Wednesday, November 11, 2015

Shukri Hadafi Aziz, kanak-kanak pintar tahun 70an...apa kisah beliau hari ini?

Shukri Hadafi bersama Jins Shamsudin dalam filem 'Menanti Hari Esok' tahun 1977.

Mohamed Shukri Hadafi Aziz, kanak-kanak pintar yang menjadi fenomena di Malaysia sekitar tahun 70an. Beliau yang pada ketika berusia 4 tahun telah menunjukkan keupayaan luar biasa kerana mampu mampu membaca dengan lancar. Shukri merupakan anak kepada Aziz Kechik, seorang peneroka di Felda 12, Jengka, Pahang. Beliau kemudiannya telah diserahkan sebagai anak angkat kepada pasangan yang tinggal di Merbau Pulas, Kedah (NST, 1987).

Keupayaan luar biasa bagi seorang kanak-kanak berusia 4 tahun itu telah menyebabkan beliau menerima pelbagai insentif dan ganjaran, antaranya ialah pingat Hang Nadim. Yang paling menarik barangkali, beliau turut diambil berlakon dalam filem 'Menanti Hari Esok' pada tahun 1977, bersama bintang filem ternama pada ketika itu, seperti Jins Shamsudin, Sarimah dan Noor Kumalasari. 

Mohamed Shukri meneruskan kecemerlangan dalam pembelajarannya apabila memperolehi Gred 1 dengan 16 agregat, dalam peperiksaan SRP pada tahun 1985 (Chiang Siew Lee, 1988). Namun, mendung hitam menyelubungi hidup beliau selepas itu, persengketaan dengan keluarga angkatnya telah menyebabkan beliau bertindak meninggalkan alam persekolah ketika berada di tingkatan empat, Sekolah Menengah Kuala Ketil, Kedah. Beliau dikatakan meneruskan kelangsungan hidupnya dengan melakukan pelbagai pekerjaan di Kuala Lumpur, sebelum kembali ke Kuala Ketil sebagai penebar roti canai setelah percubaannya untuk melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi menemui jalan buntu akibat kekangan kewangan serta masalah peribadi (Noor Azmah Ibrahim, 1997). 

Nasib malang beliau itu kemudiannya telah sampai ke pengetahuan Prof. Diraja Ungku Aziz, lalu Shukri diambil sebagai 'anak angkat' dibawah Projek Baka, satu program dibawah Universiti Malaya bagi kanak-kanak pintar.

Rujukan:

____ (22 July 1987) Professor appeals for help for neglected 'wonder boy', The Straits Times.

____ (27 July 1987) Gifted boy Shukri wants another chance, New Straits Times.

____ ( 28 Oktober 2012) Genius tidak semestinya sempurna, Utusan Malaysia.

Chiang Siew Lee (31 Disember 1988) Catering to gifted children, News Straits Times.

Noor Azmah Ibrahim ( 25 Januari 1997) 'Sufiah Farooq' ramai di Malaysia, Utusan Malaysia.

2 comments:

Anonymous said...

saya pernah baca & lihat wajah hadafi bila dah dewasa dalam majalah mastika keluaran awal 90'an. rasanya ada lagi majalah tu, tapi biasalah kena selongkar dulu kalau nak cari balik

rinsedpie said...

sedih dengar cerita beliau.
hal seperti ini boleh berlaku pada sesiapa sahaja