Thursday, August 09, 2012

ENRIQUE OF MALACCA@PANGLIMA AWANG MENURUT CATATAN ANTONIO PIGAFETTA

Patung yang menggambarkan jasad Enrique of Malacca@Panglima Awang yang dipamerkan di Muzium Maritim, Melaka. (Sumber: Wikipedia)

Oleh : Harith Faruqi Sidek
Kejatuhan kesultanan Melayu Melaka merupakan babak hitam dalam korpus sejarah kesultanan Melayu, namun disebalik itu terdapat catatan sejarah yang telah berusia 500 tahun (Nik Hassan shuhaimi Nik Abd. Rahman et al, 2009: 178) yang perlu dibincangkan semula, sejarah yang menyentuh perihal manusia pertama yang mengelilingi dunia. Benarkah manusia pertama yang berjaya mengelilingi dunia adalah seorang berketurunan melayu dari Melaka?, seorang hamba abdi yang namanya Enrique@Henrique of Malacca,ada juga yang menyebut sebagai Henry the Black. Kebanyakkan sejarah garapan barat mengiktiraf dan memasyurkan Ferdinand Magellan sebagai manusia pertama yang berjaya merentasi dunia dengan ekspedisi yang merentasi wilayah Goa, Tanjung Pengharapan, Cape Verde, Lautan Hindi, Laut Arab, Lautan Atlantik hingga ke lautan Pacific, terus ke wilayah Nusantara hinggalah Magellan menemui ajalnya di Pulau Cebu.
Penulisan ini akan membicarakan watak Enrique@Henrique of Malacca yang wujud dalam catatan Antonio Pigafetta yang merupakan salah seorang anak kapal yang turut menyertai ekspedisi Magellan. Catatan Antonio Pigafetta ini meskipun wujud 3 dekad selepas pelayaran Columbus yang menemui “New World”, ianya tetap merupakan sejarah penting dalam sejarah pelayaran manusia. Malah jurnal yang ditulis oleh Pigafetta ini juga penting bagi kajian tradisi mencatat sejarah, khususnya dalam mengkaji fakta silam dari naskhah tua. Terdapat satu lagi versi tentang Enrique of Malacca yang digarap oleh Harun Aminurrashid, tetapi dalam naskah Harun, Enrique dijelmakan dalam watak Panglima Awang. Alkisah nama “Awang” diberikan bagi menyuntik unsur kemelayuan, sementara “Panglima” itu ditokok sebagai lambang kegagahan, kerana dari perspektif Harun, bukan calang manusia yang mampu  meredah cabaran darat dan laut sepertimana yang dilalui oleh watak Panglima Awang atau Enrique ini. Memang terdapat perbezaan dari sudut penceritaan mahupun gaya penulisan antara kedua versi ini, yang nyata versi jurnal Pigafetta itu telah diangkat sebagai sumber sejarah prima oleh para sejarawan, sementara  versi Harun Aminurrashid kekal dalam genre fiksyen.
Antonio Pigafetta (sumber: wikipedia)

Siapa Antonio Pigafetta

Antonio Pigafetta atau nama asalnya Plegafeta dilahirkan di Vicenza, dalam wilayah Venice, Itali (Charles, 1962 : 79). Pigafetta datang dari keluarga yang kaya raya dan terpelajar, beliau juga mempunyai latar pendidikan dalam bidang astronomi dan geologi.  Tidak terdapat catatan tentang tarikh lahir beliau, namun pengkaji sejarah menganggarkan sekitar tahun 1480 hingga 1491, ianya bersandarkan usia yang wajar serta matang sewaktu mengikuti ekspedisi Magellan dan keupayaan mencatat  jurnal dengan baik sepanjang ekspedisi berkenaan. Pigafetta diceritakan telah mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi menyertai pasukan ekspedisi Magellan yang terdiri daripada 280 orang[1] dalam armada yang disertai lima buah kapal.  Mungkin telah dirancang, Pigafetta telah menyertai Magellan dan hambanya Enrique diatas satu kapal yang sama, iaitu Trinidad bersama 59 anak kapal yang lain (Nik Hassan shuhaimi Nik Abd. Rahman et al, 2009: 176). Pigafetta juga merupakan antara 18 ahli ekspedisi yang selamat dan kembali semula ke Sevilla, Sepanyol dalam tahun 1522 dengan kapal Victoria.[2]

Latar belakang Enrique of Malacca

Kebanyakkan penyelidik bersepakat bahawa Enrique telah dibeli sebagai hamba abdi oleh Ferdinand Magellan sewaktu beliau berlabuh di Melaka. Enrique dianggarkan berusia dalam lingkungan 12 – 18 tahun pada ketika itu, beliau kemudiannya telah dibaptiskan oleh Magellan dan diberi nama Enrique. Walau bagaimanapun, terdapat juga pendapat yang mengatakan Enrique  bukan dari keturunan melayu, sebaliknya adalah dari kalangan masyarakat Filipina yang telah membina penempatan di Melaka selepas berhijrah daripada daerah Luzon. Kenyataan ini adalah berdasarkan catatan Tom Pires yang bertarikh 1513 yang menceritakan tentang kewujudan penempatan berkenaan.[3] Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa Enrique sebenarnya berasal dari sumatera, beliau kemudiannya telah diculik lalu dijual di Pasar Hamba abdi di Melaka, malah didalam jurnalnya, Pigafetta sendiri ada merujuk Enrique sebagai berasal dari Sumatera.[4] Setelah dibeli di Melaka sebagai hamba abdi, Enrique telah dibawa ke Lisbon, Portugal oleh Magellan. Sewaktu mula berlayar dari Sevilla, sepanyol pada 10 Ogos 1519, Enrique dianggarkan berada pada usia yang sebaya dengan figafetta, dan yang paling menarik ialah, rekod daftar anak kapal Trinidad menunjukkan beliau adalah seorang penterjemah yang menerima gaji sebanyak 1,500 maravedis serta berasal dari Melaka, sementara Pigafetta direkodkan sebagai kelasi biasa yang berasal dari Lombardy dengan gaji sebanyak 1,000 Maravedis.[5] Walau bagaimanpun, catatan Pigafetta merujuk Enrique sebagai seorang  Penterjemah hanyalah selepas peristiwa di Pulau Limasawa, sebelumnya Enrique dirujuk sebagai seorang  hamba Abdi. Peristiwa di Pulau Limawasa telah menyerlahkan kelebihan Enrique yang mampu berkomunikasi dengan masyarakat di Nusantara termasuk Raja-raja yang menggunakan bahasa melayu, lalu beliau dilantik oleh Magellan sebagai penterjemah dan ditugaskan untuk mengendalikan urusniaga bagi mendapatkan  bekalan makanan dan lain-lain keperluan asas bagi meneruskan pelayaran.

Hubungan Enrique dengan Magellan

Meskipun pada awalnya Enrique dibeli sebagai seorang hamba abdi oleh Magellan, beliau akhirnya menjalin hubungan yang akrab dengan Magellan. Malah Magellan telah menulis wasiat khas berkaitan Enrique, antara kandungan wasiat berkenaan ialah, seandainya berlaku kematian keatas Magellan, Enrique hendaklah dibebaskan dari perhambaan dan dibayar pampasan sara diri sebanyak 10 Ribu Maravedis.[6] Malangnya apabila Magellan mati dibunuh, wasiat Magellan tidak dipatuhi oleh pemerintah yang menggantikannya, iaitu Edward Barbosa. Malah Enrique telah dilayan dengan begitu buruk sekali oleh Barbosa, lalu diceritakan Enrique telah bersekongkol dengan penduduk tempatan untuk membunuh pemerintah kapal itu, peristiwa ini berlaku pada 1 mei 1521.  Pigafetta turut mencatatkan bagaimana kesedihan yang ditanggung oleh Enrique selepas kematian Magellan, beliau digambarkan hanya menyendiri, tidak lagi ke daratan melakukan kerja rutin sepertimana sebelumnya dan beliau juga enggan menurut perintah pemerintah kapal yang menggantikan Magellan, Edward Barbosa[7].

Pelayaran Magellan

Menurut catatan Pigafetta, pasukan ekspedisi Magellan terdiri daripada 280 orang. Sebahagian besar anggota ekspedisi ini adalah berbangsa sepanyol, 37 orang bangsa Portugis, 27 orang bangsa Itali, 19 orang bangsa Perancis, 5 orang bangsa Belgium, beberapa orang dari Jerman dan Greeks, seorang berbangsa inggeris, beberapa orang dari bangsa Arab dan Negro serta Enrique sendiri yang dirujuk sebagai seorang kelahiran Sumatra dan bertugas sebagai penterjemah. Pelayaran Magellan ke Moluccas atau Pulau Rempah (Island of Spices) bermula pada hari isnin, 10 Ogos 1519 dengan dibiayai oleh Raja Sepanyol, Raja Charles V. Pasukan ekspedisi ini bertolak dari Seville,Sepanyol sebelum berhenti selama beberapa minggu di San Lucar de Barrameda untuk persiapan terakhir sebelum meneruskan pelayaran. Pada 20 September 1519, Magellan berlayar menuju Pulau Canary, Cape Verde dan Sierra Leone. Pelayaran menuju Brazil menemukan  Magellan dengan ribut dan laut yang bergelora, pasukan ini  kemudiannya berlabuh selama beberapa minggu di St. Lucy (kini Rio de Janeiro).
Pelayaran seterusnya mendatangkan cabaran yang lebih besar buat Magellan, daripada 5 buah kapal yang menyertai ekspedisi ini, dua daripadanya telah meninggalkan pasukan ini, Kapal Santiago yang berada di hadapan sebagai peninjau telah sesat, sementara pemerintah kapal San Antonio, Juan de Cartegana telah berselisih faham dengan Magellan lalu membawa kapalnya meninggalkan ekspedisi berkenaan dan pulang ke sepanyol pada 6 Mei 1521. Dengan tiga buah kapal yang tinggal, Magellan meneruskan pelayaran ke Filipina dengan meredah lautan selama 38 hari sebelum memasuki lautan Pacific pada akhir November 1520.

Kembali ke Alam Melayu
Peranan Enrique dalam catatan Pigafetta bermula ketika ekspedisi ini tiba di Pulau Limasawa pada pagi Khamis, 28 Mac 1521. Ketika menghampiri kepulauan berkenaan, kapal Magellan dihampiri oleh boroto yang dinaiki lapan orang lelaki yang dipercayai penduduk pulau tersebut. Apabila menghampiri kapal, Enrique dikatakan telah berkomunikasi dengan lelaki-lelaki berkenaan dengan bahasa yang seakan difahami oleh kedua pihak.[8] Malah dua jam selepas peristiwa berkenaan, kapal Magellan didatangi dua bot panjang dari daratan yang sama, kali ini dipercayai Raja Pulau Limasawa turut berada didalam pasukan berkenaan. Sekali lagi Enrique memainkan peranan dengan berkomunikasi dengan Raja berkenaan, seterusnya berlaku proses perkenalan dimana beberapa wakil dari penduduk pulau telah dijemput ke atas kapal lalu dijamu dengan pelbagai hidangan makanan. Sebagai membalas jasa baik Magellan, Raja Limasawa menawarkan hadiah jongkong emas selain sebakul halia, namun tawaran tersebut ditolak dengan baik oleh Magellan.[9]
Kapal Magellan kemudiannya dibenarkan berlabuh berhampiran dengan istana Raja Limasawa, keesokan harinya Enrique telah dihantar ke daratan untuk berunding pembelian bekalan makanan untuk pasukan Magellan serta menyampaikan mesej bahawa kehadiran mereka di pulau itu adalah sebagai kawan dan bukannya untuk memerangi Pulau Limasawa. Dari Pulau Limasawa, Magellan dan pasukannya bergerak ke Pulau Mactan,Cebu. Di Cebu inilah berlakunya peristiwa dimana beliau telah mati dibunuh didalam pertempuran dengan penduduk mactan yang diketuai oleh Lapu Lapu.


Bahasa Melayu sebagai lingua franca nusantara

Keupayaan Enrique berkomunikasi dengan penduduk tempatan telah dibuktikan dengan catatan Pigafetta yang menyenaraikan daftar istilah yang digunakan oleh penduduk Cebu. Antara perkataan yang mempunyai bunyi kemelayuan ialah;

Bahasa Perancis
Bahasa English
Bahasa Cebu
La femme
Women
Perampuan atau paranpoan
Les yeulx
Eyes
Matta
Le poulce
Elbow
Sico
Le Nombril
Navel
Pussud atau Pusut
Les Cuisses
Thigh
Paha
Le gras de la jambe
Calf
Bitis
Les cannes Doulces
Sugar Cane
Tubu atauTube
Le Sel
Salt
Acin
Le Vin
Wine
Tuba atau Nipa
Le Manger
Food
Macan
Le Pourceau
Pig
Babui
Le Vinaigre
Vinegar
Zucha
Les Balances
Scales
Timban atauTinban
Non
No
Tida atau tidale
L’estoille
Star
Bintan
Grand
Big
Bassa
Le Bateau
Boat
Sampan
Grand Capitaine general
King
Raia

Khatimah

Enrique of Malacca meskipun muncul dalam catatan Pigafetta sebagai antara anggota ekspedisi Magellan yang selamat, namun jejak beliau selepas peristiwa di Cebu adalah tidak jelas. Apa yang nyata, nama Enrique tidak tercatat dikalangan anak kapal yang kembali ke Sevilla, terdapat kemungkinan Enrique menetap terus di Cebu atau telah melengkapkan perjalanan 360° dengan kembali ke Tanah Melayu seperti dalam versi Panglima Awang oleh Harun Aminurrashid[10], namun ianya tidak mustahil kerana memang wujud hubungan perdagangan diantara Melaka dengan wilayah-wilayah di kepulauan Filipina, khususnya Cebu (Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman et al, 2009: ms.186). Namun jika kedua-dua teori itu tidak tepat, sekurang-kurangnya Enrique telah kembali semula ke benua dimana bahasa ibundanya turut dituturkan oleh masyarakat disana.

Rujukan:

Harun Aminurrashid.1957. Panglima Awang. Buku Punggok: Singapura. Ms.221
(Kat PL 5186.H37.P3 1957 – Pameran  Koleksi Harun Aminurrashid, Perpustakaan Tun Seri Lanang)

Levesque, Rodriguez. 1980. The Philipines: Pigafetta’s Story of Their Discovery by Magellan. Levesque Pubs.: Canada.
( Kat DS 674.P63 – Koleksi Asia Tenggara, Perpustakaan Tun Seri Lanang)

Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman et al, 2009. Enrique Melaka@Panglima Awang sebagai Magellan Melayu.
Sari. 27(2): Ms.178
( Sistem e-Penerbitan UKM)

Nowell. Charles E. (Ed.). 1962. Magellan’s Voyage Around The World: Three Contemporary Accounts. Northwestern University Press: Evanston.
(G 286.M2.N6 - Koleksi Am, Perpustakaan Tun Seri Lanang)

Pigafetta, A. 1969. First Voyage Around The World.  Filipina Book Guide: Manila
(G 420.P543 n.2 - Koleksi Am, Perpustakaan Tun Seri Lanang)

Roditi, Edouard. 1972. Magellan of the Pacific. McGraw-Hill: New York.
(G 286. M2 .B62 - Koleksi Am, Perpustakaan Tun Seri Lanang)

Shaiful Bahri Md. Radzi.2010. Panglima Awang,Magellan Melayu. Dewan Masyarakat. Januari 2010.ms.51
(Sistem e-Penerbitan UKM)

 * Artikel ini telah diterbitkan didalam Buletin ILHAM Bil 12/2012


[1] Ahli ekspedisi terdiri daripada sebahagian besarnya bangsa Sepanyol, 37 orang bangsa Portugis, 27 orang bangsa Itali, 19 orang bangsa Perancis, 5 orang dari Belgium, beberapa orang bangsa Jerman dan Greek, seorang berbangsa Inggeris, beberapa orang bangsa Arab dan Negro serta seorang penterjemah kelahiran Sumatra (Enrique) – Levesque. R. 1980. The Philipines: Pigafetta’s Story of Their Discovery by Magellan. Levesque Pubs: Canada. ms.12.
[2] Lima buah kapal asal ialah Trinidad, San Antonio, Concepcion, Victoria dan Santiago. – Pigafetta, A. 1969. First
Voyage Around The World. Filipina Book Guide: Manila. ms. xx.
[3]but we suspect that as a youngster he probably came from the Visayan Region, for Filipino settlement in
Malacca are known to have existed at that time. The Portuguese Chronicler, Tom Pires recorded in 1513 that a
large settlement of several hundred immigrants from Luzon existed in that area about that time. – (Carlos Quirino,
Intoduction ).- Pigafetta, A. 1969. First Voyage Around The World. Filipina Book Guide: Manila. ms. xx.
[4] …A Slave belonging to the Captain-General, who was a native of Zamatra (Sumatra).- Pigafetta, A. 1969. First
Voyage Around The World. Filipina Book Guide: Manila. ms. 26.
[5] Jadual 1. Daftar Kapal Trinidad yang disesuaikan dan diterjemah daripada Joyner, 1994, Magellan dan de Navarrete, 1837. Coleccion de losviajes y descrumbrimientos que hicieron por mar los espaDoles desde fines del siglo XV.vol 4. - Nik Hassan shuhaimi Nik Abd. Rahman et al, 2009. Enrique Melaka@Panglima Awang sebagai Magellan Melayu. Sari. 27(2): Ms.178.
[6] Surat wasiat bertarikh 24 ogos 1519 ditulis oleh Magellan sewaktu kapalnya berlabuh di muara Sungai Guadalquivir di San Lucar de Barrameda, Sepanyol. Enrique telah berusia 26 tahun ketika wasiat ini ditulis. – Shaiful Bahri Md. Radzi.2010. Panglima Awang,Magellan Melayu. Dewan Masyarakat. Januari 2010.ms.51.
[7] Henry, our interpreter, did not go ashore anymore to do necessary things (because he had been wounded lightly) but he was always wrapped in a woolen blanket.- Levesque. R. 1980. The Philipines: Pigafetta’s Story of Their Discovery by Magellan. Canada: Levesque Pubs. ms.64.
[8]then one of the captain’s slaves name Henry, born in Sumatra, otherwise known as Trapobana, spoke from afar to these people who appeared to understand his talk. - Levesque. R. 1980. The Philipines: Pigafetta’s Story of Their Discovery by Magellan. Levesque Pubs: Canada. ms.28.
[9][9] ..The Captain gave plenty to eat to those ho came to his ship and gave them many a thing. For this, the king wanted to give a solid gold bar of a fair size to the captain as well as a basketful of ginger. But the captain thanked him profusely and did not want to accept the present. - Levesque. R. 1980. The Philipines: Pigafetta’s Story of Their Discovery by Magellan.  Levesque Pubs: Canada. ms.30.
[10] ..maka Panglima Awang, Tun Gayah dan Tun Isap dengan diiringi oleh semua pengikut-pengikutnya berangkat dari Batu Pahat setelah bertangisan dengan Penghulu Tua Batu Pahat itu, mereka menuju ke Pahang… - Harun Aminurrashid.1957. Panglima Awang. Buku Punggok: Singapura. Ms.221.

4 comments:

anakbuah said...

Salaam,

Saya telah berminat dgn Enrique atau Panglima Awang ni sejak dibangku sekolah menengah lagi tapi saya lebih suka kpd nama Panglima Hitam.

Pada saya, catatan yg beliau berasal drp Sumatra adalah penting utk membuktikan beliau berketurunan Melayu. Dan sekiranya pandangan yg mengatakan beliau berasal drp Filipina hanyalah dipercayai selepas beliau tiba semula ke Cebu, wilayah Filipina dan berurusan mengunakan bahasa Melayu yg merupakan lingua franca pada masa itu.

Persoalan yg masih berlegar dlm fikiran saya selama ini, adakah Enrique of Malacca dan Panglima Hitam itu individu yg sama?

Harith Faruqi Sidek said...

salam

Tuan,

terima kasih atas pandangan tuan, sayang sekali jejak panglima hitam (nama yang disenangi tuan) ini dikatakan hilang begitu sahaja, semoga ada pengkaji sejarah yang dapat menjejaki jejak beliau setelah kembali ke Tanah Melayu.

Unknown said...

Xavi Gerad Jude Am. Seorang wakil Aiicco Insurans plc. Kami menawarkan pinjaman pada kadar 3% dikembalikan. jika anda berminat kenalan Ini (CEO) E-mail address:xavigeradloanfirm@yahoo.com Aiicco insurans plc hanya dibenarkan pada pada usia 20 di atas.
Pelaburan Pinjaman Peribadi.
Pinjaman harta Pelaburan.
Pinjaman penyatuan.
Pembinaan Pinjaman.
Pilih satu atau pembayaran-tahun.
Pilih antara bayaran bulanan dan tahunan di bawah Rancangan.
Terma pinjaman yang fleksibel.
Kami memberi pinjaman daripada 500,000 euro kepada 800,000 USD.Syarikat kami adalah proses yang boleh dipercayai, cekap, pantas dan dinamik.Hubungi kami hari ini pada .. SR GERAD Jude pinjaman Pelaburan plc: E-mail:xavigeradloanfirm@yahoo.com

Amisha said...


Saya telah berpikir bahwa semua perusahaan pinjaman online curang sampai saya bertemu dengan perusahaan pinjaman Suzan yang meminjamkan uang tanpa membayar lebih dulu.

Nama saya Amisha, saya ingin menggunakan media ini untuk memperingatkan orang-orang yang mencari pinjaman internet di Asia dan di seluruh dunia untuk berhati-hati, karena mereka menipu dan meminjamkan pinjaman palsu di internet.

Saya ingin membagikan kesaksian saya tentang bagaimana seorang teman membawa saya ke pemberi pinjaman asli, setelah itu saya scammed oleh beberapa kreditor di internet. Saya hampir kehilangan harapan sampai saya bertemu kreditur terpercaya ini bernama perusahaan Suzan investment. Perusahaan suzan meminjamkan pinjaman tanpa jaminan sebesar 600 juta rupiah (Rp600.000.000) dalam waktu kurang dari 48 jam tanpa tekanan.

Saya sangat terkejut dan senang menerima pinjaman saya. Saya berjanji bahwa saya akan berbagi kabar baik sehingga orang bisa mendapatkan pinjaman mudah tanpa stres. Jadi jika Anda memerlukan pinjaman, hubungi mereka melalui email: (Suzaninvestment@gmail.com) Anda tidak akan kecewa mendapatkan pinjaman jika memenuhi persyaratan.

Anda juga bisa menghubungi saya: (Ammisha1213@gmail.com) jika Anda memerlukan bantuan atau informasi lebih lanjut