Monday, August 13, 2012

Asal Usul nama negeri Selangor dan beberapa tempat di Daerah Kuala Selangor



Oleh Harith Faruqi Sidek


Jika dalam naskah “Asal Usul Negeri-negeri di Malaysia” karya Datuk Zakiah Hanum tidak memaparkan bagaimana negeri Selangor mendapat namanya, kisah itu walau bagaimanapun ditemui dalam naskah “Koleksi Cerita Rakyat Daerah Kuala Selangor” yang diterbitkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN).

“Langau” adalah nama asal Selangor
Dalam naskah ini, terdapat dua versi yang diceritakan bagaimana negeri Selangor mendapat namanya. Kisah pertama adalah nama Selangor diasaskan daripada perkataan “Langau”, ianya bersandarkan kisah seorang pahlawan berketurunan Bugis yang mendarat di kuala sebatang sungai (Kuala Selangor), sebaik sahaja menjejakkan kaki didaratan, kepala beliau telah dihurungi oleh seekor langau yang besar. Biarpun telah cuba dihalau beberapa kali, namun langau berkenaan tetap berada disitu. Beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk bermukim sahaja di kawasan berkenaan, dengan tempat tersebut disebut sebagai “langau” sahaja, sebutan ini disebut oleh orang-orang tempat sebagai “lango” , dan ia kemudiannya berubah menjadi “Selangor”.

Nama Selangor daripada pokok “Mentangau”
Kisah kedua yang diceritakan ialah bagaimana perjalanan melalui jalan laut oleh seorang pahlawan dari Selat Melaka telah dihalang oleh sebatang pokok yang besar. Pahlawan berkenaan cuba untuk mudik ke muara sungai  berkenaan, namun beliau terpaksa melepasi halangan sebatang pokok yang tumbang, dan setelah diamati oleh pahlawan berkenaan, pokok tumbang yang menghalangi laluan beliau itu adalah pokok “Mentangau”. Lalu kawasan tersebut terus sahaja dinamakan Mentangau, sebelum kelamaan ia bertukar menjadi Selangor.

Asal Nama Tanjung Karang
Tanjung Karang sememangnya terkenal dengan industry perikanan dan hasil laut, lalu pastinya asal usul nama kawasan ini tidak lari dari unsur air dan sungai. Dikisahkan nama Tanjung Karang bermula dengan kewujudan batu karang yang bersaiz besar di kawasan tanjung sebatang sungai. Kedudukan serta saiznya yang besar menjadi halangan utama untuk perahu mudik ke kuala sungai, lalu pera penduduk cuba mengalihkan batu karang berkenaan, namun gagal, maka lekatlah nama kawasan tersebut sebagai Tanjung Karang.

Asal Nama Bagan Sungai Tengkorak
Nama kawasan ini adalah sempena peristiwa tengkorak yang dicucuk pada batang kayu berhampiran kuala sungai. Tengkorak-tengkorak ini adalah mangsa pembunuhan lanun dan perompak sungai, mereka dibunuh kerana engkar dan cuba menghalang perbuatan jenayah para lanun dan perompak berkenaan. Bagi tujuan menakut-nakutkan penduduk serta peringatan agar tidak cuba menghalang perbuatan mereka, tengkorak mangsa yang dibunuh dipamerkan di kuala sungai yang menjadi laluan para penduduk. Akhirnya kawasan berkenaan dikenal orang sebagai Sungai Tengkorak.

Asal usul nama Jeram
Jeram dikatakan berasal dari banyaknya kawasan takungan air di sekitar kawasan tersebut. Istilah Jeram merujuk kepada punca air, takungan atau air terjun dari bukit. Dikatakan penduduk yang berhijrah ke kawasan ini akan membuka kawasan yang mempunyai sumber air atau jeram, seperti Kampung Bukit Kerayong, Kampung Bukit Panjang, Kampung Bukit Kuching dan Kampung Bukit Hijau. Walau bagaimanapun, terdapat satu lagi versi tentang asal usul nama Jeram ini, ianya dikatakan sempena nama pengasas yang membuka kawasan ini, iaitu Tok Jeram. Tok Jeram dikatakan berada di kawasan ini setelah berhijrah dari Sabak Bernam. Versi ketiga pula mengaitkanya dengan unsur mistik, kisah pokok besar di kaki bukit jeram yang kononnya berpenunggu, dikisahkan pokok tersebut telah ditebang oleh penduduk tempatan, akibatnya penunggu pokok berkenaan telah menyumpah kawasan berkenaan sehingga tujuh keturunan tanahnya tidak akan makmur (tiada hasil). Kawasan berkenaan kemudian dinamakan bersempena nama bukit yang mempunyai kisah mistik itu.

Asal nama Kampung Ijok
Nama Ijok dikatakan berasal dari perkataan “Hijau” yang disebut dalam telor jawa oleh penduduk tempatan yang majoritinya berketurunan Jawa. Pada waktu mula dibuka, kawasan ini sangat rimbun dengan tumbuhan hijau, apatah lagi kedudukannya berhampiran pula dengan Bukit yang dinamakan Bukit Hijau.

Asal nama Kampung Assam Jawa
Ianya berasal dari enam batang pokok Assam Jawa yang tumbuh di tepi jalan besar, dikatakan dua tiga pokok asal ini masih wujud hingga ke hari ini.

Asal nama Kampung Batang Berjuntai
Kampung ini asalnya dikenali dengan nama Kampung Jaya setia atau Batang Trill dan dibuka pada tahun 1945. Nama Batang Berjuntai diberi sempena peristiwa pohon merbau yang tumbang ke dalam air. Kejadian ini berlaku di satu sudut di kawasan perkuburan tempatan yang terletak di tepi Sungai Selangor, diceritakan pohon yang tumbang ini akan sentiasa timbul, iaitu apabila air naik, ia akan turut naik dan begitu juga jika air surut. Lebih menggagumkan lagi ialah ketahanan dahan pokok tersebut yang tidak patah meskipun pokok nya telah tumbang. Peristiwa yang berlaku sekitar tahun 1959 ini diabadikan oleh penduduk tempatan yang menamakan kawasan tersebut sebagai “Batang Berjuntai”.

Naskah yang menceritakan asal usul nama negeri Selangor

Bab yang mengandungi kisah asal usul nama "Batang Berjuntai"


Rujukan:
Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor. 2006. Koleksi Cerita Rakyat Daerah Kuala Selangor. UPEN: Shah Alam. (PL5168.1.K654 8 – Perpustakaan Alam dan Tamadun Melayu [PATMA] )

4 comments:

Don Balon said...

Nama Ijok sebenarnya berasal daripada pokok Ijok. Di kampung den di selama Perak pun ada kawasan bernama Ijok.

Harith Faruqi Sidek said...

Terima Kasih atas maklumat berkenaan Saudara Don Balon.

Anonymous said...

Salam

Apa yang gagal dinyatakan di sini adalah betapa kaya sumber semulajadi bumi Selangor yang dipelbagaikan dengan flora dan faunanya. Hasilnya kebanyakan nama tempat di sekitar Selangor terutamanya di bandar, telah mengambil ilham daripada nama unsur-unsur hidupan semulajadi ini.

Antara contohnya: Bernam, Sungai Buloh, Petaling, Serdang, Bangi dan Kajang.

ALFAHD said...

iJOK TU NAMA POKOK, BOLEH BUAT PENYAPU, TALI...APA PULA HIJAU..UM...