Wednesday, August 08, 2012
Bagaimana Negeri-Negeri di Malaysia mendapat namanya
Oleh : Harith Faruqi Sidek
Merujuk naskah " Asal - usul negeri-negeri di Malaysia" yang dihasilkan oleh Datuk Zakiah Hanum, mantan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, berikut dikongsikan intipati dari naskah tersebut tentang asal-usul nama negeri di Malaysia.
1) JOHOR
Nama silam Johor adalah "Ujung Tanah", sementara R.O Winstead dalam penulisannya pernah merujuk negeri Johor dengan nama "Wurawari", ianya adalah istilah jawa yang bermaksud "Air Jernih". Antara nama lama yang merujuk kepada negeri johor ialah, "Hujung Medini"(disebut dalam syair jawa Nagara kretagama), Ganggayu (nama Johor sebelum 1450) dan Langyu. Namun nama negeri lebih kuat dipercayai berasal dari perkataan arab iaitu "Jauhar" yang membawa maksud "Permata".
2) KEDAH
Kedah mengikut catatan ramai sejarawan adalah negeri tertua di Tanah Melayu, ianya berdasarkan penemuan arkeologi tentang kewujudan penempatan serta aktiviti masyarakat Melayu Proto. Nama kedah mengikut rujukan catatan arab dan parsi ialah "Kilah", "Kalah" atau "Qalha". Dalam tulisan sanskrit Kedah dicatatkan sebagai "Kataha" atau "Kadara", sementara dalam naskah tamil ianya dikenali sebagai "Kadaram" atau "Kalaram". Tetapi menurut Wilkinson, nama negeri ini berasal dari perkataan "Kheddah" yang membawa erti perangkap Gajah, tetapi ada juga yang mengatakan Kedah adalah bermaksud "Gelas berkaki" dalam bahasa arab, ianya bersempena dengan perniagaan pedagang arab yang menjual gelas berkaki pada masa itu.
3) KELANTAN
Mula muncul dalam catatan Ptolemy yang merujuk negeri ini sebagai Kalantan. Dikisahkan nama Kelantan diperkenalkan oleh orang India Utara, ianya berasal dari Bandar Koli, tempat kelahiran bonda kepada Gautama Buddha, nama Koli kemudian digabungkan dengan perkataan "Thana" yang bermaksuh Tanah, lalu jadilah "Kolithana" yang kemudiannya disebut oleh penduduk pada ketika itu sebagai "Kolamtanah" atau "Kolamtam" yang akhirnya menjadi Kelantan.
Catatan dalam ensiklopedia Ma Tuan-Lin ada menyebut tempat ini sebagai "Ko-lo". Dalam catatan China yang selainnya ada dikesan nama sepertu "Ho-lan-tan" atau "Kou-lo-tan". Sementara dalam peta De'eredia, wujud nama "Calantan Rio", sementara peta selainnya disebut "Calantan", "Calantam" dan "Calantao". Terdapat juga kisah bahawa nama Kelantan itu adalah bersempena dengan nama pokok "Gelam Hutan" yang tumbuh di pesisir pantai negeri Kelantan pada ketika itu.
4) MELAKA
Selain dari kisah Parameswara yang menyaksikan seekor pelanduk menendang anjing hingga jatuh ke sungai dan Pokok Melaka tempat beliau bersandar ketika itu, terdapat teori lain bagaimana Melaka mendapat namanya. Dalam naskah lama "Sejarah Melayu" memang sudah disebut nama Melaka, ia mugkin dari istilah "Malakat" atau "Mulagah" yang digunakan oleh pedagang arab yang membawa maksud "pusat / tempat perdagangan ". Dalam bahasa sanskrit, Melaka mungkin dirujuk sebagai "Malayakolam" atau "Malayaka" yang membawa erti "negeri orang melayu".
5) NEGERI SEMBILAN
Nama negeri ini bersempena 9 negeri yang berada dibawah gabungannya, kawasan berkenaan ialah ;
1) Sungai Ujong
2) Naning
3) Rembau
4) Jelebu
5) Johol
6) Klang
7) Jelai
8) Ulu Pahang
9) Segamat
Negeri Sembilan kemudiannya menyerahkan Klang kepada Selangor, Ulu Pahang dan Jelai kepada Pahang dan Segamat kepada Johor. Rombakan kawasan kemudianya menyenaraikan 9 kawasan berikut sebagai negeri yang sembilan, iaitu:
1) Sungai Ujong
2) Rembau
3) Jelebu
4) Johol
5) Ulu Muar
6) Inas
7) Gunung Pasir
8) Terachi
9) Jempol
6) PAHANG
Nama klasik bagi negeri ini ialah Inderapura, nama Pahang telah ada sebelum adanya negeri Melaka, ianya dikenali sebagai Pahang Tua. Tiada kisah yang jelas bagaimana Pahang mendapat namanya, namun dalam bahasa Khmer, Pahang itu bermaksud "timah" yang mungkin juga ada kena mengena dengan Sungai Lembing yang terkenal dengan timah.
7) PERAK
Sepertimana Pahang, Perak juga mempunyai nama klasiknya yang tersendiri, iaitu Gangga Negara, pusat pemerintahan Gangga Negara ialah di Beruas. Menurut Hikayat Merong Mahawangsa, nama Perak diberi bersempena dengan anak panah bermata perak yang dilepaskan oleh anak Raja Merong Mahapodisat Kedah. Anak panah itu dilepaskan ke kawasan yang dihajati beliau untuk dijadikan sebuah negeri.
8) PERLIS
Perlis dahulunya dikenali sebagai "kayang" atau "kayangan", dan nama Perlis diberi bersempena dengan nama seorang tua yang dianggap mempunyai keramat, iaitu "Tok Perlis". Ada juga versi lain bagaimana Perlis mendapat nama,berkemungkinan ianya berasal dari perkataan siam "Phrau Loi" yang bermaksud kelapa hanyut, kelapa hanyut ini dikatakan banyak dijumpai oleh orang-orang siam yang menggunakan laluan kuala sungai Perlis untuk ke Kedah. Sebutan "Phrau Loi" ini bila disebut oleh masyarakat tempatan akhirnya menjadi "Perleh".
9) PULAU PINANG
Ianya berasal dari barisan pokok-pokok pinang di kawasan penempatan masyarakat asal melayu di kawasan pantai. Pulau Pinang pernah diberi nama "Prince of Wales" oleh Francis Light pada 11 Ogos 1786, tetapi mujur juga nama itu tidak lekat dan hanya wujud dalam catatan serta peta inggeris, tetapi tidak di bibir penduduk tempatan.
10) SABAH
Pernah dikenali dengan nama "Api-api", Sabah mendapat namanya daripada perkataan "Saba", iaitu sejenis pisang. Kebanyakkan penduduk asal menanam pisang ini di penempatan mereka di sekitar pantai untuk dijadikan sumber makanan.
11) SARAWAK
Tiada kisah yang cukup popular untuk dijadikan sandaran bagaimana Sarawak mendapat nama, mungkin juga bersempena dengan nama Sungai Sarawak. Terdapat sumber dikalangan penduduk tempatan yang mengkisahkan nama Sarawak berasal dari ungkapan " serah pada awak", iaitu apabila Pengiran Muda Hashim menyerahkan pentadbiran negeri itu kepada James Brooke pada tahun 1841.
12) SELANGOR
Tiada sumber jelas bagaimana Selangor mendapat namanya.
13) TERENGGANU
Dipercayai berasal dari cahaya kilat yang dilihat oleh penduduk Kelantan, lalu mereka berkata "terangnya genu" atau maksud lainnya "terang sampai ke sana". Terdapat juga kisah yang mengatakan nama Terengganu berasal dari kisah penemuan taring gajah di sebatang sungai di Pulau Duyong, dek kerana saiz taring yang besar serta belum pernah dilihat oleh penduduk tempatan, mereka merujuk taring itu sebagai "Taring anu", sungai dimana taring tersebut dijumpai juga dikenali sebagai "Sungai Taring Anu".
Rujukan
Zakiah Hanum. 1989. Asal - usul negeri-negeri di Malaysia. Kuala Lumpur: Times Book International.
Tuesday, August 07, 2012
Sejarah Masjid India, Kuala Lumpur
![]() |
Bangunan Masjid India, Kuala Lumpur ( Sumber : masjidindia.com) |
Sejarah Masjid India bermula sejak tahun 1863 lagi, kewujudannya juga hadir dalam lakaran peta Kuala Lumpur yang diterbitkan pada tahun 1889 oleh Kuala Lumpur Land Office. Masjid ini dibina diatas sebidang tanah yang telah dianugerahkan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Alaeddin Sulaiman Shah kepada seorang peniaga berketurunan India Muslim yang terkenal di ibukota pada ketika itu, Mohamad Kassim. Mohammad Kassim telah memanfaatkan tanah kurnia itu dengan membina sebuah masjid dengan dana hasil sumbangan peniaga-peniaga india muslim disekitar Kuala Lumpur, khususnya di sekitar Batu Road (sekarang Jalan Tunku Abdul Rahman). Bangunan asal masjid ini dibina dengan menggunakan kayu, sebelum ianya digantikan dengan binaan batu yang lebih kukuh.
![]() |
Ruang solat Masjid India, Kuala Lumpur ( Sumber : masjidindia.com) |
Masjid India sepertimana yang ada kini telah dirasmikan pada 30 Ogos 1974, upacara perasmian ini telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Dengan pertambahan komuniti india muslim di sekitar lembah kelang, masjid ini terpaksa dinaiktaraf beberapa kali bagi tujuan menampung jemaah serta aktiviti yang dianjurkan oleh pengurusan masjid. Dianggarkan lebih kurang 3,500 orang jemaah akan mendirikan solat fardhu jumaat di masjid ini, dan Khatib akan menyampaikan khutbah dalam bahasa Tamil. Masjid india turut mencatatkan sejarah uniknya yang tersendiri iaitu ianya kekal sebagai masjid yang tertua di Kuala Lumpur.
Sumber:
Masjid India Kuala Lumpur, (http://masjidindia.com/), diakses pada 7 Ogos 2012.
Chin Kon Yit. (2003). Landmarks of Selangor. Kuala Lumpur : Jugra Publications.
(NA1525.6.S4C48 42 - Koleksi Khas, PTSL)
Wednesday, August 01, 2012
Sejarah Pembukaan Penempatan Orang Jawa di Selangor
Oleh : Harith Faruqi Sidek
Terdapat juga orang jawa yang datang ke Tanah Melayu secara paksa,iaitu diculik oleh sindiket pedagangan manusia yang menyediakan bekalan buruhkepada pedagang yang berlabuh di Tanah Melayu. Diceritakan orang jawa yang menjadi mangsa penculikan ini akan dibawa ke Singapura untuk dijadikan buruh. Terdapat juga kes dimana orang-orang jawa yang mahu mengerjakan haji telah ditipu oleh para sendiket ini, mereka tidak dihantar ke tanah suci untuk mengerjakan haji,sebaliknya dijual kepada peladang-peladang di Negeri- negeri Melayu Bersekutu.(Khazin Mohd. Tamrin ,1978:710).
Rujukan :
Hubungan Tanah Melayu dengan Pulau Jawa telah bermula sejak
kurun ke-14 lagi, sepertimana diceritakan dalam naskah lama "Sejarah
Melayu" dan "Hikayat Hang Tuah". Sebagai contoh
pertembungandiantara Taming Sari dengan pahlawan lagenda melayu, Hang Tuah.
Catatan oleh Tom Pires turut menyatakan bahawa telah ada perkampungan orang jawa
dizaman Kesultanan Melayu Melaka, catatan beliau antara lain ada menyebut
nama-nama penempatan seperti Kampung Jawa dan Parit Jawa. Menurut Noriah Mohamed
(2001:13), Pulau Jawa merupakan 7% daripada keseluruhan kepulauan Indonesia
dengan kepadatan penduduk sekitar 60 juta orang, dan dipercayai proses migrasi
orang jawa ke Tanah Melayu telah bermula sejak 1870an lagi.
Merantau atau Minggat
Menurut Khazin Mohd. Tamrin (1978), penghijrahan orang Jawa
ke Tanah Melayu adalah melalui dua keadaan, iaitu;
Merantau : Orang Jawa merantau ke Tanah Melayu atas banyak
sebab,antaranya untuk memperbaiki taraf hidup, sama ada dengan bekerja
dengan pedagang asing yang berlayar diantara kawasan di Nusantara atau
berniaga sendiri. Tidak kurang juga orang Jawa yang merantau ke Tanah Melayu
atas tujuan mempelajari ilmu atau mengembangkan ilmu.
Minggat : Faktor ini ialah atas sebab melarikan diri dari
sesuatu perkara yang berlaku keatas diri mereka sewaktu di tanah leluhur mereka.
Antara faktor yang boleh disabitkan ialah atas sebab persengketaan politik,
jenayah atau isu kekeluargaan.
Terdapat juga orang jawa yang datang ke Tanah Melayu secara paksa,iaitu diculik oleh sindiket pedagangan manusia yang menyediakan bekalan buruhkepada pedagang yang berlabuh di Tanah Melayu. Diceritakan orang jawa yang menjadi mangsa penculikan ini akan dibawa ke Singapura untuk dijadikan buruh. Terdapat juga kes dimana orang-orang jawa yang mahu mengerjakan haji telah ditipu oleh para sendiket ini, mereka tidak dihantar ke tanah suci untuk mengerjakan haji,sebaliknya dijual kepada peladang-peladang di Negeri- negeri Melayu Bersekutu.(Khazin Mohd. Tamrin ,1978:710).
Namun ada juga faktor lain yang membawa orang jawa berhijrah
ke Tanah Melayu seperti mana yang disebut oleh Nelmawarni dan Nordin (2011),
Penghijrahan orang jawa dari kepulauan Nusantara adalah kerana mencari
pekerjaan, antara jenis pekerjaan yang dilakukan ialah buruh kontrak, buruh
bebas atau sebagai peneroka tanah. Malah ada juga dikalangan orang jawa di Tanah
Melayu yang berhijrah secara tidak dirancang, contohnya mereka yang singgah di
Pulau Pinang dan Singapura sewaktu dalam perjalanan untuk menunaikan ibadah haji ke Mekah, ada diantara
mereka ini tidak meneruskan perjalanan atau pelayaran ke Mekah, sebaliknya
berubah fikiran lalu menetap terus di Tanah Melayu, dan ada juga yang tinggal
terus di Tanah Melayu selepas pulang dari mengerjakan Haji.
Jika dibandingkan dengan orang Minangkabau yang turut sama
berhijrah ke Tanah Melayu, Orang jawa dilihat lebih cenderung bekerja dengan
kerajaan, sementara orang Miangkabau lebih suka berniaga, malah budaya “makan
gaji” adalah tidak digalakkan / disukai oleh orang Minangkabau yang merantau. Namun
orang Jawa yang bekerja sebagai buruh ini telah menyebabkan populasi mereka
tersebar ke seluruh jajahan koloni inggeris dan Belanda, dari Tanah Melayu,
Afrika Selatan (dibawa oleh Belanda) malah hingga ke kepulauan Carribean.
Penghijrahan orang jawa di Selangor
Pada sekitar tahun1890an, masyarakat melayu yang menetap di
Kuala Lumpur adalah terdiri daripada pedagang daripada Sumatera dan Jawa
(Gullick, 1993:34). Di daerah Klang, telah dikesan aktiviti perdagangan yang
diketuai oleh pedagang jawa yang diketuaioleh Syeikh Mohd Taib (MISC 183/80
Kuala Lumpur). Pada tahun 1930an, kebanyakkan peniaga melayu yang berniaga di
kawasan Batu Road, Melaka Streetdan Malay Street adalah terdiri daripada orang
Jawa dari Sumatera. Masyarakatj awa di Selangor kebanyakkannya memilih
penempatan di kawasan pertanian, mereka memilih cara hidup dengan bercucuk tanam
dan berkebun. (Noriah Mohamed,2001:223)
Faktor perkembangan pesat industri pelombongan bijih timah di
kawasan lembah Sungai Kelang juga telah menarik penghijrahan ramai orang jawa ke
daerah ini. Berbanding dengan orang cina dari tanah besar, orang jawa ini
menjalankan kegiatan melombong bijih timah secara kecil kecilan di kawasan
pendalaman.(Khazin, 1978:73).
Menurut Noriah Mohamed(2001:147), kawasan yang dikesan
mempunyai penduduk berketurunan jawa yang ramai di Selangor ialah:
1)
Tanjung Karang
2)
Sabak Bernam
3)
Kuala Selangor
4)
Kelang
5)
Banting ( Kuala Langat)
6)
Sepang
Membuka penempatan di Daerah Klang
Dalam laporan Pegawai Daerah Klang sewaktu melawat Teluk
Menegun dan Kampung Jawa dalam tahun 1890, beliau ada mencatatkan penemuannya
tentang kawasan penempatan yang dibuka oleh orang Jawa. Hasil temuramah dengan
beberapa orang penduduk lama serta waris kepada peneroka kawasan yang asal,
Khazin Mohd Tamrin( 1978: 77) telah menemui maklumat tentang asal usul pembukaan
beberapa kawasan penempatan di Klang.
a) Kampung Jawa
Meskipun kebanyakkan penempatan di Negeri Selangor dibuka
oleh orang Bugis yang merantau, tetapi terdapat juga bukti penempatan yang
dibuka oleh orang Jawa yang berhijrah ke Selangor, terutamanya di Klang. Menurut
Khazin (1978:73), Kampung Jawa telah dibuka sekitar tahun 1860an, antara nama
yang disebut sebagai pelopor pembukaan kawasan ini ialah Haji Hussein dan Haji
Mohammad Tahir yang berasal dari BatuBara, Sumatera. Kawasan ini dikatakan
telah dibuka sekitar tahun 1875 oleh Haji Latiff yang dikatakan berasal
dari Semarang.( Khazin, 1978: 73).
a) Bukit kapar.
Kawasan ini dikatakan telah dibuka dalam tahun 1920an lagi,
ianya diketuai oleh Abdul wahid b. Ahmad.
b) Meru.
Meru telah dibuka oleh Haji Shariff bin Haji Abdul Razak
sekitar tahun 1909. Maklumat ini disampaikan oleh anak beliau yang menjadi Ketua
Kampung dalam satu temuramah pada 21 April 1974.
c) Kampung Rantau Panjang
Kawasan penempatan ini telah dibuka oleh Haji Siraj bersama
sahabatnya Haji Hassan pada tahun 1919.
d) Kampung Sungai Jati
Kawasan Sungai Jati di Jalan Kampung Jawa telah dibuka oleh
Haji Sidek dan Haji Mohd Damin.
Papan Tanda ini pastinya belum wujud ketika orang-orang jawa mula berhijrah ke Klang dan Kuala Selangor |
Penempatan Orang Jawa di Ulu Langat
Di kawasan Ulu Langat juga telah dikesan mempunyai penempatan
yang dibuka oleh orang Jawa. Sebuah kawasan perkampungan yang dinamakan Kampung
Jawa telah dibuka sekitar tahun 1916 oleh sekumpulan orang Jawa yang dibawa
masuk oleh Inggeris. Kumpulan orang Jawa ini pada asalnya bekerja sebagai buruh
kontrak di Ladang Kopi di sekitar Pantai Selangor (Khazin, 1978:78). Walau
bagaimanapun, tidak dapat dapat dipastikan sama ada penempatan yang dimaksudkan
itu adalah sebuah perkampungan kecil yang dibuka oleh orang jawa sekitar tahun
1920, perkampungan ini terletak di Batu18, Jalan Sungai Lui.
Membuka penempatan di Daerah Kuala Selangor
Menurut Khazin Mohd Tamrin(1978:78), perancangan kerajaan
British telah menyumbang kepada penghijrahan orang Jawa ke Daerah Kuala
Selangor. Penghijrahan ke kawasan seperti Tanjung Karang dan Sabak Bernam adalah
disebabkan oleh aktiviti pertanian seperti padi dan kelapa yang mereka usahakan.
Penghijrahan yang berlaku sekitar tahun 1930an ini bukan sahaja melibatkan orang
jawa yang datang dari Pulau Jawa, tetapi juga mereka yang telah menetap di
kawasan berhampiran, umpamanya dari Hilir Perak. Walaubagaimanpun, sebelum
adanya penghijrahan besar-besaran ini, sebilangan kecil orang jawa telah pun ada
di Sabak Bernam.Generasi pertama orang Jawa di Sabak Bernam ini menyara hidup
sebagai pekebun kecil dan dipercayai mula berada dikawasan tersebut 20 tahun
lebih awal, iaitu sekitar 1910.(Khazin Mohd Tamrin,1978:79).
Kampung Api-api dalam Daerah Kuala Selangor dikatakan telah
dibuka oleh orang jawa yang berasal dari Banyumas, kumpulan orang-orang jawa ini
diketuai oleh Tuan Haji Abdul Moin.Penerokaan mereka sehingga wujudnya Kampung
Api-api adalah berdasarkan geran tanah yang dikeluarkan oleh kerajaan British
yang bertarikh 1901, tetapi anggaran tahun kampung ini dibuka adalah berdasarkan
usia pokok kelapa yang ditanam oleh orang-orang jawa dikawasan itu yang
dianggarkan telah mencapai usia 30 tahun pada ketika itu.
Anak Tuan Haji Abdul Moin, iaitu Tuan Haji Idris Haji Moin
bersama sahabatnya, Salamenko pula bertanggungjawab meneroka kawasan Pasir
Tuntong. Salamenko kemudiannya telah berhijrah keluar dari kawasan Pasir
Tuntong, lalu membuka penempatan di Sungai Yu. Seterusnya kawasan-kawasan lain
turut dibuka oleh generasi orang jawa yang seterusnya,seperti penempatan di
Kampung Ijok, Bukit Badong dan Bukit Kuching. Kumpulan orang-orang jawa yang
membuka penempatan di Daerah Kuala Selangor ini dikatakan berasal dari Daerah
Pacitan, Magelang dan Ponorogo. Pada tahun 1945, kampung Batang Berjuntai telah
dibuka oleh seorang berketurunan jawa yang bernama Jemain bin Kasok, namun pada
ketika itu, kawasan itu lebih dikenali sebagai kampong Jaya Setia atau Batang
Trill.
Membuka Penempatandi Daerah Kuala Langat
Antara kawasan yang dilihat menjadi tumpuan penghijrahan
orang jawa di Selangor adalah di Daerah Kuala Langat. Dibawah pemerintahan British,
perolehan atau penerokaan tanah harus dilakukan dengan rasmi, iaitu dengan
mendapatkan kebenaran daripada kerajaan Inggeris.Meskipun mendapat persaingan
daripada penduduk tempatan dalam memperolehi hak penerokaan kawasan di Daerah
Kuala Langat, British dikatakan cenderung memberi permit atau kebenaran kepada
orang-orang Jawa berbanding orang tempatan, malah dari kacamata British,
orang-orang jawa yang berhijrah ini disifatkan sebagai “The Best Colonist”.
Merujuk kepada Khazin Mohd Tamrin (1978:76), sehingga 1888, beberapa buah
penempatan di Daerah Kuala Langat ini telah dibuka oleh orang jawa, antaranya
Kelanang yang dibuka oleh Haji Kiai Kadir dan Tanjung Dua oleh Encik Sadik.
Khatimah
Meskipun telah berada di daratan yang baru, orang jawa yang
berhijrah ke Tanah Melayu ini dilihat masih setia membawa bersama adat dan budaya
leluhur mereka, amalan seperti rewang, kondangan dan sebagainya masih jelas
diamalkan di kebanyakkan penempatan yang mereka buka. Selain daripada itu,
kaedah pemilihan ketua bagi sesebuah penempatan mempunyai kelainan diantara satu
kawasan dengan kawasan yang lain,contohnya di beberapa penempatan di Klang,
seseorang pemimpin kampung atau lurah
dipilih dari kalangan mereka yang mula-mula membuka penempatan tersebut. Satu
lagi kaedah memilih lurah adalah
melantik mereka yang mempunyai ilmu yang tinggi berbanding kebanyakkan orang
didalam penempatan tersebut, biasanya ilmu agama dan ilmu yang berkaitan dengan
kemahiran hidup.
Rujukan :
Khazin Mohd. Tamrin.(1978). Orang Jawa di Selangor Kedatangan
dan Penempatan.Jebat (7/8), 68 - 85.
Khazin Mohd. Tamrin (1984). Orang Jawa di Selangor: Penghijrahan danPenempatan 1880 – 1940.
Kuala Lumpur: DBP. (Kat D 595.2 .J4.K45 n.5)
Koleksi Cerita Rakyat : Daerah Kuala Selangor. (2006). Selangor: Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor
(UPEN).
Nelmawarni Bungo & Nordin Hussin. (2011).Merantau ke
Kuala Lumpur: Tradisi merantau dan berdagang masyarakat Minang. Geografia,7,
116 - 131.
Noriah Mohamed. (2001). Jawa Di Balik Tabir. Bangi:
Penerbit UKM. ( 42 PL 5161.N67 n.5)
Omar Yusoff & Noriah Mohamed.(2010). Daripada Jawi
Peranakan kepada Melayu: Tinjauan terhadap Komuniti Jawi Peranakan di Pulau
Pinang pada Abad ke-21. SARI, 28 (2), 63 - 82.
Subscribe to:
Posts (Atom)