Monday, October 12, 2015

Jurgen Klopp pernah minati Akmal Rizal Ahmad Rakhli ?




Pengurus baru Liverpool FC, Jurgen Klopp suatu ketika dahulu dikatakan pernah berhasrat menawarkan tempat buat bekas pemain kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli untuk beraksi dalam pasukan bimbingannya, Mainz 05. Keputusan itu dibuat selepas beliau menyaksikan aksi Akmal didalam perlawanan ujian di Mainz pada 26 September 2001. Klopp yang pada ketika itu merupakan ketua jurulatih Mainz 05 dilaporkan berminat untuk menjemput Akmal menyertai kem latihan pasukannya selama 6 minggu sekitar bulan mac 2002, iaitu selepas berakhirnya musim bolasepak 2001/2002 di Jerman. Selain Mainz 05, sebuah lagi kelab yang menyatakan minat terhadap Akmal ialah Eintract Frankfurt.

Namun ianya tidak menjadi kenyataan, Akmal yang pada ketika itu merupakan pemain skuad bawah 23 kebangsaan akhirnya memilih untuk beraksi bersama pasukan negeri kelahirannya, Kedah Darulaman yang beraksi dalam liga Perdana Dua. Kehadiran Akmal di Jerman adalah sebagai usaha FAM untuk memberi peluang kepada beliau menimba ilmu dan pengalaman di peringkat antarabangsa dan dalam pada masa yang sama mengintai peluang menyertai pasukan dalam liga Jerman. Beraksi didalam pasukan luar negara bukanlah sesuatu yang asing bagi Akmal, beliau sebelum ini pernah beraksi di Perancis bersama pasukan RC Strasbourg dan FCSR Haguenau.

Selain Akmal, tiga lagi pemain yang berada dalam program ini ialah Juzaili Sameon, Irwan Fadli Idrus dan Kamarulzaman Hassan, mereka turut bersama Akmal dalam pasukan kebangsaan yang memenangi pingat Perak di Sukan Sea XXI. Pemain-pemain ini berada di Jerman selama 10 hari dan menyertai latihan bersama 7 pasukan liga Jerman, iaitu Bayer Leverkusen,Eintract Frankfurt, Karlsruher S, Rot-Weiss Oberhausen,Mainz 05, Darmstadt 98 dan Borussia Fulda.

Rujukan:

Asrol Awang (11 Disember 2001) Akmal masih menanti, Berita Harian.

Lee Keng Fatt (26 Disember 2001) Kamarulzaman excited abaout second chance, New Straits Times.

Mohd Rafi Mamat (21 September 2001) Empat pemain cemerlang dihantar berlatih di Jerman, Berita Harian.

Zairee Zahir (29 September 2001) Akmal, Juzaili pikat dua kelab Jerman, Berita Harian.

Zairee Zahir (24 Oktober 2001) Obermann minta Akmal realistik, Berita Harian.

No comments: