Saturday, October 03, 2015

Tragedi minit ke-88 : imbasan perlawanan Malaysia menentang Arab Saudi tahun 1993 dan 2015.

Oleh: Harith Faruqi Sidek



Minit ke-88, 3 Mei 1993 : Malaysia terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang pasukan pilihan Arab Saudi di Stadium Merdeka dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 1994. Malaysia mendahului pada minit ke-34 melalui jaringan Mubin Mokhtar, namun dua minit sebelum masa penuh perlawanan, Arab Saudi dihadiahkan sepakan penalti setelah Fahad Mahalel 'dijatuhkan' dalam petak penalti oleh K.Gunalan, walaupun kelihatan seperti pemain Arab Saudi itu sengaja menjatuhkan diri, penalti berjaya disempurnakan oleh Khalid al-Muwaillid. Arab Saudi kemudiannya berjaya layak ke Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat dimana meraka berjaya mara sehingga ke pusingan kedua. Dalam kejohanan yang sama juga pemain Arab Saudi, Saed Owairan telah menjaringkan antara gol tercantik dalam sejarah Piala Dunia sewaktu mereka menewaskan pasukan Belgium 1-0. Pasukan Malaysia ketika itu dibimbing oleh Ken Worden sementara Arab Saudi dilatih oleh Jose Candido Sottomaior.
Minit ke-88, 8 September 2015 : Perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 / Piala Asia 2019 diantara Malaysia menentang Arab Saudi terpaksa dihentikan akibat faktor keselamatan. Perlawanan berkenaan terpaksa dihentikan pada minit ke-88 apabila sebahagian penyokong Malaysia melemparkan suar ke tengah padang, pada ketika itu pasukan Malaysia sedang ketinggalan 1-2. Pasukan Malaysia mendahului pada minit ke-70 melalui Safiq Rahim sebelum Arab Saudi membalas dengan dua gol pada minit ke-73 dan 76. Jurulatih Malaysia ialah Datuk Ong Kim Swee, sementara Bert Van Marwijk merupakan jurulatih bagi Arab Saudi. Bert Van Marwijk pernah membawa pasukan Belanda ke final Piala Dunia 2010, namun tewas kepada pasukan Sepanyol.

Rujukan:
Kelayakan Piala Dunia: Penyokong baling suar ke padang, perlawanan dihentikan (8 September 2015). Astro Awani.
Lazarus Rokk (4 May 1993). A Crying Shame: gallant Malaysia denied victory by dubious penalty two minutes from time. New Straits Times.
1994 FIFA World Cup Group F at www.fifa.com.

No comments: