini menelan belanja sebanyak 2 juta. Penggambaran selebihnya diadakan di Pinewood Studio, London.


Babak di Kampung Telang


Salah satu babak yang melibatkan watak tentera Jepun.

Koleksi Perpustakaan UKM

Dalam koleksi perpustakaan UKM, memang terdapat novel serta filem 'A Town Like Alice', malangnya, filem yang terdapat dalam koleksi perpustakaan adalah filem versi 1981 dan ianya dalam bentuk VHS.


Filem 'A Town Like Alice' keluaran 1981 dalam koleksi Perpustakaan UKM.
Novel 'A Town Like Alice', novel ini boleh dirujuk di Koleksi Asia Tenggara, Perpustakaan Tun Seri Lanang, no. panggilan Kat PR 6027.O54 .T6 1958.


Babak pertemuan Jean Paget dan Mat Amin Taib, mungkin disinilah Pak Sunny muncul di layar perak buat kali pertama.

Rujukan:

295 girls wait for these 3 men (14 January 1955). The Straits Times.p.5

Bunnell, T. (2007) ‘Post-maritime transnationalization: Malay seafarers in Liverpool’, Global Networks 7 (4): 412-429.

Film unit delayed by weather ( 4 August 1955). The Straits Times.p.8

Hundreds apply for a part in Rank's Alice : tuesday is selection day (6 January 1955)

Johor Bahru girl lands film role (14 July 1955), The Straits Times.p.5


Kirkby teachers star in a film ( 19 Oktober 1955), The Straits Times. P.4

Part for a beauty queen in 'Alice' (22 July 1955), The Straits Times.

Shute, Nevil . A Town Like Alice. London: Heinemann Educational Books. 1950.

So Alice Through a looking glass, ( 6 Julai 1955), The Straits Times. P.7

Sunny bin Hassan gets film role, ( 19 Ogos 1957), The Straits Times. P.2

Sunny’s a star…(20 Ogos 1957), The Singapore Free Press. P.2

Two new films may be 'shot' in Penang (24 February 1953), The Straits Times.

Virginia McKenna ( of Malaya) found – She’s Betty (of Australia), (13 Julai 1955), The Straits Times. P.1

Wanted: 20 women to appear in $2 mil. Film ( 4 januari 1955). The Straits Times. P.5

Zaharah Othman, Adventure of the Pak Cik Sailors ( 27 Mei 2007).  The New Straits Time.

1 comment:

Anonymous said...

i only take the haq only, nothing else