Tuesday, August 28, 2012

Asal Usul Bandar Kajang

Oleh : Harith Faruqi Sidek

Kajang adalah antara kawasan di Selangor yang mempunyai sejarahnya yang unik, selain terkenal dengan makanan Satay, Penjara Kajang ( antara penghuninya yang popular ialah Mona Fendey, Suhaimi Mat Hassan (Pembunuh Noor Suzailly), Imam Hoslan Hussain (baling kasut ke hakim) serta Abdul Kahar Ahmad yang mengaku 'Rasul Melayu') dan kisah Leftenan Adnan (beliau dilahirkan di Kampung Sungai Ramal, Kajang dalam tahun 1915).

Bandar Kajang Sekitar tahun 60an (Sumber http://kajangtown.blogspot.com/)

Terdapat beberapa versi bagaimana kawasan Kajang diterokai dan diberi nama. Menurut pengkaji sejarah tempatan, Shahabudin Ahmad, Kajang telah diterokai sekitar tahun 1709 (namun ada sumber yang meletakkan tahun yang lebih awal, iaitu 1580) oleh sekumpulan masyarakat orang asal dari suku kaum temuan yang berasal dari Klang. Kumpulan ini diketuai oleh Batin Seri Alam, beliau mempunyai tiga orang anak yang kesemuanya merupakan pemerintah yang membuka  beberapa kawasan di Tanah Melayu. Anak-anak Batin Seri Alam yang dimaksudkan ialah, Nenek Kerbau (Pemerintah di Johol), Tok Jeludang (Pemerintah di Jelebu) dan Batin Berchanggi Besi (berkuku besi) yang merupakan pemerintah di Sungai Ujong. Tetapi menurut Buyong Adil, anak Batin Seri Alam ada empat orang, selain yang disebut oleh Shahabudin Ahmad, terdapat anak yang bongsu, ialitu Tok Jelondong yang  tinggal di Lengggeng, yang pada masa itu berada dalam Daerah Sungai Ujong, kekandanya Batin Berchanggi Besi yang merupakan pemerintah Daerah Sungai Ujong tinggal di Baranang.

Nama Kajang diberi bersempena dengan peristiwa rombongan Batin Berchanggi Besi yang pulang dari mengadap pemerintah di Johor atas urusan menjodohkan anakandanya Puteri Mayang Selida. Sewaktu dalam perjalanan pulang di Johor ke Sungai Ujong, rombongan Batin Berchanggi Besi terpaksa berhenti di suatu kawasan kerana bimbang akan hujan ribut yang akan menimpa kerana cuaca pada ketika itu amat mendung. Rombongan tersebut telah membina beberapa buah pondok untuk berteduh dan menggunakan mengkuang hutan sebagai atap kepada pondok-pondok tersebut. Mengkuang hutang yang digunakan sebagai atap itu juga dikenali sebagai 'Kajang', maka atas peristiwa tersebut, maka kawasan itu dinamakan Kajang.

Versi lain sejarah asal usul nama Kajang ialah ianya dikatakan berasal dari peristiwa pergaduhan diantara masyarakat Mandailing  dan Bugis di kawasan tersebut kerana salah faham maksud 'Berkajang'. Maksud 'Berkajang' bagi orang Mandailing ialah berpondok, sementara bagi masyarakat Bugis, ianya membawa erti bertikam atau bergaduh. Kedua-dua masyarakat ini bertembung sewaktu melarikan diri dari perang saudara yan berlaku di Kelang (1867 - 1873). Peristiwa tersebut akhirnya telah mengilhamkan nama Kajang.

Versi ketiga bagaimana Kajang mendapat nama ialah melalui peritiwa pembukaan kawasan ini oleh Raja Alang yang berketurunan Mandailing pada awal tahun 1800. Rombongan Raja Alang tiba di Tanah Melayu melalui jalan air, iaitu dengan menyusuri Sungai Langat. Rombongan ini kemudiannya berhenti di suatu kawasan lalu 'berkajang' atau berpondok. Kawasan tersebuat kemudiannya dinamakan 'Kajang' oleh Raja Alang dan tempat dimana mereka 'berkajang' pada ketika itu, kini diberi nama Jalan Mandailing.

Jalan Mandailing sewaktu banjir besar yang melanda Kajang sekitar tahun 1970an ( Sumber  http://kajangtown.blogspot.com/))

Namun tidak pasti adakah nama Kajang ini ada kaitanya dengan 'Pak Malau' melalui pantun yang dipopularkan oleh Nordin Ahmad melalui watak Demak dalam filem 'Sri Mesing' (1961) yang berbunyi 'kajang Pak Malau, kajang Berlipat, kajang hamba, mengkuang layu'.


Sumber :

Akmal Abdullah. (10 jun 2012). Nordin Ahmad pergi dalam usia muda, Berita Minggu.

Buyong Adil. (1981). Sejarah Negeri Sembilan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Habsah Dinin. (31 Julai 2010). Keberanian Leftenan Adnan naikkan semangat juang anggota, Berita Harian. 

 Kajangtown.blogspot.com(diakses pada 28 Ogos 2012)

Portal Rasmi Majlis Perbandaran Kajang. http://www.mpkj.gov.my/sejarah (diakses pada 28 Ogos 2012)

9 comments:

Abd Rahman said...

Tahniah kerana menghasilkan penulisan yang baik.

Harith Faruqi Sidek said...

Saudara Abd Rahman,

Terima kasih kerana melawat blog ini.

Unknown said...

Terbaik

Harith Faruqi Sidek said...

Saudara Razaly Sael,

Terima kasih

Don Balon said...

Saudara Harith,

Kajang mengikut Loghat Pahang dan bahasa Melayu lama bermaksud tikar. Sebab itu "kajang hamba mengkuang layu". Di Kuala Krau, Pahang ada kawasan bernama Lipat Kajang. Di Rantau Panjang, Kelantan pun ada Sungai Kajang. Terima kasih.

Harith Faruqi Sidek said...

Saudara Don Balon,

Terima Kasih atas maklumat tambahan berkenaan.

Anonymous said...

Assalamualaikum.....Lillahitaala. Terimakasih dan taniah kerana berusaha menulis berkaitan dengan Sejarah pembukaan disesebuah daerah.
Tidak lain dan tidak bukan , usaha Tuan ini memberi kemudahan , pengetahuan dan Insyallah kesedaran untuk generasi kini dan masa hadapan.
Syabas, usaha Tuan ini bagi saya satu Rahmad.
Sedang ketika kita melangkah maju mengejar kemajuan, satu persatu khazanah warisan kita lenyap tanpa mendapat apa-apa pembelaan. Mujur aje Melaka itu terlalu besar untuk dihapuskan. Tidak mustahil ada juga yang bercita-cita membena kondominium di tapak Afamosa. Sebabnya , sejarah besar penjara pudu mudah saja di nilaikan sebagai barang buruk. Tulislah sebanyak mana mengenai sejarah kita. Kerana baki tinggalan warisan yang ada , ibarat berada dibilik akhir menanti ketali gantong.

the biru said...

Salam...saya share ye.
bukunya aa dijual di mana.
susah saya kekdg mahu mengajar di sekolah.

Juliana adam

Anonymous said...

Salam

Penjelasan Don Balon ini sedikit cacat dan tidak lengkap. Semoga ulasan yang dibuat pada masa hadapan dapat dibuat dengan lebih tuntas agar tidak mengelirukan pembaca yang lain. Cubaan untuk memberi penerangan dengan ilmu yang sedikit lazimnya merupakan satu amalan yang merugikan jika tidakpun membahayakan.

Izinkan saya kupas di sini perkataan 'kajang' merupakan istilah generik yang digunakan untuk merujuk kepada banyak benda yang asalnya daripada daun palma (lazimnya mengkuang atau nipah) yang dikeringkan dan digunakan sebagai gentian fiber, kertas atau kain.

Oleh itu kita dapat amati 'kajang' ini digunakan bagi merujuk kepada kain layar perahu, atau sebagai atap atau teduhan, anyaman tikar, ataupun sebagai kertas tulisan. Istilah yang merujuk kepada corak baris pada daun ini turut dikekalkan sehingga kini dan dipanggil 'kertas kajang'.

Merujuk kepada pantun kajang pula, pembayang yang dimaksudkan bukanlah kepada tikar kajang, tetapi kepada layar (atau samir) perahu dagang:

Kajang Pak Malau kajang berlipat
Kajang hamba mengkuang layu

Dalam pantun ini pemantun membandingkan beliau dengan diri seorang pedagang hartawan (Pak Malau) yang digambarkan mempunyai layar perahu yang cantik dan dijahit sehingga menjadi besar dan dilipat. Kajang (Layar perahu) pemantun pula hanyalah layar biasa yang tidak sempurna (mengkuang layu).

Pantun ini dijelaskan lagi dengan dua baris akhir:

Dagang Pak malau dagang bertempat
Dagang hamba musafir lalu

Pemantun membezakan sekali lagi jurang kekayaan di antara pedagang hartawan Pak Malau yang mempunyai tapak kedai dengan dirinya yang hanya berdagang di tempat sementara.

Oleh yang demikian, dirumuskan di sini bahawa istilah 'kajang' itu merujuk kepada jenis pokok palma yang mempunyai pelbagai guna di dalam masyarakat Melayu.

Daripada segi geografi, masyarakat Melayu lazimnya menamakan tempat mereka mengikut gambaran semula jadi. Justeru wujud beberapa tempat yang mengambil nama sempena pokok Mengkuang Kajang.

Selain daripada itu, penamaan tempat dengan istilah tumbuhan ini melambangkan betapa dunia Melayu ini kaya dan dilimpahi dengan kepelbagaian flora dan fauna.

Terima kasih.


Ikhlas saya
Raja Risiko


Rujukan:
Kamus Bahasa Melayu, Winstedt R.O. (Marican & Sons, 1969)
Gerbang Kata DBP, 2015 di (http://ekamus.dbp.gov.my/Search.aspx?spec=true&type=1&cari=kajang)