Monday, April 15, 2013

Seniman Haji Mahadi : Pengarah, Pelakon dan Pendakwah.

Oleh :  Harith Faruqi Sidek

Haji Mohd Mahadi Mohd Said  ( credit : cinemamalaysia.com.my)

Bila menyebut nama seniman Haji Mahadi, ramai yang tidak dapat memberi gambaran diri beliau secara langsung, tetapi bila diberi bayangan nama Abdul Wahab dalam filem Tiga Abdul, barulah wajah seniman ini dapat dibayangkan. Seniman Haji Mahadi atau nama sebenarnya Mohd Mahadi Mohd Said merupakan anak kelahiran Kampung Merbuk, Negeri Sembilan, beliau dilahirkan dalam tahun 1914. Haji Mahadi dilahirkan didalam sebuah keluarga yang besar, beliau merupakan anak kelapan daripada 15 orang adik beradik, ayahanda beliau merupakan seorang tokoh agama yang terkenal, iaitu Syaikh Muhammad Said Jamaluddin Al-Linggi, sementara abang sulungnya, Tuan Sheikh Haji Ahmad Muhammad Said pula merupakan bekas mufti Negeri Sembilan.

Haji Mahadi pernah mendapat pendidikan agama di Kota Makkah sewaktu berusia 14 tahun, beliau telah dihantar mengikuti  pengajian di Madrasah al-Falah selama dua tahun. Dengan pengalaman itu, maka tidak hairanlah mengapa beliau sudah pun bergelar 'Haji' ketika mula menyertai Malay Films Production atau MFP. Haji Mahadi pernah mendirikan rumahtangga dengan seniwati Mak Enon dan seniwati Khadijah Hodri (Jah Mahadi) namun jodoh beliau dengan kedua bintang filem berkenaan tidak lama, mereka berpisah jua.(Utusan Malaysia, 1 Jun 2001).


Dari Wartawan ke Pengarah Filem

Haji Mahadi memasuki alam pekerjaan dalam tahun 1939 dengan menyertai syarikat akhbar, Utusan Melayu di Singapura sebagai  wartawan, rakan setugas beliau pada ketika itu pastinya wartawan melayu terkenal, Pak Rahim Kajai dan Pak Sako. Haji Mahadi kemudiannya berpindah ke akhbar Warta Malaya sebagai wartawan sukan.

Pada tahun 1948, beliau melangkah ke Studio MFP di Jalan Ampas untuk mencuba nasib sebagai seorang penterjemah skrip, kemudian beliau diberi peluang berlakon dalam filem Pengorbanan. Tanpa disangka dua tahun kemudian, Haji Mahadi telah diberi kepercayaan oleh pengurusan MFP untuk menjawat jawatan Pengarah Filem, secara tidak langsung beliau telah mencatat sejarah sebagai orang melayu pertama yang menjadi Pengarah Filem di MFP, mendahului bintang-bintang besar Jalan Ampas yang lain seperti P.Ramlee, Omar Rojik, S. Kadarisman serta ramai lagi.(Berita Minggu, 4 November 2012). Filem 'Permata di Perlimbahan merupakan filem arahan beliau yang pertama dan terakhir, filem ini tidak mendapat sambutan di pawagam, meskipun membariskan nama besar seperti Nordin Ahmad dan Maria Menado. 


Menjadi Pelakon

Akur dengan ketentuan beliau gagal di kerusi kepengarahan, Haji Mahadi meneruskan kerjaya seni beliau sebagai seorang pelakon. Satu demi satu filem keluaran MFP beliau bintangi, malah pada tahun 1956, lakonan beliau mendapat penghargaan sehingga dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Pesta Filem Melayu di Singapura. Dua tahun kemudian dalam tahun 1964, Haji Mahadi mencuba watak komedi dengan membintangi filem arahan P. Ramlee, Tiga Abdul, ternyata filem inilah yang benar-benar menyerlahkan nama beliau dan memahat kenangan nama Haji Mahadi hingga ke hari ini. 

"Ana saudagar burung...bukan saudagar tahi"...sebagai Abdul Wahab dalam filem 'Tiga Abdul' ( Sumber : www.youtube.com)

Haji Mahadi dalam filem ' Si  Tanggang'  ( Sumber: Arena Filem, 1961)

Haji Mahadi dalam filem 'Indera Bangsawan' ( Sumber : Arena Filem, 1961)

Antara filem lain lakonan beliau ialah, Salah Siapa, Iman, Ribut, Pusaka Pontianak, Doktor, Iman, Budi dan Dosa, Pawang, Kaca dan Permata, Singapura Dilanggar Todak, Hang Tuah dan beberapa lagi. Filem terakhir lakonan Haji Mahadi ialah Raja Bersiong, Permintaan Terakhir dan Jebak Maut. ( Berita Minggu, 4 November 2012). Selepas meninggalkan dunia lakonan, Haji Mahadi bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Awam dengan Syarikat Haji Ibrahim Bersaudara, yang juga  menaungi Syarikat Indra Filem. Selain watak Abdul Wahab dalam Tiga Abdul, watak lain yang memberi kesan ialah sebagai Iblis dalam filem Iman.

Sebagai 'Iblis' dalam filem 'Iman' ..( Sumber: www.Youtube.com)


Sebagai pendakwah di Boon Teck Road

Sebagai seorang yang berpendidikan agama, Haji Mahadi tidak memisahkan tanggungjawab berdakwah meskipun bergelar seniman. Sewaktu tinggal di 'perkampungan artis' MFP di Boon Teck Road, Singapura, peranan dan sumbangan Haji Mahadi dalam soal kebajikan dan dakwah dikalangan penduduk disitu begitu ketara. Menurut Allahyarham Seniwati Normadiah, Haji Mahadi disifatkan umpama seorang ayah kepada semua artis melayu pada ketika itu, beliau begitu dipandang tinggi kerana sifat beliau yang pengasih serta tidak jemu memberi panduan hidup dari aspek agama mahupun kebajikan (Berita Harian, 27 Februari 1983). Seniman Allahyarham Datuk Ahmad Daud juga mempunyai pandangan yang sama, malah antara nasihat Haji Mahadi yang sering diberikan kepada mereka ( para artis) ialah, jangan sesekali melupakan tanggungjawab untuk akhirat meskipun sibuk dengan kerjaya sebagai seniman. Haji Mahadi turut menjadikan madrasah yang ada di Boon Teck Road sebagai tempat beliau berdakwah, khususnya kepada golongan artis.(Berita Harian, 27 Februaru 1983).

Akrab...Haji Mahadi dan Datuk Ahmad Daud  (Sumber:  cinemamalaysia.com.my)


Perginya seoranag bintang

Seniman Haji Mahadi meninggal dunia pada 20 Februari 1983 ketika berusia 69 tahun akibat sakit Jantung. Haji Mahadi meninggalkan seorang balu, Rosminah Marzuki dan tujuh orang anak. 


Rujukan


Anak Melayu pertama jadi pengarah filem. (4 November 2012). Berita Minggu.

Bintang Filem Zaiton sebagai anak saudagar. (Ogos 1961). Arena Filem, 17.

Cerita filem Indera Bangsawan. ( 1961). Arena Filem, 4.

Juwie, Oda dan Syila. (27 Februari 1983). Haji Mahadi : 'bapak' kepada bintang2 di Boon Teck Rd, Berita Harian.

Orang muda2 dijadikan tua. (Mac 1962). Arena Filem, 12.

Pelakon Jah Mahadi meninggal dunia. ( 1 Jun 2001). Utusan Malaysia.

Perginya seorang pelakon yang berperibadi tinggi... (27 Februari 1983). Berita Harian.

Zainuri Misfar. (1 Februari 1998). Haji Mahadi aktor unggul, Berita Harian.

1 comment:

Anonymous said...

Abg sulung adlh syeikh hj abdullah. Syeikh hj ahmad adlh snak ke2