Tanggal 2 Oktober 2008 memalitkan satu episode duka buat dunia penulisan, perginya seorang mentor, tokoh guru, budayawan, sejarawan serta penggiat seni yang begitu berpengaruh. Allahyarham Dr. Shaharom Husain meninggalkan kita pada usia 88 tahun akibat sakit tua pada detik sekitar 7.45 pagi di kediaman putera sulung beliau, Dr. Mohammad Hatta Shaharom di Gombak. Shaharom Husain yang merupakan anak kelahiran Johor dilahirkan pada tanggal 4 November 1919 di Kampung Peserai, Batu Pahat, Johor. Beliau bertemu jodoh dengan Aminah Abdul Rashid serta dikurniai dengan 4 orang putera, Mohamed Hatta, Mustapha Kamal,Muhammad Iqbal dan Mustafa Kamil.
Penulis tidak pernah bertemu mata dengan beliau, namun sejak pertama kali menelaah karya beliau, naskah skrip drama berjudul “Tun Seri Lanang”, penulis terus mendampingi 2 naskah beliau yang selainnya, “Di Bawah Tikaman Garfu” dan “Di Bawah Sinar Matahari” yang kebetulan merupakan terbitan Penerbit UKM. Nama Shaharom Husain sebenarnya telah terlakar dalam peta dunia penulisan tanahair sejak sekian lamanya, barisan karya hasil “air tangan” beliau dalam pelbagai genre sudah cukup mewakilkan ketokohannya dalam dunia penulisan tanahair.
Setiap insan yang cemerlang pasti mempunyai perguruan yang hebat, Shaharom Husain mendapat asuhan seorang sasterawan besar tanahair, Cikgu Harun Aminurrashid. Cikgu Harun amat beliau hormati oleh Shaharom sekeluarga, mungkin berkat pertalian guru dan murid ini, maka Shaharom terlatih dengan sempurna. Penulis baru-baru ini bertemu anak sulung beliau, Dr. Mohamed Hatta Shaharom yang kini merupakan Naib Presiden Kanan merangkap Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Perubatan Cyberjaya, diakhir pertemuan hampir sejam itu, Dr. Hatta banyak bercerita tentang ayahandanya.
Seorang insan yang berperawakan “pelik”, itulah gambaran seorang anak yang juga pakar dalam bidang psikologi bagi menggambarkan Shaharom Husain, walaubagaimanapun kepelikkannyanya itu lebih bersifat positif. Sebagai penulis, Shaharom Husain tidak lekang dengan 2 batang pena dan kertas coretan yang tersemat disaku, sifat ini turut diwarisi oleh Dr. Mohamed Hatta, maka tidak hairanlah beliau juga merupakan seorang penulis yang giat. Sebagai anak sulung, Dr. Mohamed Hatta amat bersyukur kerana mewarisi bakat ayahandanya, namun yang paling bermakna lagi, beliau berpeluang berdampingan dengan ayahandanya sehinggalah insan yang dipanggil “ayah” itu pulang ke sisi yang maha esa.
Shahrom Husain juga merupakan seorang yang tegas dan mempunyai paksi pendirian yang teguh, sifat ini walau bagaimanapun menurut Dr. Hatta amat berlawanan dengan sifat bondanya, Aminah Abdul Rashid yang lembut dan amat disenangi barangsiapa yang mengenalinya. Sebagai seorang pencinta ilmu, Shaharom Husain mempunyai ikatan kasih sayang yang amat kuat terhadap koleksi bahan bacaan beliau, maka tidak hairanlah jika sehingga kini, koleksi beliau masih terpelihara di rumah peninggalan beliau di Kempas. Rumah yang dinamakan Gapura Sastera di Lot 1736, Kampung Baharu Kempas, Johor Bahru, Johor menjadi tumpuan dan kunjungan para pengkaji dari pelbagai latar belakang dalam dan luar negara.
Sebahagian daripada koleksi beliau telah pun diserahkan kepada Perpustakaan Universiti Perguruan Sultan Idris yang sedia maklum menjadi alma mater beliau, bermula dari era Maktab Perguruan Sultan Idris. Hayat beliau bersama UPSI bermula sejak bergelar pelajar pada tahun 1938, sebagai guru mulai 1946 sehinggalah kembali mencurah ilmu sebagai sarjana jemputan.Atas jasa dan bakti beliau, maka UPSI dengan berbesar hati telah menganugerahkan beliau Ijazah Kehormat Doktor Persuratan.
Jejak Shaharom Husain tidaklah terbatas di UPSI sahaja, beliau sempat menabur bakti di UKM sebagai Karyawan Tamu selama dua tahun, 1984 – 1985. Sebelum meninggalkan UKM, beliau sempat menyerahkan manuskrip memoir dirinya untuk diterbitkan oleh UKM, atas inisiatif pihak Penerbit UKM, naskah tersebut telah dizahirkan menjadi sebuah penerbitan yang merakamkan perjalanan hidup seorang insan yang istimewa. Selain naskah tersebut, Penerbit UKM turut menerbitkan dua lagi karya beliau dalam genre novel. Sebagai tanda kagum dan menghargai sumbangan Shaharom Husain, UKM telah menganugerahkan beliau Ijazah Sarjana Kehormat Doktor Persuratan .
Dalam mendidik keluarganya, Shahrom Husain tidak pernah memisahkan agama sebagai dasar keperibadian seseorang insan. Ketokohan Shaharom Husain sudah lama diakui di peringkat antarabangsa, beliau diangkat sebagai tokoh yang berjaya dalam bidang penulisan, pendidikan dan kegiatan lain berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh Dictionary of International Biography yang mengandungi keterangan 2,000 tokoh selain beliau. Shaharom Husain turut menerima pengiktirafan selaku penulis dan pendidik dalam The Thousand Man of Achievement 1969 lalu melayakkan beliau menerima Certificate of Merit bagi tahun 1969. Selain daripada itu, Shaharom Husain turut menerima anugerah lain seperti Tokoh Guru Negeri Johor, Tokoh Guru Peringkat Kebangsaan serta Anugerah Budayawan Negeri Johor.
Entah dimana silapnya, sumbangan serta ketokohan beliau belum mampu mengangkat namanya untuk bergelar "Sasterawan Negara" . Penulis telah lama mengidamkan untuk mendapatkan koleksi untuk Koleksi Khas di Perpustakaan UKM, namun usaha ini tidak menjadi kenyataan kerana semasa hayatnya , Shaharom Husain begitu enggan melihat koleksi beliau “lepas” dari pandangannya. Baru – baru ini berbekalkan senaskah kertas cadangan, penulis bersama seorang sahabat, Saudara Shaharuddin Shafri “memberanikan” diri bertemu anak sulung Shaharom Husain, Dr. Mohamed Hatta Shaharom untuk membincangkan sebarang kemungkinan koleksi Allahyarham dapat disumbangkan ke Perpustakaan UKM. Pertemuan ini hasil usaha saudara Shaharuddin yang kebetulan mempunyai talian persahabatan dengan anak bongsu beliau, Mustafa Kamil.
Penulis akhiri kiriman entri ini dengan kiriman al-fatihah buat Allahyarham Shaharom Husain, moga rohnya dirahmati Allah.
3 comments:
AlFatihah. Moga rohnya dicucuri rahmat.
Aku pernah attend ceramah Dr. Hatta, pasal stress kalau tak silap.
Alfatihah. Semoga akan ada tunas-tunas baharu yang mengikuti jejaknya.
indica:
memang la ko penah attend ceramah Dr. hatta masa kat HUKM dulu...kan ke ko pegi sama aku masa tu.
mcbudu:
bab-bab tunas ni ko ngan indica yang lebih arif...
Post a Comment