Saturday, January 05, 2013

Lukisan Mural Penjara Pudu dalam kenangan. (1983 - 2010)

Oleh : Harith Faruqi Sidek


Suatu ketika dahulu...lukisan mural Penjara Pudu.  (sumber : NST,  23 ogos 2012)

Antara dekorasi yang menarik di Kuala Lumpur pada suatu ketika dahulu ialah lukisan mural yang menghiasi tembok Penjara Pudu, barang siapa yang menaiki bas menuju puduraya, mereka akan melewati karya seni bertemakan pemandangan hutan tropika tersebut, dan ada kalanya akan kelihatan banduan-banduan sedang menyiapkan lukisan tersebut. Menyorot kembali sejarah Penjara Pudu, ianya dibina mulai tahun 1891 hingga 1895, penjara ini kemudian ditutup dan dikosongkan mulai tahun 1996. Menurut Elizabeth Cardosa (NSUNT, 17 September 2006), kos pembinaan penjara ini ialah sebanyak RM327,627.

Lukisan mural Penjara Pudu...kini tinggal kenangan..( Sumber : The Star, 17 June 2008) 

Antara fakta menarik mengenai bagaimana bermulanya idea lukisan mural ini  dihasilkan ialah, ianya turut  melibatkan darmatis terkenal tanahair, Abu Bakar Juah. Beliau yang bertugas di penjara ini selama 11 tahun sebagai pegawai penjara, iaitu mulai 1975 - 1986  telah mengusulkan agar dibina Rock Garden di sepanjang tembok luar penjara tersebut, bagi mencantikkan lagi tembok yang kosong itu, idea melukis mural kemudiannya dilontarkan oleh seorang rakan setugas Abu Bakar, iaitu Mohd Rashidi Samsuddin. Mulai  tahun 1983, seorang bekas banduan, Khong Yen Chong telah ditugaskan melukis mural tersebut dengan dibantu oleh beberapa orang banduan lain, menariknya, tempoh pembebasan Khong Yen Chong tiba sebelum sempat lukisan tersebut dihabiskan, namun atas rasa tanggungjawab,  beliau kembali ke penjara tersebut untuk menghabiskan lukisan mural berkenaan, tetapi bukan sebagai seorang banduan lagi, tetapi sebagai seorang rakyat Malaysia yang insaf dan bebas.(The Star, 27 Jun 2010).

Abu Bakar Juah (Sumber: rtm.gov.my)

Pada tahun 1984, lukisan pada tembok penjara tersebut telah dicatatkan dalam Guiness Book of World Records  sebagai lukisan mural terpanjang di dunia, iaitu dengan ukuran 860 kaki panjang dengan ketinggian 14 kaki. Khong Yen Chong dan rakan-rakanya telah menyiapkan lukisan mural tersebut dalam tempoh 17 bulan dengan menggunakan kira-kira 2000 liter cat.(Nizua Ilya Amirah, NST, 23 Ogos 2012). 

Khong Yen Chong, pelukis asal mural Penjara Pudu. (sumber : The Star, 17 June 2008)

Apabila Penjara Pudu yang berusia 119 tahun itu dirobohkan atas nama pembangunan, tembok bersejarah ini turut sama 'menyembah bumi' pada bulan Jun 2010. Meskipun tindakan meroboh bangunan yang telah dikosongkan sejak 1996 itu mendapat bantahan dari pelbagai pihak, namun ianya tidak diendahkan oleh pihak penguasa.

Runtuhnya tembok bersejarah....( Sumber: Malaysiakini.com)


Rujukan:

D. Raj and Joseph Loh. (17 Jun 2010). If the prison walls could talk, The Star

Fadzy Esa. (18 ogos 2010). Uda Holdings: Mahu gerbang penjara Pudu, silakan, Malaysiakini.com (http://www.malaysiakini.com/news/140375)

Jayagandi Jayaraj. (17 Jun 2008). Mega development plan proposed for Pudu Prison land, The Star.


Elizabeth Cardosa. (17 September 2006). Lamenting the passing of Pudu Jail, New Sunday Times.

Nizua Ilya Amirah Mohd Nizuaisham. (23 Ogos 2012). Pudu Jail’s mural, New Straits Times.

Nor Shahid Mohd Nor. (4 Jun 2008). Surely the entire complex does not have to go, New Straits Times.

Noraini Abd. Razak. ( 27 Jun 2010 ). Menyusuri sisa penjara pudu, Utusan Malaysia.

Nuradzimmah Daim. (18 Jun 2010). Mural to go underpass, New Straits Times.


No comments: