Saturday, January 26, 2013

Sejarah Jalan Imbi : Namanya bersempena seorang Warden Penjara ?

Oleh : Harith Faruqi Sidek

Kedudukan Jalan Imbi dan Penjara Pudu (Sumber : Google Map)

Jalan Imbi adalah diantara jalan utama yang popular di Kuala Lumpur, malah namanya sinonim dengan Plaza IMBI yang cukup terkenal dengan perniagaan perkakasan komputer dengan tawaran harga berpatutan. Bagaimanakah jalan ini mendapat namanya tidak berapa jelas, namun dalam sebuah naskah berjudul 'Untukmu Malaysia Sempena 50 Tahun Merdeka 25000 kilometer : Menjejaki Warisan Kita' ada menyebut bahawasanya jalan ini adalah bersempena dengan nama penguasa penjara melayu yang pertama. 

Naskah ini terdapat didalam koleksi Perpustakaan Tun Seri Lanang dengan  nombor panggilan  DS592.2.U585 kat.

Pada mukasurat ini dinyatakan Jalan Imbi itu bersempena dengan  Penguasa Penjara Melayu  yang  pertama.

Carian dalam keratan akhbar-akhbar kebelakangan gagal menemui pegawai British atau tokoh  inggeris yang bernama 'Imbi'. Dengan andaian Penguasa Penjara itu adalah Ketua Jabatan Penjara, didapati Tan Sri Murad Ahmad adalah orang melayu pertama yang menjawat jawatan terebut, jadi 'Penguasa' yang dimaksudkan itu bukan merujuk kepada jawatan Ketua Jabatan Penjara. 

Namun apa yang ditemui ialah keratan berita mengenai seorang warden penjara di 'Pudu Gaol' atau lebih dikenali sebagai penjara Pudu pada tahun 1903, beliau bernama Imbi bin Daud. Namun tidak dapat dipastikan adakah warden bernama Imbi bin Daud ini adalah 'Penguasa' yang dimaksudkan dalam naskah tersebut.


Kisah Imbi bin Daud

Terdapat tiga keratan akhbar berkaitan warden Penjara Pudu yang bernama Imbi bin Daud, ianya berkaitan pertuduhan kes bunuh seorang warden penjara bernama Dollah, Imbi bin Daud dan seorang lagi warden, Ramasamy telah ditahan bagi membantu siasatan. Beliau kemudiannya telah dibebaskan dari sebarang pertuduhan setelah mahkamah mendapati beliau tidak bersalah.

Berita Pembunuhan melibatkan seorang  kakitangan  Penjara.( TST, 4 Ogos  1903)

Imbi bin Daud antara suspek yang ditahan untuk membantu siasatan. ( The Singapore Free  Press and Mercantile Advertiser, 14 Ogos 1903)

Imbi bin Daud dibebaskan setelah mahkamah mendapati beliau tidak bersalah. ( TST, 14  Ogos 1903)


Rujukan :

Alleged Murder ( 4 Ogos 1903), The Straits Times.

Native Warder Murdered ( 14 Ogos 1903), The Straits Times.

The Warder Murder Case ( 14 Ogos 1903), The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser.

Mohd Bakri Jaffar dan Azmy Morsidi. (2007) Untukmu Malaysia Sempena 50 Tahun Merdeka 25000 kilometer : Menjejaki Warisan Kita. Shah Alam,Selangor : Azmy Morsidi / Mohd Bakri Jaffar.

No comments: