Friday, November 14, 2008

Antara ”Penjenamaan semula”, ”Meremajakan” dan ”Mematangkan”



Selepas PRU ke-12 yang bagai tsunami besar, ditengah kekagetan parti-parti yang terkena tempelaknya, muncul 3 konsep yang dilihat sebagai penawar kepada kerosakan yang dialami akibat bedilan ”tsunami” yang lepas. Anda parti mahukan ”Penjenamaan Semula”, ada yang mahukan evolusi imbas kembali kearah keremajaan dan ada juga suara-suara kecil yang menyebut mahukan proses Mematangkan parti.

Apa maksud ”penjenamaan semula”? Penjenamaa menurut Kamus Dewan Edisi ketiga membawa maksud ”Pemberian Jenama ( nama tertentu) kepada sesuatu barang yang dihasilkan.”. Lantas penjenamaa semula itu mengikut fahaman biasa adalah memberi nama baru kepada produk yang sama atau nama baru kepada produk yang telah mengalami penambahbaikan. Ini bermakna parti berkenaan mempunyai dua pilihan, sama ada strukturnya dalam status quo, tapi ditempel dengan nama baru, atau rombakan dilakukan pada struktur beserta dengan nama baru. Sehingga kini tidak jelas kelihatan kedua-duanya berlaku, namun ”Tiang Serinya” tetap teguh berdiri walaupun ada ”keretakan”. Persoalannya, runtuhkah ”mahligai” ini, andai tiang seri tersebut ditukar?, terpulang pada bijak pandai politik membuat telahan dan analisa.

Meremajakan menurut kitab yang sama membawa erti menjadikan muda, memudakan ~ pegawai negeri menggantikan pegawai-pegawai tua dengan pegawai-pegawai muda. Definasi kepada konsep ini yang dipilih oleh sebuah parti berteraskan kaum yang utama ini perlu dibuat dengan berhati-hati. Adakah proses meremajakan itu merujuk kepada semua aspek dalam parti? Perlembagaan, struktur kepimpinan, budaya atau pemimpin utama itu sendiri. Adakah sebuah parti yang usianya melewati separuh abad perlu kembali seperti waktu usianya belasan tahun? jika diimbas kembali detik lampau itu, andai parti ini mampu berlagak seperti waktu itu, nescaya parti ini akan mampu kembali ”relevan” dalam ketika perkara 152 perlembagaan sering dicuit dan dijentik oleh mereka-mereka yang tidak sepatutnya. Namun keraguannya amat besar, sehingga kini tidak kelihatan riak-riak kearah mengembalikan dekad gemilang itu akan berlaku, malah sikap ”remaja ” itu lebih terarah kepada perkara yang merosakkan parit, umpamanya ahli-ahli yang umpama ”berdarah muda” dengan mencari penyelesaian melalui ”buku lima” dan ”kerusi”.

Adakah proses meremajakan ini dapat direalisasikan sepertimana pandangan seorang sarjana dari univesiti tertua tanahair, beliau dengan tegas mengatakan andai proses meremajakan parti ini mahu dilaksanakan, maka satu generasi pemimpin harus meninggalkan struktur utama parti. Generasi peminpin ”veteran” ini harus diganti dengan satu generasi muda yang faham aspirasi parti dan mempunyai nilai insaniah yang tinggi. Mungkin dari kalangan generasi yang sewaktu mudanya terpengaruh dengan video ”sajak kematian” yang cukup ”panas” hari ini.

”Mematangkan” pula membawa erti kesempurnaan dan kedewasaan pemikiran. Proses ini persis seorang datuk yang telah melewati usia bersara wajib dikatakan tidak matang lalu dia dituntut supaya memperbaiki akalnya. Adakah parti ini tidak matang ? dari sudut mana ianya tidak matang? dengan rekod tidak pernah kalah, parti ini perlu dimatangkan lagi?. Atau matang itu merujuk kepada saf kepimpinan parti dari segelap lapisan, senario ini umpama polemik ”Kesatuan Kaum Tua” dan ”Kesatuan Kaum Muda”. Adakah implementasi konsep ini bererti pemimpin ”veteran” harus didahulukan dalam segala hal, atau adanya asimilasi usia kepimpinan, seperti mana saranan mantan pemimpin parti ini yang kini berjenama ”Kuda Kepang”.

Dunia politik amat luas, satu huruf boleh membawa persepsi dan interpretasi yang pelbagai mengikut kehendak, persoalannya sama ada interpretasi ini dibuat dan dinilai dengan mata hati atau mata budi. Apapun coretan ini hasil dari buah fikiran dan penakulan akal seorang insan yang tidak sezarah pun mempunyai pengalaman berpolitik, hanya sekadar seorang ”window shopper” sahaja.

6 comments:

McBudu said...
This comment has been removed by the author.
McBudu said...

Bagi aku lebih dewasa sesebuah organisasi itu, maka ia sepatutnya lebih dihormati jika arah tuju serta visinya tetap sama dan tidak tersasar. Tapi jika arah tuju serta wawasan nya telah tersasar, bukan re-branding atau peremajaan diperlukan, tetapi 'amputation' atau sekurang-kurangnya 'bypass surgery' . Anggota-anggota yang terkena barah mesti dipotong dan dibuang agar tidak menjangkiti bahagian yang masih sihat.

Walaupun begitu aku masih menaruh harapan agar ada cahaya di hujung terowong.

indica said...

Tak pasti samada konsep2 itu sekadar retorik di dalam mimpi.. di alam nyata sibuk bertelagah, rebut-merebut dan cantas-mencantas sesama sendiri. Seriuskah mrk dalam usaha merekayasa ini? bilamana petualang masih berkeliaran seperti vultures dgn sikap bobrok yg sering memikirkan tembolok sendiri. Bilakah cahaya di hujung terowong akan muncul di kala keikhlasan, kejujuran kian sirna?

Pak Yob said...

tertarik dengan kiasan datuk rais yatim yang menyamakan pertelingkahan antara sesama ahli ibarat ayam bersabung dalam sangkar, ada yang mati ada yang cedera.

Pak Yob said...

tertarik dengan kiasan datuk rais yatim yang menyamakan pertelingkahan antara sesama ahli ibarat ayam bersabung dalam sangkar, ada yang mati ada yang cedera.

McBudu said...

Aku amat setuju dengan teori ayam dalam sangkar yang bertarung sama sendiri, dengan niat memati dan melemahkan sesama bangsa sendiri, sedangkan di luar sangkar bajingan bertepuk bersorak gembira menyaksikannya!