Sunday, December 09, 2012

Yap Ah Loy, Raja Laut, Thamboosamy Pillai dan Loke Yew : Tokoh disebalik nama Jalan.

Oleh Harith Faruqi Sidek


Jika diperhatikan pada peta ibukota Kuala Lumpur, pelbagai nama tokoh-tokoh yang diabadikan sebagai nama jalan dan lorong-lorong, malah bangunan dan penempatan juga. Tokoh-tokoh  ini datangnya dari pelbagai latar belakang, sama ada politik, seni, sosial dan sebagainya. Penulisan ini melihat kepada latar belakang beberapa orang pemimpin masyarakat yang nama mereka diabadikan di jalan-jalan di ibukota.


1. Yap Ah Loy (1837 - 1885)

Kapitan Yap Ah Loy bersama pengikutnya pada lewat 1884,  pada ketika ini  beliau sedang  menderita sakit  bronkitis, ianya jelas tergambar dengan susuk tubuh yang susut.
Nama sebenar beliau ialah Yap Tet Loy, dilahirkan di Kwangtung, China pada tahun 1837. Beliau adalah dari keturunan Hakka dan mendirikan rumahtangga pada tahun 1856 dengan seorang gadis dari Melaka, Kok Kang Keown. Pasangan ini dikurniai dengan dua orang cahayamata lelaki, Yap Hon Chin dan Yap Loong Hin.

Yap Ah Loy datang ke Tanah Melayu pada tahun 1854 dan menetap di Melaka dan bekerja sebagai pembantu kedai. Beliau kemudiannya berhijrah ke Lukut dan bekerja sebagai buruh di sebuah lombong timah. Selain bekerja sebgai buruh, Yap Ah Loy turut terlibat dalam perniagaan khinzir. Dengan fizikal yang tegap dan gagah, Yah Ah Loy mempunyai reputasi sebagai seorang yang digeruni, selain daya kepimpinan yang tinggi. Oleh yang demikian, pada tahun 1860, beliau telah dipilih sebagai Kapitan, atau ketua bagi masyarakat cina dari kalangan pelombong bijih timah di Sungai Ujong, beliau menggantikan kapitan sebelumnya yang mati dibunuh akibat persengketaan dengan sekumpulan pelombong bijih yang lain.

Apabila Kuala Lumpur diterokai dan perusahaan bijih timah mula berkembang, Yap Ah Loy telah dipelawa oleh Liu Ngim Kong, seorang pemimpin masyarakat cina di Kuala Lumpur untuk membantunya dalam perusahaan lombong bijih disana. Yap Ah Loy kemudianya telah membuka lombongnya sendiri dan bertambah maju hingga menjadi kaya raya. Yap Ah Loy kemudiannya melabur dengan memajukan beberapa kawasan di Kuala Lumpur, termasuk pembinaan tokong Sze Yeh. Setelah kematian Liu Ngim Kong, atas permintaan mendiang sendiri, Yap Ah Loi telah diangkat sebagai Kapitan bagi masyarakat cina di Kuala Lumpur, pelantikan ini turut mendapat restu dari Sultan Abdul Samad, Raja Abdullah dari Klang dan Sutan Puasa, pemimpin kaum melayu yang paling berpengaruh di Kuala Lumpur pada ketika itu. Pada tahun 1869, Yap Ah Loy dimasyurkan secara rasmi sebagai Kapitan dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh Raja Mahdi, Raja Asal dan Sutan Puasa. Dalam upacara pemasyuran itu, Yap Ah Loy telah mengenakan pakaian tradisi melayu lengkap dengan destar sepertimana lazimnya dipakai oleh Raja-raja melayu, sementara pengisytiharan dilakukan dalam bahasa ibunda beliau. Walau bagaimana pun, sewaktu pemasyuran semula sebagai Kapitan pada 1873, iaitu selepas tamatnya perang Klang, Yap Ah Loy mengenakan pakaian tradisi masyarakat cina.

Sumbangan Kapitan Yap Ah Loy pada pembangunan Kuala Lumpur tidak boleh dinafikan, sewaktu Kuala Lumpur dilanda banjir besar, semua pengusaha lombong mengalami kerugian akibat kerosakan pada mesin dan bangunan. Yap Ah Loy sendiri turut sama terjejas, beliau terpaksa meminjam sejumlah besar wang  bagi membiayai kos pembaikan agar dapat meneruskan perusahaanya. Malah beliau hampir muflis akibat dari hutang yang besar  itu, namun nasibnya baik apabila harga timah naik dua kali ganda pada tahun 1879, lalu dalam tempoh setahun segala hutang piutang dapat beliau langsaikan. Yap Ah Loy kemudiannya membiayai pembinaan jalan, rumah sakit, sekolah jenis kebangsaan (c) dan perusahaan batu-bata yang menjadi kegunaan untuk pembinaan bangunan di Kuala Lumpur pada ketika itu, kawasan perusahaan ini kemudiannya dikenali sebagai Brickfields Road.

Pada akhir 1884, Yap Ah Loy telah diserang bronkitis dan jangkitan kuman pada paru-paru, namun beliau hanya bertahan dengan rawatan tradisional cina yang berasaskan herba. Biarpun menunjukkan tanda-tanda akan sembuh, beliau akhirnya meninggal dunia pada 15 April 1885, sebagai tanda penghormatan, seluruh pejabat kerajaan ditutup pada hari pengkebumian beliau.

Jalan Yap Ah Loy, Kuala Lumpur


2) Raja Laut (1850 -1915)

Raja Laut (dalam bulatan) bersama pemimpin kanan kerajaan , disebelah kanan beliau  ialah  pemangku Residen Selangor, J.P Rodgers. Gambar ini diambil pada pertengahan tahun 1884.

Raja Laut adalah putera kedua Sultan Muhammad, beliau dilahirkan pada tahun 1850, mendapat gelaran Raja Laut kerana dikatakan dilahirkan ketika bondanya berada di perairan sekitar Lukut. Beliau kemudianya dijadikan anak angkat oleh Raja Juma'at lalu menjadi saudara tiri kepada putera kandung Raja Juma'at, iaitu Raja Bot. Raja Laut adalah pengasas kepada Kuala Lumpur Sanitary Board sewaktu ianya ditubuhkan pada 1890. Selain daripada itu, Raja Laut juga bertanggungjawab menubuhkan sekolah melayu pertama di Kuala Lumpur, dimana beliau turut menyekolahkan putera beliau di sekolah berkenaan.

Pada tahun 1898, Raja Laut telah dimasyurkan sebagai Raja Muda Selangor, selepas Raja Sulaiman dinobatkan sebagai Sultan Selangor, Raja Laut menggunakan gelaran ini sehingga tahun 1903. Raja Laut mengahwini Raja Daing Chahaya dan dikurniai seorang putera, iaitu Raja Alang. Keluarga diraja ini tinggal di sebuah rumah dikawasan 'Batu Road' pada ketika itu, sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1915 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan 'Kampong Gonggang', iaitu nama asal jalan Ampang. Nama Raja Laut diabadikan sebagai nama sebuah jalan yang bersambung dengan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur


3) K. Thamboosamy Pillai (1850 - 1902)

K. Thamboosamy Pillai

K. Thamboosamy Pillai merupakan ketua bagi masyarakat india di Kuala Lumpur selama tiga dekad, beliau dilahirkan di Singapura dan mendapat pendidikan di Raffles Institution. K. Thamboosamy memulakan kerjaya sebagai seorang kerani di firma guaman Rodyk dan Davidson, beliau kemudiannya mengikuti majikannya, Guthrie Davidson ke Selangor, selepas majikannya itu dilantik sebagai Residen Selangor yang pertama. K.Thamboosamy kemudian dilantik menjalankan tugas-tugas pengurusan pejabat di Pejabat Perbendahaan Negeri Selangor yang beribu pejabat di Klang. Pada tahun 1889, beliau bersara dari perkhidmatan awam dengan jawatan terakhirnya sebagai Ketua Kerani, dan sebagai tanda penghargaan, Residen British pada masa itu, William Maxwell telah melantik beliau sebagai pengurus bagi sebuah syarikat perlombongan, New Rawang Tin Mining Company.

Beliau telah berjaya memajukan syarikat berkenaan, malah beliau sendiri menjadi antara tokoh yang dihormati pada ketika itu. K. Thamboosamy merupakan ahli Selangor Turf Club, malah turut memiliki koleksi kudanya sendiri. Selain aktiviti perlombongan, K. Thamboosamy turut membina kekayaan melalui aktiviti hartanah dan binaan, malah beliau sering mengadakan keraian mewah di rumahnya, di Batu Road. 
K. Thamboosamy Pillai juga diiktiraf sebagai tokoh disebalik pembukaan kuil Hindu di Batu Caves, malah sebuah tugu menyerupai beliau turut dibina di kuil berkenaan.

K. Thamboosamy meninggal dunia di Singapura pada tahun 1902, memandangkan pada ketika itu tiada perkhidmatan keretapi atau jalan darat yang baik, maka atas inisiatif Sir Frank Swettenham, mendiang dibawa pulang ke Kuala Lumpur dengan menggunakan kapal layar khas yang dikhaskan untuk kegunaan  Gobenor British.

Jalan Thamboosamy, Kuala Lumpur



4) Loke Yew (1845 - 1917)

Wong Loke Yew

Wong Loke Yew,atau lebih dikenali dengan nama Loke Yew dilahirkan di wilayah Kwangtung, China, beliau datang  dari keluarga peladang. Pada tahun 1858, sewaktu berusia 13 tahun, beliau belayar ke Singapura dean bekerja sebagai pembantu kedai. Loke Yew kemudiannya berhijrah ke Larut dan menjadi buruh lombong disana. Perang larut yang tercetus telah mendatangkan punca rezeki buat beliau, pihak British telah melantiknya sebagai pembekal makanan kepada pasukan tentera British. Loke Yew kemudiannya berhijrah ke Selangor, dan membuka lombong bijihnya sendiri, selain terlibat dalam bidang hartanah. Loke Yew turut membantu kerajaan negeri Selangor dalam hal pembinaan jalan, malah beliau kemudiannya dianugerahkan konsesi jalan-jalan yang terlibat.

Loke Yew turut membuka ladang getah, dan hasil perniagaanya yang perlbagai dan maju, Loke Yew telah berjaya menjadi jutawan. Kekayaan yang dibina turut dikongsikan untuk kemajuan masyarakat, beliau banyak menyumbang kepada aktiviti kemasyarakatan terutamanya yang bersangkutan dengan pendidikan, malah beliau adalah salah seorang pengasas Victoria Institution, Kuala Lumpur selain turut menyumbang dana bagi pembinaan padang sekolah Methodist Boy's School.Di atas sifat murah hati yang ada pada Loke Yew itu,  Hong Kong University telah menganugerahkan beliau ijazah kehormat. Sepertimana tokoh-tokoh sezaman dengannya, Loke Yew turut mendiami kawasan Batu Road, beliau meninggal dunia pada tahun 1917.

Jalan Yoke Lew, Kuala Lumpur


Rujukan :

Batu Caves Magnificent Hindu Batu Caves Temple. at: http://www.malaysian-explorer.com/batuCaves.html ( diakses pada 8 Disember 2012)


Community Leaders in Early Kuala Lumpur. (1972). Malaysia in History, XIV(2), 9-14.
( 121 - Koleksi Khas Shaharom Husain, PTSL UKM )

Wikipedia.org

1 comment:

Stahl Christian said...

TAWARAN PINJAMAN UNTUK SEMUA (MEMOHON SEKARANG)
Adakah anda seorang ahli perniagaan atau perempuan? Adakah anda dalam mana-mana tekanan kewangan? adakah anda memerlukan wang untuk memulakan perniagaan anda sendiri? Adakah anda mempunyai pendapatan yang rendah dan sukar untuk mendapatkan pinjaman dari bank-bank tempatan dan institusi kewangan lain? Jawapan: Di sini, Stahl Kristian Firma Pinjaman adalah jawapannya. Kami menawarkan;

a) pinjaman peribadi, pengembangan perniagaan.
b) Perniagaan Mula-up dan pendidikan.
c) penyatuan hutang.
d) Pinjaman Wang Hard.

Walau bagaimanapun, kaedah kami menawarkan kemungkinan untuk menunjukkan jumlah pinjaman yang diperlukan dan juga jangka masa yang anda mampu untuk menyelesaikan pembayaran balik pinjaman dengan kadar faedah sebanyak 2%. Ini memberikan peluang sebenar untuk mendapatkan wang yang anda perlukan anda. Calon yang berminat perlu menghubungi kami melalui:
E-mel: stahlchristianloanfirm@gmail.com
Telefon: 678-856-6859