Wednesday, December 18, 2013

S.Sudarmaji (1923-1989): Dari kerani ke Pengarah Filem.

Oleh: Harith Faruqi Sidek

S.Sudarmaji (1923-1998)

S.Sudarmaji bin S. Abdullah lahir di Jogjakarta, Indonesia pada tanggal 19 september 1923. Sebelum menjejak kaki ke Studio Jalan Ampas, beliau pernah bekerja sebagai pelaut, beliau mula terlibat dalam dunia seni pada tahun 1948, tetapi bukan sebagai seniman, sebaliknya sebagai seorang kerani kontiniti yang bertanggungjawab mencatatkan adegan terakhir pada hari penggambaran sebelum disambung pada hari seterusnya ( Zainuri Misfar, 1998).

S.Sudarmaji, gambar tahun 1974 (Sumber: Berita Harian, 1989).

Allahyarham merupakan seorang seniman yang berbakat, selain berlakon, beliau juga merupakan seorang pengarah filem, penulis lirik, penulis skrip dan guru tarian.Sebagai Pelakon, antara filem lakonan beliau ialah, Tiga Abdul(1964) , Nasib Labu-Labi (1963), Antara Dua Darjat (1960) dan Hang Tuah (1956). Sebagai Penulis Skrip, antara filem yang beliau tulis ialah, Penarik Beca (1955), Semerah Padi (1956), Sumpah Orang Minyak (1958) dan Nasib Labu-Labi (1963). Antara filem arahan beliau pula ialah, Detik 12 Malam (1979), Perjanjian Syaitan (1981), Langit Tidak Selalu Cerah (1981) dan Kabus Tengahari (1982). Sebelum menduduki kerusi pengarah, beliau terlebih dahulu menimba pengalaman sebagai Penolong Pengarah, antara filem yang terlibat ialah, Bujang Lapok (1957), Sarjan Hassan (1957), Ali Baba Bujang Lapok (1961), Seniman Bujang Lapok (1961) dan Ibu Mertuaku (1962).

Sebagai penulis lirik, Allahyarham dikatakan telah menghasilkan lebih kurang 128 buah lirik lagu, antara yang popular ialah Getaran Jiwa, Putus Sudah Kasih Sayang, Jeritan Batinku, Bunga Melor, Rukun Islam lima perkara dan Bahtera Merdeka.

S.Sudarmaji meninggal dunia pada 23 April 1989 di Hospital Besar Kuala Lumpur akibat komplikasi sakit kencing manis dan buah pinggang, ketika itu beliau berusia 65 tahun. Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Suntax, Batu Sembilan, Cheras. Beliau meninggalkan seorang isteri, Kamisah Kamijo (meninggal dunia pada 11 september 1998 pada usia 90 tahun akibat sakit tua) dan seorang anak perempuan, Sri Rahayu. Anak beliau, Sri Rahayu pernah popular dengan watak Ayu, kanak-kanak yang sering meminta upah 20 sen daripada Sudin dalam filem Bujang Lapok.

Sri Rahayu Sudarmaji, waris tunggal S.Sudarmaji. (Sumber: Utusan Malaysia, 30 November 2013)

Rujukan:

Ayu 20 sen sudah bergelar nenek. (30 november 2013). Utusan Malaysia.

http://cinemamalaysia.com.my (akses pada 17 Disember 2013)

Huzz. (25 Januari 1998). Mana dia anak S.Sudarmaji ?. Utusan Malaysia.

Pengarah, Penggubah Lagu S.Sudarmaji meninggal. (24 April 1989). Berita Harian.

Ramli MS. (5 November 2008). Lirik dulu halus, sekarang puitis. Berita Minggu.

Siti Jarum. (23 Disember 2012). Mereka dibelakang P.Ramlee. Utusan Malaysia.

Tuntutan royalty waris S.Sudarmaji selesai. (24 September 1998). Berita Harian.

Yusof Haslam. (22 Jun 2003). Menjejaki Produser Melayu. Berita Minggu.

Zainuri Misfar, Mona Ahmad. (18 September 1998). Waris sukar dapat royalty S.Sudarmaji. Berita Harian.

Zainuri Misfar. (13 Jun 1998). Jiwa seni S.Sudarmaji. Berita Harian

No comments: