Friday, November 22, 2013

GP Formula One pertama di Malaysia tahun 1999.

Oleh: Harith Faruqi Sidek


Litar Sepang menjadi gelanggang Grand Prix Formula One buat kali pertama pada tahun 1999, dengan perlumbaan rasminya pada 17 Oktober 1999. Seramai 22 orang pelumba mengambil bahagian dengan pasukan yang menjadi perhatian ialah Sauber-Petronas yang dianggap pasukan tuan rumah, selain pasukan utama lain seperti Ferrari dan McLaren. Edisi sulung ini dikenali sebagai Petronas Malaysia Grand Prix.

Logo yang digunakan media untuk Petronas Malaysian Grand Prix 1999.

Pada kelayakan menentukan petak perlumbaan, pelumba Ferrari, Michael Schumacher telah mencatat masa terpantas dan diikuti oleh rakan sepasukan, Eddie Irvine, sementara petak ketiga diisi oleh pelumba McLaren, Mika Hakkinen. Pasangan pelumba Sauber-Petronas, Jean Alesi dan Pedro Diniz memulakan perlumbaan di petak yang agak kebelakang iaitu 15 (Alesi) dan 17(Diniz).

Kedudukan petak perlumbaan 22 pelumba Petronas Malaysian Grand Prix 1999.

Perlumbaan sebanyak 56 pusingan itu walaubagaimanapun dimenangi oleh pasukan Ferrari dengan kedudukan 1-2 dengan Irvine sebagai juara dan Schumacher ditempat kedua, Mika Hakkinen dari McLaren ditempat ketiga. Pelumba pasukan Sauber-Petronas menamatkan perlumbaan dengan nasib yang berbeza, ketika Jean Alesi berjaya menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 teratas iaitu pada kedudukan ketujuh, Pedro Diniz pula gagal meneruskan perlumbaan setelah keretanya terbabas dari litar.

Tun Dr. Mahathir menyampaikan hadiah kepada pemenang. (NST, 18 Oktober 1999).

Kontroversi kemudiannya meletus apabila kedua pelumba Ferrari berkenaan dibatalkan selepas 3 jam perlumbaan berakhir atas alasan kereta mereka melanggar peraturan spesifikasi yang dibenarkan. Dengan pembatalan itu, Mika Hakkinen diisytiharkan juara dengan pasangan pelumba dari pasukan Stewart-Ford, Johnny Herbert dan Rubens Barrichello dinaikkan ke kedudukan kedua dan ketiga. Namun Ferrari kemudiannya membuat rayuan dan berjaya memenangi kes mereka, lalu mata kejuaraan dan tempat kedua yang ditarik pada GP Malaysia dikembalikan.

Berita pembatalan kemenangan pasukan Ferrari 3 jam selepas perlumbaan berakhir.

Rujukan:

Grand Prix 1999 grid position. (17 Oktober 1999). The New Straits Times.

Harris Taib. (18 October 1999). Ferrari disqualified after 1-2 finish. The New Straits Times.


No comments: