Saturday, January 12, 2013

Siapa di sebalik nama 'Jalan Chow Kit'

Oleh : Harith Faruqi Sidek


Loke Chow Kit ( Sumber : malaysiafactbook.com)

Antara jalan yang popular di ibukota Kuala Lumpur ialah Jalan Chow Kit, selain terkenal dengan aktiviti perniagaan, jalan ini juga menjadi popular apabila ia nya dilagukan oleh Sudirman Haji Arshad. Namun siapakah Chow Kit yang diabadikan namanya di jalan ini?, apakah sumbangan beliau hinggakan mendapat pengiktirafan yang begitu besar.

Pemandangan kawasan Jalan Chow Kit (Sumber : Google Map)
Chow Kit atau nama sebenarnya Loke Chow Kit ialah seorang tokoh perniagaan yang terkenal di Kuala Lumpur sekitar abad ke-19. Loke Chow Kit dilahirkan di Pulau Pinang pada tahun 1864 dan mendapat didikan di Penang Free School. Selepas menamatkan pelajaran, beliau menyertai sebuah firma yang terkemuka di Pulau Pinang pada ketika itu,  Katz Brothers. Tidak lama selepas itu, Chow Kit berhijrah pula ke sebuah firma yang lain, iaitu Huttenbarch and Co, di syarikat ini beliau telah mendapat kepercayaan tinggi dari majikannya hingga dilantik menjadi pengurus bagi cawangan Kuala Lumpur.

Di Kuala Lumpur, Loke Chow Kit kemudiannya menyertai syarikat yang menguruskan landasan keretapi sebagai Pengurus Trafik, syarikat ini adalah milik Loke Yew dan Chow Ah Yok, jawatan ini beliau pegang hinggalah konsesi pengurusan landasan ini tamat dan diambil alih semula oleh kerajaan negeri Selangor. Selepas dari itu, Chow Kit menyertai perniagaan yang diuruskan oleh Loke Yew, termasuk perlandangan di beberapa buah negeri termasuk Pahang dan Negeri Sembilan. Dengan pengalaman dan modal yang terkumpul, Loke Chow Kit kemudiannya membina perniagaannya sendiri dengan menubuhkan Chow Kit & Co, selain pada masa yang sama turut menjadi pengarah dan pemegang saham di beberapa buah syarikat perlombongan, antaranya Milling and Mining Co. Ltd., Federal Dispensary Co., Jeher Hydraulic Tin Mining Co. Ltd., Malay Cement Co. Ltd.,dan Serendah Hydraulic Tin Mining Co. Ltd.

Bangunan Chow Kit & Co ( Sumber : Malaysia : A Pictorial History 1400 - 2004)

Loke Chow Kit juga merupakan figura utama dalam masyarakat cina, khususnya di Kuala Lumpur, beliau banyak terlibat didalam aktiviti sosial, juga aktiviti kebajikan anjuran pelbagai pertubuhan awam pada ketika itu. Atas sumbangan kemasyarkatan yang besar jugalah beliau mendapat pengiktirafan hingga dianugerahi dengan Jaksa Pendamai (J.P) pada tahun 1917, beliau adalah rakyat Malaysia pertama dari keturunan cina yang menerima pengiktirafan berkenaan (Sunday Mail : 30 Mei 2004). Selain daripada itu, pada tahun 1893, Chow Kit merupakan antara individu terawal yang mempunyai telefon di kediamannya, tokoh lain yang turut mempunyai talian peribadi di kediaman masing-masing ialah, Loke Yew, Hock San dan K.Thamboosamy.( Azharudin, 2001).

Rumah Loke Chow Kit yang kini didiami oleh Institut Arkitek Malaysia (PAM)  (Sumber : http://buildingconservation.blogspot.com )

Pada tahun 1903, Chow Kit telah membina sebuah rumah agam yang indah di Jalan Tangsi, oleh kerana ciri-ciri astetika yang terdapat pada bangunan tersebut, ianya telah dipelihara hingga kini. Rumah berkenaan  pernah diambil alih dan dijadikan Hotel Empire, kini ia nya menjadi bangunan Institut Arkitek Malaysia  (PAM). Loke Chow Kit meninggal dunia pada tahun 29 Ogos 1918 pada usia 54 tahun akibat radang paru-paru di kediaman tetapnya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Mendiang disemadikan di negeri kelahirannya, Pulau Pinang, mendiang turut meninggalakan dua orang balu dan 13 orang anak.



Rujukan:


Azharudin Mohamed Dali, (2001). Perkembangan Sistem Telekomunikasi di Selangor, Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia.


Colourful KL pioneer (30 may 2004). Sunday Mail.

Death of Mr. Chow Kit : A Successful Merchant of The F.M.S ( 30 Ogos 1918) The StraitsTimes.

Death of Mr. Loke chow Kit( 5 September 1918) The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser.


Jeffery Seow, Malayan Births, Marriages and Deaths at: http://malayan-b-m-d.blogspot.com/2012/08/loke-chow-kit-death-29-august-1918.html (Tarikh Akses : 12 Januari 2013)

Loke Chow Kit, at: http://malaysiafactbook.com/Loke_Chow_Kit (Tarikh Akses : 12 Januari 2013)

Sejarah Bangunan Loke Chow Kit (kini Bangunan PAM), Building Conservation. Blogspot.com,  at: http://buildingconservation.blogspot.com/2009/09/sejarah-bangunan-loke-chow-kit-kini.html ( Tarikh akses : 12 Januari 2013)

Sejarah Chow Kit ( 15 julai 2012) Harian Metro.


Wendy Khatijah Moore. (2004). Malaysia:  A Pictorial History 1400 – 2004. Kuala Lumpur: Archipelago Press.




1 comment:

Blogger said...

Want To Boost Your ClickBank Banner Traffic And Commissions?

Bannerizer made it easy for you to promote ClickBank products by banners, simply visit Bannerizer, and get the banner codes for your picked ClickBank products or use the Universal ClickBank Banner Rotator to promote all of the ClickBank products.