Wednesday, September 05, 2012

Pengalaman Cikgu Alias Toyan sewaktu zaman Komunis...



Sewaktu 'menggodek' bahan digital dengan bantuan enjin carian 'google', saya 'terserempak' dengan sebuah laman web yang dibangunkan khusus untuk Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain., Semenyih. Laman tersebut banyak memuatkan artikel tentang sejarah yang berkaitan dengan Semenyih, Antara artikel yang dimuatkan didalam laman ini ialah;


  1. Sejarah komunis di Semenyih
  2. Bercerita dengan Rashid Maidin
  3. Sejarah awal Komunis
  4. Cikgu Aziz Mohd Noor dan Komunis
  5. Pengalaman Cikgu Chong Tat Keong
  6. Perbualan Tunku dengan Chin Peng
  7. Cikgu Alias Toyan dan Kampung Pasir
  8. Keganasan Komunis di Semenyih
  9. Kesan penjajahan Jepun
  10. Kampung Tanjung dan era komunis
  11. Siapa Loi Tek
  12. Novel dikarang zaman komunis
  13. Sejarah PKM
  14. Perjuangan PKM
  15. Pemberontakan Komunis
  16. Bibliografi Keganasan komunis


Membaca setiap artikel yang dihasilkan amat mengasyikkan lebih-lebih lagi artikel yang menggunakan sumber lisan hasil wawancara yang dilakukan oleh Cikgu Abd. Malek Haji Abd. Haniff.  Sewaktu mengamati hasil wawancara beliau dibawah pautan yang diberi judul 'Cikgu Alias Toyan dan Kampung Pasir'...keterujaan terus menerpa, adakah Cikgu Alias Toyan yang diwawancara ini ialah insan sama yang pernah mendidik saya sewaktu bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Semenyih?. Kebetulan anakanda Cikgu Alias memang saya ketahui adalah rakan sekerja, iaitu Saudara Mohd Arif, lalu transkripsi wawancara yang diusahakan oleh Cikgu Abd. Malek ini saya rujuk kepada Mohd Arif untuk pengesahan. Ternyata apa yang terkandung dalam transkripsi wawancara itu adalah selari dengan apa yang diceritakan semula oleh Mohd Arif. Maka saya kira transkripsi wawancara yang diusahakan oleh Cikgu Abd. Malek ini perlu saya kongsikan bagi bacaan khalayak blog ini. 

Transkripsi yang dipaparkan dibawah adalah versi asal tanpa sebarang suntingan oleh saya, sebarang kredit atau penghargaan harus diberikan kepada pengusaha asalnya iaitu Cikgu Abd. Malek yang boleh dihubungi melalui emel malekhanif@yahoo.com.


Transkripsi asal wawancara diantara Cikgu Abd. Malek Abd. Haniff dengan Cikgu Alias Toyan. 

KEPERITAN HIDUP ZAMAN KOMUNIS DI SEMENYIH 1948 - 1960
 
Ketika itu banyak berlaku pertempuran. Saya lahir pada tahun 1933. Ketika itu saya berumur 20 tahun . Saya dulu duduk di sini berdekatan dengan lombong bijih timah yang ada sekarang. Rumah tersebut telah dirobohkan, tetapi tapak dan kesan-kesan tiang masih ada lagi. Di hadapan rumah saya ialah bekas penghulu Mukim Hulu Semenyih. . Rumah tersebut berdekatan dengan Sungai Semenyih, betul-betul di tebing Sungai Semenyih.

Penduduk Kampung Pasir ini asalnya dari penduduk Kampung Sungai Pening dan Kampung Sungai Pening. Masa darurat terlampau hangat, kerajaan tak boleh kawal. Masa itu rumah tidak teratur lagi . Orang ini pindah ke mari ( Kampung Pasir Baru ) pada tahun 1973.
Masa itu saya sudah saya jadi guru. Saya mengajar di Sekolah Kebangsaan Hulu Semenyih.
Ramai penempatan Cina di Kachau dan Sungai Lalang, terutama berdekatan dengan Sekolah Rendah Hulu Semenyih dan di Batu 27 , ramai orang Cina duduk. Terlampau hangat, estet dan kapal korek dibakar oleh tentera British. Pada masa itulah pasukan keselamatan yang dipanggil Jungle Squad memindahkan semua orang Cina ke pekan Semenyih sekarang ini. Semua orang Cina dipindahkan. Pekan-pekan dan semua rumah-rumah dibakar. Jadi semua Cina di Pekan Semenyih berasal dari kampung ini . Masa dahulu Cina yang ada di pekan Semenyih hanyalah di kawasan pekan. Di luar kawasan pekan tidak ada orang Cina. Masa darurat mereka dipindahkan dari sini. Ramai dipindahkan. Mungkin beribu dipindahkan.
Seingat saya ada tiga buah sekolah Cina . Iaitu di Batu 27, di Pekan Simpang dan sebuah lagi di kebun Tuan Carp.Ramai sungguh orang Cina di sini. Dekat-dekar 10,000 orang Cina. Tetapi bukan semua dipindah ke Pekan Semenyih. Ada yang dipindahkan ke Sungai Buluh dan mana-mana tempat yang mereka suka hendak pergi.
Masa itu orang Melayu tidak sampai 1000 orang pun. Kampung Sungai Lalang itu lebih kurang 300 orang sahaja penduduk. Bilangan penduduk Sungai Pening lebih kurang begitu juga. Di Sungai Pening tidak ada orang Cina, semua orang Melayu. Orang Melayu Sungai Pening dipindahkan kemudian daripada itu. Orang Melayu dipindahkan pada tahun 1951, iaitu setelah saya menjadi guru. Semua orang Melayu di Sungai Pening dihukum pindah.
Mereka dipindahkan kerana komunis, keselamatan mereka tidak boleh dijaga oleh pasukan keselamatan. Sukar beli beras dan minta bantuan. Pada masa itu kampung ini dipagar dengan dawai berduri. Penduduk diberi senjata. Penduduk dipaksa menjaga dan mengawal kampung. Saya masih ingat, di rumah saya ada tiga pucuk senapang. Kerajaan memberi senjata kepada semua Home Guard iaitu pengawal kampung. Penduduk kampung menjaga kampung sendiri pada waktu malam. Ada tiga pucuk senapang patah di rumah . Saya satu laras, pak tiri satu laras dan abang saya. Masa itu umur saya 20 tahun.
Semua Home Guard diberi latihan memegang senjata dan menembak kalau kena serang. Setiap kampung dihantar seorang jurulatih menggunakan senjata. Tempat latihan di sebuah padang berdekatan dengan sekolah. Kawalan secara begilir-gilir setiap malam. Sepuluh orang malam ini dan sepuluh orang malam esok. Pada waktu siang jika pergi bekerja, senapang itu dicerai-ceraikan dan disorokkan di mana-mana. Teruk juga kawalan pada masa itu.
Pada ketika itu kampung ini diberikan 60 pucuk kepada 60 orang. Setiap seorang sepucuk senjata. Kerajaan menubuhkan pasukan Home Gurad kerana memikirkan bantuan lambat datang jika berlaku sesuatu kejadian. Oleh penduduk kampung mengawal sendiri kampung masing-masing. Jurulatihnya orang Melayu juga. Nama jurulatih itu ialah Mat Aked.
Antara yang menjadi Home Guard ialah saya sendiri ( Alias bin Toyan ). Adik saya iaitu Sulaiman bin Toyan dan bapa tiri saya. Masa itu saya menjadi home guard yang paling muda. Ketua Home Guard bernama Mat Aked. Beliau sudah meninggal dunia.

KAWALAN SETIAP MALAM
Setiap malam berkawal di post-post. Memang ada pondok kawalan. Pondok kawalan itu dibuat daripada kayu dan tanah, macam suasana perang betul-betul. Pondok kawalan dibina daripada pasir. Kami duduk berkubu dalam pondok itu. Dinding papan tinggi dan dibubuh pasir, pondok ini di kawasan yang sesuai, strategik , di bahagian menghadap belakang kampung.
Masa itu kami ada dua kumpulan. Kampung Pasir satu kumpulan dan Kampung Sempa satu kumpulan. Setiap malam tidak kurang dari tujuh orang berkawal bergilir-gilir. Di sini tidak pernah pula berlaku tembak menembak dengan Home Guard.
Ada seorang tukang gunting ditembak oleh komunis di Pekan Simpang. Namanya ialah Abdul Wahab. Dia dibunuh oleh kawannya sendiri juga komunis. Wahab ini keluar dari pasukan komunis lalu dituduh belot. Apabila berkawan dengan komunis atau menyertai komunis, hendak meninggalkan kumpulan komunis tak boleh keluar begitu sahaja. Ahli yang keluar dianggap belot dan dihukum bunuh. Punca pembunuhan ialah kerana belot dari perjuangan komunis. Mereka tidak dibenarkan menarik diri. Mereka akan ditembak mati.
Sekitar tahun 1950, pasukan SC iaitu Special Constable yang mengawal ladang-ladang . Komunis tahu sesiapa yang menjadi SC lalu ditembak. Dua orang ditembak mati. Selalu berlaku pertempuran , tertapi tak namapak, hanya dengar bunyi pertempuran. Jauh berlaku di dalam hutan, di dalam kebun-kebun getah. Kebun getah ini dimiliki oleh orang Cina.
Semua orang Cina dihukum pindah pada tahun 1948. Selama tiga tahun orang Cina tidak dibenarkan masuk ke dalam kebun getah. Tidak ada orang yang pergi menoreh. Lama selepas itu barulah dibenarkan masuk, itupun setelah undang-undang darurat dikuatkuasakan. Kawalan dari jam 6.00 pagi hingga 2.00 sahaja dibenarkan keluar. Selepas itu hanya duduk di rumah. Selepas 2.00 petang tidak boleh duduk dalam kebun getah, mesti di jalan-jalan raya.
Sepanjang jalan dari Semenyih ke Kampung Pasir ada beberapa sekatan jalan raya. Di Kampung Pasir ada sekatan, satu lagi di Putih Tin iaitu berdekatan dengan sekolah. Satu lagi sekatan berdekatan dengan Balai Polis Semenyih. Balai Polis Semenyih yang ada sekarang tetapi bangunannya dulu hanya bangunan papan sahaja.
Tidak ada pakaian khas untuk Home Guard. Anggota Home Goard boleh memakai apa sahaja corak pakaian. Tidak ada uniform. Setiap Home Goard diberi selaras senjata dengan 25 biji peluru. Tujuannya untuk mempertahankan diri. Sebenarnya komunis ini sangat ganas.
Ada Jungle Squad yang mati iaitu berdekatan dengan kilang papan yang ada sekarang. Semua anggota Jungle Squad ini terdiri dari orang kampung ini juga. Pasukan mereka kena serang di tengah jalan . Ada dua orang kampung ini yang mati kena serang hendap oleh komunis. Mereka merupakan pasukan Jungle Squad. Seorang darinya ialah Harun dan seorang lagi bernama Syarif. Mereka kena serang berdekatan dengan kawasan Broga.
SC ini kebanyakannya orang tempatan. Semuanya orang tempatan, lingkungan umur 20-an. Mereka bertugas di sekitar Semenyih. Mereka bertugas menjaga harta orang putih sahaja. Estet dan kayu balak. Semenyih Estet, Dominion Estet , Saringgit Estet, semua orang putih punya. Ladang-ladang dipunyai oleh orang putih. Saringgit Estet kini telah dijadikan taman perumahan.
Ladang Semenyih terletak di sebelah kiri jalan ke Broga ada sebuah lagi ladang bernama Ladang Balau. Ladang-ladang ini dikawal oleh pasukan SC iaitu Special Constable. Setiap ladang tidak kurang dari 20 orang, tapi bilangan tidak tentu. Bergantung kepada sama ada bahaya atau tidak.

Kawasan kilang papan dekat dengan Sungai Tekala ramai SC berkawal. Hasil pada masa itu ialah kayu balak. Oleh itu mereka jaga kawasan kilang papan. Tidak silap saya masih ada kereta perisai dalam kawasan kilang papan. Di panggil armour car. Kereta itu sebenarnya dimiliki oleh tauke kilang papan. Dia beli sendiri untuk menjaga keselamatannya. Bila darurat habis, kereta perisai itu tidak digunakan lagi dan diletakkan di situ. Kereta perisai itu dia beli sendiri, bukan polis punya.

MANGSA KEGANASAN KOMUNIS

Antara penduduk kampung yang menjadi SC ialah Umar bin Jawi , Syuib bin Jawi, Salleh bin Shuhaimi dan Hamid bin Tari. Syarif , asal dari Beranang. Harun bin Kasa. Yaakob bin Jamin. Kadir.
Ramai juga penduduk yang menyertai Home Guard . Tidak ada orang perempuan yang menyertai Home Guard. Pasukan polis perempuan hanya di bandar-bandar sahaja. Malay Women Home Guard. Mereka akan memeriksa orang perempuan. Apabila melintasi sekatan, seluruh tubuh akan diperiksa. Malay Women Home Guard akan memeriksa orang perempuan. Home Guard lelaki akan diperiksa oleh orang lelaki. Singkatan bagi Malay Home
Wahab yang dibunuh berasal dari negeri Pahang. Di Pahang dia masuk dalam kumpulan ini. Dia kemudian lari ke mari . Lari daripada kumpulan ini.. Tetapi dia dijumpai di kawasan ini lalu ditembak. Saya memang nampak betul-betul dia kena tembak di pekan ini. ( Pekan Simpang, Kampung Pasir ). Dia ditembak di dalam kedainya. Masa itu semua kawasan di bawah Cikgu Aziz, dulu semua pekan dulu itu. Dari deretan kubur hingga ke rumah Cikgu Abdul Aziz. Dari kiri ke Semenyih dan kanan semua kedai dua tingkat. Jalan ke mari juga kedai - banyak dan panjang. Dulu semua kedai Cina.
Namun begitu tidak ada orang Melayu yang membalas dendam ( di atas kematian Wahab ). Tiada ada yang berani. Tidak ada tindakan daripada orang Melayu. Tidak seperti tindakan di Perak. Di Perak itu lain. Macam di Kampung Bakul, di negeri Perak. Kejadian di Sungai Manik itu lain. Kejadian itu sebelum darurat. Kejadian di Batu Kikir, itu sebelum darurat. Itu memang perkauman. Sebenarnya perkauman ini sudah lama . Masa dulu di Sungai Manik, mana boleh orang Cina masuk.
Masa itu di Kampung Pasir ini tidak ada api elektrik. Air pun tidak ada. Masa itu hanya menggunakan air perigi. Masa itu ada jalan tar sejak lama. Jalan kampung ini juga ….. masa itu kampung pasir ini masih belum ada. Hanya diwujudkan pada tahun 1980an… iaitu Kampung Pasir Baru.
Pemeriksaan atau Kachau Gate itu terletak sebelum ke Semenyih. Masa itu semua itu di panggil Jalan Kachau. Masa itu tidak ada lagi bas. Sebelum kejadian 1948, ada bas masuk. Mewah. Selepas tahun 1948, tidak ada lagi bas yang masuk Sebelum itu ramai, orang ramai. Hanya tinggal orang Melayu. Penduduk terpaksa pergi ke Semenyih untuk membeli beras dan lain-lain.
Kubu komunis terletak di dalam hutan. Kubu komunis banyak di Bukit Kopi, Semenyih. Di situ selalu berlaku pertempuran. Dalam seminggu, sekali memang ada pertempuran. Kadang-kadang komunis ini keluar menyerang terutama sekali Ladang Dominion. Kadang-kadang Saringgit Estet. Kadang-kadan Balau Estet. Kedengaran bunyi tembakan pada waktu malam. Banyak bunyi termbakan. Kalau brenggun berjujut bunyi, menderu bunyinya.
Masa saya sekolah dalam darjah enam, di mana disyakki ada kubu komunis semua dibom oleh pihak British . Kapal terbang B29 , iaitu kapal terbang yang paling besar akan menggugurkan bom. Bom berangkai akan menggurkan bom, sekurang-kurangnya 1 minit berdentum – tak habis, lama. Di sini memang ramai komunis … Broga dan Semenyih. Di sini kawasan yang paling darurat. Mana ada kawasan lain, bandar lain kena bakar, tetapi di sini, pekannya kena bakar.
Punca dibakar supaya komunis tidak dapat bekalan. Mereka dihukum pindah, supaya tidak memberi bekalan kepada komunis. Selagi ada rumah , apa juga, semua dibakar. Mereka tidak boleh duduk di sini. Mereka itu menyokong komunis. Mereka terpaksa sokong. Terpaksa sokong. Sebenarnya yang masuk itu bukan semua- kebanyakannya terpaksa. Bila hukum pindah, keluarlah. Masa itu orang Cina makan nasi kancah. Datang ambil nasi sahaja., tak boleh ambil beras. Beras tak boleh ambil. Mereka sangat dikawal rapi. Jika tidak dibuat begitu, sampai sekarang masih ada lagi komunis. Semua rancangan ini Jeneral Templer punya rancangan.
Orang Melayu boleh keluar. Pada pukul enam pagi boleh keluar. Keluar ke jalan raya pukul enam. Balik lah ke rumah masing-masing. Setiap hari, waktu siang dikawal. Waktu malam ditembak dengan mortar terutama di kawasan Sawmill. Kami panggil Kachau… sebenarnya di kawasan kaki bukit , dekat hutan sana. Di bom oleh tentera British. Terdengar bunyi rooommmmmmm, macam cerita filem orang putih sekarang. Ketika itu ada tentera Sulfolk. Mereka tembak dengan mortar. Peluru lalu atas kampung. Takut tak takut duduklah diam di rumah. Tentera Sulfolk tembak dengan peluru mortar.

  
PENDUDUK MELAYU TIDAK DIGANGGU

Orang Melayu di kampung ini tidak dikacau oleh komunis . Mereka tidak datang meminta makanan. Sebenarnya mereka ada kuncu di luar yang menghantar bekalan. Orang Melayu terpaksa diperiksa sama. Macam mana orang Melayu hendak beri bekalan kepada komunis kerana kehidupan orang kampung sendiri hidup susah. Kerja mana ada. Kerja yang ada cuma menoreh getah. Jika hari hujan, peritlah tu. Orang kampung tidak dikacau ganggu. Tauke dikacau, jika tak di beri, mereka akan ditembak.
Semua senapang dipulangkan semula oleh homeguard selepas itu. Masa itu saya tukar ke Sabak Bernam. Jadi guru di Sabak Bernam pada tahun 1956. Senapang itu masih ada lagi di rumah.
Kemudian senapang itu dipulang. Bila ke sekolah, naik basikal. Jadi cikgu, beli basikal, basikal baru. Tahun 1953. Masa itu tidak ada kedai gambar di Semenyih,
Imam Manaf, bapa saudara saya., Dia berkedai. Masa kedai terbakar itu, saya terlibat sama. Masa terbakar itu saya duduk di kedai itu, sukat beras, timbang dan kerja-kerja lain. Saya memang terlibat secara lansung dengan kedai itu. Masa itu kedai itu besar juga. Beli beras pakai kad, beras, gula, tepung. Masa itu tidak ada jualan lansung. Masa itu beras datang dari Kajang dan diagihkan . Setiap rumah ambil dua-dua gantang sahaja. Kalau tiga gantang, ambil tiga gantang sahaja.
Harga masa itu murah. Seringgit lapan puluh sen beras segantang. Menggunakan timbang kati. Petang itu bekalan beras datang dari Kajang ( di Kajang ada gudang beras, berhampiran dengan stesen keretapi sekarang ini ). Malam itu terbakar habis. Dibakar oleh orang putih. Orang putih beritahu beberapa minit, bawa barang, apa-apa benda yang penting di bawa keluar. Tarikhnya 12.12.1948. Mana ada yang selamat. Semua habis terbakar. Masa itu saya pun tidak tidur di kedai. Kalau saya tidur di kedai, apa yang boleh saya buat. Masa itu saya masih budak lagi. Umur lima belas tahun. Ambilah barang dalam masa 15 minit. Apa barang yang sempat diselamatkan.
Ada banyak pintu kedai, lebih 20 buah pintu. Ada gelanggang bola keranjang. Dekat dengan tanah wakaf hingga ke Sekolah Rendah Hulu Semenyih. Semua kedai papan dua tingkat. Masa itu rumah-rumah kedai itu cantik-cantik. Tiang kedai besar-besar, dulu punya kayu. Depan rumah Cikgu Aziz, rumah kedai daripada batu. Sampai sekarang masih ada kesan-kesan . Masa itu tidak ada orang ambil gambar rumah kedai terbakar . Askar orang putih ada ambil gambar.
Kem askar terletak dekat padang, tanah lapang berdekatan dengan lombong berhadapan dengan rumah Cikgu Aziz, dekat sekolah. Ramai askar orang putih. Satu batalion. Dekat seribu orang, lengkap dengan mortar , brengun, stengun dan lain-lain senjata. Tapi tidak ada kereta kebal. Lengkap dengan mortar dan meriam. Mereka dipanggil askar infantri. Tidak ada askar Gurkha. Banyak British Army. Tidak lama kemudian diganti dengan askar Melayu pula. Batalion ke 6, masa itu saya sudah bertukar ke Sabak Bernam (menjadi guru). Ramai sungguh. Sampai habislah komunis dikerjakannya.
Askar British lama juga di sini, hingga tahun 1956. Tahun 1948, tentera British belum bina kem di sini lagi. Tahun 1950 askar British bina kem di sini.
Dulu ada banglo, dekat dengan Putih Tin. Ada banglo 2 buah, berhadapan dengan rumah Cikgu Aziz. Banglo besar. Sekarang tiada lagi, habis runtuh. Rumah orang putih besar betul. Nama orang yang tinggal di situ saya tak ingat lagi. Nama-nama tauke Cina yang saya masih ingat ialah Cinku. Sekarang kedainya dekat kedai surat khabar di Pekan Semenyih . Nama lain ialah Ah Peng, Si Chik, Ah Teng , Ah Pok ( jual air batu), Ah Kau ( paling kaya di Semenyih- berniaga getah ). Imam Manaf kedai runcit juga. Selepas dibakar tidak berniaga lagi.
Tapak kedai Syarikat ( Koperasi Teras Sdn Bhd ) di Semenyih dulu dia yang punya ( jual bunga sekarang ). Dekat kedai basikal, di tengah Pekan Semenyih.

JAGA LADANG ORANG PUTIH
Saya jadi guru, cukup suka. Gaji dibayar 60 ringgit. Latihan normal. Nasib baik itu.Dulu sesiapa tak masuk kolej akan dibuang, diganti dengan orang lain . Tetapi masa saya diserap.
Beret , Jungge Squad pakai uniform hijau. Bukan setakat jaga ladang. Mula hanya jaga ladang. Tetapi kemudian sama macam askar yang lain. Askar Melayu datang 1956, bina kem. Keadaan sekarang sudah berubah. Sungai pun sudah berubah. Cina lombong ubah aliran sungai untuk melombong bijih. Namanya Putih Tin. Dipanggil Tin Tin Limited , Kachau. Dipunyai oleh orang putih. Kapal korek telah ada sebelum Jepun. Tersadai dekat rumah murah ( Taman Sri Tangsi ). Selepas Jepun kapal korek dijalankan semula . Di bakar kapal korek. Tapi kapal korek tidak dapat dibakar kerana terletak di tengah lombong. Semua rumah kongsi pekerja lombong dibakar. Hanya ada sebuah kapal korek.
Banyak lombong di sini dahulu. Ada dua tiga kompeni. Lombong ini dipunyai oleh orang Cina dan orang putih. Lombong-lombong ini pekerjanya hanya orang Cina, Orang Melayu cuma menjadi jaga. Orang Cina datang ke sini telah lama, sebelum perang lagi. Orang Melayu bekerja di sawah padi, di Sungai Pening. Lain-lain orang Melayu sebagai penoreh getah. Harga getah tak mahal, Harga getah yang mahal sekejap sahaja itu setahun lapan bulan iaitu semasa Perang Korea. Harga getah dua ringgit sekati – getah keping. Nyaris-nyaris sahaja berhenti. Mujurlah abang ipar saya ingatkan saya jangan berhenti – harga getah mahal ini tidak akan lama. Satu hari menoreh getah dapat lima enam puluh ringgit. Duit masa itu. Beras 1.80 segantang.
Ayah saya bekerja dengan JKR, meninggal semasa Jepun.
Penduduk India bersekolah di Sekolah Ladang Dominion . Dulu ramai pekerja di Ladang Dominion. Beratus orang. Banyak rumah kuli masa itu. Sekarang tidak ada lagi kerana pakai mesin. Tanam sekejap siap, pakai traktor . Lebih ramai orang India daripada orang Melayu di dalam estet itu.
Orang Melayu di sini banyak berasal dari Sumatera itu daripada Kampar. Bapa saya dari Sumatera. Saya lahir di sini. Bapa saya Toyan bin Hussin. Dia lahir di Sumatera. Adik beradik saya ada lima. Namanya Fatimah dan Sulaiman. Yang Masih hidup saya ( Alias), Hamidah dan Sulaiman.). Saya pencen pada 14 Disember 1988 .
Masa Jepun , banyak duit. Pakai cop sendiri, Sampai berbakul-bakul.
.--------------------------------------------------------------------
Rakaman amat 1.30 tengah hari di rumah Cikgu Alias Toyan, Kampung Pasir, Semenyih.
Rakaman dibuat oleh :
1.Cikgu Abd Malek bin Haji Abd Hanif
2.Mohd Farid bin Abdul Ghani
3.Mohd Hafiz bin Hamdan
4.Siti Darmawan bin Abdul Rafai
5.Ahmad Zeedany

Lokasi asal transkripsi ini boleh diakses melalui alamat http://smeh.tripod.com/sj_toyan.htm.

Cikgu Alias yang saya kenal adalah seorang yang gemar bergurau dan sangat disenangi, beliau mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia. Saya tidak mempunyai sebarang kenangan pahit dengan Cikgu Alias, mungkin atas keperibadian beliau yang mesra dan gemar berlawak atau saya sendiri yang tidak pernah membuat hal sehingga boleh membangkitkan kemarahan beliau. Semoga Cikgu dikurniakan usia yang berkat dan kesihatan yang sempurna, jasa cikgu saya amat saya kenangi. Syabas juga kepada Cikgu Abd. Malek Abd. Haniff yang mengusahakan rakaman sejarah lisan berkaitan Semenyih, semoga usaha murni ini dapat dimanfaatkan oleh khalayak pembaca.


Cikgu Abd. Malek Abd. Haniff yang mengusahakan wawancara ini.

Rujukan:

Laman Web Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain dialamat http://smeh.tripod.com/ (diakses pada 30 Ogos 2012.









 



No comments: