Tuesday, December 18, 2012

Noor K.K: Popularkan loghat Perak dalam filem P.Ramlee

Oleh : Harith Faruqi Sidek

Noor K.K

Filem-filem komedi  arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee sememangnya sarat dengan adegan yang mencuit hati dan masih ‘laku’ dijadikan bahan hiburan sehingga ke hari ini. Antara filem komedi arahan beliau yang mendapat sambutan adalah ‘Nasib Do Re Mi’, banyak watak yang dicipta mempunyai line atau dialog yang terkesan, daripada watak utamanya, Do, Re dan Mi, hinggalah kepada watak pembantu seperti Komeng, Pak Maun dan ramai lagi. Namun antara babak yang digemari ramai tentunya adegan kedai kopi yang melibatkan watak seorang ‘pak lebai’ dan Re, lakonan A.R Tompel. Selain dialog lucu yang begitu mencuit hati, seperkara yang lebih menarik ialah mereka menggunakan dialek negeri Perak yang mungkin juga jarang-jarang didengar di layar perak pada ketika itu.

"Dimane kite berjumpe ni.....". antara dialog babak di warung kopi  bersama A.R Tompel. (Filem Nasib Do Re Mi)

Siapakah pelakon yang membawa watak ‘Pak Lebai’ berkenaan ?, generasi pasca 70an mungkin tidak mengenali beliau, termasuk saya. Lalu saya ajukan persoalan ini kepada saudara Mustafa A.R , seorang mantan wartawan hiburan  yang berpengalaman selama 30 tahun mengikuti arena hiburan tanahair, kini beliau adalah pengendali laman http://filemklasikmalaysia.blogspot.com. Menurut Mustafa A.R, pelakon tersebut bernama  Noor K.K, faktor ketelitian dan usaha Mustafa A.R memberi fakta dan maklumat berkaitan dunia perfileman klasik tanahair menyebabkan saya yakin bahawa maklumat yang beliau sampaikan itu adalah sahih. Perkara ini diperkuatkan lagi dengan wujudnya nama “Ustaz Noor KK” yang  disebut oleh kedua-dua pelakon dalam adegan di Warung Kopi itu. Semakan pada kredit filem 'Nasib Do Re Mi' juga mendapati   wujudnya nama Noor K.K (di eja sebagai Nor K.K) dalam senarai pelakon pembantu. Selain filem 'Nasib Do Re Mi', Noor K.K turut diberi peranan kecil dalam filem 'Do Re Mi' dan 'Keluarga 69'.

Kredit filem 'Nasib Do Re Mi' yang menyenaraikan Noor K.K (di eja sebagai Nor K.K) dalam filem tersebut.

"Die nak pekene ke saye, sebelum die pekene ke saye, saye pekene ke die  dulu....."...antara dialog Noor K.K dalam babak ini.- (Filem Nasib Do Re Mi)

Usaha mencari maklumat mengenai Noor K.K ini memang rumit dan sukar, apatah lagi beliau bukan nama besar di layar perak, malah bukan juga pelakon pembantu yang popular seperti HM Bushra, Shariff Dol atau Shariff Babu  yang telah saya usahakan penulisan mengenai mereka sebelum ini. Namun dengan sumber yang terhad ini, dapat juga saya temui maklumat bahawa beliau ini sebenarnya mempunyai nama besar dalam  seni Bangsawan, malah diiktiraf sebagai tokoh yang berjasa dalam memperjuangkan seni bangsawan tanahair, malah beliau juga telah bertanggungjawab mencungkil bakat beberapa orang anak seni yang kemudiannya menjadi nama besar.

Noor K.K muncul sebagai watak pembantu dalam filem 'Do Re Mi'.

Adegan yang melibat Noor K.K dalam filem 'Keluarga 69', dialog beliau dalam babak ini ialah " eh! siape tu? teruk benor , berbungkus-bangkeh..."- (Filem Keluarga 69)

Menurut Rahmah Bujang dalam naskahnya Sejarah Perkembangan Drama Bangsawan Di Tanah Melayu dan Singapura, Noor K.K yang dilahirkan sekitar tahun 1920an itu berkelulusan sekolah melayu dan merupakan penggiat seni bangsawan arus kedua, iaitu sekitar tahun 40an. Dalam persembahan bangsawan yang disetainya, Noor K.K kerap memegang watak Raja, namun diawal pembabitannya dalam pementasan bangsawan, beliau bersama adiknya, Zohor K.K terkenal sebagai pelakon aksi lasak, perkara ini dinyatakan oleh Seniman Rahman B. dalam biografi beliau (Zakaria Ariffin, 2005:21). Noor K.K kemudiannya beralih menjadi pengarah, selain aktif menulis skrip bangsawan, antara skripnya yang popular ialah ‘Jula Juli Bintang Tiga’ (Berita Harian, 11 Mei 1980: 7). Sekitar tahun 68/69, Noor K.K bersama kumpulan bangsawan pimpinannya, Sentosa Opera kerap menerima jemputan mengadakan persembahan di kaca t.v menerusi slot 'Pentas Bangsawan' selain turut muncul di corong radio menerusi segmen 'Bangsawan di udara' pada tahun sebelumnya.

Keratan maklumat berkenaan Noor K.K dari naskah Sejarah Perkembangan Drama Bangsawan Di Tanah Melayu dan Singapura. karya Rahmah Bujang.

Dalam temubual dengan wartawan A.Aziz Ismail (Berita Harian, 2 Oktober 1977: 7), pelakon veteran, A.R Badol mengakui bahawa Noor K.K lah orang yang bertanggungjawab membawanya ke dunia lakonan. Menurut Badol, sebelum dipelawa oleh Noor K.K untuk menyertai dunia bangsawan, beliau bekerja sebagai kondukter bas dengan syarikat Bas Kelang. Badol memang mengenali Noor K.K yang juga sahabat bapanya, A.R Tompel, maka mungkin atas faktor itu juga dia tidak menolak desakan Noor K.K agar menyertai rombongan Kebudayaan FELDA pada jun 1974, turut sama dalam kumpulan "Bangsawan Bergerak' ini ialah seniman Ahmad B, Yahya Sulong (Datuk), Karim Latiff, R.Jaafar, Rahman B. dan lain-lain. Noor K.K meninggal dunia pada tanggal 5 Mei 1980 pada usia 59 tahun.

Noor K.K bersama kumpulan 'Bangsawan Bergerak'  Felda pada tahun 1974. ( Sumber :  Zakaria Ariffin. (2005). Biografi Seniman Negara Rahman B.

Berita tentang berpulangnya ke rahmatullah, Allahyarham Noor K.K . ( Sumber : Berita Harian , 11 Mei 1980)


Rujukan


A. Aziz Ismail. (2 Oktober 1977). Kisah Badol, Berita Harian.p. 7

Harun Jaafar. (27 Julai 1999). Bangsawan Melayu perlu pembaharuan, Berita Harian.

Noor K.K Meninggal ( 11 Mei 1980), Berita Harian. P.7

Rahmah Bujang. (1975). Sejarah Perkembangan Drama Bangsawan Di Tanah Melayu dan Singapura. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tan Sooi Beng. (1993). Bangsawan : A Social and Stylistic History of Popular Malay Opera, Singapore: Oxford University Press.

Zainuri Misfar. (25 Mei2007 ). R. Jaafar pernah jadi penarik beca, polis, Berita Harian.p.3

Zakaria Ariffin. (2005). Biografi Seniman Negara Rahman B, Kuala Lumpur: Akademi Seni Kebangsaan.


11 comments:

Anonymous said...

Saya rasa beliau juga berlakon dlm filem 'Masam Masam Manis' membawa watak manager kelab malam tempat Cikgu Norkiah berkerja... hebat lakonan beliau.. bersahaja!

Abd Halim An-Nawari said...

Kalu tak silap teman, Nor K. K. (Kuala Kangsar) ade sorang anak pempuan, ibu kepade Yasin Senario. Kalu salah mintok maap le..

Abd Halim An-Nawari said...

Kalu tak silap teman, Nor K. K. (Kuala Kangsar) ade sorang anak pempuan, ibu kepade Yasin Senario. Kalu salah mintok maap le..

Harith Faruqi Sidek said...

oh jadi K.K itu bermaksud Kuala Kangsar la ye..terima kasih atas maklumat berkenaan.

Unknown said...

Salam dan terima kasih Harith..
Noor KK adalah bermaksud 'Kuala Kangsar' dan ketika itu beliau memegang peranan sebagai Ketua Kampong Maxwell yg kini telah menjadi Bangunan PWTC dan persekitarannya..
Yassin Senario adalah cucu beliau. Banyak khazanah2 beliau ketika pementasan Bangsawan berada di tgn ppehak Arkib Negara..
Sekali lagi saya mngucapkan ribuan terima kasih sbb masih ada yg mengenali beliau. Noor KK di lahirkan pada tahun 1919.
Taufiq Mohd Noor (anak bongsu beliau)

Unknown said...

TERIMA KASIH ATAS MAKLUMAT.

Unknown said...

mmg tak lari wajah beliau dlm mna mna pilim pramlee dialog menarik

Anonymous said...

Terbaik.

Anonymous said...

Sedekah kan fatihah kpd beliau ,al fatihah 🤲

Unknown said...

I really like your take on the issue. I now have a clear idea on what this matter is all about.. perak77

budi said...

KING338 Situs Judi Slot Online Tergacor 2022
Bocoran Slot Pragmatic