Thursday, September 20, 2012

Etimologi nama Inggeris bagi beberapa tempat dan bangunan di Malaysia.

Oleh : Harith Faruqi Sidek


Sebagai bekas tanah jajahan British, pastinya wujud kesan-kesan dari pendaratan kolonialisma di Tanah Melayu. Antara yang terkesan ialah rekabentuk binaan, tatacara pentadbiran serta model sistem perundangan, malah kesan itu lebih jelas lagi dengan penamaan beberapa penempatan dan binaan di Malaysia yang bersempena dengan tokoh-tokoh era kolonial. Walaupun ada diantara nama-nama yang ber’bau’ inggeris itu telah ditukar, namun tidak kurang juga yang masih laku dipakai hingga ke hari ini. Justeru etimologi sesuatu nama yang diwartakan bagi sesebuah kawasan dan binaan itu amat menarik untuk diselidiki, maka berikut adalah beberapa kawasan dan binaan di Malaysia yang mempunyai nama Inggeris beserta etimologinya.

Nama Tempat
Etimologi

Beaufort, Sabah.
Dinamakan sempena Sir L.P Beaufort, Gabenor Tanah Jajahan Borneo Utara.

Bukit Maxwell (Bukit Larut), Perak

Dinamakan sempena Sir William Edward Maxwell, Penolong Residen British di Perak .

Cameron Highland, Pahang
Dinamakan sempena William Cameron, Juruukur British yang ditugaskan membuat pemetaan kawasan tanah tinggi berkenaan.

Fort Cornwallis, Penang
Dinamakan sempena Charles Cornwallis, Gabenor Jeneral di Bengal, India.

Fraser’s Hill, Pahang
Bersempena nama Louis James Fraser, seorang pengembara dan pengusaha bijih timah berketurunan Scotland. Beliau telah membuka dan memulakan perusahaan bijih timah di kawasan ini.

Georgetown, Penang
Dinamakan sebagai tanda penghormatan kepada King George III, Raja England.

Jalan Conlay, Kuala Lumpur
Dinamakan sempena  W.L Conlay, Wakil British yang pertama di Terengganu, beliau kemudianya menjadi Pesuruhjaya Polis di Kuala Lumpur.

Jalan Gurney ( Jalan Semarak), Kuala Lumpur
Dinamakan sempena  nama Sir Henry Lovell Goldsworthy Gurney, Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya. Beliau mati dibunuh oleh Komunis sewaktu perjalanan ke Bukit Fraser pada tahun 1951 ketika zaman darurat.

Jalan Guthrie, Kuala Lumpur
Dinamakan sempena  nama James Guthrie Davidson, Residen British yang pertama di Selangor 1875-1876.

Jalan Travers, Kuala Lumpur
Tokoh disebalik nama tersebut  ialah Dr. E.A.O Travers, beliau merupakan “Doktor Tinggi” negeri Selangor, State surgeon of Selangor dan Presiden Kelab Selangor (Selangor Turf Club)

Jesselton (Kota Kinabalu), Sabah
Dinamakan sempena  nama Sir Charles James Jessel, Peguam, Majistret, ahli perniagaan serta Naib Pengerusi British North Borneo Company (BNBC) (1903 - 1909).

Port Birch (Tenom), Sabah
Dinamakan sempena  nama Sir Earnest Woodford Birch, Residen Inggeris ke-8 di Perak serta Gabenor British di Labuan. Beliau juga merupakan anak sulung kepada James Wheeler Woodford Birch (J.W.W. Birch) yang mati dibunuh di Perak pada tahun 1876.

Port Dickson, Negeri Sembilan
Dinamakan sempena  nama Sir John Frederick Dickson, Setiausaha Negeri-negeri Melayu Bersekutu.  (1885– 1891).

Port Weld ( Kuala Sepetang), Perak dan Jalan Weld (Jalan Raja Chulan), Kuala Lumpur.
Dinamakan sempena  nama Sir Frederick Aloysius Weld, Gabenor Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Province Wellesley (Seberang Prai), Pulau Pinang
Dinamakan sempena  nama Pegawai British, Richard Colley Wesley, beliau kemudiannya dikenali sebagai Lord Wellesley. Beliau merupakan Gabenor British di Madras dan kemudiannya menjadi Gabenor Jeneral di Bengal.

Pulau Carey, Selangor
Dinamakan sempena  nama Edward Valentine John Carey, Ahli perniagaan berketurunan inggeris yang membuka ladang getah di pulau tersebut.

Teluk Anson (Teluk Intan), Perak
Dinamakan sempena  nama Sir Archibald Edward Harbord Anson, Leftenan gabenor Inggeris  di Pulau Pinang.

Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford di Kuala Kangsar, Perak dan Kuala Lipis, Pahang
Dinamakan sempena  nama Sir Hugh Charles Clifford, Pembantu Residen British di Perak dan kemudiannya menjadi Residen British di Pahang.

Kampung Morten, Melaka
Dinamakan sempena  nama Pesuruhjaya Inggeris di Tanah Melayu, Frederick Joseph Morten. Beliau juga bertanggungjawab keatas urusan percukaian di Negeri Melaka.

Sekolah Menengah Anderson, Ipoh, Perak
Dinamakan sempena  nama Sir John Anderson, Gabenor Negeri-negeri Selat.

Jalan Treacher (Jalan Sultan Ismail), Kuala Lumpur.
Dinamakan sempena  nama Sir William Hood Treacher , Residen General di Malaya. Beliau sebelum itu pernah menjadi   residen British di Selangor dan Perak.

Felda L.B. Johnson, Negeri Sembilan

Dinamakan sempena Lyndon B. Johnson, Presiden Amerika Syarikat yang melawat kawasan itu pada tahun 1966.

Jalan Templer dan Templer’s Park, Selangor
Dinamakan sempena  nama Tun Sir Gerard Walter Robert Templer, Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya 1952- 1954.

Lebuh Campbell, Pulau Pinang
Dinamakan sempena  nama Sir George William Robert Campbell , Gabenor British di Pulau Pinang (1872-1873).

Butterworth, Pulau Pinang
Dinamakan sempena  nama William John Butterworth, Gabenor British di Singapura (1843-1851).
Jalan Bellamy, Kuala Lumpur
Dinamakan sempena  nama H.F. Bellamy, beliau merupakan Pengarah Jabatan Kerjaraya, Kuala Lumpur 
( Public Works Department). Beliau juga pernah mengetuai pasukan Sukarelawan Bomba negeri Selangor.

Port Swettenham, Selangor
Dinamakan sempena  nama Frank Athelstane Swettenham, Residen British di Perak dan Selangor.

Jalan Guillemard (Jalan Duta), Kuala Lumpur
Dinamakan sempena  nama Sir Laurance Nunns Guillemard, Gabenor Negeri-negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya.

Jalan Mounbatten, Kuala Lumpur
Dinamakan sempena  nama Lord Louis Francis Albert Victor Nicholas George Mountbatten, Pemerintah Tertinggi Tentera British.

Jalan McAllister, Penang
Dinamakan sempena  nama Kolonel Norman McAllister, Gabenor British di Pulau Pinang (1807-1810)

Jalan Kimberley, Penang
Dinamakan sempena  nama John Wodehouse, atau gelaran beliau Earl of Kimberley, Setiausaha Negeri jajahan British.

Jalan Farquhar, Pulau Pinang

Dinamakan sempena  nama Robert Townsend Farquhar, Leftenan Gabenor di Pulau Pinang (1804-1805).






























































































































































Namun tidak semua nama inggeris yang diberi itu adalah bersempena nama pegawai atau pemerintah, ada juga nama yang diberi atas dasar peranannya atau perkara yang menjadi mercu tanda sesuatu kawasan tersebut, sebagai contoh Brickfields. Nama Brickfields diberi bersempena perusahaan batu-bata yang berkualiti dikawasan ini, malah sebuah kilang batu-bata telah dibina khas bagi membekalkan bahan berkenaan untuk pembinaan Bangunan Sultan Abdul Samad. 

Dalam membicarakan kesan peninggalan era kolonialisma ini, para pembicara sejarah mempunyai pertentangan pendapat atas perkara pengekalan nama yang bernafas inggeris ini. Satu pihak mahukan nama-nama inggeris ini digantikan dengan nama baru yang membawa identiti kebangsaan, mana kala di satu pihak lagi berpendapat langkah penamaan semula itu akan menghakis jejak sejarah yang sudah nyata menjadi sebahagian dari sejarah tanahair lantas ianya wajar dikekalkan. 


Rujukan :



Bonney, R. (1971). Kedah 1771- 1821 : the search for security and independence. Kuala Lumpur : Oxford University Press. (DS598.K28B65)

Buyong Adil. (1971). Sejarah Johor.Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. (DS598.J7B8)

Buyong Adil. (1972). Sejarah Pahang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. (DS598.P3B8)

Buyong Adil. (1972). Sejarah Perak. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. (DS598.P4B8)

Buyong Adil. (1981). Sejarah Selangor. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. (DS598.S43B8)

D.S Ranjit Singh. (2000). The making of Sabah 1865- 1941. Kuala Lumpur : UM Press. (DS597.336)

Hairi Abdullah (ed.). (1995). Sejarah pembangunan dan perubahan citra Kuala Lumpur. Kuala Lumpur : Penerbitan Sejarah. (DS599.K8T57).

Hoyt, Sarnia Heyes. (1991). Old Penang. Singapore : Oxford University Press. (DS598.P5H69)

Hoyt, Sarnia Heyes. (1993). Old Malacca. Kuala Lumpur : Oxford University Press. (DS598.M33H69)









Kassim Thukiman. (2011). Sejarah Johor dalam pelbagai perspektif. Johor : UTM Press. (DS598.J7K356)

Lam Seng Fatt. (2000). Insider’s Kuala Lumpur. Shah Alam : Times Books International. (DS599.K8L35)

Tregonning, Kennedy Gordon. (1960). North Borneo. London : Her Majesty’s Stationary office. (DS597.336.T75)

Wikipedia.org./


Monday, September 17, 2012

Sejarah Pembukaan Daerah Selama

Oleh: Harith Faruqi Sidek


Daerah Selama merupakan kawasan yang bersejarah serta penting dalam korpus sejarah negeri Perak. Menurut Nordin Hussin (1992: 29), daerah ini telah dibuka oleh Panglima Karim bin Raja Ahmad pada tahun 1874 dengan bantuan tokoh terkenal negeri perak pada era tersebut, iaitu Ngah Ibrahim. Menurut catatan Ngah Ibrahim, Selama telah dibuka dalam bulan Muharram tahun 1921 dengan kos operasi sebanyak 96,2280.00[1]

Peta Perak tahun 1877 (Sumber: Gullick, J.M, 1953: 6)

Panglima Karim dikatakan berasal dari Rawa, Sumatera dan pernah menjadi peniaga di Pulau Pinang sebelum berhijrah ke Selama. Asal kedatangan beliau ke Selama adalah apabila seorang pembesar negeri, Long Jaafar telah melantik beliau sebagai kerani gudang[2] milik pembesar tersebut di Larut.

Walaubagaimana pun, terdapat versi lain dalam sejarah pembukaan Daerah Selama ini, menurut J.M Gullick (1953:44), Selama telah dibuka pada tahun 1874 oleh Che Karim yang merupakan pembesar berketurunan Rawa dengan pekenan Sultan Abdullah selepas berlakunya Perjanjian Pangkor. Che Karim juga  dikatakan telah diberi kuasa oleh Sultan Abdullah untuk membuka lombong bijih timah di Selama. 

Selain terkenal dengan aktiviti perlombongan bijih timah, Daerah Selama juga terkait namanya dengan isu perebutan kuasa dikalangan pembesar negeri Perak, Sultan Abdullah dan Menteri Larut, Ngah Ibrahim, selain persengketaan diantara kongsi gelap Ghee Hind dan Hai San yang mencetuskan Perang Larut.


Rujukan:

Gullick, J.M. (1953). Captain Speedy of Larut. Singapore: JMBRAS.

Nordin Hussin. (1992). Larut, Matang dan Selama: Suatu Sorotan Sejarah . Malaysia dari Segi Sejarah (20), 28 - 37.



[1] Kos ini termasuk sumbangan dari Menteri Larut, wang yang dipinjam dari penduduk Bagan Tiang, pekedai di Kedai Mesjid Melayu, pinjaman dari peniaga cina serta hasil gadaian barangan peribadi milik Panglima Karim sendiri…( Nordin Hussin, 1992: 30).
[2] Antara tugasan Kerani Gudang ialah menimbang bijih Timah, mencatat pas perjalanan perahu di Larut dna menguruskan pembayaran gaji kepada pekerja…(Nordin Hussin, 1992: 30).

Wednesday, September 05, 2012

Pengalaman Cikgu Alias Toyan sewaktu zaman Komunis...



Sewaktu 'menggodek' bahan digital dengan bantuan enjin carian 'google', saya 'terserempak' dengan sebuah laman web yang dibangunkan khusus untuk Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain., Semenyih. Laman tersebut banyak memuatkan artikel tentang sejarah yang berkaitan dengan Semenyih, Antara artikel yang dimuatkan didalam laman ini ialah;


  1. Sejarah komunis di Semenyih
  2. Bercerita dengan Rashid Maidin
  3. Sejarah awal Komunis
  4. Cikgu Aziz Mohd Noor dan Komunis
  5. Pengalaman Cikgu Chong Tat Keong
  6. Perbualan Tunku dengan Chin Peng
  7. Cikgu Alias Toyan dan Kampung Pasir
  8. Keganasan Komunis di Semenyih
  9. Kesan penjajahan Jepun
  10. Kampung Tanjung dan era komunis
  11. Siapa Loi Tek
  12. Novel dikarang zaman komunis
  13. Sejarah PKM
  14. Perjuangan PKM
  15. Pemberontakan Komunis
  16. Bibliografi Keganasan komunis


Membaca setiap artikel yang dihasilkan amat mengasyikkan lebih-lebih lagi artikel yang menggunakan sumber lisan hasil wawancara yang dilakukan oleh Cikgu Abd. Malek Haji Abd. Haniff.  Sewaktu mengamati hasil wawancara beliau dibawah pautan yang diberi judul 'Cikgu Alias Toyan dan Kampung Pasir'...keterujaan terus menerpa, adakah Cikgu Alias Toyan yang diwawancara ini ialah insan sama yang pernah mendidik saya sewaktu bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Semenyih?. Kebetulan anakanda Cikgu Alias memang saya ketahui adalah rakan sekerja, iaitu Saudara Mohd Arif, lalu transkripsi wawancara yang diusahakan oleh Cikgu Abd. Malek ini saya rujuk kepada Mohd Arif untuk pengesahan. Ternyata apa yang terkandung dalam transkripsi wawancara itu adalah selari dengan apa yang diceritakan semula oleh Mohd Arif. Maka saya kira transkripsi wawancara yang diusahakan oleh Cikgu Abd. Malek ini perlu saya kongsikan bagi bacaan khalayak blog ini. 

Transkripsi yang dipaparkan dibawah adalah versi asal tanpa sebarang suntingan oleh saya, sebarang kredit atau penghargaan harus diberikan kepada pengusaha asalnya iaitu Cikgu Abd. Malek yang boleh dihubungi melalui emel malekhanif@yahoo.com.


Transkripsi asal wawancara diantara Cikgu Abd. Malek Abd. Haniff dengan Cikgu Alias Toyan. 

KEPERITAN HIDUP ZAMAN KOMUNIS DI SEMENYIH 1948 - 1960
 
Ketika itu banyak berlaku pertempuran. Saya lahir pada tahun 1933. Ketika itu saya berumur 20 tahun . Saya dulu duduk di sini berdekatan dengan lombong bijih timah yang ada sekarang. Rumah tersebut telah dirobohkan, tetapi tapak dan kesan-kesan tiang masih ada lagi. Di hadapan rumah saya ialah bekas penghulu Mukim Hulu Semenyih. . Rumah tersebut berdekatan dengan Sungai Semenyih, betul-betul di tebing Sungai Semenyih.

Penduduk Kampung Pasir ini asalnya dari penduduk Kampung Sungai Pening dan Kampung Sungai Pening. Masa darurat terlampau hangat, kerajaan tak boleh kawal. Masa itu rumah tidak teratur lagi . Orang ini pindah ke mari ( Kampung Pasir Baru ) pada tahun 1973.
Masa itu saya sudah saya jadi guru. Saya mengajar di Sekolah Kebangsaan Hulu Semenyih.
Ramai penempatan Cina di Kachau dan Sungai Lalang, terutama berdekatan dengan Sekolah Rendah Hulu Semenyih dan di Batu 27 , ramai orang Cina duduk. Terlampau hangat, estet dan kapal korek dibakar oleh tentera British. Pada masa itulah pasukan keselamatan yang dipanggil Jungle Squad memindahkan semua orang Cina ke pekan Semenyih sekarang ini. Semua orang Cina dipindahkan. Pekan-pekan dan semua rumah-rumah dibakar. Jadi semua Cina di Pekan Semenyih berasal dari kampung ini . Masa dahulu Cina yang ada di pekan Semenyih hanyalah di kawasan pekan. Di luar kawasan pekan tidak ada orang Cina. Masa darurat mereka dipindahkan dari sini. Ramai dipindahkan. Mungkin beribu dipindahkan.
Seingat saya ada tiga buah sekolah Cina . Iaitu di Batu 27, di Pekan Simpang dan sebuah lagi di kebun Tuan Carp.Ramai sungguh orang Cina di sini. Dekat-dekar 10,000 orang Cina. Tetapi bukan semua dipindah ke Pekan Semenyih. Ada yang dipindahkan ke Sungai Buluh dan mana-mana tempat yang mereka suka hendak pergi.
Masa itu orang Melayu tidak sampai 1000 orang pun. Kampung Sungai Lalang itu lebih kurang 300 orang sahaja penduduk. Bilangan penduduk Sungai Pening lebih kurang begitu juga. Di Sungai Pening tidak ada orang Cina, semua orang Melayu. Orang Melayu Sungai Pening dipindahkan kemudian daripada itu. Orang Melayu dipindahkan pada tahun 1951, iaitu setelah saya menjadi guru. Semua orang Melayu di Sungai Pening dihukum pindah.
Mereka dipindahkan kerana komunis, keselamatan mereka tidak boleh dijaga oleh pasukan keselamatan. Sukar beli beras dan minta bantuan. Pada masa itu kampung ini dipagar dengan dawai berduri. Penduduk diberi senjata. Penduduk dipaksa menjaga dan mengawal kampung. Saya masih ingat, di rumah saya ada tiga pucuk senapang. Kerajaan memberi senjata kepada semua Home Guard iaitu pengawal kampung. Penduduk kampung menjaga kampung sendiri pada waktu malam. Ada tiga pucuk senapang patah di rumah . Saya satu laras, pak tiri satu laras dan abang saya. Masa itu umur saya 20 tahun.
Semua Home Guard diberi latihan memegang senjata dan menembak kalau kena serang. Setiap kampung dihantar seorang jurulatih menggunakan senjata. Tempat latihan di sebuah padang berdekatan dengan sekolah. Kawalan secara begilir-gilir setiap malam. Sepuluh orang malam ini dan sepuluh orang malam esok. Pada waktu siang jika pergi bekerja, senapang itu dicerai-ceraikan dan disorokkan di mana-mana. Teruk juga kawalan pada masa itu.
Pada ketika itu kampung ini diberikan 60 pucuk kepada 60 orang. Setiap seorang sepucuk senjata. Kerajaan menubuhkan pasukan Home Gurad kerana memikirkan bantuan lambat datang jika berlaku sesuatu kejadian. Oleh penduduk kampung mengawal sendiri kampung masing-masing. Jurulatihnya orang Melayu juga. Nama jurulatih itu ialah Mat Aked.
Antara yang menjadi Home Guard ialah saya sendiri ( Alias bin Toyan ). Adik saya iaitu Sulaiman bin Toyan dan bapa tiri saya. Masa itu saya menjadi home guard yang paling muda. Ketua Home Guard bernama Mat Aked. Beliau sudah meninggal dunia.

KAWALAN SETIAP MALAM
Setiap malam berkawal di post-post. Memang ada pondok kawalan. Pondok kawalan itu dibuat daripada kayu dan tanah, macam suasana perang betul-betul. Pondok kawalan dibina daripada pasir. Kami duduk berkubu dalam pondok itu. Dinding papan tinggi dan dibubuh pasir, pondok ini di kawasan yang sesuai, strategik , di bahagian menghadap belakang kampung.
Masa itu kami ada dua kumpulan. Kampung Pasir satu kumpulan dan Kampung Sempa satu kumpulan. Setiap malam tidak kurang dari tujuh orang berkawal bergilir-gilir. Di sini tidak pernah pula berlaku tembak menembak dengan Home Guard.
Ada seorang tukang gunting ditembak oleh komunis di Pekan Simpang. Namanya ialah Abdul Wahab. Dia dibunuh oleh kawannya sendiri juga komunis. Wahab ini keluar dari pasukan komunis lalu dituduh belot. Apabila berkawan dengan komunis atau menyertai komunis, hendak meninggalkan kumpulan komunis tak boleh keluar begitu sahaja. Ahli yang keluar dianggap belot dan dihukum bunuh. Punca pembunuhan ialah kerana belot dari perjuangan komunis. Mereka tidak dibenarkan menarik diri. Mereka akan ditembak mati.
Sekitar tahun 1950, pasukan SC iaitu Special Constable yang mengawal ladang-ladang . Komunis tahu sesiapa yang menjadi SC lalu ditembak. Dua orang ditembak mati. Selalu berlaku pertempuran , tertapi tak namapak, hanya dengar bunyi pertempuran. Jauh berlaku di dalam hutan, di dalam kebun-kebun getah. Kebun getah ini dimiliki oleh orang Cina.
Semua orang Cina dihukum pindah pada tahun 1948. Selama tiga tahun orang Cina tidak dibenarkan masuk ke dalam kebun getah. Tidak ada orang yang pergi menoreh. Lama selepas itu barulah dibenarkan masuk, itupun setelah undang-undang darurat dikuatkuasakan. Kawalan dari jam 6.00 pagi hingga 2.00 sahaja dibenarkan keluar. Selepas itu hanya duduk di rumah. Selepas 2.00 petang tidak boleh duduk dalam kebun getah, mesti di jalan-jalan raya.
Sepanjang jalan dari Semenyih ke Kampung Pasir ada beberapa sekatan jalan raya. Di Kampung Pasir ada sekatan, satu lagi di Putih Tin iaitu berdekatan dengan sekolah. Satu lagi sekatan berdekatan dengan Balai Polis Semenyih. Balai Polis Semenyih yang ada sekarang tetapi bangunannya dulu hanya bangunan papan sahaja.
Tidak ada pakaian khas untuk Home Guard. Anggota Home Goard boleh memakai apa sahaja corak pakaian. Tidak ada uniform. Setiap Home Goard diberi selaras senjata dengan 25 biji peluru. Tujuannya untuk mempertahankan diri. Sebenarnya komunis ini sangat ganas.
Ada Jungle Squad yang mati iaitu berdekatan dengan kilang papan yang ada sekarang. Semua anggota Jungle Squad ini terdiri dari orang kampung ini juga. Pasukan mereka kena serang di tengah jalan . Ada dua orang kampung ini yang mati kena serang hendap oleh komunis. Mereka merupakan pasukan Jungle Squad. Seorang darinya ialah Harun dan seorang lagi bernama Syarif. Mereka kena serang berdekatan dengan kawasan Broga.
SC ini kebanyakannya orang tempatan. Semuanya orang tempatan, lingkungan umur 20-an. Mereka bertugas di sekitar Semenyih. Mereka bertugas menjaga harta orang putih sahaja. Estet dan kayu balak. Semenyih Estet, Dominion Estet , Saringgit Estet, semua orang putih punya. Ladang-ladang dipunyai oleh orang putih. Saringgit Estet kini telah dijadikan taman perumahan.
Ladang Semenyih terletak di sebelah kiri jalan ke Broga ada sebuah lagi ladang bernama Ladang Balau. Ladang-ladang ini dikawal oleh pasukan SC iaitu Special Constable. Setiap ladang tidak kurang dari 20 orang, tapi bilangan tidak tentu. Bergantung kepada sama ada bahaya atau tidak.

Kawasan kilang papan dekat dengan Sungai Tekala ramai SC berkawal. Hasil pada masa itu ialah kayu balak. Oleh itu mereka jaga kawasan kilang papan. Tidak silap saya masih ada kereta perisai dalam kawasan kilang papan. Di panggil armour car. Kereta itu sebenarnya dimiliki oleh tauke kilang papan. Dia beli sendiri untuk menjaga keselamatannya. Bila darurat habis, kereta perisai itu tidak digunakan lagi dan diletakkan di situ. Kereta perisai itu dia beli sendiri, bukan polis punya.

MANGSA KEGANASAN KOMUNIS

Antara penduduk kampung yang menjadi SC ialah Umar bin Jawi , Syuib bin Jawi, Salleh bin Shuhaimi dan Hamid bin Tari. Syarif , asal dari Beranang. Harun bin Kasa. Yaakob bin Jamin. Kadir.
Ramai juga penduduk yang menyertai Home Guard . Tidak ada orang perempuan yang menyertai Home Guard. Pasukan polis perempuan hanya di bandar-bandar sahaja. Malay Women Home Guard. Mereka akan memeriksa orang perempuan. Apabila melintasi sekatan, seluruh tubuh akan diperiksa. Malay Women Home Guard akan memeriksa orang perempuan. Home Guard lelaki akan diperiksa oleh orang lelaki. Singkatan bagi Malay Home
Wahab yang dibunuh berasal dari negeri Pahang. Di Pahang dia masuk dalam kumpulan ini. Dia kemudian lari ke mari . Lari daripada kumpulan ini.. Tetapi dia dijumpai di kawasan ini lalu ditembak. Saya memang nampak betul-betul dia kena tembak di pekan ini. ( Pekan Simpang, Kampung Pasir ). Dia ditembak di dalam kedainya. Masa itu semua kawasan di bawah Cikgu Aziz, dulu semua pekan dulu itu. Dari deretan kubur hingga ke rumah Cikgu Abdul Aziz. Dari kiri ke Semenyih dan kanan semua kedai dua tingkat. Jalan ke mari juga kedai - banyak dan panjang. Dulu semua kedai Cina.
Namun begitu tidak ada orang Melayu yang membalas dendam ( di atas kematian Wahab ). Tiada ada yang berani. Tidak ada tindakan daripada orang Melayu. Tidak seperti tindakan di Perak. Di Perak itu lain. Macam di Kampung Bakul, di negeri Perak. Kejadian di Sungai Manik itu lain. Kejadian itu sebelum darurat. Kejadian di Batu Kikir, itu sebelum darurat. Itu memang perkauman. Sebenarnya perkauman ini sudah lama . Masa dulu di Sungai Manik, mana boleh orang Cina masuk.
Masa itu di Kampung Pasir ini tidak ada api elektrik. Air pun tidak ada. Masa itu hanya menggunakan air perigi. Masa itu ada jalan tar sejak lama. Jalan kampung ini juga ….. masa itu kampung pasir ini masih belum ada. Hanya diwujudkan pada tahun 1980an… iaitu Kampung Pasir Baru.
Pemeriksaan atau Kachau Gate itu terletak sebelum ke Semenyih. Masa itu semua itu di panggil Jalan Kachau. Masa itu tidak ada lagi bas. Sebelum kejadian 1948, ada bas masuk. Mewah. Selepas tahun 1948, tidak ada lagi bas yang masuk Sebelum itu ramai, orang ramai. Hanya tinggal orang Melayu. Penduduk terpaksa pergi ke Semenyih untuk membeli beras dan lain-lain.
Kubu komunis terletak di dalam hutan. Kubu komunis banyak di Bukit Kopi, Semenyih. Di situ selalu berlaku pertempuran. Dalam seminggu, sekali memang ada pertempuran. Kadang-kadang komunis ini keluar menyerang terutama sekali Ladang Dominion. Kadang-kadang Saringgit Estet. Kadang-kadan Balau Estet. Kedengaran bunyi tembakan pada waktu malam. Banyak bunyi termbakan. Kalau brenggun berjujut bunyi, menderu bunyinya.
Masa saya sekolah dalam darjah enam, di mana disyakki ada kubu komunis semua dibom oleh pihak British . Kapal terbang B29 , iaitu kapal terbang yang paling besar akan menggugurkan bom. Bom berangkai akan menggurkan bom, sekurang-kurangnya 1 minit berdentum – tak habis, lama. Di sini memang ramai komunis … Broga dan Semenyih. Di sini kawasan yang paling darurat. Mana ada kawasan lain, bandar lain kena bakar, tetapi di sini, pekannya kena bakar.
Punca dibakar supaya komunis tidak dapat bekalan. Mereka dihukum pindah, supaya tidak memberi bekalan kepada komunis. Selagi ada rumah , apa juga, semua dibakar. Mereka tidak boleh duduk di sini. Mereka itu menyokong komunis. Mereka terpaksa sokong. Terpaksa sokong. Sebenarnya yang masuk itu bukan semua- kebanyakannya terpaksa. Bila hukum pindah, keluarlah. Masa itu orang Cina makan nasi kancah. Datang ambil nasi sahaja., tak boleh ambil beras. Beras tak boleh ambil. Mereka sangat dikawal rapi. Jika tidak dibuat begitu, sampai sekarang masih ada lagi komunis. Semua rancangan ini Jeneral Templer punya rancangan.
Orang Melayu boleh keluar. Pada pukul enam pagi boleh keluar. Keluar ke jalan raya pukul enam. Balik lah ke rumah masing-masing. Setiap hari, waktu siang dikawal. Waktu malam ditembak dengan mortar terutama di kawasan Sawmill. Kami panggil Kachau… sebenarnya di kawasan kaki bukit , dekat hutan sana. Di bom oleh tentera British. Terdengar bunyi rooommmmmmm, macam cerita filem orang putih sekarang. Ketika itu ada tentera Sulfolk. Mereka tembak dengan mortar. Peluru lalu atas kampung. Takut tak takut duduklah diam di rumah. Tentera Sulfolk tembak dengan peluru mortar.

  
PENDUDUK MELAYU TIDAK DIGANGGU

Orang Melayu di kampung ini tidak dikacau oleh komunis . Mereka tidak datang meminta makanan. Sebenarnya mereka ada kuncu di luar yang menghantar bekalan. Orang Melayu terpaksa diperiksa sama. Macam mana orang Melayu hendak beri bekalan kepada komunis kerana kehidupan orang kampung sendiri hidup susah. Kerja mana ada. Kerja yang ada cuma menoreh getah. Jika hari hujan, peritlah tu. Orang kampung tidak dikacau ganggu. Tauke dikacau, jika tak di beri, mereka akan ditembak.
Semua senapang dipulangkan semula oleh homeguard selepas itu. Masa itu saya tukar ke Sabak Bernam. Jadi guru di Sabak Bernam pada tahun 1956. Senapang itu masih ada lagi di rumah.
Kemudian senapang itu dipulang. Bila ke sekolah, naik basikal. Jadi cikgu, beli basikal, basikal baru. Tahun 1953. Masa itu tidak ada kedai gambar di Semenyih,
Imam Manaf, bapa saudara saya., Dia berkedai. Masa kedai terbakar itu, saya terlibat sama. Masa terbakar itu saya duduk di kedai itu, sukat beras, timbang dan kerja-kerja lain. Saya memang terlibat secara lansung dengan kedai itu. Masa itu kedai itu besar juga. Beli beras pakai kad, beras, gula, tepung. Masa itu tidak ada jualan lansung. Masa itu beras datang dari Kajang dan diagihkan . Setiap rumah ambil dua-dua gantang sahaja. Kalau tiga gantang, ambil tiga gantang sahaja.
Harga masa itu murah. Seringgit lapan puluh sen beras segantang. Menggunakan timbang kati. Petang itu bekalan beras datang dari Kajang ( di Kajang ada gudang beras, berhampiran dengan stesen keretapi sekarang ini ). Malam itu terbakar habis. Dibakar oleh orang putih. Orang putih beritahu beberapa minit, bawa barang, apa-apa benda yang penting di bawa keluar. Tarikhnya 12.12.1948. Mana ada yang selamat. Semua habis terbakar. Masa itu saya pun tidak tidur di kedai. Kalau saya tidur di kedai, apa yang boleh saya buat. Masa itu saya masih budak lagi. Umur lima belas tahun. Ambilah barang dalam masa 15 minit. Apa barang yang sempat diselamatkan.
Ada banyak pintu kedai, lebih 20 buah pintu. Ada gelanggang bola keranjang. Dekat dengan tanah wakaf hingga ke Sekolah Rendah Hulu Semenyih. Semua kedai papan dua tingkat. Masa itu rumah-rumah kedai itu cantik-cantik. Tiang kedai besar-besar, dulu punya kayu. Depan rumah Cikgu Aziz, rumah kedai daripada batu. Sampai sekarang masih ada kesan-kesan . Masa itu tidak ada orang ambil gambar rumah kedai terbakar . Askar orang putih ada ambil gambar.
Kem askar terletak dekat padang, tanah lapang berdekatan dengan lombong berhadapan dengan rumah Cikgu Aziz, dekat sekolah. Ramai askar orang putih. Satu batalion. Dekat seribu orang, lengkap dengan mortar , brengun, stengun dan lain-lain senjata. Tapi tidak ada kereta kebal. Lengkap dengan mortar dan meriam. Mereka dipanggil askar infantri. Tidak ada askar Gurkha. Banyak British Army. Tidak lama kemudian diganti dengan askar Melayu pula. Batalion ke 6, masa itu saya sudah bertukar ke Sabak Bernam (menjadi guru). Ramai sungguh. Sampai habislah komunis dikerjakannya.
Askar British lama juga di sini, hingga tahun 1956. Tahun 1948, tentera British belum bina kem di sini lagi. Tahun 1950 askar British bina kem di sini.
Dulu ada banglo, dekat dengan Putih Tin. Ada banglo 2 buah, berhadapan dengan rumah Cikgu Aziz. Banglo besar. Sekarang tiada lagi, habis runtuh. Rumah orang putih besar betul. Nama orang yang tinggal di situ saya tak ingat lagi. Nama-nama tauke Cina yang saya masih ingat ialah Cinku. Sekarang kedainya dekat kedai surat khabar di Pekan Semenyih . Nama lain ialah Ah Peng, Si Chik, Ah Teng , Ah Pok ( jual air batu), Ah Kau ( paling kaya di Semenyih- berniaga getah ). Imam Manaf kedai runcit juga. Selepas dibakar tidak berniaga lagi.
Tapak kedai Syarikat ( Koperasi Teras Sdn Bhd ) di Semenyih dulu dia yang punya ( jual bunga sekarang ). Dekat kedai basikal, di tengah Pekan Semenyih.

JAGA LADANG ORANG PUTIH
Saya jadi guru, cukup suka. Gaji dibayar 60 ringgit. Latihan normal. Nasib baik itu.Dulu sesiapa tak masuk kolej akan dibuang, diganti dengan orang lain . Tetapi masa saya diserap.
Beret , Jungge Squad pakai uniform hijau. Bukan setakat jaga ladang. Mula hanya jaga ladang. Tetapi kemudian sama macam askar yang lain. Askar Melayu datang 1956, bina kem. Keadaan sekarang sudah berubah. Sungai pun sudah berubah. Cina lombong ubah aliran sungai untuk melombong bijih. Namanya Putih Tin. Dipanggil Tin Tin Limited , Kachau. Dipunyai oleh orang putih. Kapal korek telah ada sebelum Jepun. Tersadai dekat rumah murah ( Taman Sri Tangsi ). Selepas Jepun kapal korek dijalankan semula . Di bakar kapal korek. Tapi kapal korek tidak dapat dibakar kerana terletak di tengah lombong. Semua rumah kongsi pekerja lombong dibakar. Hanya ada sebuah kapal korek.
Banyak lombong di sini dahulu. Ada dua tiga kompeni. Lombong ini dipunyai oleh orang Cina dan orang putih. Lombong-lombong ini pekerjanya hanya orang Cina, Orang Melayu cuma menjadi jaga. Orang Cina datang ke sini telah lama, sebelum perang lagi. Orang Melayu bekerja di sawah padi, di Sungai Pening. Lain-lain orang Melayu sebagai penoreh getah. Harga getah tak mahal, Harga getah yang mahal sekejap sahaja itu setahun lapan bulan iaitu semasa Perang Korea. Harga getah dua ringgit sekati – getah keping. Nyaris-nyaris sahaja berhenti. Mujurlah abang ipar saya ingatkan saya jangan berhenti – harga getah mahal ini tidak akan lama. Satu hari menoreh getah dapat lima enam puluh ringgit. Duit masa itu. Beras 1.80 segantang.
Ayah saya bekerja dengan JKR, meninggal semasa Jepun.
Penduduk India bersekolah di Sekolah Ladang Dominion . Dulu ramai pekerja di Ladang Dominion. Beratus orang. Banyak rumah kuli masa itu. Sekarang tidak ada lagi kerana pakai mesin. Tanam sekejap siap, pakai traktor . Lebih ramai orang India daripada orang Melayu di dalam estet itu.
Orang Melayu di sini banyak berasal dari Sumatera itu daripada Kampar. Bapa saya dari Sumatera. Saya lahir di sini. Bapa saya Toyan bin Hussin. Dia lahir di Sumatera. Adik beradik saya ada lima. Namanya Fatimah dan Sulaiman. Yang Masih hidup saya ( Alias), Hamidah dan Sulaiman.). Saya pencen pada 14 Disember 1988 .
Masa Jepun , banyak duit. Pakai cop sendiri, Sampai berbakul-bakul.
.--------------------------------------------------------------------
Rakaman amat 1.30 tengah hari di rumah Cikgu Alias Toyan, Kampung Pasir, Semenyih.
Rakaman dibuat oleh :
1.Cikgu Abd Malek bin Haji Abd Hanif
2.Mohd Farid bin Abdul Ghani
3.Mohd Hafiz bin Hamdan
4.Siti Darmawan bin Abdul Rafai
5.Ahmad Zeedany

Lokasi asal transkripsi ini boleh diakses melalui alamat http://smeh.tripod.com/sj_toyan.htm.

Cikgu Alias yang saya kenal adalah seorang yang gemar bergurau dan sangat disenangi, beliau mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia. Saya tidak mempunyai sebarang kenangan pahit dengan Cikgu Alias, mungkin atas keperibadian beliau yang mesra dan gemar berlawak atau saya sendiri yang tidak pernah membuat hal sehingga boleh membangkitkan kemarahan beliau. Semoga Cikgu dikurniakan usia yang berkat dan kesihatan yang sempurna, jasa cikgu saya amat saya kenangi. Syabas juga kepada Cikgu Abd. Malek Abd. Haniff yang mengusahakan rakaman sejarah lisan berkaitan Semenyih, semoga usaha murni ini dapat dimanfaatkan oleh khalayak pembaca.


Cikgu Abd. Malek Abd. Haniff yang mengusahakan wawancara ini.

Rujukan:

Laman Web Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain dialamat http://smeh.tripod.com/ (diakses pada 30 Ogos 2012.









 



Saturday, September 01, 2012

Asal Usul nama Sepang

oleh: Harith Faruqi Sidek

Nama Sepang dikatakan berasal daripada "Pokok Sepang" atau nama saintifiknya Caesalpinia Sappan L. yang dilihat tumbuh melata di daerah tersebut.   Sepang secara rasminya diwartakan berstatus Daerah pada 1 Januari 1975.

Pokok Sepang (sumber: melur.com)



Sumber:

Portal Majlis Daerah Sepang . diakses pada 31 Ogos 2012.