Wednesday, February 25, 2009

Misi Pemusakaan Koleksi Allahyarham (Dr.) Shaharom Husain


Allahyarham (Dr.) Shaharom Husain atau nama penanya Mansyor Malaya


Penghargaan tertinggi dari UKM buat Allahyarham...Siswazah Kehormat, Sarjana Persuratan.


Teliti...agar tiada bahan yang rosak atau terlepas pandang bahan yang bernilai tinggi.



PakYob@work1



Pak Yob@work2


kerjasama....usaha gigih Saudara Rudi dan Saudara Din...


Antara puluhan monumen yang mengabdikan nama ahli penulisan terkemuka


Di Pusara Allahyarham...dari kiri Dr. Noor Aini, Dr. Hatta, Mustafa Kamil, Rudi dan Pak Yob


Alfatihah.....


Gapura Sastera yang kini meneruskan baktinya sebagai pusat pemulihan akhlak


Pintu masuk ke Gapura Sastera


Hujung minggu lepas Pak Yob “mengabaikan” saat santai bersama keluarga demi satu misi penting, misi melestarikan khazanah ilmu yang pernah dimiliki oleh seorang insan yang namanya harum dalam peta dunia penulisan tanahair.

Beliau yang Pak Yob maksudkan ialah Allahyarham (Dr.) Shaharom Husain, seorang sasterawan, sejarawan dan budayawan terkemuka dari selatan tanahair. Beliau telah mengabdikan seluruh koleksi buku miliknya di rumah beliau yang dinamakan “Gapura Sastera”, rumah dengan lanskap unik itu terletak di Kempas Baru, Johor. Rumah ini kini diwakafkan sebagai rumah pemulihan wanita yang bermasaalah.

Usaha mendapatkan koleksi ini dalam tempoh yang singkat, bermula dengan “merisik” melalui anakanda bongsu allahyarham, iaitu saudara Mustafa Kamil, setelah mendapat maklum yang positif, kami (Pak Yob dan Saudara Shaharuddin Shafri yang merupakan kenalan baik Mustafa) panjangkan kertas kerja berkenaan hajat kami itu kepada Anakanda sulung allahyarham, Prof. Dr. Hatta Shaharom.

Selang beberapa bulan selepas pertemuan dengan Dr. Hatta, akhirnya kami menerima pengkhabaran gembira bilamana waris allahyarham bersetuju menyerahkan koleksi tersebut dengan memberi hak pemilihan sepenuhnya kepada kami.

Dengan kekuatan anggota seramai 3 orang, Pak Yob, saudara Din Shafri dan Saudara Rudi bertolak ke Johor Bahru pada jumaat, 20 februari yang lalu, kami menginap di Hotel Sri Malaysia, Johor Bahru. Malam itu kami dibawa ke Gapura Sastera oleh seorang bekas guru saudara Din yang kebetulan menginap di hotel yang sama, iaitu Cikgu Shamjudin Romani. Malam itu kami meninjau koleksi tersebut sekadar untuk mendapatkan idea bagaimana proses pemilihan akan dilaksanakan esok hari.

Esoknya sekitar jam 9.00 pagi, kami dengan ditemani saudara Mustafa Kamil tiba di Gapura Sastera, proses pemilihan dimulakan dengan koleksi yang selama ini “diharamkan” dari disentuh oleh orang luar sewaktu hayat allahyarham, begitu sekali rasa kasih dan saying beliau atas khazanah ilmu yang ada. Kami menemui banyak karya dan bahan ilmiah yang bernilai untuk dilestarikan, termasuk manuskrip asal karya-karya Allahyarham. Sekitar jam lima petang, kami tamatkan tugasan kerana tidak mahu mengganggu penghuni rumah yang semuanya wanita itu.

Hari terakhir kami di Johor dimulakan dengan meluangkan beberapa saat di pusara Allahyarham, beliau disemadikan bersebelahan dengan pusara isteri beliau. Selepas itu kami teruskan kerja di Gapura Sastera, hari terakhir itu disertai oleh Dr. Hatta dan Isteri, Dr. Noor Aini serta saudara Mustafa Kamil. Hasil pemilihan yang teliti kami bawa pulang 8 kotak bahan, iaitu kira-kira 300 lebih judul bahan termasuk manuskrip. Kami amat berharap agar ada institusi ilmu lain yang berminat untuk mengabadikan koleksi ini selain UKM dan UPSI yang telah melaksanakan peranan kami dalam melestarikan sebahagian koleksi Allahyarham, kerana masih ada banyak lagi bahan yang tinggal.

Sesungguhnya kami amat berterima kasih kepada waris Allahyarham atas kepercayaan dan kesudian mereka mengamanahkan kami sebuah koleksi ilmu yang tinggi nilainya untuk melestarikan serta disebarkan kepada generasi mendatang. Pak Yob secara peribadi amat bersyukur dan setinggi terima kasih juga kepada teman-teman yang terlibat dalam misi ini, terutama saudara Din yang sanggup menggunakan kereta beliau sendiri untuk kegunaan sepanjang misi ini. Pak Yob juga amat berpuas hati kerana salah satu misi dalam tahun 2009 telah berjaya dilaksanakan.

No comments: