Wednesday, December 12, 2012

Biografi Syed Mokhtar Albukhary : 25 Fakta Menarik.

Oleh: Harith Faruqi Sidek



Akhirnya sebuah biografi yang dinanti-nantikan oleh ramai rakyat Malaysia terhasil, kisah kehidupan seorang tokoh korporat yang  berjaya hingga  meletakkan dirinya sebagai antara yang terkaya di Malaysia. Buku setebal 209 mukasurat ini menceritakan kisah hidup beliau sejak dari zaman kanak-kanak serta pahit manis dunia korporat yang beliau ceburi.

Berikut adalah 25 fakta pilihan yang menarik mengikut kronologi mukasurat;

1) Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary mempunyai ingatan yang fotografik, beliau mampu mengingati alamat kesemua rumah-rumah beliau sejak kecil hingga dewasa, nombor pendaftaran semua kenderaan yang pernah beliau miliki serta setiap data urusniaga yang beliau jalankan. ( ms.vii)

2) Mendapat pendidikan sehingga tingkatan lima ( Sekolah Menengah St. Michael, Alor Setar), beliau terpaksa meninggalkan bangku sekolah akibat kemiskinan. (ms.vii)

3) Hanya memandu sebuah Proton Perdana model lama yang dibeli sebelum beliau menjadi pemilik syarikat Proton lagi. (ms.viii)

4) Syed Mokhtar Albukhary akan memandu balik ke Alor Setar setiap bulan untuk melawat ibunya, Sharifah Rokiah, walhal beliau lebih dari mampun untuk terbang dengan pesawat mewah, atau sekurang-kurangnya menggunakan pemandu peribadi (ms.viii)

5) Amat menggemari teh dengan susu segar selain kek buah yang telah menjadi kegemaran beliau sejak kecil (ms. 2)

6) Tidak pernah menjadi ahli mana-mana kelab eksklusif sepertimana kelaziman mana-mana tokoh korporat yang berjaya. (ms.3)

7) Sewaktu tinggal bersama bapa saudaranya di Johor, mereka berdua kerap berjalan kaki dari Johor Bahru ke Woodlands, Singapura untuk membeli laici dalam tin yang dianggap barangan mewah bagi mereka pada ketika itu. (ms.14)

8) Pernah 'hanyut' seketika dalam dunia hedonistik ketika berusia awal 20an, namun beliau cepat sedar dan kembali ke pangkal jalan. (ms.22)

9) Pernah belajar ilmu perakaunan di Institut Goon, Kuala Lumpur., tetapi tidak menamatkan pengajian tersebut. (ms.23)

10) Pertama kali mengadakan sidang media adalah selepas menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1529H pada tahun 2008. Beliau bersetuju mengadakan sidang media tersebut hanyalah kerana ingin memberi penghormatan kepada bondanya semata-mata. (ms. 28)

11) Bapanya, Syed Nor pernah berpesan kepada Syed Mokhtar, " Tak Mengapa jika tidak berwang, tetapi jangan sekali-kali memalukan keluarga" . (ms 30)

Petikan teks di mukasurat 30 tentang pesanan Syed Nor kepada anaknya, Syed Mokhtar.

12) Syarikat pertama yang dimiliki beliau ialah Syarikat Kenderaan Sentosa (SKS) iaitu syarikat yang menawarkan pengangkutan menggunakan lori, ia ditubuhkan pada tahun 1972. (ms. 40)

13) Menggemari kemeja dari jenama Van Heusen, tetapi tidak gemar memakai tali leher. (ms. 52)

14) Memulakan perniagaan beras dengan menubuhkan syarikat Shah Enterprise pada tahun 1975, syarikat ini kemudiannya dinamakan semula sebagai Al-Bukhary Sdn. Bhd pada tahun 1976. (ms. 52)

15) Pernah mendapat kontrak dari Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk membekalkan 120,000 pasang kasut keselamatan bagi Angkatan Tentera Malaysia. ( ms.70)

16) Menjadi jutawan pada usia 30 tahun (ms.72)

17) Menaja purata 50 orang jemaah haji dari kalangan miskin tegar setiap tahun. (ms. 72)

18) Menjadi amalan mendermakan sebahagian pendapatannya kepada keluarga miskin tanpa mengira kaum hingga ke hari ini. (ms. 119)

19) Menubuhkan Universiti Antarabangsa Albukhary yang terletak di Kompleks Ilmu Sharifah Rokiah, wakaf yang dinamakan sempena ibunya. (ms.121)

20) Krisis ekonomi Asia 1997 telah menyebabkan asetnya susut daripada 3 billion kepada 600 juta (ms.127)

21) Beliau seorang yang sentimental, pejabat pertamanya di Teluk Wanjah, Alor Setar masih dikekalkan dalam keadaan asal, termasuk perabot asal yang telah digunakan sejak tahun 1975 , begitu juga dengan lori beras terawal, kereta dan penimbang beras milik syarikatnya, semuanya masih disimpan. (sisipan bergambar)

22) Setiap tahun beliau akan ke Mekah untuk menunaikan Umrah. (ms.171)

23) Membahagikan masa antara urusan keluarga dan perniagaan, pertemuan atau mesyuarat dengan rakan niaga dan para profesional yang terlibat dalam urus niaga beliau akan diadakan diantara jam 10 malam hingga ke 3 pagi setiap hari. (ms. 184)

24) Berkahwin pada usia 41 tahun,sementara isterinya Puan Sri Sharifah Zarah pada ketika itu berusia 24 tahun.( ms. 185).

25) Tidak suka tidur dibilik yang berhawa dingin, namun setelah berumah tangga, beliau berkompromi dalam soal ini. (ms.187)

Untuk mengetahui banyak lagi fakta menarik selain 25 yang diatas,  naskah yang diusahakan oleh Premilla Mohanlall ini perlu dibaca. Buku ini boleh didapati dari toko-toko buku MPH atau selainnya dengan harga pasaran RM19.90.



Rujukan:

Premilla Mohanlall. (2012). Biografi Syed Mokhtar Albukhary. Petaling Jaya: pVm Communications.

5 comments:

crazy uber jb said...

sy saiful baharuddin dr johor...insyaallah buku ini pasti sdikit sbyk memotivasikn kiter dlm mngejar impian...kpd yg diluar sana ingat ijazah x semesti nyer boleh buat awak hebat...tapi yg pnting ilmu mnjana wang n bniaga...beliau ada kolej sndiri sdgkn bliau hanya ada spm...fikir2 kn

amieaziz said...

pembetulan Tan sri tak ambik pun Spm atau masa tu Mce

Anonymous said...

salam saya student diploma in seni bina landscape bolehkah saya mendapatkan emel atau cara untuk berhubung dengn SYED MOKHTAR.

Harith Faruqi Sidek said...

Salam,

Mohon maaf, saya tiada maklumat bagaimana mahu berhubung dengan beliau, barangkali saudara/saudari rujuk dengan Yayasan AlBukhary di http://www.albukharyfoundation.org/

Glass Doors Greenville said...

You're the best