Wednesday, August 19, 2009

Siapa yang jadi mata-mata ni?...

Seperti yang dinasihatkan oleh Pihak Bank Islam, maka kami pun buat susulan pada pegawai penyiasat yang menerima aduan kecurian Kad kredit tempoh hari...maka jawab pegawai berpangkat inspektor itu adalah lebih kurang begini...secara ringkasannya.

Inspektor S: Berapa Kerugian Puan?

Nadia : dalam lima ribu ringgit.

Inspektor S : Macam ni la puan, puan dapatkan salinan CCTV dari kedai berkenaan, kalau nak surat kebenaran polis saya boleh cetakkan.

Nadia: oo..ye ke?

Inspektor S: Biasanya kalau kami buat siasatan pun, lepas tengok CCTV tu kami akan panggil puan untuk buat pengecaman pada suspek.

Nadia: oo..ok..terima kasih Tuan.

Apa jadi pada nasihat pegawai meja hadapan yang rakamkan aduan kami supaya tidak masuk campur dalam penyiasatan meraka. Mujur juga pihak Bank Islam telah lebih awal buat siasatan atas kes ini, lalu rakaman itu kemungkinan masih tersimpan lagi. Persoalannya apa langkah seterusnya? aku kah yang perlu cari penjenyah berkenaan kemudian heret ke rumah pasung ? apa hal pula dengan transaksi yang dilakukan? sedangkan pihak bank mahukan siasatan dari mata-mata....bukannya orang awam atau pengadu....pening..pening...

Nampaknya kami terpaksa jadi "Remington Steele" atau "Starsky & Hutch" petang ini.

Awas...Pencuri sentiasa memerhatikan anda.

Pelik? tidak rasanya.itulah hakikat hari ini.....dari sebesar -besar perompak bank sehinggalah peragut kecil kecilan....mereka senantiasa memerhatikan manusia-manusia yang mahu dijadikan mangsa. Sabtu lepas isteri aku jadi mangsa kecurian, kejadian ini berlaku disiang hari, dikala kami semua sedang sibuk melayan tetamu...tanpa disedari....ada insan yang tidak dikenali menyusup masuk kerumah lalu mencuri dompet dari salah satu bilik yang ketika itu dihuni seorang anak saudaraku yang berusia 2 tahun, dia nyenyak tidur rasanya ketika kejadian berlaku.

Hasilnya? transaksi sebanyak lima ribu lebih telah sempat dilakukan oleh penjenyah berkenaan...dengan menggunakan dua kad kredit, CIMB dan Bank Islam...itupun setelah sempat aku sedari dari sms yang dihantar oleh pihak Bank Islam kerana mereka meragui transaksi yang dilakukan ...lalu sempat isteriku "block" kad tersebut..disusuli dengan kad CIMB...perbezaan ketara perkhidmatan dua bank ini, Bank Islam mempunyai perkhidmatan layanan pelanggan yang sangat menyenangkan dan sangat membantu...sementara bank satu lagi lebih menyakitkan hati..dalam situasi tertekan itu..apa yang acap diulang oleh pegawai khidmat pelanggan mereka ialah...."Puan tetap perlu bertanggungjawab atas bil ini ya"....tidak kurang dari 3 kali.

Dari maklumat sms berkenaan aku dapati transaksi tersebut dilakukan di sebuah premis menjual komputer di Jalan Reko...sekitar jam 6.30 aku bergegas kesana....malangnya premis berkenaan telah menamatkan operasi mereka sekitar jam 6.00 lagi....tapi aku dapat melihat premis berkenaan dilengkapi dengan CCTV.

Selepas solat maghrib kami bergegas ke Balai Polis Kajang untuk buat laporan....satu laporan kecurian dan satu lagi laporan untuk menafikan penanggungjawaban atas bil yang bukan milik isteriku....pihak polis ada beri nasihat agar kami tidak lagi pergi ke presmis perniagaan terbabit kerana dikhuatiri akan menjejaskan penyiasatan mereka kelak. Lalu rancangan untuk bertemu pengurusan perniagaan berkenaan aku batalkan.

Semalam kami buat laporan ke Bank CIMB dan Bank Islam....sekali lagi dua senario berbeza dalam menangani aduan pelanggan berlaku....satu sangat positif dan menyenangkan sementara satu lagi seolah-olah mereka baru pertama kali berhadapan dengan kes sebegini...

Petang tadi Bank Islam maklumkan bahawa mereka telah mengenalpasti barangan yang dibeli melalui transaksi haram ini....sebuah laptop Benq!, mereka juga telah berunding dengan pemilik perniagaan agar tidak memadamkan rakaman CCTV sementra menunggu pegawai penyiasat datang membuat siasatan...Bank Islam maklumkan jika sahih bukan kami yang membuat transaksi berkenaan berdasarkan rekod CCTV, maka isteriku tak perlu bertanggungjawab atas bil berkenaan....lega rasanya....sementara bank yang lagi satu....terus membisu....kesal kami dibuatnya dengan reaksi mereka...

Kami masih menunggu apa keputusan atas bil transaksi berkenaan.....namun apa yang pastinya ada iktibar dari kejadian ini...sentiasa beringat akan kemungkinan anda menjadi mangsa curi ketika keramaian ....serta selidik dan dapatkan maklumat sebaiknya sebelum memilih bank yang menawarkan perkhidmatan kad kredit....kerana mulut mereka biasanya lebih manis sewaktu menjaja kad berkenaan...tetapi "langit tidak lagi cerah" biarpun anda adalah mangsa aniaya.

Wednesday, August 12, 2009

Tahniah Sasterawan Negara ke-10.


SN ke-10, Datuk Dr. Anuwar Ridhwan.


Sasterawan Negara telah mendakap angka ke-10 rupanya, Ybhg. Datuk Dr. Anuwar Ridhwan telah dicanang sebagai tokoh ke-10 yang diangkat sebagai Sasterwan Negara. Aku ada juga membaca satu dua naskah beliau, namun kalau mahu diimbau SN yang lalu, karya milik Keris Mas dan Arena Wati lebih banyak kudakap, tetapi itu zaman waktu cintaku pada genre novel dan fiksyen...kini sudah berpuluh tahun rasanya aku tidak menjamah sebarang novel....naskah "Ayat-ayat Cinta" pun sekadar bermain-main sahaja dilembarnya...sudah habis jodoh rasanya diriku dengan ini dengan genre Novel.




Mereka yang terdahulu...

1. Keris Mas (1981)
2. Shahnon Ahmad (1982)
3. Usman Awang (1983)
4. A. Samad Said (1985)
5. Arena Wati (1987)
6. Muhammad Haji Salleh (1991)
7. Nordin Hassan (1993)
8. Abdullah Hussain (1996)
9. S. Othman Kelantan (2003)

Cadangan Lagu Tema Satu Malaysia.

Dicadangkan agar lagu ini diangkat sebagai lagu tema Satu Malaysia....liriknya indah dengan roh kasih sayang dan perpaduan , manakala lagunya dalam semangat irama warisan melayu.

Hujan

Mega mendung di angkasa
Hembusan bayu dingin terasa
gerimis berderai di merata
bagai mutiara

Rahmat dibawa bersama
Limpahannya meresap dijiwa
adakala bahgia terasa
meskipun duka nestapa

Tika hujan turun
sayup mendayu lagu keroncong
merdu irama dialun
bersenandung

Hujan membasahi bumi
melahirkan keluhuran budi
mengeratkan perpaduan suci
kasih sayang abadi

(Klip ini adalah epilog filem "Mukhsin")

Topeng Muka : Konflik Tanggungjawab Sosial.

Bencana H1N1 semakin menggila, sehingga kini ianya telah merentap 38 nyawa, kini ‘kita seumpama pepatah “Life is like a box of chocolate, u will never know what u gonna get”. Kementerian atas kapasiti amanah mereka telah berkempen tentang keperluan pencegahan dari serangan virus ini…kebersihan diri, elakkan dari menghadiri keramaian dan yang paling ketara ialah pemakaian topeng muka atau surgical mask. Pemakaian topeng ini walaubagaimana pun mengundang konfliknya sendiri tanpa disedari atau disengajakan. Secara psikologi, bilamana kedapatan ramai warga yang memakai topeng ini, tanggapan langsung yang menerpa pastinya ruang atau kawasan itu merbahaya atau ada sesuatu yang tidak enak sedang berlaku, lalu langkah mengudur diri adalah pilihan yang utama, lalu bagi premis yang berorientasikan perniagaan akan terkesan.

Begitu juga dengan suasana komunikasi, pasti ada rasa tidak senang jika seorang yang tidak memakai topeng dengan penutur yang memakai topeng, adakah yang memakai topeng itu prejudis atas semua orang sekelilingnya…dengan tanggapan mereka mungkin pembawa virus. Keadaan pastinya lebih rumit bila yang memakai topeng terpaksa berhadapan dengan kenamaan atau atasannya.

Memang ada beberapa kejadian dimana si pemakai diminta menanggalkan topeng tersebut atas alasan tidak sopan serta mengudang persepsi negatif dari orang luar. Berbagai alasan yang menarik juga diberikan bagi mengukuhkan arahan mereka, antaranya yang maut itu hanya dari kalangan mereka yang tidak mempunyai rekod kesihatan yang baik, ada juga yang beralasan bahawa jika dihitung jumlah kematian seluruh negara atas sebab yang selainnya adalah lebih tinggi…lalu apalah sangat dengan bilangan kematian yang ada sekarang.

Bagi aku, pemakaian topeng ini tidak wajar ditegah, kerana dalam situasi semasa mereka yang memakai topeng inilah manusia yang paling bertanggungjawab, kerana jika mereka pembawa, virus itu dapat dielak dari menjangkiti orang sekeliling, sementara jika mereka negative, mereka juga dapat mengelakkan dari dijangkiti virus H1N1, lalu meraka yang rapat dan berhubungan dengannya akan terhindar sama.

Persetankan apa kata mereka yang tidak mengendahkan topeng ini, kamu ada pilihan tanpa paksaan, mahu pakai bisa..atau jika dipakai lebih bertanggungjawab dirimu itu. Bagi aku niat aku memakai topeng ini adalah demi kemaslahatan keluargaku terutama anak-anak yang masih kecil. Pelik juga bila perkara yang baik untuk sejagat diheret konflik yang tidak sepatutnya.